Wednesday, February 17, 2021

SUMBANGAN WANITA DALAM ILMU HADIS

NUKILAN : MUHAMMAD AKRAM AL-NADAWI

Syeikh Prof Muhammad Akram Al-Nadawi (penyelidik di Universiti Oxford) menyampaikan syarahan di bawah tajuk Sumbangan Wanita Dalam Ilmu Hadith dalam sesi Kuliah Ramadhan di istana Raja Morocco, DYMM Raja Muhammad VI pada 11 Ramadhan 1437H bersamaan 17 Jun 2016.

Segala puji bagi Allah Rabbil’alamin. Selawat dan salam ke atas PesuruhNya Muhammad, keluarga serta sahabat-sahabat baginda seluruhnya.
Tuanku Amir al-Mukminin
As-Salamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya merafakkan ucapan terima kasih kepada Tuanku kerana menjemput saya mengambil bahagian di dalam pengajian ini. Ia merupakan hidangan ilmu yang mantap lagi utuh, yang dapat dikecapi oleh umat Islam di timur dan di barat. Moga-moga Allah jadikan pahalanya memenuhi timbangan kebaikan Tuanku in syaa Allah.
Saya juga berterima kasih kepada Tuanku kerana memberikan penghormatan kepada saya untuk menyampaikan kuliah ini. Mudah-mudahan terdapat di dalamnya perkara yang diredhai Allah dan bermanfaat kepada orang-orang yang beriman.
Tuanku Amir al-Mukminin
Sesungguhnya hadis Rasulullah s.a.w. merupakan sumber kedua selepas al-Quranul Karim bagi hukum-hukum Islam, petunjuknya dan akhlaknya dalam semua bidang. Al-Quran sampai kepada kita dengan jaminan peliharaan Allah daripada segala pengubahan atau pemindaan. Manakala hadis pula menuntut umat Islam supaya mempastikan kebenaran riwayatnya dan sanad-sanadnya. Untuk tujuan itu mereka telah menginovasikan satu ilmu baru yang hebat dengan disiplinnya sendiri. Biasanya para muhaddithin terkenal daripada kalangan lelaki khususnya. Oleh kerana wanita juga memainkan peranan yang sangat penting dalam hal ini, maka Allah mengilhamkan saya untuk memberi perhatian yang serius kepada periwayat hadis daripada kalangan wanita. Allah anugerahkan saya peluang untuk meneliti kitab-kitab hadis, profil para periwayat, biografi dan sejarah mereka. Saya dapat mengutip senarai nama wanita yang diberkati. Alhamdulillah saya dapat menghimpunkan biografi lebih daripada 100,000 wanita di dalam lebih daripada 40 jilid buku. Saya namakan buku itu ( الوفاء في أسماء النساء: تراجم نساء الحديث النبوي)
Inilah kajian yang akan saya lontarkan idea tentangnya di dalam pengajian ini sebagai satu sumbangan untuk kebenaran, pengiktirafan kepada wanita serta mengangkat kedudukan agama yang suci ini.
Para wanita menerima hadis, lantas menjaganya dan meriwayatkannya dengan tekun dan teliti ketika belajar dan mengajar. Mereka memahami kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan mereka dan masyarakat mereka. Ulamak tidak pernah membezakan status di antara lelaki dan wanita di dalam ilmu hadis, fiqh dan sebagainya. Imam Al-Syaukani berkata: “Tidak pernah diriwayatkan daripada mana-mana ulamak pun yang menolak sesuatu riwayat daripada seorang perempuan kerana dia perempuan. Berapa banyak sunnah yang diterima seluruh ummah yang diriwayatkan oleh seorang perempuan daripada kalangan sahabiah r.a. Hal ini tidak dibantah oleh seorang pun yang mempunyai asas dalam ilmu sunnah. Bahkan ramai daripada kalangan lelaki yang dikenali berbohong atau disyaki berbohong tentang hadis. Tetapi wanita berbeza dengan lelaki dalam hal ini. Imam dalam ilmu al-Jarh wa al-Ta’dil (ilmu kritikan sanad hadis), al-Hafidz Syamsuddin al-Dzahabi berkata: Aku tidak pernah tahu seorang pun daripada kalangan wanita yang meriwayatkan hadis ditohmah berbohong atau tidak diambil riwayat daripadanya.
MEREKA MENGHAFAL HADIS DI DALAM HATI MEREKA
Wanita menghafal hadis Rasulullah s.a.w. sebagaimana lelaki menghafalnya. Isteri-isteri baginda s.a.w. dan para sahabiat mengajar hadis-hadis yang mereka hafal di dalam hati mereka. Mereka terdiri daripada kalangan yang banyak meriwayatkan. Hadis-hadis yang disandarkan kepada Aisyah r.a. mencecah 2,210 hadis. Ia termasuk hadis-hadis yang panjang. Fatimah binti Qais r.a. menghafal hadis tentang Tamim al-Dari yang panjang berkaitan al-Jassasah (hadis ini dikeluarkan Imam Muslim, Ahamd, Abu Dawud dan Ibn Majah berkaitan Dajjal yang menjelma sebagai satu makhluk di sebuah pulau dan memperkenalkan dirinya sebagai al-Jassasah - penterjemah). Beliau mendengar sekali sahaja daripada perkataan Nabi s.a.w. kemudian beliau meriwayatkannya berkali-kali kepada murid-muridnya. Imam al-Tabrani pula menyebutkan beberapa hadis yang panjang yang diriwayatkan oleh wanita.
Panutan para Tabi’in Sa’id bin al-Musayyib, yang merupakan antara manusia yang paling alim tentang hadis Nabi s.a.w., puterinya mengambil semua hadis daripadanya dengan cara menghafal di dalam hati. Abu Bakar bin Abi Daud berkata: “Puteri Sa’id telah dipinang oleh Khalifah Abdul Malik untuk dijodohkan dengan anaknya al-Walid. Namun Sa’id enggan menerimanya. Tetapi beliau mengahwinkannya dengan muridnya. Muridnya itu menceritakan: “Pertama kali aku masuk ke kamarnya, aku dapati dia seorang wanita yang paling cantik daripada kalangan manusia, paling hafal Kitab Allah Ta’ala, paling alim dengan sunnah Rasulullah s.a.w., dan paling mengerti tentang hak-hak suami”.
Abu Nu’aim meriwayatkan: Pada suatu pagi suaminya mengambil serban hendak keluar, beliau memegang serban suaminya seraya bertanya: “Abang hendak ke mana?” Suaminya menjawab: “Ke majlis Sa’id untuk menuntut ilmu.” Isterinya berkata: “Sila duduk! Aku ajarkan kepadamu ilmu Sa’id.”
Begitu juga puteri Imam Malik. Beliau mengambil hadis daripada ayahnya. Sehingga beliau menghafal kitab al-Muwatto’ di dalam hatinya. Al-Muwatto’ adalah kitab yang menggabungkan Hadis dan Fiqh yang terbaik pada waktu itu. Al-Zubair berkata: “Malik mempunyai seorang puteri yang menghafal ilmunya, iaitu al-Muwatto’. puterinya duduk di belakang pintu. Apabila seseorang membacanya salah, beliau mengetuk pintu. Malik memahaminya, lalu membetulkan kesalahan yang dibaca oleh pembaca itu.”
Al-Hafidz al-Sakhawi berkata di dalam biografi Aisyah binti al-’Alaa Abi al-Hasan al-Kinani al-Qahiriah al-Hanbaliah yang wafat pada tahun 840H: “Dia menghafal kitab Sirah Nabawiah. Dia mengingati hampir semua peristiwa dengan selengkapnya. Beliau mengingat kebanyakan hadis al-Ghilaniyyat (hadis daripada kitab al-Fawa-id al-Muntakhabah al-‘Awali ‘an al-Syuyukh oleh Abu Bakr Muhammad bin Ibrahim al-Syafi’e al-Bazzaz yang wafat pada 354H / 965M, terkenal dengan nama al-Ghilaniyyat dalam Perpustakaan Brirtish, Dar al-Kutub dan Perpustakaan al-Haram di Makkah, kerana murid terakhir yang meriwayatkan daripada penulisnya bernama Abu Tolib Muhammad bin Muhammad bin Ibrahim bin Ghilan - penterjemah) dan hadis-hadis lain. Beliau juga menghafal syair-syair khususnya antoloji al-Bahaa’ Zuhair. Beliau sangat cepat mengingat. Al-Buqa’ei juga berkata tentangnya: “Beliau menghafal banyak syair. Beliau mengingati hampir semua antoloji al-Bahaa’ Zuhair, Masori’ al-‘Usysyaq, Sirah Nabawiah karangan Ibn al-Furat, dan Salwan al-Muto’ tulisan Ibn Zofar. Kebanyakannya beliau hafal dan mengingatinya.
PARA WANITA MENULIS HADIS
Di samping mereka menghafal hadis di dalam hati, mereka juga mencatat dengan rapi di dalam penulisan. Antara wanita yang terkenal dengan penulisan di zaman Nabi s.a.w. ialah Al-Syifaa’ binti Abdullah r.a. seorang wanita Quraisy daripada qabilah Bani ‘Adi yang berhijrah. Daripadanya Ummul-Mukminin Hafsah belajar menulis dengan keizinan Rasulullah s.a.w.
Ibn ‘Abd al-Barr berkata: “Al-Syifaa’ merupakan antara wanita yang paling bijak dan paling unggul. Rasulullah s.a.w. menziarahinya dan berqailulah (tidur seketika sebelum Zohor) di rumahnya. Beliau menyediakan dan menyimpan hamparan untuk baginda s.a.w. beristirehat itu dan mewariskannya selepas itu kepada anaknya sehinggalah ia diserahkan kepada Khalifah Marwan bin al-Hakam.
Rasulullah s.a.w. berkata kepadanya: “Ajarilah Hafsah ruqyah namlah (cara berubat dengan semut yang menjadi kepakaran al-Syifaa sejak zaman jahiliyah – penterjemah) sebagaimana engkau mengajarnya menulis!”
Demikianlah kebanyakan Ummahatul Mukminin seperti Aisyah, Ummu Salamah dan kebanyakan sahabiat pandai menulis.
Adapun wanita selepas mereka daripada kalangan para Tabi’iyyat, Imam al-Bukhari mengeluarkan di dalam kitab “al-Adab al-Mufrad” dengan sanad yang sahih daripada Musa bin Abdullah, dia berkata: “Aisyah binti Talhah (beliau adalah anak saudara Aisyah binti Abu Bakar r.a.) berkata: Aku berkata kepada Aisyah r.a. ketika aku berada di bawah jagaannya, orang ramai datang kepadanya dari segenap pelusuk bandar. Para sheikh mengerumuni aku kerana aku rapat dengannya. Para pemuda juga berkawan denganku dan memberiku hadiah. Dan Mereka menulis kepadaku dari bandar-bandar lain. Lalu aku berkata kepada Aishah: "Wahai makcik. Ini tulisan fulan dan hadiahnya." Lalu Aishah berkata kepadaku. "Wahai anakku, jawablah dia dan balaslah. Jika kamu tidak mempunyai balasan, aku akan berikan kepada kamu, lalu kamu kongsikan kepadaku."
Aktiviti penulisan dalam kalangan wanita telah berkembang dengan meluas sejak kurun pertama. Biografi-biografi para wanita mengukuhkan bahawa mereka sangat bersungguh-sungguh dalam pembelajaran menulis. Bahkan mereka sangat cemerlang sejak zaman kanak-kanak, sehingga dalam kalangan hamba-hamba perempuan, mereka maju ke depan dalam bidang penulisan. Wanita-wanita yang belajar menulis mencapai bilangan ribuan. Mereka mampu menulis dengan tepat dan sangat mahir.
Seorang syaikhah yang sangat alim musnidah (yang empunya kitab musnad), Ummu al-Kiram Karimah binti Ahmad bin Muhammad bin Hatim al-Mirwaziah yang tinggal berjiran dengan al-Masjid al-Haram, wafat tahun 465H, yang disebutkan al-Dzahabi tentang biodatanya: “Apabila beliau meriwayatkan, beliau akan padankan dengan yang asal. Beliau memiliki kefahaman dan pengetahuan di samping kebaikan peribadi dan ibadatnya.
Al-Sofadi berkata: “Beliau mencatat kitabnya dengan sangat teliti.
Abu al-Ghanaem al-Nursi berkata: “Karimah mengeluarkan kepada saya salinan tulisan hadis Sahih (al-Bukhari). Saya duduk di hadapannya, menulis tujuh halaman kertas dan menyemak di hadapannya. Saya pernah cuba hendak membaca seorang diri. Lalu beliau berkata: “Tidak boleh. Sehingga kamu mengemukakannya terlebih dahulu kepadaku”. Maka saya membuat semakan di hadapannya.
Seorang wanita lagi bernama Ummu Muhammad Zainab binti Muzaffar bin Ahmad bin Abi al-Barakat al-Harawi. Beliau adalah ibu kepada Ahmad dan Muhammad bin Abdullah bin Ahmad bin Muhammad bin Ibrahim al-Maqdisi. Beliau wafat pada tahun 796H. Beliau belajar daripada al-Yaldani, Khatib Mirda, Daud Khatib Baitil-Abbar dan sekumpulan ulama lain. Beliau mendapat ijazah daripada al-Sibt ibn al-Jawzi. Beliau menulis dan menyemak Sahih al-Bukhari bersama suaminya.
Ibn Kathir menulis tentang biografi al-Hafidz Ilmuddin al-Barzali, katanya: Puterinya Fatimah (wafat tahun 731H) menyalin hadis al-Bukhari sebanyak 13 jilid. Maka beliau (‘Ilmuddin) menyemak untuknya. Beliau membaca tulisan itu di hadapan al-Hafidz al-Mizzi di bawah kubah (Dome of Rock di Palestin - penterjemah) sehingga tulisan itu menjadi naskhah asli, di mana orang lain menyalin daripadanya.

IMAM-IMAM MENGAMBIL DARIPADA PARA WANITA
Cukuplah menjadi satu kebanggaan bagi wanita apabila tokoh-tokoh sahabat Nabi s.a.w. yang besar, kemudian tokoh-tokoh imam dan fuqahak sepanjang zaman mengambil hadis dan ilmu daripada mereka. Sesetengah daripada kalangan ulamak itu sangat banyak mengambil ilmu daripada para wanita. Dalam biografi Muslim bin Ibrahim, seorang imam hafidz yang thiqqah (terpercaya), guru musnid di kota al-Basrah Abi Amru al-Azdi al-Farahidi (wafat tahun 222H) disebut bahawa beliau meriwayat daripada 70 orang wanita. Demikian juga diriwayatkan daripada Hisyam bin Abdul Malik, imam hafidz yang kritis Syaikhul-Islam Abi al-Walid al-Toyalisi (wafat tahun 227H) bahawa beliau meriwayatkan daripada 70 orang wanita.
Al-Hafidz Ibn Asakir (wafat tahun 571H) meriwayatkan daripada lebih daripada 80 orang wanita. Beliau menulis daftar senarai yang khusus untuk wanita-wanita itu. Abu Sa’ad al-Sam’ani (wafat tahun 562H) yang hidup sezaman dengannya dan juga rakannya menulis biografi 60 orang wanita periwayat hadis.
Al-Hafidz Abu Tohir al-Salafi (wafat tahun 576H) meriwayatkan daripada puluhan wanita.
Antara tokoh yang meriwayatkan daripada wanita ialah Imam Ibn Taimiah (wafat tahun 728H) dan beliau meriwayatkan daripada sebahagian mereka di dalam kitab Hadis 40 yang ditulisnya.
Al-Hafidz Abu al-Hajjaj al-Mizzi (wafat tahun 742H) mengeluarkan hadis daripada sebahagian mereka (wanita) di dalam kitab Tahzib al-Kamal.
Imam al-Dzahabi (wafat tahun 748H) mengeluarkan daripada sebahagian mereka di dalam kitab-kitabnya “Mu’jam al-Syuyukh”, “Tarikh al-Islam” dan “Siar A’lam al-Nubalaa’”.
Al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat tahun 852H) menyebut tentang mereka (perawi wanita) di dalam “Mu’jam”nya. Beliau juga menulis biografi mereka di dalam kitab “Al-Durar al-Kaminah” dan “Inba’ al-Ghumar”.
Najmuddin ibn Fahd (wafat tahun 885H) menulis biografi mereka di dalam “Mu’jam”nya.
Al-Hafidz Syamsuddin al-Sakhawi (wafat tahun 902H) menulis biografi mereka di dalam (Al-Dhau’ul-Lami’).( الضوء اللامع )
Al-Hafidz Jalaluddin al-Suyuti (wafat tahun 911H) menulis biografi mereka di dalam “Mu’jam”nya dan kitab-kitab karangannya yang lain serta mengeluarkan hadis-hadis daripada mereka.
Kisah yang paling banyak berguru dengan wanita ialah apa yang disebut oleh al-Dzahabi dalam biografi Imam Hafidz Abi Abdullah Muhammad bin Mahmud bin al-Najjar (lahir tahun 578H dan wafat tahun 643H): Ibn al-Sa’ati berkata: Guru-gurunya merangkumi 3000 orang. 400 daripadanya adalah wanita.
SUAMI-SUAMI MERIWAYATKAN DARIPADA ISTERI-ISTERI
Ketinggian ilmu para wanita ini sampai ke tahap suami-suami mereka berguru dengan mereka dan meriwayatkan hadis-hadis daripada mereka serta merujuk kepada mereka dalam menyelesaikan permasalahan ilmu yang sukar dan hukum-hukum fiqh yang rumit.
Sebagai contoh, Fatimah binti al-Munzir bin al-Zubair bin al-Awwam adalah antara ahli hadis wanita dan faqih atau ahli feqah wanita di zaman tabi’in. Beliau telah meriwayatkan ilmu dan hadis-hadis yang amat banyak, khususnya daripada nenek beliau Asmaa’ binti Abu Bakar r.a. Ramai daripada kalangan imam-imam meriwayatkan daripada Fatimah seperti Muhammad bin Ishaq pengarang kita Al-Maghazi dan kebanyakan riwayat daripadanya adalah melalui suaminya Hisyam bin Urwah seorang Tabi’i yang hebat (yang juga sepupunya - penterjemah), guru kepada ramai imam seperti Abu Hanifah, Malik, Syu’bah, Sufyan al-Thauri, Sufyan bin Uyainah dan ramai lagi.
Selain itu, Fatimah binti Muhammad bin Ahmad bin Abi Ahmad al-Samarqandi pengarang kitab Al-Tuhfah. Beliau adalah isteri kepada Imam Abu Bakar bin Mas’ud al-Kasani pengarang kitab بدائع الصنائع في ترتيب الشرائع seorang yang sangat alim dan unggul. Ketika memperkenalkan beliau, Ibn al-‘Adim berkata: Ayahku menceritakan bahawa Fatimah menaqalkan (fatwa) mazhab (Hanafi) dengan naqal yang teliti. Suaminya al-Kasani kadang-kadang tersasul dalam memberi fatwa, lalu beliau membetulkannya dan menyatakan di manakah sudut yang tidak betul. Lantas suaminya membetulkan fatwanya mengikut apa yang ditegur oleh Fatimah.
RIWAYAT-RIWAYAT MEREKA YANG MELIMPAH RUAH
Saya telah menulis biografi dalam kitab saya hampir 2000 nama sahabiat. Bilangan sahabiat yang disusun hadis-hadis mereka di dalam Kutub Sittah (enam kitab induk hadis) adalah 130 sahabiat. Sebahgian daripada mereka hanya meriwayatkan satu hadis sahaja. Sebahagian daripada mereka pula meriwayatkan ratusan hadis.
Al-Bukhari mengeluarkan daripada 31 orang sahabiat di dalam kitab (Jami’ al-Sahih) beliau.
Muslim mengeluarkan daripada 36 orang sahabiat di dalam kitab (Jami’ al-Sahih) beliau.
Abu Daud mengeluarkan daripada 75 orang sahabiat di dalam kitab (Sunan) beliau.
Al-Tirmizi mengeluarkan daripada 46 orang sahabiat di dalam kitab (Jami’) beliau.
Al-Nasaei mengeluarkan daripada 65 orang sahabiat di dalam kitab (Al-Mujtaba) beliau.
Ibn Majah mengeluarkan daripada 60 orang sahabiat di dalam kitab (Sunan) beliau.
Bilangan Tabi’iyyat dan bilangan wanita di kurun kedua mencapai 1200 orang lebih kurang. 103 orang daripada mereka itu mendapat kedudukan penting di dalam Kutub Sittah.
Kalau dihitungkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh wanita dalam Kutub Sittah ia mencecah 2764 hadis. 2537 daripadanya adalah hadis yang diriwayatkan daripada sahabiat. 225 daripadanya adalah riwayat para wanita generasi selepas Sahabiat iaitu Tabi’iyyat.
Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh wanita di dalam Kutub Sittah berbagai-bagai tema sebagaimana kepelbagaian tema yang diriwayatkan oleh kaum lelaki. Kandungan itu termasuk aqidah, ibadah, muamalah, ahwal syakhsiah (hal ehwal kekeluargaan), kepimpinan, jihad, amalan-amalan sunat, adab dan lain-lain. Sebahagiannya dikeluarkan oleh pengarang Kutub Sittah dan sebahagiannya mereka tidak mengeluarkannya.
Tetapi ia dikeluarkan oleh pengarang kitab-kitab hadis yang lain. Sebahagian hadis-hadis itu dinaqalkan oleh wanita sama dengan apa yang dinaqalkan oleh lelaki. Sebahagiannya dinaqalkan oleh wanita sahaja. Hadis-hadis yang dinaqalkan oleh wanita secara bersendirian menjadi rujukan di dalam pendalilan hukum fiqh dan menjadi asas pembinaan qawaed fiqhiah (kaedah-kaedah feqah) dan usul-fiqh. Di sana banyak hukum yang diputuskan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh seorang wanita. Dan banyak sunnah yang menjadi ikutan daripada hadis yang diriwayatkan oleh seorang wanita.
Antara hadis yang tidak diketahui kecuali diriwayatkan oleh wanita ialah hadis yang diriwayatkan oleh Barirah. Ia merupakan hadis tonggak di dalam babnya. Daripada hadis itu fuqahak mengeluarkan hukum-hakam yang banyak. Ibn Khuzaimah dan lain-lain berbicara tentang faedah/pengajaran yang sangat banyak dapat dipetik daripada hadis itu. Syaikh mazhab Maliki Abu al-Husain Ibn Razqun menulis satu kitab berjudul (Fiqh Hadis Barirah). Al-Hafidz Ibn Hajar berkata: Sesungguhnya sekumpulan ulamak mengumpulkan beberapa faedah / pengajaran daripada hadis ini. Beliau mengatakan ia lebih daripada 300 faedah yang beliau meringkaskannya di dalam kitab (Fathul-Bari)
Di antara hadis yang diriwayatkan oleh wanita secara bersendirian, yakni tanpa seorang pun lelaki meriwayatkannya ialah hadis Sabi’ah al-Aslamiah tentang iddah wanita hamil yang kematian suami. Para fuqahak daripada kalangan sahabat Nabi s.a.w. kemudian fuqahak daripada kalangan tabi’in selepas mereka merujuk kepada hadis beliau setiap kali timbul khilaf antara mereka sehingga ulama sepakat memberi fatwa berdasarkan kandungan hadis tersebut.
Sulaiman bin Yasar meriwayatkan bahawa Abu Salamah bin Abdul Rahman dan Ibn Abbas r.a. berkumpul di rumah Abu Hurairah r.a. Kedua-duanya menyebut tentang wanita yang bersalin selepas kematian suaminya beberapa malam sahaja. Maka Ibn Abbas r.a. berkata: “Iddahnya yang paling akhir daripada dua iddah” Abu Salamah berkata: “Sesungguhnya dia telah halal (telah habis iddahnya)”
Maka kedua-duanya bertelagah tentang hal itu.
Sulaiman berkata: “Maka Abu Hurairah pun mencelah: Aku sependapat dengan anak saudaraku, iaitu Abu Salamah.”
Maka mereka menghantar Kurayb, pembantu Ibn Abbas ke rumah Ummu Salamah bertanya tentang hal itu.
Kurayb kembali dan memberitahu mereka bahawa Ummu Salamah berkata: “Sesungguhnya Sabi’ah al-Aslamiah melahirkan anak selepas suaminya wafat beberapa malam sahaja. Dan beliau telah menyebutnya kepada Rasulullah s.a.w. hal itu. Maka baginda s.a.w. menyuruhnya berkahwin”.
Diriwayatkan daripada Daud bin Abi Hind daripada al-Sya’bi, daripada Masruq dan ‘Amru bin Utbah bahawa mereka berdua (Masruq dan Amru) menulis surat kepada Sabi’ah binti al-Harith bertanya tentang halnya. Maka Sabi’ah menulis kepada mereka berdua menyatakan bahawa beliau telah bersalin selepas kewafatan suaminya 15 hari. Maka beliau pun berhias mengharapkan kebaikan. Abu al-Sanabil bin Ba’kak bertemu dengan beliau dan menegur beliau: “Engkau terlalu gopoh. Beriddahlah sehingga akhir dua tempoh, iaitu empat bulan sepuluh hari.” Maka beliau datang bertemu Rasulullah s.a.w. Beliau mengadu kepada baginda: “Ya Rasulullah, mohonlah ampun untukku.”
Baginda bertanya: “Tentang apa?”
Sabi’ah memberitahu baginda apa yang telah berlaku antara beliau dengan Abu al-Sanabil.
Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sekiranya engkau menemui seorang yang boleh menjadi suami yang soleh, maka berkahwinlah!”
Imam al-Tirmizi berkata: “Majoriti ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dan lain-lain beramal dengan hadis ini, bahawa wanita hamil yang kematian suami, tamat iddahnya dengan melahirkan kandungannya walaupun belum cukup iddah wafat.” Ini juga merupakan pandangan Sufyan al-Thauri, al-Syafie, Ahmad dan Ishaq.
Sebahagian ahli ilmu dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. dan lain-lain berpendapat iddahnya adalah yang paling lama daripada dua iddah. Dan pendapat pertama lebih sahih. Imam al-Nawawi berkata: “majoriti ulamak dari kalangan salaf dan khalaf berpegang dengan pandangan ini.
Para wanita juga meriwayatkan pelbagai kompilasi hadis yang merangkumi Sunan (susunan mengikut bab), Musnad (susunan mengikut nama periwayat teratas iaitu Sahabah r.a.), Mu’jam (susunan mengikut nama Sahabah atau nama guru penyusun), Himpunan 40, Juzuk (susunan mengikut potongan hadis), Musalsalat (susunan mengikut sifat riwayat atau periwayat). Di antara kisah yang menarik dalam periwayatan hadis Musalsalat ialah seperti apa yang diceritakan oleh Syaikh Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki bahawa Syaikh Muhammad Yasin bin al-Fadani mendengar banyak Musalsalat daripada Syaikhah Musnidah Amatullah binti Abdullah al-Ghani al-Dahlawi yang wafat di Madinah Munawwarah tahun 1357H dengan membawa amalan soleh dalam bentuk perkataan dan perbuatan.
Maka beliau (Syaikh Muhammad bin ‘Alawi) menyebutkan kepadaku kisah yang menarik bahawa beliau (Syaikhah Musnidah Amatullah) telah berumur. Beliau meriwayatkan kepada mereka hadis musalsal dengan menggenggam janggutnya dan setiap orang yang meriwayatkan hadis dalam keadaan menggenggam janggutnya. Beliau berkata: “Ayahku membacakan hadis kepadaku dalam keadaan beliau menggenggam janggutnya”. Apabila beliau meriwayatkan hadis, beliau juga akan menggenggam tempat tumbuhnya janggut bagi orang lelaki sehingga tamat periwayatan hadis musalsal itu.
MAJLIS-MAJLIS UNTUK MEREKA MERIWAYAT DAN MENGAJAR
Para wanita mengadakan majlis-majlis untuk meriwayat hadis di rumah mereka dan di rumah wanita lain, termasuk di masjid-masjid, sekolah-sekolah, tempat-tempat lain termasuk taman-taman dan tempat-tempat yang mudah bagi mereka. Dan Kita tidak pernah melihat seorang pun daripada kalangan sahabat Nabi s.a.w. dan para fuqahak dan muhaddithin selepas mereka mengatakan hal itu sesuatu yang tidak betul, Atau cuba menghalang atau menyekat aktiviti tersebut.
Majlis-majlis mereka dihadiri oleh fuqahak dan ulamak yang ternama. Saya sebutkan secara ringkas di sini sebagai contoh pengajaran mereka di tiga buah masjid.
Ummu Ahmad Sarah binti Abdul Rahman bin Ahmad bin Abdul Malik bin Uthman bin Abdullah bin Sa’ad bin Muflih bin Hibatullah bin ‘Amru al-Maqdisiah. Al-Hafidz al-Barzali berkata tentang beliau: Saya telah membaca di hadapannya di jalan Hijaz di Lujun iaitu di daerah al-Kark dan di Hijir Ismail.
Seorang penulis yang solehah Syaikhah Musnidah Ummu al-Khair dan Ummu Muhammad Fatimah binti Ibrahim bin Mahmud bin Jauhar al-Ba’labakki yang terkenal dengan nama al-Batoihi (wafat pada tahun 711H) dicatatkan oleh Al-Dzahabi bahawa beliau mendengar Sahih al-Bukhari daripada Ibn al-Zubaidi, Sahih Muslim daripada Abi al-Thanaa’ Mahmud bin al-Husoiri, Syaikh mazhab Hanafi. Beliau adalah guru hadis yang terakhir wafat daripada kalangan ulama sezamannya. Beliau juga mendengar hadis daripada Abi al-Qasim bin Rawwahah. Umurnya panjang. Beliau sempat meriwayatkan daripada ramai ulamak. Beliau mengajar hadis di Masjid Nabawi Syarif. Ibn Rasyid al-Sabti berkata: “Beliau datang bersama rombongan dari Syam untuk ziarah dan menunaikan haji. Saya bertemu dengannya di Masjid Nabi s.a.w. Ramai yang membaca di hadapannya sedang beliau bersandar di satu sudut Raudhah Nabi s.a.w. yang mulia
Syaikhah yang alim Zainab binti Najmuddin Ismail bin Ahmad bin Umar bin Syaikh Abi Umar al-Maqdisiah yang merupakan isteri kepada ketua hakim Syaikh Naqiuddin Sulaiman bin Hamzah mengajar hadis dalam perjalanannya menunaikan haji dan di Masjid Nabawi berhadapan dengan maqam Nabi s.a.w. yang dimuliakan.
Al-Hafidz Khalil bin Kikildi al-‘Alaei mentasmi’ (memperdengarkan hafalan hadis untuk pengesahan) kepadanya di al-Ula sebahagian daripada kitab Amali karangan Abi Ishaq al-Hasyimi ketika keduanya dalam perjalanan menunaikan haji. Al-Hafidz Khalil mengeluarkan hadis daripada riwayat Syaikhah Zainab dalam kitabnya Bughyah al-Multamis dan dalam Tusa’iyat Hadis Malik bin Anas. Beliau mentasmi’ kepada Syaikhah Zainab semua hadis Ibn Syazan pada hari Jumaat 24 ZulQaedah tahun 720H di Masjid Rasul s.a.w. yang mulia berhadapan dengan maqam baginda s.a.w.
Di antara wanita yang mengajar di Masjid Nabi s.a.w. Syaikhah Ummu Muhammad Zainab binti Ahmad bin Umar bin Abu Bakar bin Syukr al-Maqdisiah. Para pelajar membaca di hadapannya satu juzuk daripada kitab Amali Abi Bakar Muhammad bin Sulaiman bin al-Harith al-Baghandi al-Wasiti pada bulan ZulQaedah tahun 715H di Masjid Nabi s.a.w. yang mulia berhadapan dengan maqam baginda.
Begitu juga para wanita mengajar di Masjid al-Aqsa. Antaranya tabi’iah yang hebat Ummu Dardaa’ rahimahallah, Syaikhah yang solehah yang lanjut usianya Ummu Muhammad Hadiyah binti Ali bin Askar al-Baghdadi daripada kalangan wanita kurun ke 8 Hijri.
Al-Hafidz al-‘Alani menadah 10 juzuk yang dikeluarkan daripada hadis Abi Abdullah al-Qasim bin al-Fadhl bin Ahmad bin Ahmad bin Mahmud al-Thaqafi dengan Ummu Muhammad Zainab binti Ahmad bin Umar bin Syukr di Masjid al-Aqsa.
Saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan kata-kata al-Dzahabi dalam biografi syaikhah yang alim, faqih, zuhud, taat, ketua wanita pada zamannya, yang juga pendakwah Ummu Zainab Fatimah binti Abbas al-Baghdadiah yang wafat pada tahun 714H. Beliau berkata: “Sangat ramai wanita yang mendapat manfaat daripada beliau, dan bertaubat. Beliau mempunyai ilmu yang melimpah ruah, berasa cukup dengan sedikit, sangat mengambil berat dalam memberi peringatan dan memberi manfaat kepada ramai orang, ikhlas dan takut kepada Allah serta menyuruh yang ma’ruf. Ramai wanita Damsyiq, dan Mesir menjadi baik dengan sebabnya. Beliau sangat mudah diterima, menyentuh jiwa.”
Al-Dzahabi berkata lagi: “Aku telah menziarahinya lantas aku sangat kagum dengan keperibadian dan sifat rendah dirinya. Beliau memahami fiqh dengan baik. Syaikh Taqiuddin kagum dengan ilmunya dan kepintarannya dan banyak memujinya. Kemudian selepas tahun 700H beliau berpindah ke Mesir. Nama baiknya tersebar meluas. Ramai wanita Qahirah mendapat manfaat dengannya.
Ibn Kathir berkata: Beliau yang mengajar al-Quran kepada ramai wanita sehingga khatam. Antaranya ibu mertuaku, Aisyah binti Siddiq, isteri kepada Syaikh Jamaluddin al-Mizzi. Dialah juga yang mengajar anak perempuan Aisyah binti Siddiq itu iaitu isteriku Amaturrahim Zainab. Semoga Allah merahmati mereka dan memuliakan mereka dengan rahmatNya dan syurganya, Aamiin.
Ibn Kathir berkata lagi: “Beliau adalah daripada kalangan wanita yang alim, mempunyai kelebihan, menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar. Beliau menentang gerakan tariqat al-Ahmadiyah yang menghalalkan percampuran dengan wanita dan budak-budak lelaki muda dengan melawan pegangan mereka dan pegangan ahli bid’ah yang lain. Beliau melakukan tindakan yang tidak mampu dilakukan oleh kaum lelaki.
Ibn Kathir berkata lagi: “Sesungguhnya aku mendengar Syaikh Taqiuddin Ibn Taimiah memujinya dan menyifatkannya sebagai wanita yang mempunyai kelebihan dan ilmu pengetahuan. Beliau menyebut bahawa Ummu Zainab ini selalu membuat persediaan mengulangkaji kitab al-Mughni (oleh Ibnu Qudamah) atau kitab lain yang lebih daripada itu. Syaikh Taqiuddin bin Taimiyah sentiasa membuat persediaan untuk belajar dengannya kerana banyaknya isu yang dikemukakan, soalan-soalannya yang bagus dan kepantasannya dalam memahami sesuatu persoalan itu.
Tuanku Amir al-Mu’minin
Sentuhan secara sepintas lalu tentang dunia wanita muhaddithat yang kita sebut sebahagian daripada sudut-sudutnya yang luas, menunjukkan dengan nyata kedudukan wanita dalam kalangan umat Islam. Ia adalah satu kedudukan yang cemerlang dan bergemerlapan mungkin tidak memerlukan dalil yang lain untuk mempertahankannya. Ini kerana membawa ilmu hadis Nabi yang mulia, dan memikul amanah menjaganya bukan satu masalah yang berlegar dalam batasan ilmu semata-mata, bahkan ia merupakan satu perkara yang amat besar, satu tanggungjawab yang amat berat. Kita telah melihat wanita memainkan peranannya di situ sebagaimana lelaki. Sesungguhnya wanita memiliki ciri-ciri istimewa yang tidak dimiliki oleh sesetengah lelaki. Mereka mempunyai kelebihan dari segi sifat benar yang sempurna, jauh dari mereka-reka / merekayasa hadis dan berdusta yang berlaku dalam kalangan sebilangan kaum lelaki. Itu pun sudah mencukupi sebagai suatu kedudukan yang tinggi lagi membanggakan. Kemudian dalam memainkan peranan yang berat mereka tidak melakukannya dari sebalik tabir atau dari belakang tembok. Bahkan dengan menglibatan yang praktikal dalam kancah kehidupan yang terlaksana dengan cara belajar dan menyampaikan, lebih-lebih lagi dengan mengambil bahagian dalam mengajar di kebanyakan pentas dengan mendapat pengiktirafan dan dikagumi ramai. Begitu juga di masjid-masjid yang merupakan tempat yang sangat dihormati dalam kalangan muslimin. Semua itu berlaku dalam batasan akhlak, ilmu, ketepatan dan penuh amanah.
Kita telah mengemukakan contoh-contoh pengiktirafan tokoh-tokoh besar daripada kalangan ulamak lelaki tentang sumbangan mereka ini, pengiktirafan yang bebas daripada fikiran atau pandangan negatif sebagaimana yang dimomokkan tentang wanita kini, hatta dalam kalangan umat Islam sendiri.
Pada zaman sekarang pula, khususnya di negeri Tuanku ini, kaum wanita memenuhi peluang-peluang untuk meneladani wanita-wanita solehah muhaddithat yang telah mendahului mereka sepanjang sejarah. Ini tidak menghairankan kerana pihak kerajaan Maghribi memberikan perhatian yang sangat serius terhadap hadis dan meletakkan urusannya di bawah keluarga diraja yang mulia.
Di antara perkara yang menampakkan keistimewaan kerajaan dalam mengambil berat tentang hal ini ialah mengatur majlis-majlis berkaitan dengan hadis di dalam bulan Ramadhan di hadapan raja-raja sejak dahulu.
Daripadanya suburlah pokok pengajian yang baik lagi diberkati ini. Dari situ kita lihat di Darul Hadis al-Hasaniah pelajar-pelajar wanita berbondong-bondong datang untuk mempelajari ilmu hadis dan membuat takhassus tentangnya.
Antaranya juga titah Tuanku supaya diadakan hadiah tahunan kepada ahli hadis, sebagai anugerah khas di atas nama Tuanku sendiri.
Antara penerima hadiah itu dalam tempoh tiga tahun yang lalu ialah muhaddithah Puan Bahiyah al-Qutubi yang meninggal dunia pada tahun ini. Kami berpeluang mendengar dan mendapat ijazah daripadanya alhamdulillah. Maka jazakumullah khayran wahai Tuanku atas khidmat kepada Islam serta segala sumbangan yang telah Tuanku curahkan .


Jazakumullah Ustaz Muhammad Thufail Sayuti yang menemukan saya dengan sumber ini dan Ustaz Ali Muda yang membantu saya menyemak fakta dan membetulkan terjemahan.

Tuesday, February 16, 2021

INILAH ISLAM YANG RAHMAH


Muhammad bin Sirin menceritakan bahawa seorang wanita datang mengadu kepada Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. 

“Sesungguhnya suamiku berpuasa setiap hari dan qiam sepanjang malam” kata wanita itu.

“Apa yang puan mahu? Adakah puan mahu dia berhenti dari berpuasa dan solat malam?” tanya Umar.


Wanita itu tidak meneruskan bicaranya. Dia pulang dengan hampa. 

Kemudian dia datang lagi kali ke dua. Hasilnya sama.


Dia datang lagi kali ke tiga. Ketika itu Ka’ab bin Sur ada di sisi Umar r.a.

“Sesungguhnya suamiku berpuasa setiap hari dan qiam sepanjang malam” kata wanita itu.

Ka’ab menyatakan pandangannya kepada Umar bahawa wanita itu sebenarnya mengadu bahawa suaminya tidak menunaikan tanggungjawabnya sebagai suami. Dia sebagai isteri tidak mendapat haknya yang wajar. (Kita bayangkanlah, bilakah masa dia melayani isterinya kalau setiap hari berpuasa, malam pula diisi dengan ibadah sepenuhnya?)


Mendengar pandangan yang dikemukakan oleh Ka’ab, maka Umar memberi peluang kepada Ka’ab supaya menyelesaikan masalah wanita itu dengan suaminya.


Ka’ab meminta supaya wanita itu mengajak suaminya datang bersama dengannya. Apabila mereka berdua datang, Ka’ab membacakan keputusannya di hadapan mereka berdua dan disaksikan Umar. 

Ka’ab berkata kepada suami wanita itu: “kamu hendakalah membuat giliran untuk isterimu satu kali daripada setiap empat malam!” 

Maksudnya si suami hendaklah beribadah selama tiga malam. Malam ke empat dia mesti menunaikan hak isterinya.


Umar kagum dengan apa yang diputuskan oleh Ka’ab. 

Beliau bertanya, “apakah yang menjadi asas kepada hukumanmu, wahai Ka’ab?”

Ka’ab menjelaskan bahawa Allah Ta’la mengharuskan lelaki berkahwin empat, tidak lebih daripada itu. Ini memberi gambaran bahawa setiap orang isteri mesti diberikan haknya sekali dalam setiap empat malam.


Maka Umar r.a.  terus melantik Ka’ab menjadi qadhi di Basrah.


(Al-Isti’ab fi Ma’rifat al-Ashab)


Itulah gambaran betapa indah ajaran Islam yang penuh rahmah.

Seorang wanita biasa berani datang mengadu masalah rumahtangga kepada pemimpin terrtinggi negara tanpa sebarang halangan dan sekatan. Namun dengan sifat semula jadi wanitu yang sopan dan malu, dia tidak berterus terang dengan masalah yang dialaminya.


Khalifah Umar r.a. yang bijaksana dan adil, tidak bermakna dapat menyelami semua perkara yang tersirat di sebalik apa yang tersurat. Beliau tidak memahami apa sebenarnya yang ingin diluahkan oleh rakyatnya. Namun dia tidak mengabaikannya. Sebaliknya mendengar pandangan yang diberikan oleh pegawainya, Ka’ab serta memberi peluang kepada Ka’ab yang pada pemerhatiannya lebih memahami psikologi rumahtangga serta komunikasi suami isteri.


Dan ternyata Ka’ab dapat membuktikan kefahamannya yang mendalam tentang ajaran al-Quran, Kitab Allah yang Maha Sempurna.


Semoga kita semua diberi hidayah dan taufiq untuk kembali kepada al-Quran, memahami dan menghayatinya.

Ealkkan Diri Dari Termasuk Dalam Golongan Ini!

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Tiga golongan yang Allah tidak bercakap dengan mereka pada hari qiamat, tidak mentazkiahkan mereka, tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka azab yang amat pedih. Tiga golangan itu ialah: orang tua yang berzina, raja yang banyak berdusta, orang miskin yang bongkak sombong.” Riwayat Muslim (RS 617 ms 223)


Kenapakah tiga golongan itu amat dibenci dan dimurkai?

Allah tidak sudi memandang mereka dengan pandangan rahmahNya, tidak sudi berbicara dengan mereka dengan bicara yang lembut membelai hati mereka, tidak sudi mentazkiah atau membersihkan mereka dari dosa dan sifat-sifat tercela yang ada pada mereka.

Yang tersedia untuk mereka hanyalah azab pedih yang tidak tertanggung sakitnya.


Pertama: Orang tua yang berzina. 

Zina adalah perbuatan keji yang sangat besar dosa dan implikasinya kepada umat manusia. 

Ianya haram dan dilarang tanpa mengira sama ada ke atas orang tua atau orang muda. 

Orang tua, biasanya lebih matang, lebih waras dalam memilih jalan yang baik atau sebaliknya. Biasanya lebih mampu mengawal diri dari terjebak ke dalam kancah nafsu yang durjana. 

Mereka sepatutnya menjadi contoh dan teladan yang baik kepada generasi muda.

Namun, apabila si tua tidak sedar diri, leka dan alpa dengan godaan syahwah yang tidak bertepi, selayaknyalah dia mendapat balasan yang begitu hina dari Penciptanya.


Kedua: Raja yang banyak berdusta. 

Kebiasaannya yang suka berdusta adalah orang yang lemah. Dia berdusta di hadapan seseorang yang dianggap mempunayi kuasa ke atasnya dengan tujuan untuk menutup kelemahan atau kesilapannya, supaya dia tidak dihukum atau tidak dimarahi.

Contohnya, anak berdusta pada ibu dan ayah, murid berdusta pada guru, dan seterusnya.

Raja yang di tangannya segala kuasa. Seluruh rakyat jelata tunduk dan patuh kepada arahannya, maka apakah alasan untuk dia berdusta? Apa yang dia takutkan? Apa yang dia bimbangkan?

Tidak ada keperluan untuk dia berdusta kecuali kerana sifat dusta telah sebati mendarah daging di dalam dirinya.

Lantaran itu dia amat dibenci oleh Allah dan disediakan untuknya siksaan yang amat keji dan hina. 


Ketiga: orang miskin yang bongkak dan sombong.

Orang miskin adalah golongan yang tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara diri dan keluarga. Mereka selalunya bergantung kepada pemberian dan belas ihsan pihak lain.

Maka dari manakah datang sifat bongkak dan sombong itu? Apa yang hendak disombongkan sedangkan dia sendiri bergantung kepada belas ihsan orang lain?

Mereka sepatutnya insaf dan merendah diri khususnya kepada mereka yang sudi membantunya. 

Sifat sombong yang ditunjukkan amatlah tidak wajar sama sekali. Justeru balasan yang hina dan kejilah selayaknya buat mereka.


Kesimpulannya, semakin kecil dorongan untuk seseorang melakukan sesuatu kejahatan, semakin besar dosanya di sisi Allah ‘Azza wa Jalla.

Orang tua syahwahnya tidak seganas orang muda. Sepatutnya lebih mampu mengawal diri dari berzina

Orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi tidak ada sebab yang munasabah untuk dia berdusta kepada orang bawahannya.

Orang miskin, apakah alasannya untuk sombong? Sepatutnya mereka insaf keadaan yang ada pada diri sendiri dan berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memperbaiki dan mengatasinya.

Friday, February 12, 2021

NILAI SEORANG INSAN

Al-Khawarizmi (164H -232H) ditanya tentang nilai seorang insan. Beliau menjawab:
Sekiranya seseorang insan itu mempunyai akhlak, maka nilainya = 1
Sekiranya dia mempunyai rupa paras yang cantik / lawa maka tambah satu sifar di sebelah 1 = 10
Sekiranya dia mempunyai harta, tambah satu lagi sifar = 100
Sekiranya dia mempunyai kedudukan dan berasal dari keturunan yang baik, tambah satu lagi sifar = 1000
Sekiranya angka 1 itu hilang, iaitu akhlaknya tidak ada, maka hilanglah keseluruhan nilai insan. Yang tinggal hanyalah angka-angka sifar.

Wednesday, February 10, 2021

AWAS! RAJAB HAMPIR TIBA!

Menjelang tibanya bulan Rajab, akan banyaklah tersebar tentang kelebihannya serta kelebihan beramal di dalamnya.
Berhati-hatilah. Kebanyakan hadis yang disebarkan mengenai kelebihan Rajab adalah tidak sahih.
Ibn Hajar al-'Asqalani dari kalangan Mazhab Syafi'ei (wafat 852) berkata:
“Tidak ada tentang kelebihan bulan Rajab, tentang puasa padanya, tentang puasa sebahagian daripadanya, juga tentang qiam satu malam tertentu padanya, Hadis Sahih yang boleh dibuat hujjah.”
Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata:
“Tidak sahih satupun nas tentang kelebihan Rajab kecuali ia adalah satu daripada bulan haram yang Allah sebut di dalam Kitab-Nya:
“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya EMPAT BULAN HARAM (BULAN YANG DIHORMATI. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (At-Taubah 9:36)
Bulan haram atau bulan yang dihormati yang dimaksudkan di dalam ayat di atas telah dijelaskan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya zaman itu beredar sebagaimana keadaannya pada hari Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun mengandungi 12 bulan. Daripadanya terdapat empat bulan haram. Tiga berturut-turut: Zul Qaedah, Zul Hijjah dan Muharram. Serta Rajab Mudhar yang terletak di antara Jumadi dan Syaaban.”
Sebahagian ulamak berpendapat pada bulan-bulan ini pahala dan siksa digandakan berdasarkan firman Allah di atas, “maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya);..”. ibn Kathir berkata, Allah melarang hambaNya melakukan perkara yang dilarang di dalam bulan haram kerana ia sangat ditekankan dan lebih diberatkan dosanya berbanding bulan-bulan selainnya. Sama juga dengan maksiat yang dilakukan di tanah haram seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.” (Al-Hajj 22:25)
Qatadah berkata: “Sesungguhnya kezaliman yang dilakukan pada bulan-bulan haram lebih besar kesalahan dan dosa daripada kezaliman pada bulan-bulan selainnya sekalipun kezaliman itu dalam apa keadaan pun adalah besar dosanya. Tetapi Allah boleh melipat-gandakan apa yang dikehendakiNya.”
Dr Yusuf al-Qaradhawi menambah: “Tidak terdapat Hadis Sahih yang menyebut kelebihan Rajab secara khusus. Adapun Hadis, “Rajab bulan Allah, Sya’ban bulanku, Ramadhan bulan umatku” maka ia adalah hadis munkar dan sangat dhaif, bahkan kebanyakan ulamak berkata ia palsu dan dusta. Ia tidak ada nilai dari segi ilmiah dan diniyyah. Begitu juga hadis-hadis lain yang menceritakan tentang fadhilat Rajab bahawa sesiapa yang solat sekian baginya sekian, beristighfat 100 kali baginya sekian, sekian, semua itu melampau dan dusta.”
Ibn Hajar memberi peringatan:
Telah masyhur di kalangan ahli ilmu yang bersikap lonak dalam mendatangkan hadis-hadis berkaitan fadhilat-fadhilat sekalipun terdapat kelemahan dari segi periwayatannya selagi ia tidak maudhu' (palsu/rekaan). Namun perlu diingat, sekiranya dia hendak mengamalkannya mestilah dengan syarat orang yang beramal itu beri'tiqad (berpegang dengan yakin) bahawa hadis itu adalah dhaif dan janganlah dia memasyhurkannya agar dia tidak mendorong orang lain beramal dengan hadis dhaif. Jika mereka (orang ramai) beramal dengan sebab dia menyebarkan hadis dhaif itu, maka bererti dia mensyari'atkan apa yang tidak disyari'atkan. Atau setengah-setengah golongan manusia yang jahil melihat dia beramal, maka mereka sangka itu adalah sunnah yang sahih.
Sesungguhnya perkara ini telah dinyatakan dengan terang oleh para ulamak dan fuqahak. Hendaklah setiap orang berwaspada supaya dia tidak termasuk dalam golongan yang disebut oleh Nabi s.a.w. "Sesiapa yang menyatakan satu hadis daripadaku, pada hal dia tahu bahawa hadis itu dusta (tidak sahih), maka dia merupakan salah seorang daripada para pendusta." (Riwayat Muslim).
Itu sekiranya menyebar hadis yang tidak benar. Maka bagaimana pula jika beramal dengannya?
Allah telah mengutuskan Rasul-Nya untuk kita ikuti. Maka ikutlah apa yang sahih daripada Rasul-Nya.



