Wednesday, June 17, 2009

Kaffarah Yamin

Definisi:

Perkataan kaffarah diambil daripada kata kerja kaffara yang bermaksud: menutup.
Kaffarah Yamin bererti penutup dosa yang ditanggung oleh orang yang bersumpah kerana tidak menepati atau memungkiri sumpahnya.

Hukum:

Kaffarah Yamin adalah wajib ke atas orang yang memungkiri sumpahnya. Firman Allah SWT bermaksud:
“Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat. Maka dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat, maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda sumpahmu apabila kamu bersumpah. Dan jagalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya supaya kamu bersyukur”. (Al-Maidah : 89)

Ayat ini menerangkan bahawa orang yang tidak menepati sumpahnya wajib membayar satu daripada tiga pilihan; memberi makan kepada 10 orang miskin, atau memberi pakaian kepada 10 orang miskin atau memerdekakan seorang hamba. Jika tidak mampu melakukan satu daripada tiga pilihan di atas, maka dia hendaklah berpuasa sebanyak tiga hari.

Pilihan 1: Memberi Makan

Meskipun Allah memberikan tiga pilihan, ulamak berpendapat afdhal memberi makan sebab Allah menyebutnya terlebih dahulu.

Kadar makanan yang wajib diberikan ialah satu cupak gandum untuk setiap seorang. Imam Malik meriwayatkan bahawa Ibn Umar RA membayar kaffarah sumpahnya sebanyak itu.

Harus juga memberi makan kepada setiap orang miskin dua hidangan, iaitu makan tengahari dan makan malam.

Al-Hanafiyyah dan al-Awza'iy berpendapat harus membayar dengan nilai makanan kerana ia mencapai maksud, iaitu memenuhi keperluan orang miskin. Kadang-kadang mereka lebih memerlukan nilai (wang) berbanding dengan makanan.

Menurut jumhur fuqahak, antaranya Imam Malik, Syafi'iy, Ahmad dan Ibn Munzir serta dari kalangan Sahabat: Umar bin al-khattab, Ibn Abbas dan lain-lain Kaffarah tidak memadai dengan nilai atau kadar.

Pilihan 2 : Memberi Pakaian

Terdapat dua pendapat fuqahak tentang maksud pakaian.

Pendapat Pertama: Pendapat Malik, Abu Hanifah dan Ahmad, pakaian adalah apa saja yang boleh menutup aurat, iaitu yang membolehkan seseorang menunaikan solat dengannya. Untuk lelaki baju qamis, dan untuk wanita baju qamis dan tudung. Maka tidak memadai kalau sekadar kasut, selipar atau songkok kerana memakainya tidak dinamakan berpakaian dan tidak boleh dibuat solat dengannya.

Pendapat Kedua: Pendapat yang masyhur di dalam Mazhab al-Syafi'iy, pakaian adalah apa saja yang biasa dipakai seperti qamis, serban, kain sarung, selendang, jubah dan sebagainya.

Pilihan 3 : Memerdekakan Hamba

Setengah fuqahak seperti al-Syafi'iy, Malik dan yang zahir daripada Mazhab Ahmad, mensyaratkan hamba yang beriman, bebas dari sebarang kecacatan yang menjejaskan pekerjaan. Maka tidak sah dan tidak memadai hamba yang kafir, kudung, buta, gila, pekak, bisu, tempang, berpenyakit kusta atau tua.

Manakala pihak lain seperti Ato’, Abu Thur dan Hanafiyyah tidak meletakkan syarat iman. Maka sah memerdekakan hamba yang zimmiy.

Puasa

Fuqahak berbeza pendapat mengenai puasa; apakah disyaratkan berturut-turut atau tidak.

Pendapat Pertama : Pendapat Hanafiyyah, yang sahih daripada Mazhab Ahmad, satu qaul dalam Mazhab al-Syafi'iy dan lain-lain, wajib berturut-berturut. Tidak sah jika dicerai-ceraikan.

Pendapat Kedua : Pendapat Imam Malik, yang muktamad dalam Mazhab al-Syafi'iy dan satu qaul dalam Mazhab Ahmad, berturut-turut adalah afdhal. Namun berselang seli juga diterima.

Meninggal Dunia Sebelum Membayar Kaffarah

Menurut Imam al-Nawawiy, jika seseorang meninggal dunia sebelum selesai kaffarahnya wajib disempurnakan dengan menggunakan harta peninggalannya sama ada dia wasiat atau tidak, sama seperti hutang-hutangnya yang lain.

Penerima Kaffarah

Kaffarah tidak harus diberi kepada sesiapa sahaja. Terdapat syarat-syarat tertentu yang digariskan oleh fuqahak. Sesetengah syarat disepakati dan setengahnya tidak disepakati.

Syarat Pertama: Miskin dan Faqir. Ini telah dinyatakan di dalam ayat. Maka tidak sah membayar kaffarah kepada orang kaya. Menurut Hanafiyyah, sah membayar kaffarah kepada semua asnaf yang berhak menerima zakat seperti yang tersebut di dalam ayat 60 suarah al-Taubah bermaksud:
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskannya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang sedemikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.

Syarat Kedua: Islam. Imam Malik, al- Syafi'iy dan lain-lain berpendapat kaffarah tidak harus diberikan kepada bukan Islam kerana kaffarah adalah satu qurbah, sedangkan orang bukan Islam tidak termasuk dalam golongan itu. Abu Hanifah dan lain-lain berpendapat harus diberi kepada Zimmiy.

Syarat Ketiga: Merdeka. Imam Malik, al- Syafi'iy dan Ahmad mensyaratkan penerima kaffarah mestilah merdeka dan tidak sah hamba. Namun terdapat fuqahak yang berpendapat harus diberi kepada hamba mukatab.

Syarat Keempat: Penerima mestilah orang yang boleh makan sekiranya kaffarah yang dikeluarkan itu dalam bentuk makanan.

Syarat Kelima: Penerima bukan usul atau furu' atau orang yang wajib ditanggung nafkahnya oleh pembayar kaffarah. Maka tidak sah membayar kaffarah kepada ibu, ayah, anak dan isteri.

Syarat Keenam: Tidak memberi secara berulang-ulang. Tidak harus membayar kaffarah kepada seorang individu sahaja dengan memberinya satu cupak sehari selama sepuluh hari, atau memberi pakaian kepada seorang miskin sepuluh kali.

Syarat Ketujuh: Tidak harus dikurangkan habuan setiap orang dari yang sepatutnya seperti memberi makanan kepada 20 orang miskin setengah cupak setiap seorang.

Syarat Kelapan: Tidak boleh digabungkan antara dua jenis kaffarah atau lebih seperti memberi makanan kepada lima orang miskin dan pakaian kepada lima yang lain.


Petikan dari Kitab al-Aiman wa al-Nuzur, Dr. Muhammad Abdul Qadir Abu Faris, Dar al-Arqam, Amman 1988.

No comments: