“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya
telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang
tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia
telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus.
Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
At-Tobari berkata:
Ahli tafsir berbeza pendapat tentang makna “tiada paksaan
dalam agama”. Sebahagian mereka berkata ayat ini turun untuk menjawab
kemusykilan kaum Ansar atau seorang lelaki dari kalangan mereka yang mempunyai
beberapa orang anak yang telah mereka jadikan penganut agama yahudi atau
nasrani. Apabila Allah menurunkan Islam, mereka mahu memaksa anak-anak mereka
itu agar memeluk Islam. Maka Allah melarang mereka berbuat demikian. Sebaliknya
mereka hendaklah membiarkan anak-anak mereka itu sendiri yang memilih untuk
memeluk Islam.
Antara riwayat yang menyebut demikian ialah apa yang diambil
daripada Sa’eid bin Jubair r.a. daripada Ibn Abbas r.a., “Seorang wanita
dikatakan miqlat, iaitu selalu kematian anak. Lalu dia bernazar sekiranya ada
anaknya yang hidup dia akan menjadikan anak itu yahudi. Ketika Bani Nadhir
diusir dari Madinah, terdapat bersama dengan mereka anak-anak orang Ansar
(termasuk anak wanita itu). Mereka bertekad tidak akan membiarkan anak-anak
mereka bersama yahudi. Lalu Allah turunkan ayat ini.”
Riwayat yang lain, daripada maula Zaid bin Thabit daripada
Ikrimah atau Sa’eid bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a., ayat ini turun mengenai
seorang lelaki Ansar daripada Bani Salim bin Auf bernama Husoin. Dia mempunyai
dua orang anak yang menganut Nasrani sedangkan dia seorang muslim. Dia berkata
kepada Nabi s.a.w. “Tidakkah aku harus memaksa kedua-duanya? Sesungguhnya
kedua-duanya tidak mahu terima kecuali Nasrani!” Maka Allah menurunkan ayat ini
bagi menjawab persoalan itu.
ULASAN
Ayat di atas serta sebab nuzulnya sebagaimana yang
dinaqalkan oleh mufassir at-Tobari, pada pendapat saya sangat penting untuk
direnungi.
Dalam masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai bangsa
dan agama, seringkali berlaku seseorang memeluk Islam tanpa diikuti
pasangannya. Lantas selepas memeluk Islam dia segera menukarkan agama anaknya
yang belum baligh kepada Islam tanpa mendapat persetujuan pasangannya yang belum
Islam.
Maka berlakulah perebutan. Kes dibawa ke mahkamah pelbagai
peringkat. Ditakdirkan pihak yang belum Islam menang. Maka agama anak ditukar
kembali kepada agama asal ibu / bapa yang menang.
Lalu umat Islampun rasa sensitive dan tercabar. Islam telah
dihina, ditindas dan diperkotak-katikkan di negara yang agama rasminya adalah
Islam.
Kalau kita renungi ayat di atas serta sebab turunnya, Allah
memberikan kebebasan kepada hambaNya untuk memilih agama mereka. Justeru, tanggungjawab
kita sebagai muslim adalah memberi penerangan dengan jelas dan berhikmah supaya
nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Apabila telah nyata, maka
terserah kepada mereka membuat pilihan sama ada menerima atau masih belum mahu
menerima.
Jika mereka masih belum menerima, teruskan usaha dakwah. Tidak
perlu rasa bersalah jika mereka terus enggan kerana hidayah adalah milik Allah.
No comments:
Post a Comment