Allah s.w.t. telah mentakdirkan Palestin menjadi bumi yang diberkati. Bumi tempat bertapaknya sebahagian besar daripada para nabi dan rasul. Bumi yang banyak menyaksikan perjuangan dan ketabahan para pendokong kebenaran dan keadilan menentang kedurjanaan dan kezaliman manusia yang tidak mengenal erti kemanusiaan.
Keberkatan bumi Palestin dinyatakan di dalam al-Quran berulang kali.
Antaranya firman Allah yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Al-Isra’:1
“Dan Kami selamatkan dia dan sepupunya Nabi Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk umat manusia”. Al-Anbia’:71
“Dan di antara tempat tinggal mereka dengan bandar yang Kami limpahkan berkat kepadanya, Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan, dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya. Berjalanlah kamu di negeri itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dengan aman”. Saba’:18
“Dan Kami mudahkan bagi Nabi Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut kehendaknya ke bumi yang Kami limpahi berkat padanya; dan adalah Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. Al-Anbia’:81
“Dan Kami wariskan kepada kaum yang tertindas itu di daerah timur bumi dan di daerah baratnya, yang Kami telah melimpahkan berkat kepadanya”. Al-A’raf:137
Menurut tafsir Ibn Kathir, maksud bumi yang diberkati atau yang dilimpahi berkat padanya di dalam ayat-ayat di atas ialah Negeri Syam yang mana Palestin adalah sebahagian daripadanya. Keberkatan negeri Syam adalah meliputi keberkatan lahiriah dan maknawiah. Dari sudut lahiriah bumi itu subur dan ditumbuhi pelbagai jenis tanaman dan buah-buahan. Manakala dari sudut maknawiah, Palestin merupakan bumi anbia’ dan mursalin (nabi dan rasul). Di situ hidupnya Nabi Ibrahim, Ishak, Ya’qub, Yusuf, Lut, Daud, Sulaiman, Soleh, Zakariya, Yahya dan Isa ‘alaihimus-salam. Nama-nama mereka semuanya termaktub di dalam al-Quran. Malah ramai lagi nabi-nabi dari kalangan Bani Israel yang tidak disebut nama mereka di dalam al-Quran, diutus Allah s.w.t. silih berganti untuk pemimpin mereka di situ.
Di dalam satu ayat lain Allah s.w.t. menyifatkannya sebagai bumi suci (الارض المقدسة). Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“(Musa berkata): Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan oleh Allah untukmu; dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, (kalau kamu undur) maka kamu kelak menjadi orang yang rugi (di dunia dan di akhirat)”. Al-Maidah:21
Lantaran itu, apabila seorang muslim membaca al-Quran dia akan merasai pertalian yang sangat kuat antara dirinya dengan bumi itu kerana di situlah tercetus medan pertarungan antara hak batil. Di situlah para nabi dan rasul-rasul Allah mengangkat panji-panji Tauhid, menyeru dan membimbing manusia agar menyembah Allah Yang Esa. Dan beriman kepada nabi dan rasul tanpa membezakan antara mereka adalah sebahagian daripada rukun iman. Ini jelas termaktub di dalam firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah: Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kami (Al-Qur'an), dan kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dan Nabi Ishaq dan Nabi Yaakub serta anak-anaknya, dan juga kepada apa yang diberikan kepada Nabi Musa (Taurat) dan Nabi Isa (Injil), dan kepada apa yang diberikan kepada Nabi-nabi dari Tuhan mereka; kami tidak membeza-bezakan antara seseorang dari mereka; dan kami semua adalah Islam (berserah diri, tunduk ta'at) kepada Allah semata-mata”. Al-Baqarah:136
Di bumi Palestin terletak bandar al-Quds, bandar suci ketiga bagi umat Islam selepas Makkah al-Mukarramah dan al-Madinah al-Munawwarah. Allah Ta’ala memuliakan Makkah al-Mukarramah dengan Masjid al-Haram, al-Madinah al-Munawwarah dengan Masjid al-Nabawi dan al-Quds atau Baitul-Maqdis dengan Masjid al-Aqsa.
