Ibn Ishaq menceritakan bahawa Muhammad bin
Muslim bin Syihab memberitahunya, sesungguhnya Abu Sufyan bin Harb, Abu Jahal
bin Hisyam dan Akhnas bin Syuraiq telah keluar pada waktu malam untuk mendengar
bacaan al-Quran yang dialunkan oleh Rasulullah s.a.w. sewaktu baginda
menunaikan solat malam di rumahnya.
Setiap orang daripada mereka mengambil
tempat duduk yang berlainan. Masing-masing tidak mengetahui hal satu sama lain.
Sepanjang malam mereka duduk mendengar,
sehingga apabila terbit fajar, semuanya bangkit untuk pulang. Mereka bertembung
dipersimpangan jalan. Maka masing-masing mencela antara satu sama lain. Mereka
memberi amaran terhadap satu sama lain agar jangan ulangi lagi pada masa akan
datang kerana jika rahsia itu diketahui oleh kaum mereka pasti mereka akan
menyangka yang bukan-bukan.
Merekapun bersurai.
Malam berikutnya berlaku peristiwa yang
sama. Apabila terbit fajar, mereka bertembung di tempat yang sama, berlaku
dialog yang sama dan bersurai dengan membawa amaran yang sama.
Malam ketiga mereka datang lagi. Mendengar
sehingga terbit matahari. Ketika bertembung di persimpangan jalan pada hari
ketiga, masing-masing berkata, hari ini kita tidak akan tinggalkan tempat ini
sebelum berjanji kita tidak akan datang lagi selepas ini. Setelah mengikat
janji, barulah mereka beredar.
Pada siang hari itu, dengan bertongkat
Akhnas datang menemui Abu Sufyan di rumahnya.
Dia berkata kepada Abu Sufyan, "Wahai Abu Hanzalah, ceritakan
kepadaku apa pendapatmu tentang apa yang kamu dengar daripada Muhammad?"
Abu Syufyan menjawab, "Wahai Abu Tha'labah, demi Allah! Sesungguhnya aku
mendengar beberapa perkara yang aku mengetahuinya dan aku mengetahui apa yang
dimaksudkannya. Dan aku mendengar perkara-perkara yang aku tidak mengetahui
maknanya dan apa yang dimaksudkannya?" Akhnas berkata, "Dan aku, sama
seperta apa yang kamu tegaskan."
Dari rumah Abu Sufyan, Akhnas terus ke
rumah Abu Jahal. Setelah masuk, dia bertanya, "Wahai Abu al-Hakam, apa
pendapatmu tentang apa yang kamu dengar daripada Muhammad?" Abu Jahal menjawab,
"Apa yang kamu sendiri dengar! Tetapi qabilahku selalu berebut kedudukan
dan kelebihan dengan qabilah Abdu Manaf! Mereka menjamu faqir miskin, kamipun
menjamu. Mereka menyediakan kenderaan, kamipun menyediakan juga. Mereka
membahagi-bahagikan hadiah, kamipun membahagikan juga. Sehingga apabila kami
telah hampir-hampir menyamai dari segenap lapangan, tiba-tiba mereka
mengisytiharkan: "dari kalangan kami ada nabi yang menerima wahyu dari
langit!" Maka bilakah pihak kami akan dapat mengejar mereka untuk
mendapatkan kedudukan seperti itu? Maka demi Allah! Kami tidak akan beriman
kepadanya selama-lamanya. Kami tidak akan mengakui kebenarannya!"
Mendengar jawapan yang jelas dan tegas itu, Akhnaspun beredar.....
Jelas bahawa kadang-kadang manusia menolak
kebenaran bukan kerana kebenaran itu tidak sampai kepada mereka, bukan kerana
kebenaran itu kabur, tidak jelas dan tidak ada bukti. Tetapi mereka menolaknya
kerana sebab-sebab yang ada pada diri mereka sendiri: sombong, ego, dengki,
cemburu dan lain-lain lagi.
Semoga kita dijauhkan Allah daripada
sifat-sifat yang keji itu.
No comments:
Post a Comment