Saturday, March 30, 2024

WARGA EMAS : Umur Panjang – keberkatan yang tersembunyi

.

Warga Emas: lebih perlu dimanjakan daripada anak-anak kita! Lebih perlu diambil hati, disayangi, dikasihani, tabah dan sabar melayani

Warga Emas: ada perkataan yang mungkin tidak melukakan hati mereka di kala mereka kuat, tetapi sekarang perkataan itu melukakan mereka. Ada perkataan yang mungkin suatu masa dahulu membuatkan mereka berkecil hati, tetapi sekarang mungkin boleh membuatkan mereka mati.

Warga Emas: mereka telah kehilangan ketangkasan “muda”, kesihatan fizikal, kecantikan rupa paras, ketinggian pangkat, kesibukan dunia dan keseronokannya.

Warga Emas: mereka telah kehilangan ayah dan ibu, kehilangan ramai daripada rakan dan taulan. Hati mereka terluka, jiwa mereka memendam rasa duka dan nestapa.

Warga Emas: mereka mungkin tidak biasa berkurung di rumah atau berlegar dalam batasan keluarga semata-mata.

Warga Emas: kadang-kadang mereka seperti tidur, tetapi mereka tidak lena. Mereka makan, tetapi tidak mengenyangkan. Mereka tertawa, tetapi mereka tidak gembira. Mereka menyembunyikan air mata di sebalik senyuman yang penuh rahsia.

Warga Emas: mereka sedih dengan sebab engkau jauh dari mereka, ketika engkau meninggalkan mereka, atau engkau sebuk dengan telefon waktu engkau berada di sisi mereka

Warga Emas: mereka perlukan orang yang mendengar percakapan mereka, mesra berbual dengan mereka dan menunjukkan rasa bahagia dengan kewujudan mereka.

Warga Emas: mereka perlu dijaga, dilayan dan dibelai lebih daripada kanak-kanak

Warga Emas: mereka ingin sentiasa melihat wajahmu yang ceria, mendengar kata-katamu yang manis, sentuhanmu yang mesra, dadamu yang lapang saat berdepan dengan mereka

Warga Emas: mereka mempunyai banyak masa lapang yang memerlukan akal yang bijak dan kasih sayang yang luas untuk memenuhkannya.

Warga Emas: mereka telah ditinggalkan kereta api yang menuju ke destinasi kelazatan hidup. Sekarang mereka berada di terminal menunggu untuk berlepas atau menunggu seseorang untuk membawa mereka pergi…

Warga Emas: mereka adalah orang yang dekat dengan Allah. Doa mereka lebih pantas diterima. Maka rebutlah peluang sebelum terlepas


Warga Emas: mereka adalah ayah, ibu, datuk, nenek dan lain-lain dari kalangan kaum kerabat yang rambut mereka telah putih dan perasaan mereka telah kering 

Warga Emas: berikanlah kepada mereka kesempatan untuk menikmati kehidupan, siangnya bahagia, malamnya bercahaya. Biarlah mereka menamatkan lembaran terakhir daripada buku kehidupan mereka penuh dengan kebajikan, dan kebahagiaan sehingga apabila mereka telah mengosongkan tempat mereka di muka bumi ini, engkau tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang menyesal. 

Warga Emas: sekarang ini mereka adalah orang-orang tua dan mereka pasti akan pergi. Sedikit masa lagi, engkau pula akan jadi orang tua. Maka perhatikanlah apa yang engkau buat dan apa yang engkau tanam!

Warga Emas: jadilah engkau sebagai pengganti apa yang telah hilang dari mereka. Jadilah engkau musim bunga di kala usia mereka di musim gugur. Jadilah engkau wira sejati yang mempertahankannya

Selam Sejahtera ke atas Warga Emas. Salam Sejahtera ke atas mereka yang menjaga dan menyantuni Warga Emas


Daripada buku : Kehidupan Yang Bermakna

https://www.facebook.com/KtabHyatLhaMn


MAHUKAH ANDA MENJADI MANUSIA YANG TERBAIK?

Kadang-kadang kita rasa nak jadi orang baik pun susah, apa lagi nak jadi yang terbaik? Lagilah susah. Namun ia bukanlah sesuatu yang mustahil.

Nabi SAW menyebut 11 golongan sebagai “Sebaik-baik Manusia”. Cuba perhatikan, mungkin anda termasuk dalam golongan tersebut atau salah satu daripadanya!?


1. Orang yang belajar dan mengajarkan Al Qura’n.

خيركم من تعلم القرآن وعلمه

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya.” (HR. Bukhari 5027 )

2. Orang yang paling baik akhlaknya. 

خياركم أحاسنكم أخلاقا

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik akhlaknya.” (HR. Bukhari 6035)

3. Orang yang paling baik ketika membayar hutang. 

خيركم أحسنكم قضاء – أي عند رد القرض

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik dalam membayar (mengembalikan hutang).” (HR. Bukhari 2305)

4. Orang yang paling diharapkan kebaikannya dan aman dari gangguannya. 

خيركم من يُرجى خيره ويُؤمٓن شره

“Sebaik- baik kamu adalah orang yang paling boleh diharapkan kebaikannya dan aman dari keburukannya.”  (HR. Tirmidzi 2263)

5. Orang yang paling baik kepada keluarganya. 

خيركم خيركم لأهله

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluarganya.” (HR. Ibnu Hibban : 4177)

6. Orang yang memberi makan pada orang lain dan menjawab salam. 

خيركم من أطعم الطعام وردَّ السلام

“Sebaik-baik kamu adalah orang yang memberi makan (kepada orang lain) dan menjawab salam.” (Shahih Al Jami’ 3318)

7. Orang yang meluangkan tempat dalam saf, memberi kesempatan pada yang lain untuk dapat berdiri dekatnya. 

خياركم ألينُكم مناكب في الصلاة – أي: يفسح لمن يدخل الصف في الصلاة

“Sebaik- baik kamu adalah orang yang paling lembut bahunya, iaitu melapangkan tempat bagi memberi ruang kepada orang lain masuk ke dalam saf dalam solat.”  (Targhib wa Tarhib 1/234)

8. Orang yang panjang usia dalam ketaatan. 

خير الناس من طال عمره وحسن عمله

“Sebaik-baik manusia adalah orang yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya.” (Shahih al Jami’ 3297)

9. Orang yang paling bermanfaat kepada yang lain. 

خير الناس أنفعهم للناس

“Sebaik- baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain.” (Shahih al Jami’ 3289)

10. Orang yang paling baik pada sahabat dan tetangganya. 

خير الأصحاب عند الله خيركم لصاحبه، وخير الجيران عند الله خيركم لجاره

“Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah orang yang paling baik terhadap sahabatnya. Sebaik- baik tetangga di sisi Allah adalah orang yang paling baik terhadap tetangganya.”  (Shahih Adabul Mufrod : 84)

11. Orang yang bersih hatinya dan bertakwa. 


- خيرُ الناسِ ذُو القلبِ المخمُومِ واللسانِ الصَّادِقِ ، قِيلَ : ما القلبُ المخمُومِ ؟ قال : هو التَّقِيُّ النَّقِيُّ الذي لا إِثْمَ فيه ولا بَغْيَ ولا حَسَدَ 

“Sebaik- baik manusia adalah orang yang memiliki hati yang makhmum dan lisan yang jujur.”

Para sahabat bertanya : Lisan yang jujur kami faham, maka apa maksud hati yang makhmum?

Baginda bersabda : “orang yang memiliki hati bersih dan bertakwa, tidak ada dosa, tidak berbuat zalim, serta tidak ada kebencian dan hasad.”(Shahih al Jami’ 3201)

Daripada hadis-hadis di atas, jelas menunjukkan betapa syumulnya ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. 

Kebaikan seseorang tidak hanya dinilai pada ibadah khusus semata-mata seperti solat yang banyak, puasa sepanjang masa, baca al-Quran berkali-kali khatam. Sebaliknya yang menjadi ukuran adalah kesan daripada ibadah itu dalam kehidupan serta cara berinteraksi dengan manusia dan sekelian makhlukNya.


Friday, March 29, 2024

SURAT UNTUK ANAKKU

 Mesej indah yang perlu dibaca ✌️


Abdul Hadi Raji Al-Majali

Kepada anakku,

anakku sayang:

Aku tahu bahawa setiap malam, aku datang ke bilikmu supaya engkau boleh memberitahuku berita terkini tentang Gaza yang aku terlepas... Dan aku tahu bahawa aku sangat meletihkanmu, dengan perbualan tentang sejarah Gaza, isu perang dan bom. Aku tahu!

Engkau tahu kenapa? Kerana aku mahu engkau menjadi seperti mereka dan bukan seperti aku! ... Aku hanya produk birokrat, pena yang terbuang, dan identiti yang hilang. Maka jangan sekali-kali jadi seperti aku. 

Ketahuilah wahai  anakku, bahawa perkara ini tidak boleh diukur dengan masa sekarang. Apa yang berlaku di Gaza akan mempunyai pengiraan masa depan yang serius. Ia adalah satu-satunya sekeping tanah di bumi ini yang tidak berlutut, sujud kepada pihak lain. Jerman berlutut dan menyerah dalam Perang Dunia II. Jepun, dengan kehebatan perindustrian dan ketenteraan selepas bom nuklear kedua, melutut dan menandatangani perjanjian penyerahan. Itali fasis pun turut melutut.

Adakah engkau menyaksikan Gaza menandatangani penyerahan itu? Ini adalah pelajaran pertama yang aku ingin engkau ketahui, iaitu apabila penduduk di sana mengakhiri kenyataan mereka dengan kalimat: (Dan ia adalah jihad kemenangan atau syahid), mereka membumikan apa yang mereka ucapkan di atas dunia yang nyata. Gaza adalah satu-satunya empayar di dunia ini yang rumahnya musnah, penduduknya diusir, namun ia tidak menandatangani sebarang penyerahan. Belajarlah wahai anakku daripada mereka untuk tidak menandatangani penyerahan di masa depan. Menandatangani penyerahan tidak sekadar pen atau kertas atau menerima syarat musuh. Menandatangani bermaksud keruntuhan nilai, hilang keyakinan, dan lenyapnya identiti.

Perkara lain yang harus engkau pelajari daripada pelajaran ini ialah kebiasaannya peperangan meletus antara beberapa negara. Dan kadangkala antara negara-negara yang berdiri di atas satu paksi dengan negara lain yang membentuk pakatan yang bertentangan. Tetapi peperangan ini adalah yang pertama dalam sejarah umat manusia, di mana kuasa besar menentang sebuah bandar. Adakah engkau tahu bahawa Gaza lebih kecil daripada Paris?!!! Tahukah engkau wahai anakku bahawa kawasannya juga lebih kecil daripada Tokyo?!!! Jauh lebih kecil daripada Kaherah?!!! Bayangkan seluruh dunia sedang berperang dengan sebuah bandar. Apa yang peliknya ialah bandar ini... yang secara kiasan mereka panggil (Jalur)... setakat ini telah mempersembahkan hampir (33) ribu syahid, namun masih melawan!... Pastinya selepas lima puluh tahun anakku, kamu akan tua... dan aku akan berada di bawah tanah Karak (sebuah kawasan di Jordan).  Namun  engkau akan membaca pelajaran dalam sejarah yang mencatakan bahawa sebuah bandar menewaskan beberapa negara. Dan  orang Arab di Palestin adalah orang yang mengubah perjalanan perang dalam sejarah. Engkau juga akan membaca bahawa sebuah bandar pada peta yang kelihatan sebesar bulu mata atau lebih kecil dapat menghasilkan beberapa pelajaran dalam bidang ilmu kemasyarakatan atau sosiologi, pelajaran yang meleburkan semua teori Freud dalam psikologi, dan menghasilkan "teori Ghazian" dalam perang, mengatasi teori relativiti Einstein...dan yang paling penting, ia memindahkan perang dari atas bumi ke bawah. Dan  engkau akan belajar anakku, untuk mendengar kembali kata-kata Tariq bin Ziyad ketika beliau berkata: “laut di belakangmu dan musuh di hadapanmu”  Engkau akan mendapati bahawa Gaza telah dikelilingi oleh musuh dari semua penjuru, sehingga laut wahai anakku. Laut berperang dengan penghuninya dan berperang dengan pantainya. Laut enggan menghukurkan ikan dan garamnya. Sesungguhnya musuh merekrut laut supaya melawat bandar itu (Gaza). Dunia apakah ini?

Kamu juga mesti tahu anakku, suatu perkara yang sangat penting, iaitu: Apabila mereka memberitahu kamu bahawa Hamas yang memerangi. Jangan percaya kepada mereka. Apabila mereka memberitahu kamu bahawa puak-puak mujahidin yang memerangi. Jangan percaya kepada mereka. Dan apabila mereka berkata bahawa mereka menghadkan pertempuran kepada puak bersenjata tertentu, jangan percaya kepada mereka kerana yang diperangi adalah Palestin, dan peluru yang dilepaskan tidak membezakan antara mana-mana kumpulan, malah tidak membezakan antara askar dan orang awam.. Israel sedang memerangi Palestin tanpa mengira ideologi dan asal usulnya, dan perang ini adalah peperangan identiti yang paling penting dalam sejarah.. 

Apabila engkau membaca (Amin Maalouf) "Identiti Maut" engkau akan tahu apa yang aku maksudkan.. Orang Palestin mempunyai geografi, warisan, budaya, agama,  dan tanah. 

Orang Palestin adalah satu-satunya di dunia ini yang sempurna identitinya. Manakala musuhnya berpecah-pecah dari segi Bahasa ibunda dan asal usul mereka. 

Musuh, wahai anakku, kalau benar mereka percaya bahawa Israel sebagai identiti asal mereka yang berakar umbi sejak asal, tentu mereka tidak akan membawa pasport kewarganegaraan yang lain. Jika mereka benar percaya bahawa negera dan tanah itu milik mereka, mereka tidak akan melakukan jenayah. Sekurang-kurangnya identiti sesuatu bangsa asasnya adalah akhlak. 

Istilah akhlak hanyalah bahan lucu yang mereka gembar-gemburkan bahawa mereka adalah bangsa terpilih, umat terbaik. Sedangkan bangsa lain tidak berguna, sampah yang membebankan. Itulah ciri-ciri kumpulan pelampau yang datang sebagai penjajah.

Selepas (lima puluh) tahun, kamu akan mendapati, wahai anakku, bahawa perjalanan sejarah telah berubah, sebuah bandar mengalahkan negara-negara besar. Engkau akan dapati bahawa semua ilmu yang berkaitan dengan kemanusiaan akan berubah haluannya. Engkau akan membaca semula biografi dan tingkah laku penduduk Gaza. Engkau  juga akan dapati, anakku, bahawa perkara yang paling penting yang telah dicacat oleh sejarah kepada kita adalah satu ayat sahaja, iaitu satu ayat yang menyimpulkan keseluruhan cerita dari awal hingga akhir: (Sesungguhnya ini adalah jihad kemenangan atau syahid).


Thursday, March 28, 2024

BIRRUL-WALIDAIN (BERBAKTI KEPADA KEDUA IBU BAPA)


Jangan engkau membantah ibumu hatta sekiranya engkau benar!

Birr bukan sekadar satu kucupan di kepala ibumu atau ayahmu atau di tangan kedua-duanya atau di tapak kaki mereka! 

Dengan cara itu, engkau menyangka bahawa engkau telah mencapai kemuncak keredhaan mereka.


Justeru, apakah sebenarnya Birr itu?

1. Birr ialah engkau dapat menghidu apa yang terselit dalam hati ibu dan ayahmu, kemudian engkau laksanakannya tanpa menunggu mereka menyuruhnya.

2. Birr ialah engkau mengetahui apa yang membahagiakan keduanya. Lalu engkau segera lakukan. Engkau memahami apa yang menyakitkan mereka. Lalu engkau berusaha supaya mereka tidak akan menemui engkau lakukannya selama-lamanya.

3. Birr ialah kadang-kadang engkau rasa ada sesuatu yang diingini oleh mereka, lalu engkau segera menghadirkannya walaupun hanya secawan teh.

4. Birr ialah engkau sangat mengambil berat tentang kerehatan mereka walaupun terpaksa mengketepikan kesenanganmu. Sekiranya engkau berjaga malam itu menjadikan mereka susah hati, maka engkau tidur awal itu adalah Birr

5. Birr ialah engkau curahkan ke atas ibumu daripada hartamu walaupun beliau memiliki berjuta-juta, tanpa engkau fikirkan apa yang ada dalam miliknya, tanpa engkau fikirkan sama ada beliau berhajat atau tidak. Sesungguhnya apa yang engkau telah capai sekarang semuanya hasil jerit perihnya, berjaga malamnya, kepenatannya yang telah dialaminya sepanjang menjagamu

6. Birr ialah engkau memastikan kerehatannya. Jangan biarkan dia bersusah payah untuk kesenanganmu. Cukuplah kesusahan yang telah dicurahkan sejak dia melahirkanmu sehingga engkau mencapai usia sekarang

7. Birr ialah engkau sentiasa membuatkan dia tertawa. Jangan anggap membawanya ke pesta besar itu jalan membawamu ke syurga. Jangan bataskan Birr itu hanya pada ciuman, pada hal ia diikuti dengan kecuaian yang bukan sedikit.


Birr kepada ibu ayah bukan tugasan yang boleh dibuat giliran antaramu dengan adik beradikmu. Sebaliknya ia merupakan perlumbaan dan perebutan di pintu syurga andainya mereka masih hidup atau telah mati.

Semoga Allah rahmati mereka yang telah pergi meninggalkan kita. Semoga Allah berkati umur mereka yang masih hidup bersama kita. Ia merupakan peluang keemasan untuk menggapai Birr, Keredhaan dan Syurga.

#السبورة


Monday, March 04, 2024

KISAH INDAH PENUH IBRAH


Ada seorang lelaki miskin berasal dari kampung datang ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Beliau menyewa sebuah bilik sebagai tempat tinggalnya.

Setiap hari, selepas solat Subuh beliau keluar berkerja. Selepas Zohor beliau pergi ke majlis pengajian untuk menimba ilmu. 

Upah yang beliau dapat, dibahagi tiga. Satu pertiga untuk dihantar kepada ayahnya, satu pertiga untuk bayar sewa bilik dan satu pertiga untuk perbelanjaan dirinya.

Oleh kerana pekerjaan dan pendapatannya tidak tetap, beliau tidak dapat membayar sewa biliknya sebagaimana yang ditetapkan.

Sudah tiga bulan beliau terhutang dengan pemilik bilik yang disewa.

Pemilik memberi amaran kepadanya supaya menjelaskan sewa yang tertunggak dalam masa tiga hari. Jika tidak, dia akan memenjarakannya kerana katanya, aku tidak membina rumah ini untuk diwaqafkan kepada orang faqir.


Si miskin yang malang itupun keluar dari biliknya untuk mencari pekerjaan. Hari pertama, beliau gagal, hari kedua beliau pergi ke pejabat percukaian memohon pekerjaan di situ, pun gaga jugal. Hari ketiga beliau meneruskan pencarian. Hari terakhir untuknya melunaskan sewa yang telah tertunggak tiga bulan. Jika beliau gagal juga, maka tiada pilihan baginya kecuali meringkuk dalam penjara.

Beliau berjalan ke serata pelusuk bandar Baghdad sehingga sampai ke pinggir bandar. Beliau ternampak sebuah rumah usang yang terlalu uzur. Beliau terfikir untuk singgah dan berihat di situ. 

Apabila tangannya menyentuh pintu, ia terus terbuka. Terdapat seorang tua yang terlalu uzur sedang terbaring di atas katil. Orang tua itu memanggilnya:

“Masuklah wahai anakku. Sesungguhnya tiada siapa yang mendorongmu sampai ke sini kecuali Allah. Sesungguhnya aku sedang berada di ambang maut. Aku teringin untuk makan buah anggur sebelum aku menutup mata.”

Beliau berkata: “Baiklah pakcik. Tenangkan hati. Demi Allah, pakcik akan dapat memakannya hari ini!”

Lelaki miskin itu menyambung ceritanya:

Aku terus pergi ke pasar dan bertemu kedai yang menjual anggur.  Aku mengambil setangkai anggur dan bertanya kepada penjualnya berapakah harganya? Beliau menjawab, satu dirham. Aku berkata kepadanya, ambillah bajuku ini sebagai cagaran. Apabila aku mempunyai wang, aku akan datang membayar harga anggur ini.”


Aku berlari membawa anggur untuk diberikan kepada orang tua itu sebelum dia meninggal dunia.

Aku berikan anggur itu kepadanya padahal aku juga tersangat lapar dan mengingini anggur tesebut.

Selepas dia memakan anggur, dia berkata kepadaku:

“Anakku, pergi ke sudut bilik ini dan gali. Kamu akan menemui sesuatu.”

Aku lakukan apa yang diarahkan. Aku menemui satu tempayan yang penuh dengan harta dan emas. Aku serahkan kepadanya. Dia menuang semua isinya di atas kainku. Kemudian dia berkata: “semua ini untukmu.

Harta ini ada kisahnya wahai anakku. Aku dan saudaraku dulu ahli perniagaan yang besar. Kami pergi berniaga sehingga ke India dan Pakistan. Kami berniaga sutera dan bulu.

Kami takut harta-harta kami dirampas oleh pencuri, perompak dan penyamun. 

Pada suatu hari kami berhenti di suatu tempat persinggahan. Aku berkata kepada saudaraku, tempat ini sering diganggu oleh perompak. Aku bimbangkan keselamatan hartaku dan hartamu. Berikan aku hartamu supaya aku simpan bersama hartaku di tempat yang selamat. Apabila keadaan telah aman, aku serahkan Kembali hartamu dan kita teruskan perjalanan kita.


Sebelum sempat kami tidur, tempat itu diserang oleh sekumpulan perompak yang ganas. Mereka membunuh dan merampas harta benda para peniaga yang singgah di situ.

Aku tidak sedarkan diri sehingga siang hari berikutnya. Aku mencari saudaraku. Namun tidak menemuinya baik dalam kalangan mereka yang hidup atau yang mati. Aku meneruskan perjalanan seorang diri sehingga tiba di Baghdad. Aku membina rumah ini dan menyembunyikan harta ini yang merupakan milik saudaraku sejak 20 tahun yang lalu. Jika aku mati, maka harta ini halal bagimu.”

Selepas menamatkan ceritanya, dia mengucap dua kalimah syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Aku sembunyikan harta-harta itu dan keluar mencari orang yang boleh membantuku menguruskan jenazah lelaki tua ini. 

Setelah selesai urusan pengkebumiannya, aku mengambil semua harta-harta tadi. Sekarang dari seorang yang papa kedana aku menjadi orang yang kaya raya di Baghdad. 

Aku meninggalkan rumah usang itu. 

Mula-mula aku pergi ke kedai penjual anggur. Aku membayar harga anggur satu dirham dan mengambil baju yang aku cagarkan. 

Kemudian aku merancang untuk menaiki sampan menyeberangi Sungai Dajlah. Aku mendapati banyak sampan-sampan yang besar. Di Tengah-tengah sampan yang besar itu aku terpandang sebuah sampan yang pemiliknya kelihatan sangat miskin. Aku menaiki sampannya. Aku sangat sedih dan bersimpati melihat keadaannya. Terlintas dalam hatiku untuk memberikannya harta yang ada padaku. Tiba-tiba dia menangis dan mula bercerita:

“Demi Allah, dulu aku bukanlah seorang yang faqir. Aku seorang peniaga sutera dan bulu sehingga ke India dan Pakistan. Tetapi saudaraku telah berpakat dengan perompak untuk membunuhku dan merampas hartaku. Namun Allah Ta’al telah menyelamatkan nyawaku dan menyampaikan aku ke Baghdad tanpa sebarang harta bersamaku.”

Lelaki itu berkata:

“Mendengar ceritanya, terasa dunia ini menjadi hitam dan gelap di mataku sekali lagi.

Sesungguhnya aku telah menjadi perantaraan yang membawa pulang harta kepada tuannya. Saat itu syaitan membisikkan dalam hatiku, berilah sebahagian atau separuh daripada hartanya.

Aku berkata: aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang terkutuk.

Aku menghulurkan semua harta yang ada padaku kepada pemilik sampan seraya berkata, ini hartamu.

Dia tidak percaya sehinggalah aku ceritakan apa yang telah berlaku. Dan aku baru saja mengkebumikan saudaranya lebih kurang satu jam yang lalu. Maka diapun mengambil harta itu sambil menangis dan memohon ampun kepada Allah kerana telah bersangka buruk pada saudaranya. Dia hendak memberikan sedikit daripada hartanya kepadaku, tetapi aku menolak. Aku hanya meminta dia halalkan satu dirham yang aku telah gunakan untuk membayar harga anggur.


Aku Kembali ke Baghdad sekali lagi dalam keadaan faqir tidak punya apa-apa sebagaimana hari aku keluar darinya.

Ketika aku sedang berjalan tanpa halatuju, tiba-tiba seorang askar yang bertugas di jabatan percuakaian memanggilku. Dia berkata, kami sedang mencarimu.

Hatiku berkata, pasti mereka akan memenjarakanku kerana tidak membayar sewa bilik.

Askar itu menjelaskan, kerani yang bertugas di jabatan telah meninggal dunia semalam. Justeru, kami mencarimu untuk menggantikan tempatnya.

Aku dibawa ke pejabat dan mereka membayar gaji pendahuluan kepadaku satu bulan. Aku terus pergi berjumpa tuan rumah dan membayar sewa bilik yang tertunggak.


Itulah kisah seorang yang alim, faqih dan menteri Ibn Hubairah yang lahir pada tahun 499 hijrah dan wafat pada tahun 650 hijrah.

Ibn Jauzi berkata, orang yang keluar mengiringi jenazahnya tidak pernah terlihat seramai itu pada zamannya ...