Thursday, July 12, 2018

BERFIKIR


Ibn Qudamah rahimahullah berkata:

Semua manusia berfikir. Kadang-kadang mereka berfikir tentang urusan dunia. Kadang-kadang berfikir tentang urusan agama.

Dalam urusan agama sebenarnya banyak yang perlu difikirkan. Ia boleh dikategorikan kepada empat bidang:

Pertama – ketaatan (ta’aat)
Kedua – kemaksiatan (ma’asi)
Ketiga – sifat-sifat yang membinasakan (sifat muhlikat)
Keempat – sifat-sifat yang menyelamatkan (sifat munjiat)

Selanjutnya Ibn Qudamah berkata:

Setiap insan yang ingin Berjaya dan selamat di dunia dan akhirat perlu menyediakan nota atau buku catatan di mana beliau perlu menulis senarai sifat-sifat muhlikat, sifat-sifat munjiat, kemaksiatan dan ketaatan. Semua catatan itu hendaklah ditelitinya setiap hari adakah terdapat pada dirinya atau sebaliknya.

Bagi senarai muhlikat, dia berkata mencukupi bagi seseorang itu memberikan tumpuan kepada 10 sifat. Jika beliau terselamat daripada 10 sifat itu, beliau akan selamat daripada yang selainnya. Begitu juga munjiat. Terdapat 10 sifat yang perlu diberikan perhatian.

10 muhlikat yang perlu diberi perhatian adalah:
1.     Bakhil
2.     Sombong atau takabbur
3.     Ujub
4.     Riaa’
5.     Hasad
6.     Marah yang berlebihan
7.     Gelojoh dalam makanan
8.     Gelojoh dalam hubungan sexual
9.     Cintakan harta
10.  Cintakan pangkat dan kedudukan

10 munjiat yang perlu diberikan perhatian adalah:
1.     Menyesali dosa-dosa
2.     Sabar menempuh dugaan kesusahan
3.     Redha dengan ketentuan
4.     Syukur atas segala pemberian
5.     Seimbang di antara takut dan harap kepada Allah
6.     Zuhud di dunia
7.     Ikhlas dalam beramal
8.     Berakhlak mulia dengan makhluk
9.     Cintakan Allah Ta’ala
10.  Khusyuk

Itulah 20 sifat yang perlu diberi tumpuan yang ditulis di dalam buku catatan.
10 muhlikat dan 10 munjiat.

Jika satu daripada sifat-sifat muhlikat telah tersingkir dari dirinya, maka gariskan dengan tanda pangkah. Lalu berikan tumpuan untuk menyingkirkan sifat-sifat yang lain pula.

Begitu juga sekiranya satu daripada sifat-sifat munjiat telah dikuasainya, bersyukurlah kepada Allah. Gariskan sifat itu dengan tanda pangkah. Lalu berikan tumpuan untuk membina dan menguasai sifat-sifat yang lain pula.


Petikan daripada “Mukhtasar Minhaj al-Qasidin”

No comments: