Wednesday, July 03, 2019

INTEGRITY



Daripada Abi Humayd Abdul Rahman bin Saad as-Sa’eidy r.a.
Beliau menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melantik seorang lelaki daripada al-Azdi yang dikenali sebagai Ibn al-Lutaibah sebagai amil zakat.
Selepas menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya, dia kembali ke Madinah menyerahkan hasil yang dipungutnya kepada Rasulullah s.a.w.
Dia berkata: “Inilah hasilnya (sambil menunjukkan harta yang diperolehinya) untuk anda (baitul-mal). Dan ini (sambil menunjukkan kepada bahagian yang lain) bahagian yang dihadiahkan kepada saya.”
Mendengar laporan yang sampaikan oleh amilnya itu, Rasulullah s.a.w. terus bangkit menaiki minbar dan menyampaikan ucapan.
Baginda memuji Allah dan mengulangi pujiannya. Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku telah melantik seseorang dari kalangan kamu untuk menjalankan satu tugas yang diamanahkan oleh Allah kepadaku. Kemudian dia kembali kepadaku dengan berkata, “ini untuk kamu dan ini hadiah yang diberikan kepadaku”.
Kenapa dia tidak duduk di rumah ayahnya atau di rumah ibunya menunggu datangnya hadiah kepadanya kalau dia benar berhak menerimanya? Demi Allah! Tidak ada seorangpun dari kalangan kamu yang mengambil sesuatu yang bukan haknya kecuali dia akan menemui Allah pada hari qiamat dengan membawa bersamanya apa yang diambilnya itu. Sesungguhnya aku tidak akan mengenali seseorang daripada kamu yang membawa bersama dengannya unta yang menjerit, lembu yang mengeboo atau kambing yang mengembek!”
Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya sehingga ternampak dua ketiaknya yang putih melepak seraya bersabda: “Ya Allah, adakah aku telah sampaikan?” sebanyak tiga kali.” Muttafaq ‘alaih

Pengajaran:

1.     Islam menekankan kejujuran, ketulusan, ketelusan, amanah serta sikap bertanggungjawab.
2.     Tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu seseorang merupakan amanah daripada Allah SWT
3.     Kejujuran dan ketulusan di dalam menjalankan tanggungjawab bukan dinilai setakat di dunia semata-mata. Malah akan dihisab dan dibalas oleh Allah di akhirat kelak.

4.     Akhlak yang mulia bukan pilihan. Ia tidak terpisah dari agama. Sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada agama itu sendiri.

No comments: