Monday, March 04, 2024

KISAH INDAH PENUH IBRAH


Ada seorang lelaki miskin berasal dari kampung datang ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Beliau menyewa sebuah bilik sebagai tempat tinggalnya.

Setiap hari, selepas solat Subuh beliau keluar berkerja. Selepas Zohor beliau pergi ke majlis pengajian untuk menimba ilmu. 

Upah yang beliau dapat, dibahagi tiga. Satu pertiga untuk dihantar kepada ayahnya, satu pertiga untuk bayar sewa bilik dan satu pertiga untuk perbelanjaan dirinya.

Oleh kerana pekerjaan dan pendapatannya tidak tetap, beliau tidak dapat membayar sewa biliknya sebagaimana yang ditetapkan.

Sudah tiga bulan beliau terhutang dengan pemilik bilik yang disewa.

Pemilik memberi amaran kepadanya supaya menjelaskan sewa yang tertunggak dalam masa tiga hari. Jika tidak, dia akan memenjarakannya kerana katanya, aku tidak membina rumah ini untuk diwaqafkan kepada orang faqir.


Si miskin yang malang itupun keluar dari biliknya untuk mencari pekerjaan. Hari pertama, beliau gagal, hari kedua beliau pergi ke pejabat percukaian memohon pekerjaan di situ, pun gaga jugal. Hari ketiga beliau meneruskan pencarian. Hari terakhir untuknya melunaskan sewa yang telah tertunggak tiga bulan. Jika beliau gagal juga, maka tiada pilihan baginya kecuali meringkuk dalam penjara.

Beliau berjalan ke serata pelusuk bandar Baghdad sehingga sampai ke pinggir bandar. Beliau ternampak sebuah rumah usang yang terlalu uzur. Beliau terfikir untuk singgah dan berihat di situ. 

Apabila tangannya menyentuh pintu, ia terus terbuka. Terdapat seorang tua yang terlalu uzur sedang terbaring di atas katil. Orang tua itu memanggilnya:

“Masuklah wahai anakku. Sesungguhnya tiada siapa yang mendorongmu sampai ke sini kecuali Allah. Sesungguhnya aku sedang berada di ambang maut. Aku teringin untuk makan buah anggur sebelum aku menutup mata.”

Beliau berkata: “Baiklah pakcik. Tenangkan hati. Demi Allah, pakcik akan dapat memakannya hari ini!”

Lelaki miskin itu menyambung ceritanya:

Aku terus pergi ke pasar dan bertemu kedai yang menjual anggur.  Aku mengambil setangkai anggur dan bertanya kepada penjualnya berapakah harganya? Beliau menjawab, satu dirham. Aku berkata kepadanya, ambillah bajuku ini sebagai cagaran. Apabila aku mempunyai wang, aku akan datang membayar harga anggur ini.”


Aku berlari membawa anggur untuk diberikan kepada orang tua itu sebelum dia meninggal dunia.

Aku berikan anggur itu kepadanya padahal aku juga tersangat lapar dan mengingini anggur tesebut.

Selepas dia memakan anggur, dia berkata kepadaku:

“Anakku, pergi ke sudut bilik ini dan gali. Kamu akan menemui sesuatu.”

Aku lakukan apa yang diarahkan. Aku menemui satu tempayan yang penuh dengan harta dan emas. Aku serahkan kepadanya. Dia menuang semua isinya di atas kainku. Kemudian dia berkata: “semua ini untukmu.

Harta ini ada kisahnya wahai anakku. Aku dan saudaraku dulu ahli perniagaan yang besar. Kami pergi berniaga sehingga ke India dan Pakistan. Kami berniaga sutera dan bulu.

Kami takut harta-harta kami dirampas oleh pencuri, perompak dan penyamun. 

Pada suatu hari kami berhenti di suatu tempat persinggahan. Aku berkata kepada saudaraku, tempat ini sering diganggu oleh perompak. Aku bimbangkan keselamatan hartaku dan hartamu. Berikan aku hartamu supaya aku simpan bersama hartaku di tempat yang selamat. Apabila keadaan telah aman, aku serahkan Kembali hartamu dan kita teruskan perjalanan kita.


Sebelum sempat kami tidur, tempat itu diserang oleh sekumpulan perompak yang ganas. Mereka membunuh dan merampas harta benda para peniaga yang singgah di situ.

Aku tidak sedarkan diri sehingga siang hari berikutnya. Aku mencari saudaraku. Namun tidak menemuinya baik dalam kalangan mereka yang hidup atau yang mati. Aku meneruskan perjalanan seorang diri sehingga tiba di Baghdad. Aku membina rumah ini dan menyembunyikan harta ini yang merupakan milik saudaraku sejak 20 tahun yang lalu. Jika aku mati, maka harta ini halal bagimu.”

Selepas menamatkan ceritanya, dia mengucap dua kalimah syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Aku sembunyikan harta-harta itu dan keluar mencari orang yang boleh membantuku menguruskan jenazah lelaki tua ini. 

Setelah selesai urusan pengkebumiannya, aku mengambil semua harta-harta tadi. Sekarang dari seorang yang papa kedana aku menjadi orang yang kaya raya di Baghdad. 

Aku meninggalkan rumah usang itu. 

Mula-mula aku pergi ke kedai penjual anggur. Aku membayar harga anggur satu dirham dan mengambil baju yang aku cagarkan. 

Kemudian aku merancang untuk menaiki sampan menyeberangi Sungai Dajlah. Aku mendapati banyak sampan-sampan yang besar. Di Tengah-tengah sampan yang besar itu aku terpandang sebuah sampan yang pemiliknya kelihatan sangat miskin. Aku menaiki sampannya. Aku sangat sedih dan bersimpati melihat keadaannya. Terlintas dalam hatiku untuk memberikannya harta yang ada padaku. Tiba-tiba dia menangis dan mula bercerita:

“Demi Allah, dulu aku bukanlah seorang yang faqir. Aku seorang peniaga sutera dan bulu sehingga ke India dan Pakistan. Tetapi saudaraku telah berpakat dengan perompak untuk membunuhku dan merampas hartaku. Namun Allah Ta’al telah menyelamatkan nyawaku dan menyampaikan aku ke Baghdad tanpa sebarang harta bersamaku.”

Lelaki itu berkata:

“Mendengar ceritanya, terasa dunia ini menjadi hitam dan gelap di mataku sekali lagi.

Sesungguhnya aku telah menjadi perantaraan yang membawa pulang harta kepada tuannya. Saat itu syaitan membisikkan dalam hatiku, berilah sebahagian atau separuh daripada hartanya.

Aku berkata: aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang terkutuk.

Aku menghulurkan semua harta yang ada padaku kepada pemilik sampan seraya berkata, ini hartamu.

Dia tidak percaya sehinggalah aku ceritakan apa yang telah berlaku. Dan aku baru saja mengkebumikan saudaranya lebih kurang satu jam yang lalu. Maka diapun mengambil harta itu sambil menangis dan memohon ampun kepada Allah kerana telah bersangka buruk pada saudaranya. Dia hendak memberikan sedikit daripada hartanya kepadaku, tetapi aku menolak. Aku hanya meminta dia halalkan satu dirham yang aku telah gunakan untuk membayar harga anggur.


Aku Kembali ke Baghdad sekali lagi dalam keadaan faqir tidak punya apa-apa sebagaimana hari aku keluar darinya.

Ketika aku sedang berjalan tanpa halatuju, tiba-tiba seorang askar yang bertugas di jabatan percuakaian memanggilku. Dia berkata, kami sedang mencarimu.

Hatiku berkata, pasti mereka akan memenjarakanku kerana tidak membayar sewa bilik.

Askar itu menjelaskan, kerani yang bertugas di jabatan telah meninggal dunia semalam. Justeru, kami mencarimu untuk menggantikan tempatnya.

Aku dibawa ke pejabat dan mereka membayar gaji pendahuluan kepadaku satu bulan. Aku terus pergi berjumpa tuan rumah dan membayar sewa bilik yang tertunggak.


Itulah kisah seorang yang alim, faqih dan menteri Ibn Hubairah yang lahir pada tahun 499 hijrah dan wafat pada tahun 650 hijrah.

Ibn Jauzi berkata, orang yang keluar mengiringi jenazahnya tidak pernah terlihat seramai itu pada zamannya ...


No comments: