Thursday, July 12, 2018

BERFIKIR


Ibn Qudamah rahimahullah berkata:

Semua manusia berfikir. Kadang-kadang mereka berfikir tentang urusan dunia. Kadang-kadang berfikir tentang urusan agama.

Dalam urusan agama sebenarnya banyak yang perlu difikirkan. Ia boleh dikategorikan kepada empat bidang:

Pertama – ketaatan (ta’aat)
Kedua – kemaksiatan (ma’asi)
Ketiga – sifat-sifat yang membinasakan (sifat muhlikat)
Keempat – sifat-sifat yang menyelamatkan (sifat munjiat)

Selanjutnya Ibn Qudamah berkata:

Setiap insan yang ingin Berjaya dan selamat di dunia dan akhirat perlu menyediakan nota atau buku catatan di mana beliau perlu menulis senarai sifat-sifat muhlikat, sifat-sifat munjiat, kemaksiatan dan ketaatan. Semua catatan itu hendaklah ditelitinya setiap hari adakah terdapat pada dirinya atau sebaliknya.

Bagi senarai muhlikat, dia berkata mencukupi bagi seseorang itu memberikan tumpuan kepada 10 sifat. Jika beliau terselamat daripada 10 sifat itu, beliau akan selamat daripada yang selainnya. Begitu juga munjiat. Terdapat 10 sifat yang perlu diberikan perhatian.

10 muhlikat yang perlu diberi perhatian adalah:
1.     Bakhil
2.     Sombong atau takabbur
3.     Ujub
4.     Riaa’
5.     Hasad
6.     Marah yang berlebihan
7.     Gelojoh dalam makanan
8.     Gelojoh dalam hubungan sexual
9.     Cintakan harta
10.  Cintakan pangkat dan kedudukan

10 munjiat yang perlu diberikan perhatian adalah:
1.     Menyesali dosa-dosa
2.     Sabar menempuh dugaan kesusahan
3.     Redha dengan ketentuan
4.     Syukur atas segala pemberian
5.     Seimbang di antara takut dan harap kepada Allah
6.     Zuhud di dunia
7.     Ikhlas dalam beramal
8.     Berakhlak mulia dengan makhluk
9.     Cintakan Allah Ta’ala
10.  Khusyuk

Itulah 20 sifat yang perlu diberi tumpuan yang ditulis di dalam buku catatan.
10 muhlikat dan 10 munjiat.

Jika satu daripada sifat-sifat muhlikat telah tersingkir dari dirinya, maka gariskan dengan tanda pangkah. Lalu berikan tumpuan untuk menyingkirkan sifat-sifat yang lain pula.

Begitu juga sekiranya satu daripada sifat-sifat munjiat telah dikuasainya, bersyukurlah kepada Allah. Gariskan sifat itu dengan tanda pangkah. Lalu berikan tumpuan untuk membina dan menguasai sifat-sifat yang lain pula.


Petikan daripada “Mukhtasar Minhaj al-Qasidin”

Tuesday, July 10, 2018

MUJAHIR



Daripada Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:
“Semua umatku diampunkan dosanya kecuali mujahir.
Mujahir ialah seorang yang melakukan amalan (maksiat) pada waktu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan maksiatnya ditutup oleh Tuhannya, maka dia berkata: “Wahai fulan! Sesungguhnya semalam aku telah melakukan itu dan itu!”
Sesungguhnya semalaman Tuhannya menutup keaipannya.
Bangun pagi dia mendedahkan apa yang telah ditutup oleh Allah bagi pihaknya.”
Muttafaq ‘alaih.

Sebagai manusia, sukar untuk membebaskan diri dari melakukan kesalahan dan kesilapan. Namun dengan tersematnya secebis iman di dalam diri, mukmin akan sedaya upaya menyembunyikan kesalahan serta perbuatannya yang tidak baik dan tidak selari dengan tuntutan agama yang menjadi pegagangannya.

Allah yang bersifat dengan Maha Pengampun amat mengetahui hakikat ini. Lantaran itu Dia dengan mudahkan akan mengampunkan dosa hambaNya khususnya dosa yang tidak melibatkan kezaliman ke atas hak-hak makhluk, selagi mana dosa itu tidak sengaja didedahkan kepada khalayak.

Namun, apabila orang yang melakukan dosa itu sendiri sudah tidak rasa bersalah, sebaliknya menghebahkannya kepada khalayak dengan penuh rasa bangga, ia benar-benar menunjukkan betapa rapuhnya perasaan takut kepada kemurkaan Allah serta pembalasanNya.
Justeru, layakkah dia mendapat pengampunan tanpa taubat nasuha yang tulus ikhlas?


Maka, hisablah dirimu wahai insan.

Wednesday, June 27, 2018

Hadiah sehingga ratusan juta?


Seorang pemimpin menerima dan menyimpan hadiah untuk dirinya sehingga ratusan juta!
Di manakah letak kasih sayangnya kepada rakyat serta kasihan belasnya kepada rakyat jelata yang bukan sahaja tidak cukup makanan berkhasiat, malah tidak ada rumah untuk berteduh dan berehat?

Alangkah jauhnya perbezaan dengan sifat RAHMAH serta KEADILAN pemimpin yang benar-benar BERJIWA RAKYAT.

Diriwayatkan bahawa pada suatu hari Khalifah Umar bin al-Khattab r.a. menerima kiriman hadian daripada gabenornya di Azerbaijan, Utbah bin Farqad berupa kuih muih yang manis (halwa).

 

Utusan yang membawa hadiah itu meletakkan halwa di hadapan Umar.

Umar bertanya: “Apakah ini?”

Utusan menjawab: “Halwa yang dimasak oleh penduduk Azerbaijan. Gabenormu, Utbah mengutusku supaya menyampaikannya kepadamu.”

Umar mengambil secubit halwa dan mengecapinya. Dia mendapati rasanya sangat enak dan menyelerakan. Lalu dia bertanya: “Adakah semua muslimin di sana makan makanan ini?”

Utusan menjawab: “Tidak! Sesungguhnya ini adalah makanan khusus untuk orang-orang tertentu.”


Lantas Umar r.a. menutup kembali bekas makanan itu dengan kemas lalu berkata kepada utusan: “Di manakah unta tungganganmu? Ambillah hadiah yang kamu bawa ini dan pulangkan kepada Utbah. Katakanlah kepadanya: “Umar berpesan kepadamu, bertaqwalah kepada Allah dan kenyanglah kamu (makanlah) dengan apa yang dikenyangi (dimakan) oleh muslimin!” (nabulsi.com)