Sunday, January 07, 2024

Terima kasih, Gaza!


1. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami mengetahui bahawa tentera sebenar adalah yang lulus dari Surah Al-Anfal dan dari halaqah hafazan Al-Quran, bukan dari kolej tentera! Kami melihat tenteramu tanpa sut elegan, tiada bintang di bahu mereka, dan tiada pingat di dada mereka, tetapi mereka adalah jeneral!

2. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami belajar bahawa sesiapa yang ada kemahuan, dia boleh lakukan, dan perkara itu tidak berkaitan dengan kemampuan, tetapi lebih kepada kehendak. Setiap kali kehendak itu wujud, mukjizat akan berlaku, dan sesungguhnya demi Allah, kamu adalah mukjizat masa kini!

3. Terima kasih, Gaza. Daripadamu kami telah belajar untuk tidak tertipu selepas hari ini dengan slogan hak kanak-kanak. Sesungguhnya  mereka bertepuk tangan melihat anak-anakmu dibunuh. Mereka tidak pernah mengangkat hak-hak wanita dalam rumah kami. Sesungguhnya mereka hanya membisu  di kala kaum wanitamu dibunuh. Semua slogan ini hanyalah topeng untuk merekan memusnahkan keluarga kita yang merupakan benteng yang terakhir.

4. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami belajar bahawa racun boleh dimasukkan ke dalam madu. Mereka yang menghina Nabi kita dengan alasan kebebasan bersuara, menyekat akaun kami dan memadam posting kami apabila kami menyatakan pendapat kami semasa kami mempertahankanmu! Dan mereka yang menyeru kepada agama yang tunggal, berperikemanusiaan, simpati dan belas kasihan, apabila mereka melihat kamu disembelih, mereka menanggalkan sifat kemanusiaan mereka dan membuat alasan perlunya membunuh kamu atas arahan Talmud dan Injil yang diselewengkan! Lantas kami kini menjerit di hadapan mereka dengan suara yang paling kuat: bagi kamu agama kamu dan bagiku  agamaku!.

5. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami belajar bahawa dunia ini adalah hutan, dan hanya yang kuat dihormati di dalamnya. Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Piagam Hak Asasi Manusia tidak dapat menghalang mereka dari menceroboh rumah-rumahmu. Yang dapat menghalang mereka hanyalah Peluru berpandu Al-Yassin!

6. Terima kasih, Gaza. Daripadamu, kami mengetahui bahawa di dalam dada wira-wiramu ada singa yang sedang berehat. Apabila keadaan memerlukan, mereka bangkit mempersembahkan kepada kami keunggulan para Sahabat.. Maka terima kasih kepada Saad  pembaling panah, yang cemerlang dalam meluncurkan panahnya. Dan demi sesungguhnya  terima kasih kepada pasukan elit atas apa yang kami lihat tentang keberanian mereka. Demi Allah, keberanian mereka mengingatkan kami  kepada hari Uhud, di kala Rasulullah SAW. bersabda: Siapakah orang yang akan menjual dirinya kepada kami? Lantas  Ziyad bin Al-Sakan bangkit dengan tangkas dan menjualnya!

7. Terima kasih, Gaza. Darimu, kami belajar bahawa kesusahan adalah tarbiah, dan hari-hari yang sukar itu menggilapkan. Anak-anakmu menjadi dewasa sebelum masanya. Kami mendengar daripada mereka ucapan bagai lelaki dewasa, dan wanita-wanitamu adalah Khansa’-Khansa’ yang menyerupai Sahabiat dari segi kesabaran, pengorbanan, dan penyerahan diri kepada Allah. Para lelakimu adalah gunung-ganang yang teguh. Maka, siapakah yang mampu meruntuhkan gunung-ganang!

8. Terima kasih, Gaza. Daripadamu kami mengetahui bahawa apabila mujahidin berjuang untuk rakyat, maka rakyat pasti tetap bersama mereka. Anak-anakmu dibunuh, maka keluarga mereka bersabar dan berkata: untuk perjuangan itu ada pengorbanan! Rumah-rumah mereka telah dirobohkan, lalu mereka berkata: untuk kemuliaan ada harga yang mahal! Mereka diperlakukan dengan pelbagai cara supaya mereka lari meninggalkan mujahidin. Namun mereka tetap teguh bersama mujahidin baik waktu perang sebagaimana waktu aman. Mereka  meletakkan mujahidin sebagai mahkota di atas kepala mereka. Dan sememangnya itulah kepala-kepala yang layak dicium!

9. Terima kasih, Gaza. Daripadamu kami belajar bahawa bangsa ini hidup dengan darah. Kami sedang melihat berjuta-juta mereka yang malang ini datang dan pergi, tetapi ada roh yang hilang dari mereka, kemudian datang darahmu lalu meniupkan roh ke dalam diri mereka! Di belakangmu adalah bangsa yang sedang mendidih, dan pahlawan yang sedang tertambat yang masanya telah tiba untuk mereka bangkit beraksi!

10. Terima kasih, Gaza. Daripadamu kami belajar bahawa krisis yang berlaku melondehkan topeng dan mendedahkan wajah yang sebenarnya. Berapa banyak bahu yang kami fikir sesuai untuk bersandar, namun sebenarnya ia rapuh! Berapa ramai orang yang berani berkata-kata menjadi pengecut tanpa mengambil sebarang tindakan! Berapa ramai ulama yang kita anggap rabbani, tetapi mereka boleh dijual dan dibeli!

Kamu mengira ini adalah pertempuran, tetapi Allah menghendakinya sebagai pembongkar kebenaran dan pembersih barisan pejuang. Justeru, sekarang ia hanyalah satu episode.  Ramai yang gugur dan tercicir. Ini tentunya lebih baik daripada kalau mereka berada bersama kita apabila tiba masa pertempuran yang sebenar, yang menentukan kemenangan!


Adham Sharqawi / Blog Arab


No comments: