And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Tuesday, April 28, 2009
Al-Quran dan Bakul Arang
Di sebuah dusun berhampiran sebatang sungai yang jernih, seorang lelaki tua tinggal bersama seorang cucu yang masih kecil. Setiap pagi, selepas solat subuh dia duduk di atas kerusi di hadapan meja makan sambil menjerang air. Sementara menuggu air mendidih dia membaca al-Quran dengan tartil.
Cucunya ingin menjadi seperti datuknya dan meniru apa saja yang dilakukan oleh datuknya. Setiap pagi dia bangun awal. Selepas solat subuh dia duduk di sisi datuknya dan membaca al-Quran.
Suatu hari, cucu bertanya datuk:
Cucu: Tuk, setiap pagi Cu baca al-Quran seperti yang Tuk lakukan, tapi Cu banyak tak faham apa yang Cu baca. Kadang-kadang ada sedikit yang Cu faham, tapi bila Cu tutup al-Quran Cu lupa apa yang dibaca dan difahami sebentar tadi. Kalau macam tu, apa guna Cu baca al-Quran?
Datuk mendengar luahan hati cucu dengan tenang sambil menambah beberapa ketul arang ke dalam tungku. Kemudian dia berpaling ke arah cucu seraya menjawab. Di tangannya sebuah bakul usang bekas dia mengisi arang.
Datuk: Ambil bakul arang yang kosong ni, bawa ke sungai, isikan air ke dalamnya sampai penuh kemudian bawa balik kepada Tuk di rumah.
Cucu lakukan apa yang disuruh datuk tanpa soal. Alangkah terperanjatnya dia mendapati air yang diisi meleleh keluar dari bakul sebelum dia tiba ke rumah.
Datuk hanya tersenyum sambil berkata:
Datuk: Mungkin Cu jalan perlahan sangat. Cuba jalan laju sikit.
Sekali lagi cucu cuba lakukan apa yang dipinta datuknya. Namun hasilnya tetap sama. Dia tidak berjaya membawa sebakul air kepada datuk. Dengan nada marah dia berkata:
Cucu: Tak mungkin Cu boleh bawa air kepada Tuk dengan bakul ni. Sekarang Cu nak ambil baldi dan isi air untuk Tuk.
Datuk: Tuk tak minta sebaldi air, yang Tuk minta sebakul air. Mungkin Cu belum usaha bersungguh-sungguh.
Datuk pergi ke sungai bersama cucu untuk mempastikan cucu telah lakukan dengan betul apa yang disuruhnya. Datuk meminta supaya cucu mencedok air dengan bakul arang yang ada di tangannya. Cucu yakin bahawa usahanya akan sia-sia. Dia akan buktikan kepada datuk apa yang diyakininya supaya datuk lihat dengan matanya sendiri. Cucu memasukkan bakul ke dalam air dan mengangkatnya. Tepat seperti apa yang diyakininya, air meleleh keluar dan tiada sedikitpun yang tinggal di dalam bakul. Dengan tercungap-cungap dia berkata kepada datuk sambil menunjukkan bakul yang kosong,
Cucu: Lihat ni! Cu dah kata, tiada faedah.
Datuk: Cu yakin usaha yang Cu lakukan tiada faedah? Mari sini! Cuba perhatikan bakul ini betul-betul! Bukankah bakul ini telah bersih luar dan dalam? Habuk-habuk dan kesan-kesan arang yang hitam semuanya telah hilang.
Cucu perhatikan bakul yang masih terpegang di tangannya. Betul kata Tuk. Bakul ni dah bersih. Bisik hatinya. Belum sempat dia meluahkan persoalan yang berligar di benaknya, datuk menyambung bicara,
Datuk: Itulah bandingannya jika kita baca al-Quran. Mungkin kita tidak faham atau tidak ingat apa yang kita faham. Namun kesannya tetap ada. Ia membersihkan hati dan jiwa kita, menyucikan diri kita dari dosa luar dan dalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment