Tuesday, December 10, 2019

TADABBUR – JANGAN SOLAT KETIKA MABUK


Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan (bacakan)….”

Ibn Kathir rahimahullah merekodkan sebab turun ayat ini sebagaimana yang disebut oleh Ali bin Abi Talib r.a.: “Abdul Rahman bin Auf telah mengadakan kenduri dan menjemput kami makan. Beliau turut menghidangkan kami khamar. Ketika kami sedang menjamu selera, masuklah waktu solat. Lalu salah seorang daripada kami diangkat mengimamkan solat. Maka beliau membaca “Ya ayyuhal kafirun, ma a’budu ma ta’budun, wanahnu na’budu ma ta’budun (wahai orang-orang kafir, aku tidak sembah apa yang kamu sembah dan kami sembah apa yang kamu sembah)”. Lantas Allah SWT menurunkan ayat ini”

Ayat ini diturunkan sebelum turun ayat ke 90 surah al-Maidah yang mengharamkan minum arak secara total.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Berbalik  kepada larangan menunaikan solat ketika sedang mabuk, dinyatakan dengan jelas akan alasannya, iatu “hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan atau apa yang kamu baca di dalam solat kamu”.

Sedia maklum bahawa orang yang sedang mabuk tidak mampu mengendalikan diri dan tutur katanya dengan betul. Dalam keadaan demikian dia juga tidak mampu untuk khusyuk dan tadabbur ayat-ayat yang dibaca. Oleh itu tujuan solat sebagaimana disebut di dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.”(Taha 20:14
iaitu untuk mengingati Allah, menghayati keagunganNya serta bermunajat memohon doa kepadaNya tidak tercapai. 

Cuba renungkan, pernahkan kita mendirikan solat dalam keadaan mabuk?
Jawapan kita tentulah tidak kerana kita tidak pernah mabuk dan tidak pernah meminum arak.
Tapi, pernahkah kita solat dalam keadaan kita tidak tahu apa yang kita baca? 

Kadang-kadang selepas memulakan solat dengan takbiratul-ihram dengan mengangkat kedua tangan dan menggerakkan bibir menyebut “Allahu Akbar”, hati dan fikiran terus meluncur laju entah ke mana-mana dan tidak kembali bersama anggota badan yang berdiri, tunduk, sujud dan duduk sehinggalah kepala menoleh ke kanan dan ke kiri memberi salam. Maka tercapaikah tujuan solat kita? Tidakkah solat yang sedemikian tidak jauh beza dengan solat orang yang mabuk?

Mungkin solat seperti itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam sabda baginda yang bermaksud:
“Sesungguhnya seseorang itu beredar dari solatnya (selesai mengerjakan solatnya), pada hal tidak dituliskan (pahala) untuknya kecuali 1/10, 1/9, 1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3, 1/2  daripada solatnya.” Riwayat Abu Daud dan an-Nasae daripada Ammar bin Yasir r.a.

Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata, “Akan datang satu zaman di mana manusia bersembahyang tetapi hakikatnya mereka tidak sembahyang. Dan sesungguhnya aku takut bahawa inilah zaman itu!”
Beliau hidup pada kurun ke 3 hijrah. 
Bagaimanalah agaknya jika beliau melihat hal keadaan solat umat Islam pada hari ini?

Imam al-Ghazali berkata, “Sesungguhnya seseorang itu melakukan satu sujud. Dia menyangka sujudnya itu mendekatkan dirinya kepada Allah SWT. Namun, demi Allah! Sekiranya dibahagikan dosa satu sujudnya itu kepada seluruh penduduk negeri ini nescaya mereka akan binasa semuanya!” 
Beliau ditanya, “Bagaimana boleh jadi demikian?”
Beliau menjawab, “Dia sujud dengan kepalanya di hadapan Tuhannya, sedangkan hatinya sibuk mengingati hiburan, maksiat, syahawat dan cinta dunia. Maka sujud apakah ini?”

Peringatan buat diriku serta seluruh umat yang dikasihi agar sentiasa berusaha mengelakkan diri dari solat seperti orang mabuk. 

No comments: