Saturday, July 06, 2019

SILATUL RAHIM


Sebulan Syawal dipenuhi dengan aktiviti dan acara sambutan hari raya. Antara tujuannya selain menzahirkan rasa syukur di atas segala ni’mat anugerah Allah ‘Azza wa Jalla, ialah mengeratkan silatul rahim dan mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama insan pelbagai golongan.

Islam sangat menitik beratkan silatul rahim di kalangan umatnya. Ganjaran untuk mereka yang menghubungkan tali persaudaraan bukan sahaja akan dapat diraih di akhirat, malah disegerakan balasan sejak di dunia ini lagi. Hal ini dinyatakan di dalam sepotong hadis yang bermaksud:
“Sesiapa yang suka dilapangkan baginya rezekinya dan diberkati pada usianya, maka hendaklah dia menghubungkan silatul rahim.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.

Terdapat beberapa pandangan ulamak tentang maksud “diberkati pada usianya”.
Antara pandangan yang diutarakan:
i.               dipanjangkan usianya
ii.              diberi petunjuk melakukan amal soleh sepanjang hayatnya
iii.             diilhamkan untuk memanfaatkan setiap detik umurnya dengan amala-amalan yang mendatangkan kebaikan untuknya di dunia dan akhirat
iv.             dikenangi, disebut-sebut dan dimanfaatkan kebaikan yang lakukannya selepas kematiannya

itu adalah ganjaran di dunia selain ganjaran besar menanti di akhirat sana.


Mudah-mudahan aktiviti kunjung mengunjung sepanjang Syawal yang barlalu khususnya dan berterusan sepanjang tahun umumnya dicatat dan diterima sebagai usaha mengeratkan silatul rahim yang besar pahala serta ganjarannya itu.

No comments: