Saturday, November 27, 2004

Surah al-Ma’un


DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PENGASIH LAGI MAHA PENYAYANG

Pendahuluan
Surah ini memperkatakan hakikat agama yang hampir-hampir mengubah sama sekali pengertian biasa iman dan kufur. Ia juga menggambarkan betapa besar dan sempurnanya rahmat yang dilimpahkan Allah ke atas manusia menerusi penurunan agama ini.
Pentafsiran ayat
Ayat 1 – 3
“Tahukah engkau, siapakah orang yang mendustakan agama?”
Apabila Allah memulakan ayat-Nya dengan pertanyaan, bererti Dia menyuruh Rasul-Nya agar diperhatikan dengan sungguh-sungguh. Kalau tidak diajukan dalam bentuk persoalan seperti ini, orang akan menyangka bahawa mendustakan agama ialah semata-mata kerana menyatakan tidak mahu percaya kepada agama Islam. Dan kalau sudah sembahyang, puasa, dia tidak lagi mendustakan agama.
Maka ayat 2 dan 3 menjelaskan:
“Itulah orang yang menindas anak yatim. Dan tidak menggalakkan memberi makanan kepada orang miskin.”
Jawapan ini mungkin memeranjatkan jika dibandingkan dengan definisi iman yang biasa, tetapi itulah hakikat iman yang sebenarnya, iaitu orang yang mendustakan agama ialah orang yang menindas, menghina dan menyakiti anak-anak yatim dan tidak menggalakkan orang lain memberi makanan kepada orang-orang miskin.
Mempercayai agama bukanlah dengan kata-kata yang dituturkan di bibir, tetapi ia satu perubahan dalam hati yang mendorong seseorang membuat kebaikan dan kebaktian kepada saudara yang memerlukan pertolongan dan perlindungan. Allah tidak menghendaki kata-kata dari manusia, tetapi Allah mahukan tindakan. Kotakan apa yang dikata.
Rumusan:
Jelaslah maksud ayat bahawa orang yang membenci anak yatim adalah orang yang mendustakan agama, walaupun dia beribadat. Kerana rasa benci, rasa sombong dan bakhil tidak boleh ada di dalam jiwa seorang yang mengaku beragama.
Begitu juga orang yang tidak memikirkan orang miskin, atau tidak mendidik keluarganya agar mengasihani orang miskin. Dia termasuk orang yang mendustakan agama, kerana dia mengaku menyembah Tuhan, padahal hamba Tuhan tidak diberinya pertolongan dan tidak dipedulikan.

Ayat 4 – 7
“Maka kecelakaan bagi orang-orang yang solat”
“Yang lalai dari solat mereka”
Mereka telah melakukan solat, tetapi solat itu hanya membawa celakanya sahaja, kerana tidak dikerjakannya dengan sungguh-sungguh. Tidak timbul kesedaran, bahawa sebagai hamba Allah, mereka sewajarnya memperhambakan diri kepada-Nya dan mengerjakan solat sebagaimana yang diperintahkan-Nya.
“Lalai dari solat” boleh diertikan lupa akan maksud solat yang sebenarnya.
Meskipun seseorang itu mengerjakan solat, namun solat itu tidak lahir dari kesedaran akan maksud serta hikmahnya.
Boleh juga diertikan sebagai main-main, iaitu tidak bersungguh-sungguh mengerjakannya. Ketika solat, ingatannya ditumpukan pada yang lain, tidak dibulatkan hatinya mengingati Allah yang sedang disembahnya. Kerana itu ibadah solat yang dilakukan tidak meninggalkan kesan pada jiwa dan perasaannya, maka lahirlah perbuatan yang buruk dan keji.
“Orang-orang yang riaa’ “
“Dan orang-orang yang enggan memberi pertolongan”
Riaa’ bermaksud mengerjakan sesuatu kerana ingin dilihat dan dipuji orang. Lantaran itu kalau tiada siapa yang melihat, kurang mendapat pujian diapun mengundurkan diri atau merajuk. Hidupnya penuh dengan kebohongan dan kepalsuan. Di dalam hati mereka kosong dari perasaan kasih sayang dan belas kasihan terhadap sesama manusia yang sepatutnya tumbuh subur seiring dengan keimanan yang sejati.
Tetapi orang yang mendustakan agama tidak memIliki perasaan yang halus itu. Dia selalu mengelakkan diri dari memberi pertolongan, selalu menahan, bahkan menghalang-halang orang lain yang berhajat untuk menolong sesama insan.

Kesimpulan:
Agama Islam bukanlah agama rupa lahiriah dan agama upacara. Rupa bentuk ibadat yang zahir dan syi’ar-syi’arnya itu tidak membawa apa-apa erti selagi ia tidak lahir dari hati yang ikhlas kerana Allah.
Keikhlasan yang meninggalkan kesan di dalam hati, yang mendorong seseorang ke arah melakukan amalan-amalan yang solih, atau kesan-kesan yang dapat dilihat dengan jelas dalam kelakuan dan kegiatan-kegiatan yang mendatangkan kebaikan dan kemajuan kepada kehidupan manusia di bumi ini.
Demikian juga agama Islam bukanlah ajaran-ajaran yang berasingan atau bahagian-bahagian yang berselerak dan terpisah antara satu dengan yang lain; di mana seseorang boleh membuat apa yang disukainya dan meninggalkan apa yang tidak disukainya.
Agama Islam merupakan satu cara hidup yang sepadu. Tiada pemisahan antara ibadah dan syi’ar, urusan peribadi dan masyarakat, urusan keluarga dan negara, semuanya dipadukan menuju satu arah dan satu matlamat, iaitu kerana Allah, untuk kesejahteraan makhluk-makhluk Allah.

No comments: