Saturday, June 13, 2009

FATHI YAKAN DALAM KENANGAN



Semalam, sabtu 13 Jun 2009 dunia telah kehilangan seorang ‘alim dan da’i yang berwibawa al-Ustaz Fathi Yakan yang telah menyumbang timbunan karya yang amat besar nilainya kepada dakwah dan perpustakaan Islam. Kenyataan rasmi mengenai kewafatan beliau telah dikeluarkan oleh pejabat beliau di Beirut berbunyi: Inna lillah wa inna ilaiHi raji’un. Sesungguhnya airmata pasti menitis, hati pasti merasa sedih, sesungguhnya kami, wahai Syaikh di atas perpisahan ini amat terguris. Namun kami tidak mampu berkata selain daripada apa yang diredhai oleh Rabb kita. Kami sampaikan kepada kalian semua, dengan penuh redha dan pasrah, berita kewafatan pendakwah Islam yang besar, Dr. Fathi Yakan Rahimahullahu Ta’ala.

Dr. Fathi Yakan adalah Presiden Jabhah al-‘Amal al-Islamiy di Lubnan. Dilahirkan pada 9 February 1933 di Tarablus Lubnan. Berkahwin dan memiliki empat orang puteri dan seorang putera. Memperolehi ijarah kedoktoran dalam bidang pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Terlibat secara aktif di dalam gerakan Islam di Lubnan sejak tahun 1950an dengan menggabungkan diri di dalam Jamaah Islamiyyah (Ikhwan Muslimun). Beliau diamanahkan beberapa jawatan penting di dalam jamaah sehingga ke tahap setiausaha agung. Beliau telah melepaskan jawatan setiausaha agung apabila menang di dalam pilihanraya umum pada tahun 1992 .

Belaiu telah menulis lebih daripada 35 buah buku, di mana kebanyakan buku-buku tersebut telah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa. Antara karya beliau yang terkenal ialah:
1. Permasalahan Dakwah dan Pendakwah
2. Bagaimana Menyeru kepada Islam?
3. Ke Arah Gerakan Islam ’Alamiy Yang Satu
4. Encyclopedia Gerakan Islam (2 juzuk)
5. Apa Ertinya Saya Menganut Islam
Dan banyak lagi.

Semoga Allah menerima kepulangan beliau ke pangkuan Maha Pencipta dan menempatkannya di sisiNya bersama hamba-hambaNya yang soleh. Amin.

No comments: