Monday, July 08, 2019

7 TIPS MERAIH REZEKI


1.     Yakin bahawa setiap orang telah tertulis rezeki untuknya. Lambat atau cepat pasti akan diperolehi apa yang telah ditulis untuknya
2.     Banyak rezeki bukan tanda mulia, sedikit rezeki bukan tanda hina. Kedua-duanya adalah ujian semata-mata
3.     Allah memberi ada hikmahnya, Dia menahan juga ada hikmahnya
4.     Usah resah menanti tibanya rezeki sehingga terdorong melakukan perkara yang haram untuk mempercepatkannya
5.     Pilih jalan yang halal serta tawakkal dengan tenang dan penuh yakin, janji Allah pasti terlaksana
6.     Ingat selalu pesanan Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Jangan tergesa-gesa di dalam mencari rezeki.
Kerana sesungguhnya tidak akan mati seseorang hamba (manusia) sehingga sampai kepadanya bahagian terakhir daripada rezeki yang diperuntukkan baginya.
Maka perelokkanlah di dalam mencarinya.
Ambillah yang halal dan tinggalkanlah yang haram!” (Silsilah Sahihah no 2607)
7.     Banyakkan syukur, rezeki kian subur :
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".


1

Saturday, July 06, 2019

SILATUL RAHIM


Sebulan Syawal dipenuhi dengan aktiviti dan acara sambutan hari raya. Antara tujuannya selain menzahirkan rasa syukur di atas segala ni’mat anugerah Allah ‘Azza wa Jalla, ialah mengeratkan silatul rahim dan mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama insan pelbagai golongan.

Islam sangat menitik beratkan silatul rahim di kalangan umatnya. Ganjaran untuk mereka yang menghubungkan tali persaudaraan bukan sahaja akan dapat diraih di akhirat, malah disegerakan balasan sejak di dunia ini lagi. Hal ini dinyatakan di dalam sepotong hadis yang bermaksud:
“Sesiapa yang suka dilapangkan baginya rezekinya dan diberkati pada usianya, maka hendaklah dia menghubungkan silatul rahim.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.

Terdapat beberapa pandangan ulamak tentang maksud “diberkati pada usianya”.
Antara pandangan yang diutarakan:
i.               dipanjangkan usianya
ii.              diberi petunjuk melakukan amal soleh sepanjang hayatnya
iii.             diilhamkan untuk memanfaatkan setiap detik umurnya dengan amala-amalan yang mendatangkan kebaikan untuknya di dunia dan akhirat
iv.             dikenangi, disebut-sebut dan dimanfaatkan kebaikan yang lakukannya selepas kematiannya

itu adalah ganjaran di dunia selain ganjaran besar menanti di akhirat sana.


Mudah-mudahan aktiviti kunjung mengunjung sepanjang Syawal yang barlalu khususnya dan berterusan sepanjang tahun umumnya dicatat dan diterima sebagai usaha mengeratkan silatul rahim yang besar pahala serta ganjarannya itu.

Wednesday, July 03, 2019

INTEGRITY



Daripada Abi Humayd Abdul Rahman bin Saad as-Sa’eidy r.a.
Beliau menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melantik seorang lelaki daripada al-Azdi yang dikenali sebagai Ibn al-Lutaibah sebagai amil zakat.
Selepas menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya, dia kembali ke Madinah menyerahkan hasil yang dipungutnya kepada Rasulullah s.a.w.
Dia berkata: “Inilah hasilnya (sambil menunjukkan harta yang diperolehinya) untuk anda (baitul-mal). Dan ini (sambil menunjukkan kepada bahagian yang lain) bahagian yang dihadiahkan kepada saya.”
Mendengar laporan yang sampaikan oleh amilnya itu, Rasulullah s.a.w. terus bangkit menaiki minbar dan menyampaikan ucapan.
Baginda memuji Allah dan mengulangi pujiannya. Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku telah melantik seseorang dari kalangan kamu untuk menjalankan satu tugas yang diamanahkan oleh Allah kepadaku. Kemudian dia kembali kepadaku dengan berkata, “ini untuk kamu dan ini hadiah yang diberikan kepadaku”.
Kenapa dia tidak duduk di rumah ayahnya atau di rumah ibunya menunggu datangnya hadiah kepadanya kalau dia benar berhak menerimanya? Demi Allah! Tidak ada seorangpun dari kalangan kamu yang mengambil sesuatu yang bukan haknya kecuali dia akan menemui Allah pada hari qiamat dengan membawa bersamanya apa yang diambilnya itu. Sesungguhnya aku tidak akan mengenali seseorang daripada kamu yang membawa bersama dengannya unta yang menjerit, lembu yang mengeboo atau kambing yang mengembek!”
Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya sehingga ternampak dua ketiaknya yang putih melepak seraya bersabda: “Ya Allah, adakah aku telah sampaikan?” sebanyak tiga kali.” Muttafaq ‘alaih

Pengajaran:

1.     Islam menekankan kejujuran, ketulusan, ketelusan, amanah serta sikap bertanggungjawab.
2.     Tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu seseorang merupakan amanah daripada Allah SWT
3.     Kejujuran dan ketulusan di dalam menjalankan tanggungjawab bukan dinilai setakat di dunia semata-mata. Malah akan dihisab dan dibalas oleh Allah di akhirat kelak.

4.     Akhlak yang mulia bukan pilihan. Ia tidak terpisah dari agama. Sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada agama itu sendiri.