Friday, March 23, 2007

Faktor Kelemahan dan Kekuatan Umat Islam

Hari ini umat Islam di seluruh pelusuk dunia dianggap lemah. Orang Islam dituduh lebih sukakan keganasan dari keamanan dan keharmonian. Di Malaysia sendiri kaum bumiputera yang majoritinya beragama Islam masih terlalu jauh pencapaian mereka baik dari segi pendidikan, sosial dan pegangan ekonomi.

Di manakah silapnya? Padahal kita semua mengetahui bahawa Allah telah mengutus Nabi Muhammad S.A.W. untuk menjadi contoh bagi seluruh umat yang beriman.

Sekiranya umat Islam benar-benar mengambil Rasulullah S.A.W. sebagai ikutan pastinya mereka tidak akan ketinggalan dalam segenap bidang. Penulis buku “Think and Grow Rich” (Napoleon Hill, 1937) menyebut secara spesifik telah mengambil contoh kegigihan yang ada dalam diri Rasulullah S.A.W. sebagai penyebab kenapa Islam berkembang dan berjaya sehingga ke hari ini. Sekiranya orang bukan Islam mengakui kewibawaan Rasulullah S.A.W. sebagai satu faktor yang menentukan kejayaan, sewajarnyalah kita sebagai umat Islam yang sedang merayakan hari ulangtahun kelahirannya merenungi sejauh mana kita telah menghayati segala ajaran baginda di dalam kehidupan kita.

Satu lagi bukti menunjukkan betapa orang bukan mengakui kehebatan yang ada pada orang Islam ialah kisah ketika mana Raja Parsi menghantar utusan kepada Maharaja China untuk meminta bantuan setelah tentera muslimin berjaya membuka kota Madain. Lalu utusan tersebut menceritakan kepada Maharaja China perihal tentera muslimin yang dapat menundukkan tentera Parsi sedangkan bilangan tentera Parsi jauh lebih ramai berbanding tentera muslimin. Maka berlakulah dailog di antara Maharaja China dengan utusan Raja Parsi.

Maharaja China: Adakah mereka menunaikan janji-janji mereka?

Utusan Parsi: Ya.

Maharaja China: Apakah yang mereka katakan sebelum mereka memerangi kamu?

Utusan Parsi: Mereka menyeru kami memilih satu antara tiga, mengikut agama mereka atau membayar jizyah dan perlindungan atau perang.

Maharaja China: Bagaimana ketaatan mereka kepada ketua mereka?

Utusan Parsi: Mereka taat kepada ketua mereka.

Maharaja China: Apakah yang mereka halalkan dan apakah yang mereka haramkan?

Utusan Parsi: Mereka mengharamkan perkara-perkara yang sesat, buruk, jijik dan segala bentuk kejahatan.

Maharaja China: Adakah mereka menghalalkan apa yang telah mereka haramkan dan mengharamkan apa yang telah mereka halalkan.

Utusan Parsi: Tidak. Mereka meyakini Syariat mereka adalah kekal selama mana wujudnya langit dan bumi. Mereka berpegang tiada ketaatan kepada hamba dalam perkara yang menyanggah Pencipta.

Maharaja China: Sesungguhnya mereka tidak akan hancur selama-lamanya. Sehinggalah mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Lantas Maharaja China mengutuskan suratnya kepada Raja Parsi dengan katanya: “Sesungguhnya aku tidak keberatan untuk mengutus kepada kamu tentera yang awalnya di Maru (salah satu kota di Parsi) dan akhirnya di China. Tetapi, mereka (tentera muslimin) sebagai mana yang diceritakan oleh utusan kamu. Jikalau mereka ingin merata gunung, pasti mereka akan mampu meratakannya. Jika mereka membentengi jalan (laluan tentera China), mereka akan menhancurkan kami selama mana mereka berakhlak sebagaimana yang diceritakan oleh utusan kamu. Oleh itu menyerahlah kepada mereka dengan cara damai. Janganlah kamu menyerang mereka selama mana mereka tidak menyerang kamu”.

Tidak syak lagi umat Islam sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri yang tidak bisa dicabar selagi mana mereka berpegang kepada Syari’at yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. Kekuatan ini pastinya tidak terbentuk dalam masa satu hari satu malam. Ia melalui satu proses pendidikan berterusan yang tidak pernah mengenal jemu berlandaskan kaedah serta pendekatan yang bijaksana dan bersepadu.

KAEDAH DAN PENDEKATAN RASULULLAH S.A.W.

Kaedah dan pendekatan baginda boleh digariskan seperti berikut:

Hakikat manusia. Al-Quran telah menjelaskan bahawa manusia adalah:

Makhluk istimewa yang dimuliakan Allah dengan pelbagai kelebihan. Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”. Al-Isra’:70

Boleh menerima perubahan. Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak merobah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merobah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri…” Ar-Ra’d:11. Ayat ini menjelaskan bahawa sesiapa sahaja boleh mengubah nasibnya dengan mengubah keadaan yang ada dalam dirinya. Apakah keadaan yang boleh diubah? Pastinya bukan paras rupa dan warna kulit. Sebaliknya apa yang boleh diubah ialah sikap dan cara berfikir.

Kedudukannya sebagai hamba kepada Yang Esa. Meskipun manusia diberikan kelebihan-kelebihan tertentu berbanding makhluk-Nya yang lain namun ini tidak mengubah hakikat dirinya sebagai hamba yang mesti tunduk dan patuh kepada segala perintah dan arahan Tuannya. Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engakulah kami mohon pertulungan”. Al-Fatihah:5

Tetap matlamat. Berdasarkan hakikat di atas, maka Rasulullah S.A.W. menegaskan bahawa manusia hanyalah mempunyai matlamat yang satu sahaja dalam hidup ini sebagaimana diperintahkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam”. Al-An’am:162

Jalan yang jelas. Untuk sampai ke sesuatu destinasi dengan cepat, tepat dan selamat jalannya mestilah lurus, tidak berbelit dan bersimpang siur. Dalam hal ini Rasulullah S.A.W. bergantung sepenuhnya kepada wahyu yang diterimanya dari Allah S.W.T. kerana ia merupakan jalan yang benar dan lurus. Baginda tidak sedikitpun meragui apa yang diperintahkan Allah kepadanya: “Maka berpegang teguhlah dengan apa yang diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya engkau benar-benar berada di atas jalan yang lurus”. Az-Zukhruf: 43. Al-Quran mengajar Rasulullah S.A.W. mendidik umatnya dengan cara:

Beransur-ansur (tadarruj) “Dan Al-Quran itu telah Kami turunkan dengan beransur-ansur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan Kami menurunkannya bagian demi bagian”. Al-Isra’:106

Praktikel. Setiap ayat yang duturunkan bersesuaian dengan masa, keadaan dan suasana. Apabila selesai sahaja sesuatu ayat dibacakan mereka terus laksanakan tanpa bantahan atau bertangguh.

Mengutamakan kasih sayang dan keampunan berbanding kemurkaan dan hukuman.

Menggariskan ciri-ciri mereka yang berjaya dengan jelas dan terperinci. Firman Allah S.W.T. bermaksud: “Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. Iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang-orang yang menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tiada berguna, dan orang-orang yang menunaikan zakat, dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau budak yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela. Barangsiapa yang mencari selain daripada itu mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat-amanat (yang dipikulnya) dan janjinya, dan orang-orang yang memelihara solatnya, mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi, (yakni) yang akan mewarisi syurga firdaus. Mereka kekal di dalamnya” Al-Mu’minun:1-11

No comments: