Wednesday, October 03, 2018

LA IKRAHA FIDDIN


“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

At-Tobari berkata:

Ahli tafsir berbeza pendapat tentang makna “tiada paksaan dalam agama”. Sebahagian mereka berkata ayat ini turun untuk menjawab kemusykilan kaum Ansar atau seorang lelaki dari kalangan mereka yang mempunyai beberapa orang anak yang telah mereka jadikan penganut agama yahudi atau nasrani. Apabila Allah menurunkan Islam, mereka mahu memaksa anak-anak mereka itu agar memeluk Islam. Maka Allah melarang mereka berbuat demikian. Sebaliknya mereka hendaklah membiarkan anak-anak mereka itu sendiri yang memilih untuk memeluk Islam.

Antara riwayat yang menyebut demikian ialah apa yang diambil daripada Sa’eid bin Jubair r.a. daripada Ibn Abbas r.a., “Seorang wanita dikatakan miqlat, iaitu selalu kematian anak. Lalu dia bernazar sekiranya ada anaknya yang hidup dia akan menjadikan anak itu yahudi. Ketika Bani Nadhir diusir dari Madinah, terdapat bersama dengan mereka anak-anak orang Ansar (termasuk anak wanita itu). Mereka bertekad tidak akan membiarkan anak-anak mereka bersama yahudi. Lalu Allah turunkan ayat ini.”

Riwayat yang lain, daripada maula Zaid bin Thabit daripada Ikrimah atau Sa’eid bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a., ayat ini turun mengenai seorang lelaki Ansar daripada Bani Salim bin Auf bernama Husoin. Dia mempunyai dua orang anak yang menganut Nasrani sedangkan dia seorang muslim. Dia berkata kepada Nabi s.a.w. “Tidakkah aku harus memaksa kedua-duanya? Sesungguhnya kedua-duanya tidak mahu terima kecuali Nasrani!” Maka Allah menurunkan ayat ini bagi menjawab persoalan itu.

ULASAN

Ayat di atas serta sebab nuzulnya sebagaimana yang dinaqalkan oleh mufassir at-Tobari, pada pendapat saya sangat penting untuk direnungi.

Dalam masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama, seringkali berlaku seseorang memeluk Islam tanpa diikuti pasangannya. Lantas selepas memeluk Islam dia segera menukarkan agama anaknya yang belum baligh kepada Islam tanpa mendapat persetujuan pasangannya yang belum Islam.

Maka berlakulah perebutan. Kes dibawa ke mahkamah pelbagai peringkat. Ditakdirkan pihak yang belum Islam menang. Maka agama anak ditukar kembali kepada agama asal ibu / bapa yang menang.

Lalu umat Islampun rasa sensitive dan tercabar. Islam telah dihina, ditindas dan diperkotak-katikkan di negara yang agama rasminya adalah Islam.

Kalau kita renungi ayat di atas serta sebab turunnya, Allah memberikan kebebasan kepada hambaNya untuk memilih agama mereka. Justeru, tanggungjawab kita sebagai muslim adalah memberi penerangan dengan jelas dan berhikmah supaya nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Apabila telah nyata, maka terserah kepada mereka membuat pilihan sama ada menerima atau masih belum mahu menerima.


Jika mereka masih belum menerima, teruskan usaha dakwah. Tidak perlu rasa bersalah jika mereka terus enggan kerana hidayah adalah milik Allah.

Tuesday, October 02, 2018

MUSIBAH MENINGGIKAN DARJAT


Diriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi Musa ‘alaihissalam:
“Wahai Musa, tolonglah tuan mohon kepada Allah untuk saya, agar Dia menunaikan hajat saya yang mana Dia yang maha mengetahui tentang hajat saya itu!”

Maka Nabi Musapun berdoa kepada Allah agar menunaikan hajat lelaki itu.

Apabila Nabi Musa turun dari tempat ibadahnya, dia mendapati lelaki itu mati dibunuh oleh bintang buas. Badannya luka parah disiat-siat.

Nabi Musa bertanya penuh keheranan: “Wahai Tuhanku, kenapa dengan lelaki ini?”

Allah Ta’ala menjawab: “Wahai Musa, sesungguhnya dia meminta kepadaKu darjat (kedudukan di syurga) yang Aku ketahui bahawa amalannya tidak akan menyampaikannya ke darjat itu. Lalu Aku timpakannya musibah seperti yang engkau saksikan supaya musibah itu menjadi wasilah untuknya sampai ke darjat yang dia minta itu!”

Apabila disebutkan kisah ini, Abu Sulaiman ad-Darani berkata: “Maha Suci Allah. Sesungguhnya Dia berkuasa jika Dia mahu lelaki itu mencapai darjat yang dia minta tanpa bencana yang menimpanya itu. Namun, demikianlah Dia berbuat apa yang Dia kehendaki!”


Al-Jami’ liAhkam alQuran, AQurtubi (wafat 671H).

Wednesday, September 19, 2018

TADABBUR : PEMIMPIN DAN YANG DIPIMPIN


ALLAH Ta’ala berfirman maksudnya:

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.” (Asy-Syu'araa' 26:215)

Perintah di dalam ayat ini ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. supaya merendah diri kepada pengikut-pengikutnya.

Di dalam ayat lain Allah perintahkan kepada pengikut-pengikutnya agar taat kepada Nabi s.a.w.
Antara ayat yang memerintahkan demikian adalah:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.” 

“Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar (Al-Quran yang mewajibkan taatnya).” 

Dan banyak lagi….

Namun begitu, terdapat ayat yang mengaitkan ketaatan kepada Rasul dalam perkara yang ma’ruf atau yang baik sahaja meskipun telah diketahui bahawa Rasul tidak akan menyuruh kecuali yang ma’ruf kerana baginda tidak mengeluarkan arahan mengikut nafsu, sebaliknya berdasarkan wahyu yang diterima “Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.” (An-Najm 53:3&4)

Firman Allah bermaksud:
“Wahai Nabi! Apabila orang-orang perempuan yang beriman datang kepadamu untuk memberi pengakuan taat setia, bahawa mereka tidak akan melakukan syirik kepada Allah dengan sesuatu pun, dan mereka tidak akan mencuri, dan mereka tidak akan berzina, dan mereka tidak akan membunuh anak-anaknya, dan mereka tidak akan melakukan sesuatu perkara dusta yang mereka ada-adakan dari kemahuan hati mereka, dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik, - maka terimalah pengakuan taat setia mereka dan pohonkanlah kepada Allah mengampuni dosa mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Perhatikan dalam ayat di atas (dan mereka tidak akan menderhaka kepadamu dalam sesuatu perkara yang baik). Terserlah betapa Maha Bijak dan Maha Sempurnanya Allah mendidik hambaNya, agar kita insafi bahawa selagi sesuatu arahan itu datagnya dari manusia maka ada kemungkinan terselit sesuatu yang tidak baik walaupun dia adalah seorang rasul!

Namun ini tidak bermakna kita beri’tiqad Rasul tidak maksum. Sekadar memetik pengajaran daripada firman Allah yang mengaitkan wajib taat kepada Rasul dalam perkara ma’ruf dalam ayat tersebut. Maka, apa lagi kalau pemimpin itu bukan Rasul? Pastinya kemungkinan untuk mengeluarkan arahan yang tidak tepat itu sentiasa ada.
Justeru, pemimpin diperintahkan agar merendah diri dan tidak sombong kepada pengikut (Asy-Syu'araa' 26:215).

Pengajaran:

Pemimpin dan pengikut mempunyai tanggungjawab secara timbal balik terhadap satu sama lain.
Pengikut wajib taat kerana ketaatan adalah disiplin yang menjamin kelancaran perjalanan organisasi sama ada besar atau kecil.
Pemimpin mesti merendah diri, mesra dan santun. Tidak sombong dan berlagak seperti serba tahu.

Kerana matlamat kedua-dua pihak, pemimpin dan yang dipimpin hanyalah satu: mengharap radha Allah Rabb al’alamin.