Wednesday, October 08, 2014

Jauh perjalanan banyak pengalaman

Jauh perjalanan banyak pengalaman. Untaian kata orang tua-tua sejak dahulu kala memang ada benarnya. Pengalaman berharga yang tak mungkin ditimba tanpa perjalanan yang jauh.

Dengan izinNya aku dapat menimba pelbagai kenangan, pengalaman suka duka bermusafir di bumi Maghribi atau Morocco dari 24 September 2014 hingga 6 Oktober 2014.

Musafir kali ini bersama anak dan seorang sahabat. Di KLIA, bertemu pula dengan seorang remaja yang akan menyambung pengajian di sebuah universiti di Morocco yang terletak di Marrakech.

Sebuah persoalan menerjah di mindaku; dia yang baru kali pertama akan ke Morocco dilepaskan bermusafir sendirian. Adakah benar-benar dia terlalu berani? Hebatnya tawakkal ayah dan ibunya? Padahal aku, tidak tega melepaskan anak yang akan memasuki tahun akhir (tahun ke 3)pergi bersendirian. Aku pengecut? Terlalu manjakan anak?  Atau, atau, atau? Allah jua yang maha mengetahui. Namun aku bersyukur kerana diberi kelapangan rezeki, bukan dari segi kemampuan membayar tambang, tapi seorang teman, sahabat dalam permusafiran, "Az" serta izin dan restu suami.

Daripada tiga orang, kami menjadi empat, menaiki pesawat Etihad Airways.

Dua orang daripada kami mendapat seat bersebelahan. Dua orang lagi, masing-masing terpaksa duduk bersebelahan dengan lelaki. Seorang bersebelahan dengan lelaki Melayu Muslim, dan seorang lagi bersebelahan dengan lelaki Inggeris. Kami cuba nego. Mula-mula minta lelaki Melayu pindah tempat duduk sebelah lelaki Inggeris. Dia menolak kerana katanya dia memang dah book tempat duduk tu. Cakap pula dengan lelaki Inggeria supaya dia pindah duduk sebelah lelaki Melayu. Tanpa teragak-agak, tanpa banyak bicara dia terus mengangkat begnya berpindah tempat duduk di sebelah lelaki Melayu.

Moralnya: kadang-kadang kita kedekut, tidak mahu lepaskan sesuatu yang tidak membawa apa-apa kesan untung atau rugi kepada kita. Sedangkan Islam mengajar kita supaya mengutamakan orang lain. Jika kita mudahkan urusan manusia, Allah mudahkan urusan kita.

Kagum aku melihat "Az" bawa beg kiri kanan dan belakang. Aku hanya berlenggang dengan sebuah beg tangan yang sederhana. Tidak mahu penatkan badan membawa barang-barang. Cukup menanggung kepenatan berjalan saja. Apa lagi kadang-kadang, ketika hendak turun dan naik pesawat terpaksa berjalan agak jauh. Lebih-labih lagi kalau transit, terpaksa pula berjalan tukar terminal atau gate perlepasan.

Ketika transit di Abu Dhabi selepas terbang di udara lebih daripada enam jam, baru aku faham kenapa "Az" sanggup bawa beg yang banyak di tangan. Beg-beg itu rupanya diisi telekung, sejadah, selipar untuk ke tandas dan paling mengkagumkan siap bawa bekalan nasi kerabu! Subhanallah! Transit di Abu Dhabi selama tujuh  jam, memang amat-amatlah berguna bekalan nasi kerabu. Cuba jenguk-jenguk makanan yang dijual di airport, sekeping pizza berharga USD9. Darab dengan 3.2 dah dekat RM30. Terasa membazir saja nak beli. Maka nasi kerabu jadi penyelamat. Syukur alhamdulillah. Jazakillah, "Az".


Lapangan Terbang Abu Dhabi

Pelajar-pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Morocco bertaburan di beberapa buah bandar (Casablanca, Rabat, Fes, Tanger, Marrakech, Muhammadiah dan Kenetra) dalam pelbagai peringkat dari Sarjana Muda hingga ke peringkat PhD dalam bidang-bidang pengajian Islam, Syariah, Usuluddin dan Bahasa Arab. Di sini pembelajaran di universiti adalah percuma. Tiada yuran dikenakan. Malah ada di kalangan pelajar yang dapat biasiswa lagi daripada kerajaan Morocco walaupun telah dapat tajaan daripada Pusat Zakat atau Majlis Agama negeri. Pelajar yang tidak mendapat mana-mana tajaan, ibu bapa hanya perlu menyediakan perbelanjaan sara hidup saja. Ianya tidak terlalu mahal. Tukaran matawang pula, 100 Euro bersamaan lebih kurang 1000 hingga 1100 Dirham.

Selain Rabat yang merupakan ibu negara dan tempat anakku belajar, kami sempat melawat beberapa tempat dengan menyewa sebuah kereta berharga 500 dirham sehari selama satu minggu. Kereta dipandu oleh seorang pelajar yang lulus Sarjana Muda dalam bidang Lughah dan sedang menunggu kelulusan untuk sambung pengajian di peringkat sarjana. Di Rabat sempat merasa makanan rasmi Morocco, kuskus (couscous) di restoran Dar Naji tidak jauh dari kediaman anakku. Rupanya mereka hanya menjual dan memasak kuskus pada hari Jumaat sahaja.


Kuskus
Universiti Muhammad V Rabat

Tempat-tempat yang sempat di lawati:
.
1.     Casablanca, di sini tersergam Masjid Hasan II. Semasa siap dibina pada tahun 1993 masjid ini merupakan masjid ke 2 terbesar di dunia selepas Masjidil Haram di Mekah. Ia direka oleh arkitek Perancis, Michel Pinseau dan Bouygues. Menara masjid ini adalah yang tertinggi di dunia iaitu setinggi 200m. Namun suasana waktu solat selain Jumaat, hari raya, tarawih di bulan tetap lengang. Fenomena yang menyedihkan hampir seluruh dunia Islam.


2.     Fes, kadang-kadang ejaannya adalah Fez. Di sini terdapat Suq Qadim atau pasar lama yang sangat meriah dengan pelbagai perusahaan tradisi dan penjualan bermacam-macam jenis barang buatan tempatan. Antara yang menarik adalah perusahaan kulit yang masih dilakukan dengan cara tradisional. Di sini juga terdapat Al-Qarawiyyin, yang ditubuhkan pada tahun 859 M, madrasah atau universiti yang tertua di dunia.


3.     Tanger, merupakan bandar pelabuhan yang terletak di pertemuan antara Laut Mediterranean dengan Lautan Atlantic. Di sini juga tanah tumpah darah pengembara Islam yang terkenal, Ibn Batutah serta maqamnya.




4.     Volubilis, kota tinggalan Rom terletak di Meknes, di antara Fes dengan Rabat.





5.    Marrakech, dikenali sebagai "Mutiara dari Selatan," ialah kota di barat daya Morocco terletak di kaki Pegunungan Atlas. Sayangnya kami tidak sempat sampai ke kaki Pergunungan Atlas kerana kesuntukan masa. Yang sempat dilawati adalah Istana lama dan pasarnya yang cukup-cukup memukau. Dan agak memeranjatkan ketika kami melintasi sebuah kedai yang menjual barangan kulit keluaran tempatan, penjual bertanya adakah kamu dari Malaysia? Apabila kami jawab, ya. Terus dengan sepontan dia bertanya: "Where is MH307?". Kami hanya mampu menjawab: "Allahu A'lam!" Dan terus berlalu dari situ.

Dalam perjalanan dari Volubilis ke Tanger kami berhenti di sebuah masjid untuk solat zohor. Rupa-rupanya masjid di sini hanya dibuka pada waktu solat. Waktu kami sampai di situ lebih kurang pukul 2.30 petang. Masjid telah dikunci. Pemandu kami bertanya seorang akh pemilik bengkel kereta yang terletak di hadapan masjid tempat yang boleh kami tunaikan solat. Dengan senang hatinya dia masuk ke sebuah lorong yang katanya ada zawiah (biasanya tempat orang belajar al-Quran atau mengaji kitab) yang mungkin boleh ditumpang. Namun dia kembali dengan hampa. Zawiahpun tutup. Lalu dia hadiahkan kami sebidang tikar kecil saiz sebesar sejadah untuk kami solat di mana-mana yang kami fikir sesuai. Kami solat di luar masjid, di hadapan pintunya.

Selain melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah, sempat juga menyampaikan satu tazkirah kepada sebahagian pelajar yang berada di Rabat. Di dalam tazkirah itu, aku tekankan dua perkara, iaitu tanggungjawab mereka yang terpilih untuk belajar agama di negara yang menggunakan Bahasa Arab sebagai pengantar, iaitu tanggungjawab untuk menyebarkan Islam kepada umat manusia, khususnya di tanahair sendiri setelah pulang nanti. Perkara pertama ini didasarkan pada firman Allah surah at-Taubah : 122 (Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Perkara kedua ialah dalam usaha menyebarkan Islam mereka tidak boleh lakukan secara sendirian. Mereka hendaklah melakukan secara berjamaah, di dalam organisasi yang tersusun kukuh. Dan perkara yang kedua didasarkan kepada firman Allah surah as-Saf : 4 (Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh), surah al-Anfal : 73 (Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.) dan al-Maidah : 2 (dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).

Dan paling menarik adalah pengalaman solat hari raya di Masjid Badar, berhampiran dengan kediaman anakku dan kawan-kawannya. Hari Raya Haji tahun ini disambut sama dengan Malaysia, satu hari lebih lewat daripada Saudi. Mula-mula mendengar laungan takbir, tidak dapat ditangkap apa yang mereka sebut. Iramanya berbeza dengan di Malaysia dan kalimah-kalimahnyapun berlainan. Setelah diamati dua tiga kali, barulah jelas apa yang mereka ucapkan. Yang bestnya ialah khutbah yang disampaikan ringkas, padat dan tepat. Tak sempat rasa jemu dan mengantuk, dah pun selesai.
Lafaz takbir mereka:
الله اكبر
الله اكبر
الله اكبر
وسبحان الله
والحمدلله
ولا حول ولا قوة الا بالله
لا اله الا الله

Petang, menghadiri jamuan raya di bangunan kedutaan Malaysia di Morocco. Sepanjang ingatan, inilah kali pertama berhari raya di kedutaan Malaysia di luar negara. Semasa menuntut di Mesir akhir tahun 70an dulu aku tak pernahpun beraya di kedutaan. Pergi ke kedutaan hanya untuk urusan paspot dan ambil duit bantuan kerajaan. Daging kambing qurban dimasak oleh siswa. Manakala kuih muih dibawa oleh siswi yang telah dimasak di rumah masing-masing. Alhamdulillah dapat bertemu dengan warga Malaysia di sini termasuk pegawai-pegawai yang mesra dan baik hati. Duta suami isteri tidak bersama kerana sedang menunaikan haji.

Di sekitar bangunan kedutaan


Pagi Isnin 6 Oktober, pagi-pagi selepas Subuh bergerak dari Rabat ke Casablanca dengan train untuk menaiki pesawat yang dijangka berlepas pada jam 1300.
Penerbangan dari Casablanca ke Abu Dhabi mengambil masa hampir lapan jam. Sebaris dengan kami tiga lelaki Saudi yang hendak ke Australia asyik meneguk wine. Entah berapa gelas tak terkirakan. Sehinggakan ketika pelayan menghidang air panaspun dia minta wine. Namun pelayan jawab: I don't have!


7 Oktober 2014, jam 1320 pesawat EY 413 selamat mendarat di KLIA alhamdulillah. Morocco tetap segar di ingatan, terutama buah-buahannya yang pelbagai, segar, lazat dan murah ......

Monday, September 22, 2014

Menolak Kebenaran

Ibn Ishaq menceritakan bahawa Muhammad bin Muslim bin Syihab memberitahunya, sesungguhnya Abu Sufyan bin Harb, Abu Jahal bin Hisyam dan Akhnas bin Syuraiq telah keluar pada waktu malam untuk mendengar bacaan al-Quran yang dialunkan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda menunaikan solat malam di rumahnya.

Setiap orang daripada mereka mengambil tempat duduk yang berlainan. Masing-masing tidak mengetahui hal satu sama lain. Sepanjang malam  mereka duduk mendengar, sehingga apabila terbit fajar, semuanya bangkit untuk pulang. Mereka bertembung dipersimpangan jalan. Maka masing-masing mencela antara satu sama lain. Mereka memberi amaran terhadap satu sama lain agar jangan ulangi lagi pada masa akan datang kerana jika rahsia itu diketahui oleh kaum mereka pasti mereka akan menyangka yang bukan-bukan.

Merekapun bersurai.

Malam berikutnya berlaku peristiwa yang sama. Apabila terbit fajar, mereka bertembung di tempat yang sama, berlaku dialog yang sama dan bersurai dengan membawa amaran yang sama.

Malam ketiga mereka datang lagi. Mendengar sehingga terbit matahari. Ketika bertembung di persimpangan jalan pada hari ketiga, masing-masing berkata, hari ini kita tidak akan tinggalkan tempat ini sebelum berjanji kita tidak akan datang lagi selepas ini. Setelah mengikat janji, barulah mereka beredar.

Pada siang hari itu, dengan bertongkat Akhnas datang menemui Abu Sufyan di rumahnya.  Dia berkata kepada Abu Sufyan, "Wahai Abu Hanzalah, ceritakan kepadaku apa pendapatmu tentang apa yang kamu dengar daripada Muhammad?" Abu Syufyan menjawab, "Wahai Abu Tha'labah, demi Allah! Sesungguhnya aku mendengar beberapa perkara yang aku mengetahuinya dan aku mengetahui apa yang dimaksudkannya. Dan aku mendengar perkara-perkara yang aku tidak mengetahui maknanya dan apa yang dimaksudkannya?" Akhnas berkata, "Dan aku, sama seperta apa yang kamu tegaskan."

Dari rumah Abu Sufyan, Akhnas terus ke rumah Abu Jahal. Setelah masuk, dia bertanya, "Wahai Abu al-Hakam, apa pendapatmu tentang apa yang kamu dengar daripada Muhammad?" Abu Jahal menjawab, "Apa yang kamu sendiri dengar! Tetapi qabilahku selalu berebut kedudukan dan kelebihan dengan qabilah Abdu Manaf! Mereka menjamu faqir miskin, kamipun menjamu. Mereka menyediakan kenderaan, kamipun menyediakan juga. Mereka membahagi-bahagikan hadiah, kamipun membahagikan juga. Sehingga apabila kami telah hampir-hampir menyamai dari segenap lapangan, tiba-tiba mereka mengisytiharkan: "dari kalangan kami ada nabi yang menerima wahyu dari langit!" Maka bilakah pihak kami akan dapat mengejar mereka untuk mendapatkan kedudukan seperti itu? Maka demi Allah! Kami tidak akan beriman kepadanya selama-lamanya. Kami tidak akan mengakui kebenarannya!" Mendengar jawapan yang jelas dan tegas itu, Akhnaspun beredar.....

Jelas bahawa kadang-kadang manusia menolak kebenaran bukan kerana kebenaran itu tidak sampai kepada mereka, bukan kerana kebenaran itu kabur, tidak jelas dan tidak ada bukti. Tetapi mereka menolaknya kerana sebab-sebab yang ada pada diri mereka sendiri: sombong, ego, dengki, cemburu dan lain-lain lagi.


Semoga kita dijauhkan Allah daripada sifat-sifat yang keji itu.

Thursday, September 11, 2014

Ustaz Mustafa Masyhur rahimahullah


Dilahirkan pada 15 September 1921 di kampung Sa'diyyin dalam Muhafadzah (jajahan) Syarqiyyah, Mesir.
Memasuki Fakulti Sains Universiti Fuad 1 (Universiti Cairo sekarang) dan lulus pada tahun 1942 dengan mendapat sarjana muda dalam bidang sains. Selepas keluar dari universiti beliau bekerja sebagai peramal cuaca.
Menganggotai dakwah Ikhwan pada musim bungan tahun 1936 ketika berusia 15 tahun.
Pada tahun 1940, Imam Hasan al-Banna telah menubuhkan satu tanzim khas menghimpunkan yang terbaik di segi akhlak dan agama serta keikhlasan terhadap fikrah jihad dari kalangan pemuda. Tujuan penubuhannya ialah melatih para pemuda dengan latihan peperangan tahap tinggi demi untuk membebaskan Mesir dari penjajahan Inggeris dan Palestin dari penjajahan Inggeris yang bukan saja menjajahnya, malah bersekongkol dengan Yahudi dalam perancangan mewujudkan tanah air dan negara buat mereka di bumi Palestin. Mustafa adalah seorang daripada anggota tanzim itu.

1945 beliau berkahwin dengan sepupunya Zubaidah Abdul Halim yang merupakan seorang wanita solehah, setia mendukung dakwah bersama suami dan ahli keluarganya. Pada permulaan perkahwinan mereka, berlaku dialog yang menggambarkan betapa hebat cinta mereka kepada dakwah.
Mustafa : Sesungguh isteriku yang pertama adalah dakwah. Anti adalah isteriku yang kedua. Maka janganlah anti cemburu kepadanya jika aku pulang lewat atau aku sibuk dengannya sehingga tidak sempat memberikan sepenuh perhatian kepadamu.
Zubaidah : Dan aku adalah khadam kepada isteri pertamamu itu!
Isteri tercinta dipanggil terlebih dahulu mengadap PenciptaNya pada 2 Oktober 1997.Pada tahun 1948 Mustafa menghadapi satu tuduhan berat dalam isu yang dikenali sebagai "Sayyarah al-Jib". Perbicaraan kes itu meleret sehingga ke 89 sesi dari tahun 1948 hingga 1952. Akhirnya dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Pada tahun 1954 sekali lagi dia ditangkap dalam satu kes dikenali sebagai tragedi al-Mansyiyyah di mana tragedi itu merupakan rekaan semata-mata yang dirancang oleh persiden Jamal Abdul Nasir dengan kerjasama perisik Amerika. Dia dihadapkan ke Mahkamah Revolusi dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun dengan kerja berat. Mahkamah olok-olok itu hanya mengambil masa tiga minit sahaja.  Dia dipindahkan dari penjara Harbi ke penjara Liman Toroh kemudian ke penjara Wahat Kharijiyyah. Penjara terakhir itu merupakan khemah terbuka siang dan malam, musim panas dan musim sejuk, dikawal ketat oleh pengawal yang garang dan dilingkungi dengan pagar besi berduri. Selama 10 tahun meringkuk di dalam penjara, akhirnya keluar pada bulan November tahun 1964.

Pada tahun 1965, ketika Jamal Abdul Nasir sedang mengadakan lawatan ke Moscow, ketika dia sedang melawat kubur Lenin, dia mendedahkan bahawa dia telah dapat membongkar satu konspirasi untuk menggulingkan pemerintahannya. Konspirasi itu diketuai oleh Sayyid Qutub. Satu keputusan yang memeranjatkan di mana mereka yang baru dibebaskan ditangkap semula. Dan Mustafa ditangkap selepas beberapa bulan saja keluar dari penjara. Siksaan yang dialaminya amat teruk. Namun dia tetap tabah dan sabar sambil mengingatkan ahli-ahli Ikhwan agar terus bersabar menghadapi ujian. Tetaplah dia di dalam penjara sehingga Jamal Abdul Nasir menenui ajalnya.

Awal tahun 1971, presiden Anuar Sadat memerintahkan agar semua tahanan dari kalangan Ikhwan dibebaskan.
Selepas peristiwa pembunuhan Sadat 1981, Mustafa berada di luar Mesir sehingga 1986.
1986, Mursyid Aam Ustaz Muhammad Hamid Abu Nasr memilih Mustafa sebagai naibnya.
Pada Februari 1996 Mustafa dilantik sebagai Mursyid Aam untuk tempoh enam tahun. Kemudian dilantik semula untuk tempoh enam tahun lagi pada tahun 2002 mengikut peraturan Jamaah.

Dalam kesibukan tugas dakwah dan memimpin jamaah, serta ujian keluar masuk penjara, beliau sempat menulis tidak kurang daripada 20 buah buku di samping puluhan maqalah.

Dalam kalangan Ikhwan, beliau dikenali sebagai seorang yang kuat ibadah, setia, tawaduk, menepati masa dan janji, menghurmati tetamu dan suka membantu.
Satu peristiwa yang menunjukkan betapa beliau sangat mengambil berat tentang menepati masa, beliau diundang ke majlis pernikahan salah seorang pemuda Ikhwan yang akan diadakan di masjid ar-Ridhwan yang terletak di Madinah Nasr. Beliau datang tepat pada waktunya, namun tiada seorangpun yang ada di situ. Beliau duduk menunggu agak lama sampailah mereka datang. Beliau terus duduk mengikuti upacara majlis. Kemudian beliau memberikan sedikit ucapan. Selepas itu, beliau meninggalkan majlis dengan tenang tanpa bersungut dan tanpa menunjukkan apa-apa reaksi yang tidak menyenangkan.

Petang Khamis 9 Ramadhan Mubarak 1423 bersamaan 14 November 2002 berangkatlah hamba Allah yang telah menghabiskan usianya di jalan dakwah ini kembali ke Pangkuan Ilahnya.

Sumber:

http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=201868&SecID=373