Sunday, January 31, 2021

Kisah Abu Dardaa’ r.a. memeluk Islam

 

Abu Dardaa’ r.a. atau nama sebenarnya Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Ansari al-Khazraji adalah satu nama yang tidak asing kepada kita umat Islam. Sahabat Nabi s.a.w. yang dikenali sebagai Hakim al-Ummah, orang yang paling berhikmah atau bijaksana dalam kalangan umat ini.

 

Meskipun beliau merupakan golongan Ansar yang paling akhir memeluk Islam, namun ketokohan, kewibawaan, keunggulan serta sumbangannya di dalam pelbagai bidang tidak kurang daripada sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang lain ridhwanullahu’alaihim ajma’in.

 

Sebelum memeluk Islam, Abu Dardaa’ merupakan seorang penyembah berhala yang tegar.

 

Pada suatu hari, sahabatnya Abdullah bin Rawwahah r.a. dan Muhammad bin Maslamah r.a. yang telah memeluk Islam datang ke rumah Abu Dardaa’ semasa beliau tiada di rumah. Kedua-duanya memecahkan berhala yang disembah oleh Abu Dardaa’ sehingga pecah berkecai.

 

Apabila Abu Dardaa’ pulang, dia mengutip serpihan berhalanya yang telah berkecai itu seraya berkata, “Celaka engkau! Kenapa engkau tidak menghalang mereka? Kenapa engkau tidak mempertahankan dirimu sendiri?”

Mendengar rungutan Abu Dardaa’, isterinya Ummu Dardaa’ menambah, “Kalaulah berhala itu berguna atau dapat mempertahankan seseorang, pasti dia berguna atau dapat mempertahankan dirinya sendiri!”

 

Abu Dardaa’ bangkit lalu meminta Ummu Dardaa’ menyediakan air untuk dia mandi.

Selepas mandi dan memakai pakaian yang kemas, beliau terus keluar untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w.

 

Ketika dia sampai ke tempat Rasulullah s.a.w. Abdullah bin Rawwahah r.a. berada di sisi baginda s.a.w. Melihat Abu Dardaa’ datang, Abdullah r.a. berkata, “Ya Rasulullah, itu Abu Dardaa’ datang. Tentulah tidak ada lain tujuannya kecuali membalas dendam ke atas kami.”

“Sesungguhnya dia datang untuk memeluk Islam. Tuhanku telah berjanji kepadaku bahawa Abu Dardaa’ akan memeluk Islam.” jawab Rasulullah s.a.w.

 

Antara pengiktirafan Rasulullah s.a.w. ke atas Abu Dardaa’ ialah “Faris (tentera berkuda) yang terbaik” dan “Hakim Ummah”.

Beliau juga merupakan salah seorang yang ditugaskan mengumpul al-Quran pada zaman Nabi s.a.w.

Al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas bin Malik r.a. katanya: “Ketika Nabi s.a.w. wafat tidak ada seorangpun yang mengumpul al-Quran sepenuhnya kecuali Abu Dardaa’, Mu’az bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zaid.”

 

Abu Dardaa’ r.a. sangat berpegang teguh dengan apa yang diajar dan dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya. Muslim meriwayatkan bahawa Abu Dardaa’ r.a. berkata: ‘Kekasihku s.a.w. berpesan kepadaku tiga perkara yang aku tidak pernah tinggalkan selagi aku masih hidup: berpuasa tiga hari setiap bulan, solat dhuha dan tidak tidur sebelum menunaikan solat witir.”

 

Abu Dardaa’ dikenali sebagai seorang yang sangat warak dan takut kepada Allah SWT. Ketika untanya mati, dia berkata kepadanya: “Wahai untaku, janganlah engkau mendakwa aku di hadapan Tuhanmu kelak. Sesungguhnya aku tidak pernah membebanimu membawa barang-barang lebih daripada kemampuanmu.”

 

Beliau juga sangat menjaga hak-hak ukhuwah fillah. Beliau pernah berkata: “Aku berlindung dengan Allah daripada datangnya satu hari dalam hidupku yang aku tidak ingat kepada Abdullah bin Rawwahah r.a. Setiap kali apabila bertemu denganku dari hadapan, dia akan menepuk dadaku, kalau dia datang dari belakang dia akan menepuk bahuku kemudian berkata kepadaku: “Wahai Uwaimir, mari kita duduk, kita beriman satu saat. Lalu kami duduk mengingati Allah selama mana yang kamu mahu. Kemudian beliau berkata: “Inilah majlis iman!”.

Di dalam menjaga ukhuwah fillah, Abu Dardaa’ r.a. berkata: “Sesungguhnya aku berdoa untuk 70 orang saudara-saudaraku fillah di dalam sujudku. Aku sebut nama mereka satu persatu!”

 

Antara kata-kata hikmahnya yang masyhur:

“Tiga perkara bagiku sangat melucukan: orang yang sibuk mengejar dunia sedangkan dia sedang dikejar kematian, orang yang lalai dari mengingati Allah sedangkan Allah tidak lalai dari menghisabnya, dan orang yang tertawa berdekah-dekah sedangkan dia tidak mengetahui adakah dia termasuk dalam kalangan mereka yang diredhai Allah atau dimurkainya...”

 

“Kalaulah seseorang itu lari dari rezekinya sebagaimana dia lari dari kematiannya, nescaya rezekinya akan mendapatkannya sebagaimana kematiannya mendapatkannya.”

 

“Sesiapa yang banyak bercakap, banyaklah dustanya. Sesiapa yang banyak bersumpah, banyaklah dosanya. Sesiapa yang banyak permusuhannya, tidak selamatlah agamanya.”

 

“Sesiapa yang tidak mengenali ni’mat Allah kecuali pada makanan dan minumannya sahaja maka sesungguhnya sangat kurang ilmunya dan dekatlah azabnya. Dan sesiapa yang tidak pernah berasa kaya di dunia maka tidak ada dunia baginya.”

 

Dipetik dan diolah daripada:

Islamstory.com

Friday, January 29, 2021

Wednesday, January 27, 2021

Tamparan kepada mereka yang merasakan dirinya hebat

 

Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri (363-449H/973-1057M) seorang penyair, pemikir, ahli bahasa dan sastra yang terkenal pada zamannya, iaitu zaman kerajaan Abbasiah.

 

Pada suatu hari dia bertemu dengan seorang kanak-kanak (ghulam).

“Siapakah anda wahai tuan syeikh?” tanya ghulam itu.

“Aku adalah Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri, penyair terkenal pada masa kini,” jawab Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri.

“Ahlan wahai tokoh penyair yang hebat,” ucap ghulam. “Tuankah yang mengarang syair ini:

Dan sesungguhnya aku, sekalipun zaman kelahiranku di akhir waktu

Aku dapat menghasilkan sesuatu yang tidak mampu dihasilkan oleh orang terdahulu?”

 

“Ya,” jawab Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri “akulah yang mengarangnya. Kenapakah kamu bertanya demikian?”

“Ungkapan yang sangat bagus,” puji ghulam “ia menggambarkan keyakinan pada diri sendiri, mengakui kebolehan serta keupayaannya. Tetapi orang terdahulu telah mengasaskan 28 huruf hijaiah. Adakah tuan mampu menambahnya satu huruf sahaja?”

 

Abu al-’Alaa’ al-Ma’ri terdiam. Lalu dia berkata: “Demi Allah! Aku tidak pernah terdiam, tidak mampu menjawab sebagaiman terdiamnya aku ketika ini.”

 

Dipetik drpd kitab “Zaad al-Murabbin” Ibrahim Badar Syihab al-Khalidi

Tuesday, January 26, 2021

ISTERI YANG DILAKNAT PARA MALAIKAT

 

Hari ini saya akan mengulas satu hadis yang zahirnya sangat kontroversi, sangat tidak bertimbang rasa dan tidak mesra wanita.

 

Kalau tidak percaya, cubalah baca:

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi isterinya tidak datang, maka suami itu tidur dalam keadaan memendam kemarahan, malaikat laknat isteri tersebut sehingga ke pagi.”

Muttafaq ‘alaih.

(Riadhus-Solihin, no 281,  ms 115)

 

Hadis ini selalu dilihat dari sudut kewajipan isteri taat kepada perintah suami. Apa sahaja kehendak serta permintaan suami wajib dipatuhi, full stop. 

 

Adakah benar begitu? Adakah benar Islam menetapkan hubungan antara suami isteri seperti hubungan ketenteraan antara jeneral dengan anggota tentera di bawahnya?

 

Tidak sama sekali. Allah SWT telah membina hubungan suami isteri di atas landasan rahmah dan mawaddah. Allah jadikan mereka berdua sebagai pasangan yang membawa panji-panji ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan terhadap satu sama lain yang diungkapkan dengan satu perkataan yang cukup indah, SAKINAH.

 

Dalam melayari bahtera rumahtangga di lautan hidup yang sentiasa bergelora, Allah telah mengamanahkan kepada suami untuk menjadi kapten yang diberi nama QAWWAM. Sebagai qawwam, suami bertanggungjawab melindungi ahli keluarga dari segala perkara yang tidak baik, perkara-perkara yang menyusahkan, apa lagi yang mencelakakan.

Sebagai qawwam, suami wajib menjaga isteri dengan penuh rahmah, membelainya dengan mawaddah, memayunginya dengan sakinah.

 

Suami yang pengasih dan cinta kepada isterinya, apakah akan tergamak menjadi sebab kepada isterinya dilaknat para malaikat? Sampai hatikah dia mengajak isteri ke tempat tidur tanpa mengambil kira suasana dan kondisi isteri?

 

Sesungguhnya suami yang mempunyai sifat rahmah pasti tahu bahawa hubungan kelamin bukan bertujuan untuk memenuhi nafsunya semata-mata. Sebaliknya ia merupakan saat memadu cinta antara mereka berdua. Ia tidak boleh dilakukan dengan cara perintah ala tentera; perintah dan taat. Sebaliknya, ia mesti didahului dengan membina suasana, memahami keadaan serta kesediaan pasangan terlebih dahulu. Jika ini dilakukan dengan sebaik-baiknya sudah tentu isteri tidak akan menolak dan terhindarlah dia dari dilaknat.

 

Suami yang mengajak tanpa mengambil kira keadaan serta kesediaan isteri adalah suami yang tidak sayang kepada isterinya dan sengaja menjadi sebab untuk isterinya dilaknat. Dan pada masa yang sama dia juga telah menderhakai Allah SWT yang memerintahkannya melayani isteri dengan cara yang baik. “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).(An-Nisaa' 4:19

 

Kesimpulannya, kita tidak boleh memetik satu nas tertentu daripada al-Quran atau Hadis, lalu kita terus buat kesimpulan bahawa inilah ajaran Islam tanpa kita kaitkan dan padankan dengan nas-nas lain yang saling berkaitan antara satu sama lain. Sesungguhnya Islam itu indah. Rahmah untuk semua tanpa mengira sama ada lelaki atau wanita.

Thursday, January 21, 2021

Saturday, January 16, 2021

MENULIS SEJARAH

 

Kita semua sedang menulis sejarah.

Yang akan dibaca, diteliti, dikaji dan dinilai oleh generasi akan datang

Mereka menilai bukan mengikut apa yang kita kehendaki, bukan menurut apa yang kita

cakap, bukan mengikut apa alasan, apa dalil dan apa hujjah yang kita berikan.

 

Firaun, ketika dia menentang Nabi Musa a.s. tidak rasapun dia salah. Sebaliknya Musa lah yang dianggap sesat, jahat, yang membuat kerosakan dan memecah belahkan masyarakat. Dan itulah yang diyakini dan dipegang oleh para pengikutnya. Cuba perhatikan maksud firman Allah di bawah:

 

Dan berkatalah Firaun (kepada orang-orangnya): "Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarlah dia memohon kepada Tuhannya (meminta pertolongan)! Sesungguhnya aku bimbang dia akan menukar agama kamu, atau ia menimbulkan kerosakan di muka bumi".

(Ghaafir 40:26)

 

Namun, hari ini setelah ribuan tahun berlalu tidak ada seorangpun yang waras mengatakan Firaun itu baik dan Musa sebaliknya. Malah Firaun menjadi ikon bagi segala kejahatan dan kezaliman.

 

Jadi, anak cucu kita, generasi akan datang menilai sejarah yang kita tulis pada hari ini adalah berdasarkan fakta dan nilai yang tetap dan benar. Dan nilai yang tetap dan benar itu tidak lain dan tidak bukan nilai yang diajar dan diiktiraf oleh Allah di dalam kitabNya yang suci dan benar dan dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w.

 

Cuba fikir, adakah tebuk atap itu satu langkah mulia yang selari dengan nilai yang diajar oleh Allah di dalam kitab suciNya?

Adakah Rasulullah s.a.w. pernah mengajar supaya melakukan rampasan kuasa melalui cara redah masuk dari pintu belakang dan tebuk atap bersama gerombolan manusia yang memungkiri perjanjian yang telah ditandatanganinya sendiri?

 

Dan fikirkan adakah ketika anak cucu kita membaca sejarah kita 50 tahun, 100 tahun akan datang mereka akan memuji dan mengkagumi langkah itu?

 

Cuba fikir, adakah menggantung sidang parleman di kala rakyat menderita berhadapan dengan pelbagai tekanan selari dengan prinsip syura yang diajar oleh al-Quran dan diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.?

 

Bukankah ayat berkaitan dengan perintah bermesyuarat di turunkan pada saat yang paling kritikal, saat di mana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat mengalamai kekalahan akibat ketidak patuhan sebahagian sahabat terhadap arahan Rasulullah s.a.w.?

 

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

(A-li'Imraan 3:159

 

Bukankah ayat ini mengajar kita bahawa semakin gawat suasana yang dihadapi, semakin syura diperlukan. Bermesyuarat dengan semua pihak mencari penyelesaian demi kebaikan rakyat, bukan menutup ruang dan pintu permesyuaratan.

 

Kesimpulannya, tulisan ini hanyalah sekadar untuk mengajak kita sama-sama berfikir tentang apa yang hendak kita tulis berkenaan sejarah kita sendiri untuk dibaca dan ditatapi oleh anak cucu kita kelak.

Adakah kita mahu mereka sanjung kita sebagai wira penegak kebenaran dan keadilan atau petualang yang memusnahkan kebenaran dan keadilan?

 

Pena zaman di tangan kita sebelum disentap oleh Yang Maha Esa

Tuesday, January 12, 2021

WAIBI


 

WAIBI

Apakah sebenarnya yang engkau mahu?

Memburu kuasa tak jemu-jemu

Kini kuasa dalam genggamanmu

Yang engkau rampok tanpa malu

Bersekongkol dengan pengkhianat dan penipu

 

WAIBI

Apa yang engkau buat dengan kuasamu itu?

Pemimpin yang korup engkau ampu

Agihan jawatan tanpa kelayakan engkau setuju

Kabinet melebehi keperluan engkau membisu

Rakyat yang tanggung kosnya engkau macam tidak tahu

Undang-undang dua darjat engkau korek dalil baru

Burung hudhud konon yang ditiru

Judi meningkat lidahmu kelu

Sebelum berkuasa lantang menentang ke hilir dan ke hulu

Lompat melompat parti tiada lagi segan dan silu

Sehingga netizen berkata apa guna PRU

Menang dan kalah bukan penentu

Pangkat dan wang juga yang waibi buru

 

WAIBI

Ramai netizen keliru

Apakah matlamat, ke manakah hala tuju

Prinsip serta landasan perjuanganmu tidak menentu

Atas maslahah apakah engkau berada di situ

Di belakang penyangak dan penipu

Tanpa berlapik tanpa berselindung dia mengutukmu dulu

Kini engkau diperkuda bagai si dungu

Apa yang diputuskannya engkau diam membatu

Rakyat termangu-mangu, negara bercelaru

Pun begitu

Engkau mendabik dada konon engkau pejuang nombor satu

Tidakkah engkau berasa malu?

 

WAIBI

Aku berbicara dari lubuk hati yang pilu

Lantaran engkau dipersenda dari segenap penjuru

Tidak seperti dahulu

Quran dan Sunnah cair di bibirmu

Khulafaa’ ar-Rasyidin diangkat sebagi penghulu

Penegak keadilan penentang kezaliman sepanjang waktu

Model kepimpinan berwibawa dan jitu

Yang sejak dahulu kami tertunggu-tunggu

Terserlahnya keindahan dan keberkatan itu

Pada dirimu

Sebagaimana engkau laung-laungkan selalu

Namun kini dah jadi abu

 

 

*UMD*

12012021/28051442

Saturday, January 09, 2021

SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN

 

Sembah kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah mencemar duli meredah banjir yang sedang melanda demi melihat sendiri keadaan rakyat serta menyampaikan bantuan yang sangat bermakna kepada mereka.

 

Tindakan itu merupakan satu langkah yang sangat baik menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap nasib rakyat. Ia patut dipuji.

 

Dan lebih terpuji lagi jika Tuanku dapat melaksanakan dengan kadar segera apa yang tidak mampu dilakukan oleh kami rakyat jelata, yang pada hemat patik itulah tugas serta tanggungjawab Tuanku yang hakiki.

 

Antara lain, meninjau aktiviti pembalakan sama ada yang halal atau haram di sisi undang-undang yang mungkin menjadi sebab berlakunya banjir besar yang mengancam nyawa serta kehidupan rakyat. Sekiranya ada, mohon keluarkan arahan supaya ia diberhentikan dengan kadar segera. Dan sekiranya telah berlaku pencerobohan, maka patik mohon arahkanlah supaya penceroboh dikenakan tindakan yang sewajarnya.

 

Patik yakin Tuanku pernah mendengar kata-kata yang masyhur yang diriwayatkan daripada Khalifah Umar bin Al-Khattab radhiallahu’anhu bahawa beliau pernah berkata maksudnya:

“Sekiranya seekor unta, atau seekor kambing mati di tebing sungai Furat, aku takut Allah akan menyoalku tentangnya!”

 

Tuanku, banjir yang mengganas sekarang, kalau betul ia berpunca daripada penebangan hutan yang tidak terkawal, bukan seekor kambing yang mati, malah tidak terhitung jumlahnya termasuk manusia juga ternakan-ternakan yang lain. Adakah Tuanku tidak takut akan ditanya oleh Allah sebagaimana takutnya Umar?

 

Selain itu, patik memohon supaya Tuanku mengambil sedikit masa memerhati pemimpin yang diamanahkan menerajui negara sekarang, adakah mereka benar-benar ikhlas dan mempunyai kemampuan untuk memacu negara ini ke arah yang lebih baik?

Lihatlah pelbagai ujian yang melanda. Penularan wabak yang belum nampak tanda-tanda akan surut, kehidupan rakyat yang makin tertekan dengan pelbagai masalah ekonomi, sosial, keluarga, pendidikan dan lain-lain.

Semua itu memberi gambaran bahawa mereka yang memegang amanah kepimpinan sekarang tidak dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa mereka pempunyai kemampuan yang boleh diharapkan. Lebih-labih lagi apabila dilihat kembali cara mereka menapak ke puncak kuasa dengan jalan yang tidak demokratik, dengan langkah pengkhianatan yang amat jijik.

Dalam konteks ini, junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengingatkan dengan sabdanya yang bermaksud:

“Sesiapa yang melantik seseorang untuk menjalankan satu tugasan mengendalikan urusan orang ramai, sedangkan di kalangan mereka terdapat individu yang lebih diredhai Allah daripada orang yang dilantiknya itu, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.” Hadis Riwayat Al-Hakim

 

Maka patik dengan penuh takzim memohon agar Tuanku dengan kuasa yang diamanahkan kepada Tuanku, pertimbangkanlah dengan segala kebijaksanaan yang ada agar pucuk kepimpinan negara dikembalikan kepada mereka yang lebih layak, mereka yang telah dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat melalui proses pilihanraya yang sah pada tahun 2018 yang belum tamat lagi tempohnya.

 

Itulah luahan hati yang ingin patik persembahkan. Adalah menjadi hak Tuanku untuk turun setiap hari melihat mangsa banjir yang diuji dengan berbagai-bagai penderitaan. Tetapi pada masa yang sama jangan lupa tanggungjawab hakiki Tuanku yang tidak mampu dilunaskan oleh pihak lain.

 

Salam hormat penuh takzim daripada patik yang hina.

 

 

*UMD*

10012021/24051442