Pendahuluan
Islam adalah agama sejahtera yang membawa rahmat dan keadilan kepada seluruh umat manusia, khususnya mereka yang beriman.
Islam sangat menitik beratkan keselamatan dan kesejahteraan umatnya dalam semua aspek; nyawa, harta dan maruah.
Antara bukti yang menunjukkan Islam mementingkan keselamatan umatnya ialah larangan terhadap kaum wanita bermusafir bersendirian tanpa ditemani mahram atau suami. Setengah kalangan menganggap larangan ini merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap wanita dan bukti yang menunjukkan Islam memandang rendah terhadap kaum wanita serta mengongkong kebebasan mereka.
Namun hakikatnya mereka tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami bahawa di sepanjang sejarah kemanusiaan, hatta dalam zaman yang dikatakan maju dan bertamadun sekarang wanita tidak pernah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Wanita sering terdedah kepada pelbagai ekploitasi sampai ke tahap meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan sejati atas nama kemajuan, persamaan dan sebagainya. Hanya Islam yang benar-benar mengangkat darjat wanita dan meletakkan diri mereka di tempat yang mulia sama dengan lelaki.
Wanita dan Ibadah
Ulamak bersepakat bahawa wanita ditaklifkan hukum-hukum Syara’ sama seperti lelaki sama ada yang berekaitan dengan hukum-hukum akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
”Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (al-Ahzab 33:35)
Walaupun begitu terdapat sedikit perbezaan dari aspek teknikal dalam pelaksanaan sesuatu ibadah antara lelaki dan wanita.
Umpamanya menunaikan fardhu haji adalah wajib ke atas setiap umat Islam yang berkuasa seperti dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud:
”..... dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya .... ” (Aali ’Imran 3:97)
Jumhur berpendapat maksud berkuasa bagi lelaki ialah mempunyai kenderaan (sekiranya tempat tinggal lebih dari dua marhalah), bekalan, aman perjalanan, sihat tubuh badan dan tiada kesuntukan waktu. Manakala wanita tidak wajib walaupun memiliki semua di atas sekiranya tiada yang menamani sama ada suami, mahram atau beberapa orang wanita yang thiqah.(Kitab al-Idhah, m.s.96-97)
Menunaikan Haji / Umrah Tanpa Mahram
Telah dinyatakan bahawa menurut kebanyakan ulamak wanita tidak wajib menunaikan haji atau umrah sekiranya tidak ada teman sama ada suami, mahram atau beberapa orang wanita yang thiqah. Di dalam kitab Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah, penal penulisnya berkata:
”Para ilmuan mengatakan, seorang wanita yang tiada mahram tidak wajib mengerjakan haji. Sekiranya dia meninggal dunia tidak dihajikan untuknya daripada harta peninggalannya kerana dia termasuk dalam golongan mereka yang tidak mempunyai kemampuan (istito’ah)”. (Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah, m.s.369)
Pendapat ini disandarkan kepada beberapa Hadis yang bermaksud:
1. ”Janganlah seseorang wanita itu musafir dua hari kecuali bersama dengan suami atau mahramnya”. Riwayat al-Bukhari dari Abi Sa’eid.
2. ”Janganlah seseorang wanita itu musafir tiga hari kecuali bersamanya mahram”. Muttafaq ’Alaih dari Ibn Umar RA.
3. ”Tidak halal bagi wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat musafir tiga hari tiga malam kecuali bersamanya mahram”. Muslim dari Ibn Umar.
4. ”Janganlah seseorang wanita itu musafir kecuali bersamanya mahram”. Lalu seorang lelaki berkata: ”Ya Rasulullah! Saya hendak keluar (berjihad) bersama angkatan tentera sekian dan sekian, sedangkan isteri saya hendak menunaikan haji?” Baginda menjawab: ”Keluarlah bersama dengannya (isterimu)”. Muttafaq ’Alaih dari Ibn ’Abbas.
Nas-nas di atas jelas menunjukkan larangan ke atas wanita musafir tanpa suami atau mahram.
Namun ulamak tidak sekata dalam memahami Hadis-hadis di atas. Sebahagian mereka mengambil maknanya yang zahir. Manakala sebahagian lain melihat kepada sebab dan hikmah larangan itu.
Mereka yang mengambil maknanya yang zahir seperti yang disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah berpendapat wajib ada suami atau mahram. Al- Hanafiyyah juga berpendapat wajib ada suami atau mahram kecuali jika jarak tempat tinggal wanita itu kurang dari tiga marhalah. (’Atiyyah Saqar, jzk 2, m.s.134)
Mereka yang melihat kepada sebab atau illah larangan, antaranya Imam asy-Syafi’e sebagaimana disebut oleh an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim, tidak mensyaratkan suami atau mahram. Yang penting perjalanan itu selamat. Maka harus bagi wanita menunaikan haji sekiranya ditemani beberapa orang wanita yang thiqat kerana dalam hal ini boleh dikira selamat.
Begitu juga Imam Malik dan satu riwayat daripada Imam Ahmad, tidak mensyaratkan ada suami atau mahram untuk menunaikan haji fardhu.
Antara Musafir Wajib dan Musafir Sunat.
Pandangan yang diutarakan di atas adalah berkaitan dengan haji wajib. Berkenaan haji sunat dan musafir lain yang tidak wajib, pandangan mereka juga berbeza.
An-Nawawi berkata: Adapun haji sunat, safar ziarah, tijarah dan lain-lain yang tidak wajib, maka setengah mereka berkata harus keluar bersama kumpulan wanita yang thiqat seperti haji wajib. Jumhur berkata tidak harus kecuali bersama suami atau mahram dan inilah yang sahih.(Al-Majmuk, jzk 7, m.s.62)
Dalil jumhur adalah nas-nas yang telah dikemukakan di atas.
Para ilmuan masa kini seperti al-Ustaz Dr. Hasan Ahmad al-Kabir, Dekan Kulliyyah Bahasa Arab Universiti al-Azhar Zaqaziq, Syaikh Ali Jumah, Mufti al-Dayyar al-Misriyyah, Atiyyah Saqar cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus.
Dalil mereka yang mengatakan harus adalah:
1. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada ’Aadi bin Hatim bahawa Rasulullah SAW menceritakan kepadanya mengenai perkembangan Islam pada masa akan datang dan tertegaknya panji-panji Islam di seluruh pelusuk bumi. Antara maksud ungkapan baginda dalam Hadis tersebut: ”... hampir-hampir seorang wanita dari al-Hirah di Iraq keluar menuju Baitillah tanpa suami bersama dengannya dan dia tidak takut melainkan Allah...” Hadis ini bukan sekadar suatu perkhabaran mengenai keluasan penyebaran Islam, sebaliknya ia menunjukkan keharusan wanita musafir tanpa suami. (Fatawa al-Mu’asarah, m.s.431)
2. Umar RA telah mengizinkan isteri-isteri Rasulullah SAW pergi menunaikan haji bersama Uthman bin Affan RA dan Abdul Rahman bin Auf RA sedangkan mereka berdua bukan mahram kepada kesemua isteri-isteri Rasulullah SAW. Keizinan itu tidak pula dibantah oleh Uthman dan Abdul Rahman juga para sahabat yang lain. Ini boleh dikira sebagai ijmak di kalangan mereka.
3. Hikmah di sebalik pensyaratan wanita ditemani suami atau mahram ialah memastikan keselamatannya di dalam perjalanan dan memudahkannya melaksanakan segala urusan tanpa gangguan dan pergaulan yang tiada batasan. Kini semua masalah itu boleh diatasi dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, sama ada dari segi pengangkutan, penempatan serta keperluan-keperluan asas dan sampingan di sepanjang perjalanan serta masa melaksanakan ibadah.
4. Hadis-hadis yang melarang wanita musafir tanpa suami atau mahram ditakwilkan untuk zaman nubuwwah di mana kaum musyrikin menguasai Jazirah dan sentiasa mengintai peluang untuk melakukan sebarang tindakan yang mengancam keselamatan umat Islam. Dalam zaman sekarang, harus wanita musafir bersama taman yang amanah dan boleh dipercayai dengan izin suaminya sekiranya perjalanan itu aman serta keadaan negeri yang dituju itu aman. Keharusan ini tidak tertentu bagi haji sahaja, malah harus juga untuk tujuan belajar atau lain-lain tujuan yang tidak dilarang oleh Syara’. (Syaikh Ali Jum’ah, m.s.267)
Pandangan di atas juga bersesuaian dengan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Rabiul Awwal 1422 bersamaan 11 Jun 2001. Fatwa tersebut berbunyi: ”Diharuskan musafir bagi wanita untuk tujuan menunaikan haji sunat atau umrah sunat tanpa suami atau mahram dengan syarat-syarat yang ketat dan disiplin-disiplin tertentu”
Jawatankuasa telah menyenaraikan 17 syarat yang mesti dipatuhi.
Kesimpulan
Setelah diteliti pandangan para ulamak dahulu dan kini, didapati mereka mempunyai sudut pandangan yang berbeza sama ada wajib atau tidak wanita diiringi suami atau mahram atau boleh diganti dengan teman yang boleh dipercayai ketika musafir, sama ada musafir wajib atau bukan wajib. Perbezaan sudut pandangan ini berlaku hatta di kalangan ulamak mazhab yang sama. Malah ada di kalangan mereka seperti Ibn Hazm, Ibn Taimiyyah dan lain-lain tidak mewajibkan diiringi teman langsung sekiranya perjalanan itu aman. Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, pengarangnya berkata: Harus bagi perempuan mengerjakan haji atau umrah Islam bersama perempuan-perempuan thiqat. Bahkan mengikut qaul yang sahih, harus walaupun dengan seorang perempuan thiqah. Pada satu pandangan yang lain, harus ia mengerjakan haji atau umrah fardhu walaupun seorang diri sahaja sekiranya aman dirinya daripada fitnah. (Mughni al-Muhtaj, j.2, m.s.465)
Imam asy-Syafie sendiri tidak berpegang kepada zahir nas seperti yang diriwayatkan oleh an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim (jld 9, m.s.104): tidak disyaratkan mahram, bahkan disyaratkan keamanan dirinya.
Lantaran itu kita dapati beberapa orang dari kalangan ulamak zaman kini mertarjihkan wajib haji ke atas wanita dan harus bagi mereka musafir jika keselamatan dan kemudahan terjamin dengan apa cara sekalipun, sama ada dengan cara ditemani suami, mahram, kawan yang amanah, pengendalian pihak berwajib atau lain-lain. Isteri-isteri Rasulullah SAW telah menunaikan haji dengan keizinan Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Umar telah mengutus Uthman bin Affan RA dan Abdul Rahman Auf sebagai pengiring mereka. Haji yang ditunaikan oleh Ummahat al-Mukminin RA itu adalah haji sunat kerana mereka telahpun menunaikan haji wajib bersama Rasulullah SAW. (’Atiyyah Saqar, j.2, m.s.134-135)
Rujukan:1. Mughni al-Muhtaj
2. Al-Majmuk, Abi Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf an-Nawawi
3. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaili
4. Fatawa ‘Asriyyah, Syaikh Ali Jum’ah
5. Fatawa al-Mu’asarah, Dr. Hasan Ahmad al-Kabir
6. Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Syaikh ‘Atiyyah Saqar
7. Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah, Muhammad Ibrahim asy-Syaikh dan lain-lain..
8. Fatwa-Fatwa Negeri Johor, jld 3, hal.62-68
No comments:
Post a Comment