Manusia, tidak kira apa bangsa berasal dari keturunan yang sama. Allah Yang Maha Pencipta menjadikan mereka pelbagai bangsa dan puak supaya saling berkenalan dan berkasih sayang. Firman Allah bermaksud:
”Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” Al-Hujurat:13
Kepelbagaian bangsa, bahasa, budaya dan warna melambangkan kekuasaan Yang Maha Esa sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong ayat yang bermaksud:
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” Ar-Ruum:22
Setiap bangsa ada kelebihan tersendiri. Namun kelebihan itu bukan untuk dibangga-banggakan. Ia juga bukan menjadi ukuran ketinggian sesuatu bangsa ke atas bangsa yang lain. Kelebihan yang ada sepatutnya digabung jalin sehingga terbentuk satu kesatuan yang dinamakan ummah.
Melayu adalah satu bangsa yang kebanyakannya tinggal di semenanjung tanah Melayu serta sebahagian daripada Sumatra dan Borneo. Menurut perlembagaan Persekutuan, terdapat tiga ciri utama bangsa Melayu; beragama Islam, bertutur dalam Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu.
Gabungan tiga unsur ini membentuk suatu identiti yang unggul dan ampuh. Itulah jati diri Melayu yang asli, tulin dan murni. Jati diri yang mesti dipertahankan, dicontohi dan diteladani.
Perlembagaan telah meletakkan agama Islam sebagai teras pengenalan bangsa Melayu. Manusia sememanya tidak dapat dipisahkan dari agama. Agama mengangkat darjat manusia dan menjadikan kehidupan mereka lebih bermakna. Bayangkan manusia yang tidak beragama! Mereka tidak mengenali siapa pencipta mereka, siapa yang menganugerahkan hidup ini kepada mereka. Mereka tidak mengetahui dari mana mereka datang, ke mana mereka akan pergi dan untuk apa mereka hidup di atas muka bumi ini. Manusia seperti ini, tidak syak lagi merupakan makhluk yang paling rugi. Hidup mereka tidak mempunyai apa-apa erti selain memenuhi keperluan dan keinginan jasadiyah semata-mata. Lantaran itu taraf mereka tidak ubah seperti haiwan, bahkan lebih hina lagi. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
”Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” Al-A’raf : 179
Manusia yang tidak beragama adalah manusia yang tidak mempunyai jati diri dan tidak bertamadun. Sejarah telah membuktikan bahawa Islam telah berjaya memacu manusia ke puncak ketamadunanan yang paling tinggi. Di dalam Islam manusia menemui jati diri mereka yang hakiki. Islam mengajar mereka erti kemanusiaan dan menjamin hak-hak asasi mereka. Kebebasan, persaudaraan, persamaan dan keadilan bukan sahaja dicanang dan dilagukan sebagai retorik, sebaliknya prinsip-prinsip kemanusiaan yang murni itu diadun sebati di dalam diri setiap orang dari kalangan umatnya dan dicanai indah sehingga terpapar megah di persada sejarah. Sesungguhnya dunia tidak pernah menyaksikan satu umat yang lebih tinggi nilai budi dan akhlaknya selain daripada umat Islam.
Aspek kedua yang mesti dipertahankan ialah bahasa Melayu. Bahasa tidak dapat dipisahkan daripada bangsa. Pepatah Melayu mengatakan bahasa jiwa bangsa. Perhatikan firman Allah di dalam surah ar-Ruum ayat 22 yang bermaksud:
”Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan bahasamu dan warna kulitmu...”
Kita dapati Allah tidak memisahkan antara bahasa dengan bangsa. Bahasamu berbeza dan warna kulitmu (bangsamu) berbeza. Di dalam ayat lain Allah berfirman maksudnya:
”Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya ia dapat memberi penjelasan dengan terang kepada mereka.....” Ibrahim : 4
Ayat ini jelas menyatakan bahawa bagi setiap bangsa itu bahasa yang berbeza. Penyampaian sesuatu maklumat lebih mudah di terima dan difahami oleh sesuatu kaum seandainya maklumat itu disampaikan dengan perantaraan bahasa mereka sendiri.
Kekuatan sesuatu bahasa terletak pada keupayaannya menjadi wahana ilmu yang dilambangkan menerusi penulisan. Bahasa Melayu mempunyai Keunikan tersendiri. Sebahagian besar perkataannya diadaptasi daripada Bahasa Arab, manakala tulisannya menggunakan huruf Arab. Tulisan jawi yang disesuaikan daripada tulisan al-Quran ini menyenangkan masyarakat membaca Al-Quran dan mempelajari isi-isi naskhah kitab-kitab agama. Pembacaan Al-Quran dan kitab-kitab itulah yang memperkembangkan sahsiah, keyakinan diri, keimanan, memperteguhkan semangat, jati diri dan kecintaan terhadap agama, bangsa dan tanahair.
Yang ketiga adalah adat istiadat Melayu. Adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang mesti dipatuhi.
Apabila kita berbicara tentang adat Melayu, kita tidak boleh lupa aspek pertama dan kedua di atas. Agama orang Melayu adalah Islam. Maka adat Melayu semestinya berlandaskan ajaran Islam atau sekurang-kurang tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
Adat serta kelakuan buruk yang dikaitkan dengan bangsa Melayu mestilah ditolak. Ia sama sekali tidak menggambarkan sahsiah dan jati diri Melayu.
Orang Melayu memang kuat berpegang kepada adat sehingga timbul ungkapan ’biar mati anak jangan mati adat’. Ungkapan ini mungkin ada kewajarannya kerana apabila kita meneliti beberapa peribahasa Melayu yang ada kaitan dengan adat, kita dapati adat yang dipertahankan bermati-matian itu adalah adat yang berlandaskan Syari’ah. Sebagai contoh:
Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah. Maksudnya: Pergaulan di dalam masyarakat hendaklah sesuai dengan adat dan syarak. (Peribahasa lain yang sama makna: Adat bersendi syarak, syarak bersendi adat.).
Adat memakai, syarak mengata. Maksudnya: Adat yang tidak sesuai dengan hukum Tuhan dan tidak selaras dengan keadaan masa tidaklah guna dipertahankan, kerana adat harus takluk kepada hukum syarak.
Adat penuh ke atas, syarak penuh ke bawah. Maksudnya: Adat itu sebutan yang besar, tetapi boleh diperlonggarkan, sedangkan hukum Tuhan tidak boleh diubah-ubah dan orang mesti mematuhinya.
Akhirnya, dalam hal mencari jati diri, orang tua-tua ada berpesan jangan bercermin di air keroh, ertinya jangan cuba meniru perkara yang buruk dan yang kurang baik.
17 Mac 2007
27 Safar 1428
No comments:
Post a Comment