Monday, November 29, 2004

Artikel Motivasi Islami

Hakikat Manusia
Oleh Rahmat*

Allah menciptakan manusia dengan segala keterbatasan dan kelemahannya disamping kelebihan dan kekuatannya. Kita harus memahami keterbatasan dan kelemahan ini agar kita menyadari akan kelemahan kita dan mampu mengatasi kelemahannya tersebut dan menjadikanya kemuliaan.

Sebagai makkhluk, manusia lemah, manusia diciptakan dengan keterbatasan fisik dan akal. Fisik manusia tidak akan mampu menggerakan alam semesta ini dengan tenaganya, bahkan juga akal manusia dengan berbagai hasil teknologinya. Manusia sangat lemah dihadapan Allah sehingga diperlukan untuk meminta bantuan dan lindungan dari Allah SWT. "Allah hendak memberikan keringanan kepadamu, dan manusia dijadikan bersifat lemah."(QS.4:28)

Kelemahan manusia lainnya ialah bodoh. Seperti apa yang difirmankan Allah, "Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh,"(QS.33:72)

Memikul amanat itu memerlukan ilmu dan pengamalan yang konsisten sehingga tidak mengkhianati amanat tersebut. Apabila manusia berilmu dan mampu mengamalkannya dengan istiqamah maka terlepas dari kezaliman dan kebodohan. Oleh karena keterbatasan-keterbatasan tersebut, manusia meskipun memiliki berbagai kemuliaan, masih memerlukan Allah.

Sungguh aneh jika ada manusia yang merasa bahwa ada urusan yang tidak memerlukan Allah, dengan kata lain tidak sejalan dengan apa yang digariskan oleh Allah. Padahal manusia itu lemah dan bodoh.

Sebagai makhluk lemah dan bodoh, sudah sewajarnya jika kita selalu meminta petunjuk kepada Allah dan menjalankan semua petunjuk yang telah ada, yang telah tercantum dalam Al Quran dan dicontohkan oleh Rasul-Nya.

Sungguh sombong manusia yang tidak memerlukan petunjuk-Nya atau mereka-rekanya sesuai dengan pikirannya sendiri.

Rahmat adalah kontributor artikel tetap bagi web site dan Buletin Mingguan Motivasi Islami : www.motivasi-islami.com

Saturday, November 27, 2004

Surah al-Ma’un


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Pendahuluan
Surah ini memperkatakan hakikat agama yang hampir-hampir mengubah sama sekali pengertian biasa iman dan kufur. Ia juga menggambarkan betapa besar dan sempurnanya rahmat yang dilimpahkan Allah ke atas manusia menerusi penurunan agama ini.
Pentafsiran ayat
Ayat 1 – 3
“Tahukah engkau, siapakah orang yang mendustakan agama?”
Apabila Allah memulakan ayat-Nya dengan pertanyaan, bererti Dia menyuruh Rasul-Nya agar diperhatikan dengan sungguh-sungguh. Kalau tidak diajukan dalam bentuk persoalan seperti ini, orang akan menyangka bahawa mendustakan agama ialah semata-mata kerana menyatakan tidak mahu percaya kepada agama Islam. Dan kalau sudah sembahyang, puasa, dia tidak lagi mendustakan agama.
Maka ayat 2 dan 3 menjelaskan:
“Itulah orang yang menindas anak yatim. Dan tidak menggalakkan memberi makanan kepada orang miskin.”
Jawapan ini mungkin memeranjatkan jika dibandingkan dengan definisi iman yang biasa, tetapi itulah hakikat iman yang sebenarnya, iaitu orang yang mendustakan agama ialah orang yang menindas, menghina dan menyakiti anak-anak yatim dan tidak menggalakkan orang lain memberi makanan kepada orang-orang miskin.
Mempercayai agama bukanlah dengan kata-kata yang dituturkan di bibir, tetapi ia satu perubahan dalam hati yang mendorong seseorang membuat kebaikan dan kebaktian kepada saudara yang memerlukan pertolongan dan perlindungan. Allah tidak menghendaki kata-kata dari manusia, tetapi Allah mahukan tindakan. Kotakan apa yang dikata.
Rumusan:
Jelaslah maksud ayat bahawa orang yang membenci anak yatim adalah orang yang mendustakan agama, walaupun dia beribadat. Kerana rasa benci, rasa sombong dan bakhil tidak boleh ada di dalam jiwa seorang yang mengaku beragama.
Begitu juga orang yang tidak memikirkan orang miskin, atau tidak mendidik keluarganya agar mengasihani orang miskin. Dia termasuk orang yang mendustakan agama, kerana dia mengaku menyembah Tuhan, padahal hamba Tuhan tidak diberinya pertolongan dan tidak dipedulikan.

Ayat 4 – 7
“Maka kecelakaan bagi orang-orang yang solat”
“Yang lalai dari solat mereka”
Mereka telah melakukan solat, tetapi solat itu hanya membawa celakanya sahaja, kerana tidak dikerjakannya dengan sungguh-sungguh. Tidak timbul kesedaran, bahawa sebagai hamba Allah, mereka sewajarnya memperhambakan diri kepada-Nya dan mengerjakan solat sebagaimana yang diperintahkan-Nya.
“Lalai dari solat” boleh diertikan lupa akan maksud solat yang sebenarnya.
Meskipun seseorang itu mengerjakan solat, namun solat itu tidak lahir dari kesedaran akan maksud serta hikmahnya.
Boleh juga diertikan sebagai main-main, iaitu tidak bersungguh-sungguh mengerjakannya. Ketika solat, ingatannya ditumpukan pada yang lain, tidak dibulatkan hatinya mengingati Allah yang sedang disembahnya. Kerana itu ibadah solat yang dilakukan tidak meninggalkan kesan pada jiwa dan perasaannya, maka lahirlah perbuatan yang buruk dan keji.
“Orang-orang yang riaa’ “
“Dan orang-orang yang enggan memberi pertolongan”
Riaa’ bermaksud mengerjakan sesuatu kerana ingin dilihat dan dipuji orang. Lantaran itu kalau tiada siapa yang melihat, kurang mendapat pujian diapun mengundurkan diri atau merajuk. Hidupnya penuh dengan kebohongan dan kepalsuan. Di dalam hati mereka kosong dari perasaan kasih sayang dan belas kasihan terhadap sesama manusia yang sepatutnya tumbuh subur seiring dengan keimanan yang sejati.
Tetapi orang yang mendustakan agama tidak memIliki perasaan yang halus itu. Dia selalu mengelakkan diri dari memberi pertolongan, selalu menahan, bahkan menghalang-halang orang lain yang berhajat untuk menolong sesama insan.

Kesimpulan:
Agama Islam bukanlah agama rupa lahiriah dan agama upacara. Rupa bentuk ibadat yang zahir dan syi’ar-syi’arnya itu tidak membawa apa-apa erti selagi ia tidak lahir dari hati yang ikhlas kerana Allah.
Keikhlasan yang meninggalkan kesan di dalam hati, yang mendorong seseorang ke arah melakukan amalan-amalan yang solih, atau kesan-kesan yang dapat dilihat dengan jelas dalam kelakuan dan kegiatan-kegiatan yang mendatangkan kebaikan dan kemajuan kepada kehidupan manusia di bumi ini.
Demikian juga agama Islam bukanlah ajaran-ajaran yang berasingan atau bahagian-bahagian yang berselerak dan terpisah antara satu dengan yang lain; di mana seseorang boleh membuat apa yang disukainya dan meninggalkan apa yang tidak disukainya.
Agama Islam merupakan satu cara hidup yang sepadu. Tiada pemisahan antara ibadah dan syi’ar, urusan peribadi dan masyarakat, urusan keluarga dan negara, semuanya dipadukan menuju satu arah dan satu matlamat, iaitu kerana Allah, untuk kesejahteraan makhluk-makhluk Allah.

Friday, November 19, 2004

Zaadut-Taqwa

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

"Dan hendaklah kamu membawa bekal secukupnya. Maka sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa. Dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal". Al-Quran, Surah al-Baqarah:197

Hidup ini merupakan perjalanan menuju satu destinasi : kematian!
Setiap perjalanan, jauh atau dekat memerlukan bekalan!
Bekalan tidak boleh putus.
Jika terputus bekalan, kita mesti berhenti untuk mengambilnya.
Bekalan yang dibawa mesti bersesuaian dengan destinasi yang hendak dituju...
Kalau bekalan itu berupa matawang, anda mestilah membawa matawang yang digunapakai di negeri yang hendak anda lawati.
Jika anda tidak memiliki matawang tersebut, carilah pusat-pusat penukaran matawang untuk menukarkan matawang anda.
Jika destinasi anda adalah kematian...
Sebarang matawang tidak laku.
Tukarkan matawang anda yang banyak itu kepada amalan: zakat, sedeqah, infaq fi sabillah, dll.
Tambahlah bekalan anda setiap hari.

Penjelasan:

zaad bermakna bekal.
taqwa bermakna takut kepada Allah dengan melaksanakan perintah dan menjauhi larangan-Nya.

Thursday, November 18, 2004

Surah al-‘Asr

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Pendahuluan
Surah yang sangat ringkas ini menggariskan peraturan hidup yang sempurna bagi manusia sepanjang masa dan ketika. Ia membentangkan struktur binaan Islam yang utuh di dalam beberapa ungkapan yang pendek, dan melakarkan hakikat serta fungsi umat Islam di dalam satu ayat sahaja, iaitu ayat yang terakhir daripadanya.

Pentafsiran ayat
Ayat 1
“Demi masa”
Masa adalah sesuatu yang paling berharga. Tidak ada apa yang berlaku dalam hidup ini di luar dari batasan masa. Lantaran itu tepat sekali ungkapan yang menyatakan bahawa masa itu adalah kehidupan. Membuang masa bukan hanya satu jenayah biasa, sebaliknya satu pembunuhan yang paling kejam. Namun, anehnya setiap orang daripada kita tidak pernah terfikir untuk membiarkan orang mencuri wang kita, tetapi tanpa disedari kita telah membiarkan manusia dan benda-benda lain meragut masa kita yang tidak ternilai harganya itu.
Allah memperingatkan masa itu kepada kita dengan sumpah, agar ia jangan disia-siakan, jangan diabaikan. Sejarah kemanusiaan ditentukan oleh edaran masa.
Ayat 2
“Sesungguhnya manusia itu benar-benar di dalam kerugian”
Biarpun sepanjang mana waktu di seluruh zaman dan di sepanjang mana kelangsungan hidup manusia di setiap masa, namun di sana hanya ada satu cara dan satu jalan hidup sahaja yang membawa keuntungan dan keselamatan. Itulah cara dan jalan hidup yang telah dijelaskan sempadan-sempadan dan batu-batu tandanya di dalam surah ini. Selain dari cara hidup ini adalah sia-sia dan rugi belaka.
Ayat 3
“Kecuali orang-orang yang beriman……..
Yang tidak akan merasakan kerugian dalam masa hanyalah orang-orang yang beriman. Iman ialah jambatan yang menghubungkan manusia yang bersifat fana, kerdil dan lemah dengan Allah yang bersifat sempurna, azali dan abadi. Allah adalah sumber yang melahirkan segala yang wujud. Iman juga menghubungkan manusia dengan alam yang lahir dari Allah dan menghubungkannya dengan peraturan yang mengendalikan perjalanan alam ini, menghubungkannya dengan tenaga-tenaga yang tersimpan di dalam alam semesta ini. Iman mengangkat manusia dari ruang-lingkup dirinya yang kerdil dan terbatas, kepada ruang alam yang luas tidak terbatas, meningkatkan keupayaannya yang lemah kepada kekuatan pergantungan kepada Allah, Zat Yang Maha Kuat, sumber segala kekuatan.
Orang-orang yang beriman mempunyai kepercayaan bahawa hidupnya ini adalah atas kehendak Yang Maha Kuasa. Manusia datang ke dunia ini sementara waktu, namun masa yang sementara itu dapat diisi dengan baik kerana ada kepercayaan, ada tempat berlindung. Iman menyebabkan manusia insaf dari mana datangnya. Iman menimbulkan keinsafan apa tujuan hidup di dunia ini, iaitu untuk beribadat kepada Maha Pencipta dan berbakti kepada sesama manusia. Iman menimbulkan keyakinan bahawa sesudah kehidupan di dunia ini ada lagi kehidupan yang lain. Itulah hidup yang sebenarnya, hidup yang baqaa’. Di sana kelak segala sesuatu yang kita lakukan selama masa hidup di dunia ini akan diberi nilainya oleh Allah.
“…….dan beramal solih,…….
Amal soleh ialah segala pekerjaan yang baik dan berfaedah, baik kepada diri sendiri semasa hayat di dunia dan sesudah mati, atau berguna kepada makhluk Allah di bumi ini. Ia merupakan natijah yang lahir daripada iman. Iman merupakan satu hakikat positif yang dinamis. Sebaik sahaja iman bertapak di dalam hati manusia ia terus bergerak menonjolkan ‘diri’nya keluar dalam bentuk amalan yang baik. Iman yang sebenar tidak mungkin tinggal beku dan kaku tanpa bergerak, tidak mungkin tinggal tersembunyi tanpa menjelma dalam bentuk amal. Andainya iman tidak bergerak seperti ini, maka ia adalah iman yang palsu atau iman yang sudah mati.
“………dan berpesan-pesan dengan kebenaran…..,
Hidup yang bahagia itu adalah hidup bermasyarakat. Hidup nafsi-nafsi adalah hidup yang sangat rugi. Maka hubungkanlah tali kasih sayang dengan sesama manusia, beri memberi ingat apa yang benar, supaya yang benar itu dapat dijunjung tingga bersama. Di samping itu, ingat memperingatkan pula mana yang salah, supaya yang salah itu sama-sama dijauhi.
Amalan saling berpesan menjunjung kebenaran merupakan satu keperluan dalam kehidupan. Usaha-usaha menegakkan kebenaran amat sukar, banyak rintangan dan dugaan yang menghalang. Saling berpesan menjadi perangsang untuk terus istiqamah di atas kebenaran, di samping memperteguhkan ikatan persaudaraan dan meningkatkan rasa kebersamaan di dalam memikul tugas dan amanah yang satu.
“………dan berpesan-pesan dengan kesabaran”
Tidak cukup kalau hanya pesan memesan tentang nilai-nilai kebenaran sahaja. Saling berpesan supaya bersikap sabar juga amat diperlukan. Usaha-usaha menegakkan iman dan amal solih, usaha-usaha menjaga kebenaran dan keadilan merupakan tugas yang amat sukar. Lantaran itu kesabaran sangat penting. Orang yang tidak sabar tidak tahan menempuh kesukaran dan halangan. Dia akan undur ke belakangan atau berhenti di pertengahan jalan. Kedua-duanya pasti mengundang kerugian. Di dalam al-Quran, dijelaskan bahawa kesabaran hanya dapat dicapai oleh orang yang kuat jiwanya. Dan satu daripada cara untuk mencapainya ialah saling berpesan dengannya.
Kesimpulan:
Surah ini menggariskan cara hidup yang unggul bagi seluruh umat manusia. Hanya mereka yang mengikuti cara hidup itu sahaja yang terselamat dari kerugian di dunia dan akhirat.
Cara hidup tersebut terbina di atas empat elemen, iaitu mengetahui kebenaran dan mengakuinya, mengamalkan kebenaran itu, berpesan-pesanan dengannya, dan berpesan-pesanan supaya sabar di dalam melaksanakannya.
Oleh kerana pentingnya surah ini, maka apabila dua orang Sahabat Rasulullah s.a.w. bertemu, mereka tidak berpisah sebelum membaca surah ini, kemudian barulah mereka bersalam-salaman.

Surah al-Fatihah

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Pendahuluan
Setiap orang Islam membaca surah yang pendek ini sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam dan berganda lagi apabila ia menunaikan solat sunat, dan sebanyak-banyaknya tanpa had apabila ia ingin mengadap Allah dengan solat-solat tambahan atau membacanya di luar solat. Setiap solat tidak sah tanpa membaca surah ini. (Hadith Bukhari dan Muslim dari ‘ubadah bin as-Samit: “Tiada solat bagi mereka yang tidak membaca surah al-Fatihah”).

Di dalam surah ini terkandung dasar-dasar ‘aqidah dan dasar-dasar kefahaman Islam, juga dasar-dasar perasaan (terhadap Allah) serta tawajjuh kepada-Nya. Mungkin ini merupakan sebahagian daripada hikmat mengapa surah ini dipilih untuk diulang-ulangkan bacaannya dalam setiap raka’at solat.

Pentafsiran ayat

Ayat 1
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah , Maha Penyayang”

Memulakan sesuatu dengan nama Allah merupakan satu adab yang diwahyukan Allah kepada Rasul-Nya dalam ayat pertama yang diturunkan (Iqra’).

Adab ini memang sesuai dengan dasar kefahaman Islam yang agung. Allah adalah Zat yang maujud yang sebenar. Seluruh maujud yang lain mendapat kewujudan mereka dari Allah. Kerana itu amatlah wajar segala pekerjaan, percakapan dan sebagainya dimulakan dengan nama-Nya.

Allah memulakan pengenalan tentang Zat-Nya dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim. Kedua nama sifat itu adalah dari satu rumpun, iaitu RAHMAT, yang bererti murah, kasih sayang, cinta, santun, perlindungan dan sebagainya.

Kenapa kedua sifat itu yang terlebih dahulu dijelaskan sebelum menyebut sifat-sifat-Nya yang lain?

Hal ini dapat difahami jika kita kaji pengkhayalan orang yang masih sederhana peradabannya (primitive) tentang Tuhan. Sedia maklum bahawa kepercayaan terhadap adanya Zat Yang Maha Kuasa, adalah sama tumbuh dengan akal manusia. Tetapi sebagian besar mereka menggambarkan Tuhan itu sebagai sesuatu yang amat ditakuti, menggerunkan, seram dan kejam. Orang terpaksa memujanya kerana takutkan kemurkaannya. Jadi memulakan bacaan dengan menyebut nama Allah yang bersifat Rahman dan Rahim, memberikan perumusan baru dan benar tentang Tuhan. Sifat utama yang terlebih diketahui dan dirasakan oleh manusia ialah DIA Rahman dan Rahim.

Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Murah dan Maha Sayang kepada hamba-Nya maka utusan-Nya, Muhammad s.a.w. telah menyampaikan seruan ini kepada manusia. Yang lebih dahulu mempengaruhi jiwa ialah bahawa Allah itu Pemurah dan Penyayang, buka Pembenci dan Pendendam. Dan contoh yang diberikan Nabi itulah yang kita ikuti, iaitu memulakan segala sesuatu dengan nama Allah. Di dalam bacaan itu (dengan nama Allah) tersimpullah suatu pengharapan atau doa moga-moga apa yang kita kerjakan mendapat kurnia rahmat dari Allah, dimudahkan-Nya kepada yang baik, dijauhkan dari yang buruk.

Rumusan:
Memulakan sesuatu dengan nama Allah mengandungi maksud mentauhidkan Allah dan beradab sopan dengan-Nya. Ini merupakan dasar pokok dalam kefahaman Islam.
Mengenali Allah yang memiliki sifat Rahman dan Rahim merupakan dasar kedua yang menggariskan hakikat hubungan yang wujud di antara Allah dengan sekelian hamba-Nya.

Ayat 2
“Segala puji-pujian untuk Allah, Pemelihara semesta alam”

Segala puji-pujian untuk Allah. Tidak ada lain yang berhak mendapat pujian itu. Misalnya ada seseorang berjasa baik kepada kita, meskipun kita memujinya, namun hakikat puji hanya kepada Allah. Sebab orang itu tidak akan dapat berbuat apa-apa kalau tidak kerana Tuhan Yang Maha Pemurah dan Penyayang tadi. Kita memuji seorang Ir. atau arkitek kerana dia mendapat ilham mendirikan sebuah bangunan yang besar dan indah. Tetapi kalau kita fikirkan lebih dalam, dari mana dia mendapat ilham perencanaan itu kalau bukan dari Tuhan. Oleh sebab itu kalau kita sendiri dipuji orang, janganlah lupa bahawa yang empunya puji itu ialah Allah, bukan kita.

Pemelihara semesta alam. Perkataan Rabb bererti pemelihara, penguasa, pentadbir, pengurus, pengasuh dan pendidik yang mengendalikan segala urusan seluruh makhluk-Nya. Dengan menyebut Allah sebagai Rabb, kita dapat memahami bahawa Allah bukan semata-mata pencipta, tetapi juga pemelihara. Buka saja menjadikan, bahkan juga mengatur. Seumpama matahari, bulan, bintang-bintang dan bumi ini; sesudah semuanya dijadikan, tidak lah dibiarkan begitu saja, melainkan dipelihara dan dikuasai terus menerus. Betapalah matahari, bulan dan bintang-bintang itu akan beredar demikian teraturnya, dari tahun ke tahun, bulan ke bulan, hari ke hari, jam ke jam, minit ke minit dan detik ke detik, berjalan teratur telah berjuta-juta tahun, kalau tidak kerana pemeliharaan Allah sebagai Rabb?

Manusiapun begitu. Dia bukan semata-mata dijadikan bahkan sejak masih dalam keadaan nutfah, sampai menjadi ‘alaqah dan mudhghah, sehingga muncul ke dunia, menjadi makhluk yang berakal, dan sampai meninggal kelak, tidak lepas dari pemerhatian Allah, Pencipta dan Pemelihara.

Untuk semua pemeliharaan, penjagaan, pendidikan dan perlindungan itulah kita diajar mengucapkan puji kepada-Nya.

Rumusan:
Di dalam ayat ini, kita telah didedahkan dengan dua jenis Tauhid, iaitu Tauhid Uluhiyyah pada ungkapan Alhamdulillah. Dan tauhid Rububiyyah pada ungkapan Rabbil-‘Alamin.

‘Aqidah Tauhid merupakan asas paling utama dalam ajaran Islam. Kepercayaan Tauhid yang sempuna, tulen, bersih dan menyeluruh merupakan landasan kefahaman yang ditekankan oleh Islam. Dan Islam terus berusaha membersihkan kepercayaan ini di dalam hati nurani manusia dan memeriksa setiap fikiran yang kotor di sekitar hakikat tauhid ini supaya ia sentiasa bersih dari segala kekeliruan dan kesamaran dan supaya tetap teguh tanpa dimasuki tanggapan yang karut baik dari apa-apa bentuk sekalipin.

Ayat 3
“Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang”

Ayat ini menyempurnakan maksud ayat yang sebelumnya. Jika Allah sebagai Rabb, sebagai Pemelihara dan Pendidik bagi seluruh alam, tidak lain maksud dan isi pendidikan itu, melainkan kerana kasih sayang-Nya dan kerana murah-Nya. Dan dalam memelihara dan menjaga hamba-Nya Dia tidak menuntut keuntungan bagi Diri-Nya.

Dengan melihat kasih sayang suami isteri, ayah dan ibu terhadap anak, datok dan nenek terhadap cucu, juga kasih sayang di antara binatang, burung-burung dengan berbagai jenisnya, dapatlah kita mengetahui betapa besarnya Rahman dan Rahim Allah atas makhluk-Nya, dan akan sirnalah rasa benci, dengki dan dendam dari hati kita.

Rumusan:
Asas hubungan antara Allah dengan makhluk-Nya ialah kasih sayang dan belas kasihan yang meransangkan kesyukuran dan sanjungan. Hubungan yang ditegakkan di atas rasa ketenteraman dan kemesraan.

Kesyukuran dan sanjungan merupakan luahan rasa dari hati seorang hamba yang mengenali Penciptanya, luahan yang terbit secara sepontan dan semula jadi apabila terkenangkan rahmat dan belas kasihan Tuhan terhadapnya.

Ayat 4
“Yang Menguasai Hari Pembalasan”

Lazimnya perkataan ad-din diberi erti agama. Hakikatnya perkataan ad-din juga bermaksud pembalasan. Menurut Islam segala gerak geri yang kita laksanakan tidak terlepas dari lingkungan agama. Dan semuanya kelak akan diperhitungkan di hadapan Tuhan di akhirat. Segalanya akan dibalas oleh Tuhan sendiri dengan pembalasan yang seadil-adilnya.

Apabila ar-Rahman dan ar-Rahim disambungkan dengan Maliki yaumiddin, barulah seimbang pengabdian dan pemujaan kita kepada Tuhan. kita memuji Allah yang memelihara dan mendidik sekelian alam, kita memuji-Nya kerana Rahman dan Rahim-Nya dan kitapun memuji-Nya kerana buruk baik yang kita kerjakan di dunia ini tidak terbuang percuma, melainkan akan diperhitungkan dan dibalasi dengan adil di akhirat.

Rumusan:
Kehidupan manusia tidak akan bergerak lurus di atas jalan Allah yang luhur selagi kepercayaan kepada Hari Pembalasan tidak wujud di dalam pemikiran mereka, selagi hati mereka tidak yakin bahawa ganjaran dan balasan di alam bumi ini bukanlah ganjaran yang terakhir, dan selagi mereka yang mempunyai usia yang terbatas ini tidak percaya bahawa di sana ada alam akhirat yang mereka patut berjuang dan berusaha untuknya, patut berkorban untuk membantu kebenaran dan mendokong kebaikan dengan keyakinan akan mendapat balasan serta ganjaran di sana.

Orang yang beriman kepada Hari Akhirat dan orang yang engkar kepadanya tidak mempunyai titik persamaan dari segi perasaan, akhlak, kelakuan dan amalan. Mereka merupakan dua golongan manusia yang berbeza. Mereka tidak sehaluan di bumi dan tidak akan bersatu di akhirat nanti.

Ayat 5
“Hanya Engkau sahaja yang kami sembah, dan hanya Engkau sahaja tempat kami memohon pertolongan”

Sebagaimana keterangan di atas, Allah adalah Rabb, iaitu Tuhan yang Mencipta dan Memelihara. Oleh kerana Dia Yang Mencipta dan Memelihara, maka hanya Dia sahajalah Ilah, iaitu yang patut disembah. Mengakui bahawa yang patut disembah sebagai Ilah hanya Allah, dinamai Tauhid Uluhiyyah. Manakala mengakui yang patut untuk memohon pertolongan, sebagai Rabb hanya Allah, dinamai Tauhid Rububiyyah.

Perkataan “na’budu” (nama terbitannya ialah ibadah) yang diterjemahkan sebagai sembah, sebenarnya mengandungi pengertian yang lebih luas daripada itu. Ibadah ialah memperhambakan diri dengan penuh keinsafan dan kerendahan. Dan dipatrikan lagi oleh cinta. Kita mengakui bahawa kita hamba-Nya, milik-Nya. Kita tidak akan terjadi kalau bukan Dia yang menjadikan. Kita beribadat kepada-Nya disertai dengan pengharapan akan kasih sayang-Nya, disulami cinta yang hakiki, tidak terbagi kepada yang lain.

Bahagian kedua dari ayat ini ialah “hanya Engkau sahaja tempat kami memohon pertolongan”. Sesungguhnya sebagai makhluk, kita tidak berupaya mencapai segala yang kita hajati dan yang kita rancangkan. Tenaga kita sangat terbatas. Tidak ada apa-apa yang mampu kita perolehi kalau tidak Tuhan yang menolong.