Monday, February 01, 2021

ISTERI YANG DIHARAMKAN MENCIUM BAU SYURGA

 

Tidak layak mencium bau syurga yang harumnya dapat dihidu dari jarak yang jauh. Ada beberapa hadis yang menyebut ia dapat dihidu dari jarak 40 tahun perjalanan (Al-Bukhari), 70 tahun (Al-Tirmizi), 100 tahun (Al-Tabrani), 500 tahun (Ahmad)

Kalau menghidupun diharamkan, apa lagilah memasukinya. Jauh panggang dari api!

Dosa apakah yang dilakukan oleh wanita yang malang itu sehinggakan mencium bau syurga pun haram baginya?

 

Itulah dosa yang paling ditakuti oleh wanita yang bergelar isteri, iaitu MEMINTA CERAI! Kerana takut tidak dapat mencium bau syurga, ramai isteri yang terpaksa menanggung sengsara menghadapi kerenah suami yang tidak bertanggungjawab, berperangai jahat, suka mendera dengan pelbagai cara, sama ada dalam bentuk fizikal, mental, emosi, seksual dan sebagainya berpuluh-puluh tahun lamanya. Semua itu ditanggung dengan penuh rasa sakit, perit dan pedih. Hendak minta cerai takut tidak dapat mencium bau syurga.

 

Begitukah ajaran Islam?

Begitukah layanan terhadap wanita bergelar isteri yang dianjurkan oleh Islam?

 

Perkahwinan adalah satu aqad yang menghalalkan pergaulan antara seorang lelaki yang digelar suami dengan seorang wanita yang digelar isteri. Dengan aqad itu juga melahirkan hak dan tanggungjawab terhadap satu sama lain. Suami mempunyai tnggangjawab terhadap isteri sebagaimana isteri mempunyai tanggungjawab terhadap suami. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang makruf...” (Al-Baqarah 2:228

 

Kalau suami dibenarkan menceraikan isteri yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap suami, apakah munasabah jika isteri tidak boleh meminta cerai dari suami yang tidak menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri? Adilkah begitu?

 

Mungkin yang menjadi sandaran mereka yang mengatakan isteri yang meminta cerai tidak mencium syurga adalah hadis yang diriwayatkan daripada Thauban r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai dengan suaminya tanpa sebab yang mengharuskan (min ghairi ba’s), haram ke atasnya bau syurga” Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Albani mengkategorikannya sebagai sahih.

 

Hadis itu menyebut “meminta cerai tanpa sebab yang mengharuskan”. Maknanya tanpa apa-apa sebab yang munasabah dan diterima di sisi syarak. Jika ada sebab, ia tidak haram dan tidak diharamkan bau syurga. Untuk lebih jelas, ikuti kisah yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w. ini:

Isteri Thabit bin Qais r.a. datang bertemu Rasulullah s.aw. Beliau mengadu:

“Ya Rasulullah, Thabit bin Qais, aku tidak mencela akhlak dan agamanya, tetapi aku benci kufur selepas Islam. (Di dalam riwayat Ibn Majah, ada tambahan:) “aku tidak mampu tanggung kebencian”

“Adakah engkau mahu pulangkan kebunnya?” tanya Rasulullah s.a.w.

“Ya” jawabnya

Rasulullah s.a.w. perintahkan suaminya, Thabit, “Ambillah kebunmu dan ceraikanlah dia satu talaq.”(Al-Bukhari, Muslim dan Ibn Majah)

Ulamak mentafsirkan ungkapan “benci kufur selepas islam” dengan maksud: takut melakukan perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum islam seperti benci suami, derhaka, tidak tunai hak-haknya (Fath al-Bari)

Kalaulah minta cerai itu haram, tidak dapat mencium bau syurga, tentu Nabi s.a.w. akan menegur isteri Thabit ini dan mengingatkannya akibat buruk yang akan menimpanya. Namun apa yang berlaku baginda bukan sahaja tidak menegur, malah melayani kehendaknya. Walhal sebab yang mendorongnya meminta cerai bukan kerana didera atau tidak diberikan haknya sebagai isteri. Tetapi sebabnya dia tidak suka kepada suaminya dan bimbang dengan sebab itu dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab yang sepatutnya terhadap suaminya.

 

Kesimpulan: tulisan ini tidak bertujuan untuk menggalakan isteri segera meminta cerai apabila berlaku perkara yang tidak menyenangkan dengan suami.

Tujuannya hanyalah untuk menjelaskan hak-hak isteri yang dijamin oleh Islam berdasarkan apa yang diajar dan diamalkan oleh Nabi kita s.a.w.

Rumah tangga bukan penjara bagi wanita. Suami tidak pernah diberi lesen untuk menyakiti dan mendera isteri sama ada secara fizikal, mental, seksual, emosi dan apa saja cara. Dan isteri tidak pernah dipaksa menanggung derita akibat didera atas alasan mengharap menghidu haruman syurga.

Jangan biarkan diri menanggung sengsara akibat kejahilan sendiri. Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap umat Nabi Muhammad s.a.w.