Perkara ini diperkuatkan dengan Hadis Sahih yang diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. yang mafhumnya:
“Tidak harus bersusah payah untuk musafir kecuali ke tiga buah masjid: Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa”.
Maksud hadis di atas ialah: tidak harus bagi seorang muslim bersusah payah musafir semata-mata untuk solat di mana-mana masjid di atas muka bumi ini kecuali ke Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.
Di dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, baginda s.a.w. besabda maksudnya:
“Satu solat di dalam Masjid al-Aqsa menyamai 500 solat di masjid lain kecuali Masjid al-Haram dan Masjid al-Nabawi”.
Rasulullah s.a.w. pernah ditanya: “Masjid apakah yang pertama dibina di atas muka bumi?” Baginda menjawab: “Masjid al-Haram”. Baginda ditanya lagi: “Kemudian masjid apa?” Jawab baginda: “Masjid al-Aqsa”.
Kerana kedudukannya yang begitu mulia, terletak di bumi yang diberkati, Allah telah memilihnya untuk menjadi kiblat pertama umat Islam. Sejak difardhukan solat lima waktu pada malam isra’ dan mi’raj, Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. bersolat mengadap ke arah Masjid al-Aqsa. Keadaan ini berterusan selama 16 atau 17 bulan selepas hijrah. Rasulullah s.a.w. tidak menukar arah qiblatnya kecuali selepas diperintah oleh Allah s.w.t. supaya berbuat demikian. Pertukaran arah qiblat terkandung di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Kerapkali Kami melihat engkau menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram; dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai apa yang mereka lakukan”. Al-Baqarah:144
Ayat ini turun ketika Rasulullah s.a.w. sedang solat bersama para sahabat r.a. di sebuah masjid di Madinah. Masjid yang dikenali dengan Masjid Qiblatain itu kekal dan boleh dilawati hingga sekarang.
Peristiwa paling hebat dan begitu menggemparkan pernah dialami oleh Rasulullah s.a.w. ialah isra’ dan mi’raj. Masjid al-Aqsa sekali lagi diberi penghurmatan dengan pemilihannya sebagai destinasi isra’ dan permulaan mi’rajnya. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” Al-Isra’:1
Di dalam ayat di atas, tidak disebut sebarang sifat khusus bagi Masjid al-Haram walaupun kedudukannya lebih tinggi daripada Masjid al-Aqsa. Sebaliknya ayat ini telah memberikan perhatian yang khusus kepada Masjid al-Aqsa dengan menyifatkannya sebagai ‘yang diberkati di sekelilingnya’.
Allah s.w.t. Yang Maha Berkuasa pastinya boleh jika Dia menghendaki untuk mengangkat Nabi Muhammad s.a.w. terus ke langit tanpa singgah di Masjid al-Aqsa. Sudah tentu ada hikmah tersendiri mengapa perjalanan isra’ dan mi’raj yang bersejarah itu melalui Masjid al-Aqsa.
Antara hikmah yang paling jelas ialah penegasan tentang hubungan rapat antara kedua-dua masjid tersebut. Umat Islam bertanggungjawab memelihara dan mempertahankan kesucian kedua-dua masjid itu secara serentak. Tambahan pula di dalam peristiwa isra’ dan mi’raj juga baginda dipertemukan dengan para nabi sebelumnya dan menunaikan solat sunat berjamaah bersama mereka di Masjid al-Aqsa. Secara simbolik pertemuan ini menunjukkan perpindahan kepimpinan agama ini dari Bani Israel kepada umat yang baru, rasul yang baru dan kitab suci yang baru. Kenapa upacara perpindahan ini dilakukan di Masjid al-Aqsa? Jawapannya amat jelas. Di bumi inilah kebanyakan para nabi sebelumnya dibangkitkan untuk berdakwah dan berjuang menyebarkan risalah Islam.
Kesatuan risalah yang dibawa oleh para nabi dan rasul ditegaskan berulang kali di dalam al-Quran. Sebagai contoh, firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Demi buah Tiin dan Zaitun. Dan gunung Tursina. Dan negeri (Mekah) yang aman ini”. At-Tiin: 1-3
Ibnu Kathir berkata: “Sebahagian ulamak besar berkata: Perkara-perkara tersebut (buah tiin, buah zaitun, bukit tursina dan negeri yang aman) merujuk kepada tiga tempat di mana Allah s.w.t. mengutus seorang rasul dari kalangan ulil-‘azmi bagi setiap tempat itu. Ketiga-tiga rasul tersebut membawa diin yang sama. Yang pertama ialah tempat tumbuhnya tiin dan zaitun iaitu maitul maqdis, di mana Allah Mengutus Isa bin Maryam. Kedua bukit Tursina, di mana Allah berbicara secara langsung dengan Musa bin ‘Imran. Ketiga ialah Mekah yang merupakan negeri yang aman tempat lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. pembawa risalah Islam yang terakhir..
Berdasarkan tafsiran ini, ketiga-tiga perkara yang disebut itu telah menghubung kait antara orang Islam, Yahudi dan Nasrani.
Sejajar dengan kedudukannya yang begitu mulia, mata dan hati umat Islam sentiasa tertumpu ke sana. Ketika Rasulullah s.a.w. dilahirkan pada tahun 570M, Palestin berada di bawah pemerintahan kerajaan kristian Rum.
Apabila Rasulullah s.a.w. dan umat Islam berjaya menegakkan daulah Islam di Madinah dan berjaya menangkis pelbagai serangan musuh luar dan dalam, baginda mula mengatur langkah untuk memperluaskan dakwah demi membebaskan manusia dari perhambaan kepada sesama manusia dan mengembalikan mereka kepada tuan hakiki yang sepatutnya mereka memperhambakan diri. Antara yang telah dilakukan baginda ialah mengutus surat kepada penguasa dan raja-raja setiap negeri termasuk Raja Kaisar yang menguasai Palestin.
Usaha-usaha dakwah baginda diteruskan oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan dilanjutkan oleh Umar al-Khattab. Dengan dakwah dan jihad yang berterusan, akhirnya umat Islam berjaya membebaskan Palestin dari cengkaman kerajaan yang tidak beriman. Detik bersejarah ini telah terukir pada tahun ke 15 hijrah bersamaan dengan tahun 636 Masihi.
Semenjak saat itu, Palestin diwarnai cahaya keislaman nan gemilang. Penduduknya telah menerima Islam sebagai satu cara hidup dan mengadaptasi bahasa Arab sebagai bahasa rasminya. Dan semenjak saat itu juga Palestin terus diperintah oleh kerajaan Islam silih berganti sehingga jatuh ke tangan penjajah British pada tahun 1917M. Ini bererti Islam telah bertapak kukuh di bumi yang berkat itu selama 1281 tahun. Meskipun dalam tempoh itu ia pernah jatuh ke tangan tentera Salib selama hamipr 90 tahun (1099 -1187), namun mereka tidak mampu memadamkan wajah keislaman yang telah terpahat kukuh di situ.
Kini, telah hampir satu abad (1917 – 2006) bumi suci disimbahi darah dan air mata,
telah hampir satu abad bumi isra’ dan mi’raj dilanyak musuh durjana,
telah hampir satu abad bumi anbia’ dihujani peluru tidak bermata,
telah hampir satu abad umat Islam yang telah bermastautin sekian lama di situ dihalau merata-rata.
Wajarkah kita diam membisu seribu bahasa?
Wajarkah kita berpeluk tubuh, buat tak endah macam si buta?
No comments:
Post a Comment