Tauhid dengan jalan isti’anah (memohon pertolongan) ini membangkitkan kekuatan pada diri sendiri supaya berhubungan secara langsung dengan Allah, sumber segala kekuatan. Memohon pertolongan kepada Allah bukanlah kelemahan, tetapi di situlah terletak kekuatan.

Rumusan:
Matlamat hidup manusia yang sebenarnya ialah mengabdikan kepada Allah semata-mata.
Hanya Allah sahaja yang berkuasa memberikan pertolongan kepada kita dalam segala urusan. Tolong menolong sesama makhluk dalam perkara kebaikan memang dituntut. Namun pertolongan itu tidak siapapun dapat melaksanakannya tanpa pertolongan daripada Allah.

Ayat 6
“Tunjukkan kami jalan yang lurus”

Menurut ahli tafsir, “jalan yang lurus” itu ialah agama yang benar, iaitu Agama Islam. Dan sumber petunjuk dalam Islam itu ialah al-Quran, dan semuanya dapat diambil contohnya dari perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda yang utama. Di dalam ayat ini kita diajar supaya memohon taufiq untuk mengenal pasti jalan yang lurus, dan selepas mengenalinya dikurniakan pula taufiq untuk mengikuti jalan yang lurus itu serta istiqamah di atasnya.

Rumusan:
Pertolongan paling penting dan paling utama yang perlu kita mohon kepada Allah, ialah memohon supaya diberi hidayah atau petunjuk jalan yang lurus. Jalan yang lurus adalah paling selamat dan paling singkat menuju ke destinasi.
Mendapat hidayah ke jalan yang lurus itulah jaminan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Ayat 7
“Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni’mat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat”

Orang-orang yang diberi ni’mat ialah mereka yang telah menempuh jalan yang lurus itu, yang terdiri daripada para anbiaa’, siddiqin, syuhadaa’ dan solihin.

Orang-orang yang dimurkai ialah mereka yang mengenal jalan yang benar, kemudian mereka menyimpang darinya. Mereka sengaja keluar dari jalan yang benar kerana mengikut hawa nafsu. Orang yang telah sampai kepadanya kebenaran Islam, lalu ditolak dan ditentangnya.

Adapun orang-orang yang sesat ialah mereka yang berani berani saja membuat jalan sendiri di luar yang digariskan Allah. Tidak mengenal kebenaran, atau tidak dikenalnya menurut maksud yang sebenarnya.

Rumusan:
Mendapat hidayah ke jalan yang lurus adalah satu ni’mat yang paling berharga.
Mengenali jalan yang lurus sahaja tidak memadai jika tidak mengetahui jalan yang salah dan sesat. Tidak mengenali jalan yang salah menyebabkan kita tersasar ke arahnya tanpa disedari.

Kesimpulan
Surah al-Fatihah mengandungi bimbingan untuk membentuk pandangan hidup muslim. Mula-mula dipusatkan seluruh kepercayaan kepada Allah dengan sifat-Nya Yang Maha Pemurah dan Penyayang disertai dengan keadilan-Nya yang berlaku sejak dari dunia lalu ke negeri Akhirat.

Pengakuan bahawa yang kita sembah hanya Dia (Tauhid Uluhiyyah) dan tempat kita memohon sesuatu hanya Dia (Tauhid Rububiyyah), itulah yang dikatakan Islam yang sejati.

Setelah kita akui bahawa hanya Dia yang kita sembah, barulah kita mengajukan permohonan. Permohonan yang pertama dan utama ialah minta ditunjuki jalan yang lurus. Kita tidak memohon perkara-perkara kecil dan remeh temeh.

Surah ini juga mengajar kita agar menjadi manusia yang bercita-cita tinggi, setaraf dengan kehidupan para nabi dan rasul, syuhadaa’ dan solihin.

Kita juga memohon agar diselamatkan dari tertempuh jalan mereka yang dimurkai dan jalan mereka yang sesat. Ini dengan secara tidak langsung kita disuruh mempelajari ilmu sejarah, ilmu kemasyarakatan dan ilmu jiwa. Kita mesti mempelajari sebab-sebab naik dan turunnya martabat sesuatu bangsa.
[1]