Saturday, January 09, 2021

SEMBAH PATIK MOHON DIAMPUN

 

Sembah kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah mencemar duli meredah banjir yang sedang melanda demi melihat sendiri keadaan rakyat serta menyampaikan bantuan yang sangat bermakna kepada mereka.

 

Tindakan itu merupakan satu langkah yang sangat baik menunjukkan keprihatinan Tuanku terhadap nasib rakyat. Ia patut dipuji.

 

Dan lebih terpuji lagi jika Tuanku dapat melaksanakan dengan kadar segera apa yang tidak mampu dilakukan oleh kami rakyat jelata, yang pada hemat patik itulah tugas serta tanggungjawab Tuanku yang hakiki.

 

Antara lain, meninjau aktiviti pembalakan sama ada yang halal atau haram di sisi undang-undang yang mungkin menjadi sebab berlakunya banjir besar yang mengancam nyawa serta kehidupan rakyat. Sekiranya ada, mohon keluarkan arahan supaya ia diberhentikan dengan kadar segera. Dan sekiranya telah berlaku pencerobohan, maka patik mohon arahkanlah supaya penceroboh dikenakan tindakan yang sewajarnya.

 

Patik yakin Tuanku pernah mendengar kata-kata yang masyhur yang diriwayatkan daripada Khalifah Umar bin Al-Khattab radhiallahu’anhu bahawa beliau pernah berkata maksudnya:

“Sekiranya seekor unta, atau seekor kambing mati di tebing sungai Furat, aku takut Allah akan menyoalku tentangnya!”

 

Tuanku, banjir yang mengganas sekarang, kalau betul ia berpunca daripada penebangan hutan yang tidak terkawal, bukan seekor kambing yang mati, malah tidak terhitung jumlahnya termasuk manusia juga ternakan-ternakan yang lain. Adakah Tuanku tidak takut akan ditanya oleh Allah sebagaimana takutnya Umar?

 

Selain itu, patik memohon supaya Tuanku mengambil sedikit masa memerhati pemimpin yang diamanahkan menerajui negara sekarang, adakah mereka benar-benar ikhlas dan mempunyai kemampuan untuk memacu negara ini ke arah yang lebih baik?

Lihatlah pelbagai ujian yang melanda. Penularan wabak yang belum nampak tanda-tanda akan surut, kehidupan rakyat yang makin tertekan dengan pelbagai masalah ekonomi, sosial, keluarga, pendidikan dan lain-lain.

Semua itu memberi gambaran bahawa mereka yang memegang amanah kepimpinan sekarang tidak dapat memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa mereka pempunyai kemampuan yang boleh diharapkan. Lebih-labih lagi apabila dilihat kembali cara mereka menapak ke puncak kuasa dengan jalan yang tidak demokratik, dengan langkah pengkhianatan yang amat jijik.

Dalam konteks ini, junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengingatkan dengan sabdanya yang bermaksud:

“Sesiapa yang melantik seseorang untuk menjalankan satu tugasan mengendalikan urusan orang ramai, sedangkan di kalangan mereka terdapat individu yang lebih diredhai Allah daripada orang yang dilantiknya itu, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.” Hadis Riwayat Al-Hakim

 

Maka patik dengan penuh takzim memohon agar Tuanku dengan kuasa yang diamanahkan kepada Tuanku, pertimbangkanlah dengan segala kebijaksanaan yang ada agar pucuk kepimpinan negara dikembalikan kepada mereka yang lebih layak, mereka yang telah dipilih dan diberikan mandat oleh rakyat melalui proses pilihanraya yang sah pada tahun 2018 yang belum tamat lagi tempohnya.

 

Itulah luahan hati yang ingin patik persembahkan. Adalah menjadi hak Tuanku untuk turun setiap hari melihat mangsa banjir yang diuji dengan berbagai-bagai penderitaan. Tetapi pada masa yang sama jangan lupa tanggungjawab hakiki Tuanku yang tidak mampu dilunaskan oleh pihak lain.

 

Salam hormat penuh takzim daripada patik yang hina.

 

 

*UMD*

10012021/24051442

No comments: