Kisah ini berlaku di zaman sebaik-baik kurun. Wataknya adalah dua orang sahabat yang hebat, Abu Bakar as-Siddiq r.a. dan Rabi’ah bin Ka’ab al-Aslami yang pernah memohon untuk mendampingi Rasulullah s.a.w. di dalam syurga.
Kisah ini diceritakan sendiri oleh watak utamanya, Rabi’ah r.a.
“Rasulullah s.a.w. telah memberikan kepadaku sebidang tanah bersebelahan dengan sebidang yang diberikan kepada Abu Bakar. Kami berselisih faham tentang setandang buah kurma. Datanglah dunia menggoda kami.
Abu bakar berkata, tandan ini berada di dalam kawasanku.
Aku berkata, bukan. ia berada di dalam kawasanku.
Masing-masing kami tidak mahu mengalah.
Abu Bakar tiba-tiba mengeluarkan perkataan yang mengguris hatiku dan dia amat menyesal atas keterlanjuran lidahnya itu.
Maka dia berkata: “Wahai Rabi’ah, ucapkanlah kepadaku perkataan yang sama seperti apa yang telah aku ucapkan kepadamu sebagai qisas (balasan) kepadaku!”
Aku menjawab: “Tidak. Demi Allah aku sekali-kali tidak akan mengucapkan perkataan itu kepadamu. Aku tidak akan mengeluarkan kata-kata kepadamu kecuali yang baik!”
Beliau terus mendesak supaya aku ucapkan juga. Namun aku tetap bertegas tidak akan mengucapkannya. Dia berkata bahawa dia akan meminta Rasululla s.a.w. memerintahkan aku supaya mengucapkannya.
Beliau enggan menerima tanah itu dan pergi mengadap Rasulullah s.a.w.
Aku mengekorinya.
Di tengah jalan, beberapa orang dari qabilahku, Aslam menegur dengan berkata: “Semoga Allah rahmati Abu Bakar. Dia telah mengeluarkan kata-kata yang tidak baik terhadapmu dan dia akan meminta tolong (Rasulullah) supaya menyuruh engkau membalasnya.”
Aku berkata kepada mereka: “Kamu tahukah siapa Abu Bakar ini? Dia adalah salah seorang daripada dua orang yang berada di dalam gua, dan dia orang yang mempunyai kedudukan di kalangan muslimin. Awas kamu! Jangan nanti dia terpandang kamu membantuku untuk melawannya yang mungkin akan menyebabkan kemarahnnya terhadapmu. Kemudian bila diketahui oleh Rasulullah, baginda akan memarahimu dengan sebab kemarahan Abu Bakar terhadapmu. Lalu Allah turut memarahimu dengan sebab kemarahan mereka berdua. Lantas binasalah Rabi’ah dengan kemurkaan Allah SWT. Oleh itu, beredarlah kamu dari sisiku!”
Aku meneruskan perjalananku mengekori Abu Bakar menemui Rasulullah s.a.w.
Beliau menceritakan apa yang berlaku kepada baginda. Kemudian baginda bertanya kepadaku apa yang sebenarnya berlaku. Dan aku menceritakannya.
Rasulullah s.a.w. memintaku mengucapkan apa yang diminta oleh Abu Bakar tetapi aku tetap enggan. Maka bagindapun berkata: “Baiklah. Jika engkau enggan, ucapkanlah: “Semoga Allah mengampunimu wahai Abu Bakar.”
Lantas Abu Bakar berpaling meninggalkan kami dalam keadaan menangis.
Riwayat al-Hakim. Dia berkata hadis ini sahih menurut syarat Imam Muslim.
Ranungkanlah.
Betapa tingginya akhlak mereka.
Mereka adalah manusia biasa. Ada kelemahan. Kadang-kadang tersilap dan tergelincir diseret hasutan duniawi.
Namun iman mereka tidak membenarkan mereka terus larut dalam kesilapan.
Redha Allah jua yang dicari.
Bukan memenangkan nafsu dan kepentingan peribadi.
#fastabiqulkhairat
No comments:
Post a Comment