Tuesday, July 14, 2009

Tinggal Satu Hari Saja Lagi!!!

Seandainya anda diberitahu bahawa peluang untuk anda hidup di dunia ini hanya tinggal satu hari saja lagi. Selepas itu nyawa anda akan dicabut oleh malaikat maut dan anda akan dibawa mengadap Allah Yang Esa!

Apakah yang akan anda lakukan untuk mengisi waktu hari terakhir hidup anda di dunai ini?

Dua pilihan untuk anda!

Anda akan menikmati segala keseronokan dunia sepuas-puasnya? Anda akan kejar impian yang belum tercapai? Menjejaki gadis jelita yang anda cintai, puaskan nafsu berasmara dana dengannya sepanjang hari? Tempah pesawat paling laju keliling dunia, jelajahi tempat-tempat peranginan menarik yang belum sempat anda lawati? Kumpul sebanyak-banyaknya perhiasan yang cantik, barang-barang antik, perabut-perabut mewah, penuhi setiap sudut dan ruang di dalam rumah? Jemput kawan-kawan datang ke rumah berpesta dan menjamu selera dengan segala jenis makanan dan minuman sama ada keras atau ringan?

Atau…

Anda akan segera ke masjid, menunaikan solat sebanyak yang boleh, beristighfar, berzikir, baca al-Quran sampai khatam? Periksa buku catatan, untuk membereskan segala hutang piutang. Hubungi kawan, jiran dan saudara mara, memohon kemaafan di atas segala kesalahan, lebih-lebih lagi dari mereka yang pernah anda zalimi, yang pernah anda umpati dan anda sakiti. Menulis surat wasiat untuk mensedekahkan semua harta yang ada di dalam simpanan. Rumah, kereta dan segala harta tiada suatu pun yang anda sayang. Hati anda menjadi begitu pemurah, jiwa anda sangat pemaaf. Serta merta anda bertukar menjadi insan yang sangat penyabar, lemah lembut dan bertimbang rasa. Anda sangat berharap kalaulah ada pesawat paling laju yang boleh menerbangkan anda ke tanah suci untuk bertawaf sebanyak mungkin dan bersolat di masjidil-haram untuk meraih ganjaran 100,000 kali ganda?

Yang manakah pilihan anda? Yang pertama atau kedua?

Sekiranya anda berkata bahawa anda memilih yang pertama, maka sesungguhnya anda telah berbohong kepada diri sendiri kerana Allah s.w.t. Yang Mencipta diri anda Maha mengetahui tentang makhluk ciptaanNya. Dia telah menceritakan di dalam al-Quran bahawa setiap insan yang kufur dan berdosa kepadaNya apabila menghampiri mati akan beriman dan menyesali segala dosanya-dosanya.
Tahukah anda apa yang terjadi kepada Firaun ketika dia hampir lemas? Firman Allah bermaksud:
“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah dia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. (Yunus:90)

Di dalam ayat lain, Allah s.w.t. menceritakan betapa manusia yang tidak suka berbuat kebaikan itu, apabila tiba saat kematian merayu-rayu agar dia diberi tangguh sekejap lagi supaya dia dapat mengerjakan amal yang soleh.
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh”. (Al-Munafiqun:10)

Dan setelah tiba ke negeri akhirat, pembalasan yang selama ini mereka ingkari tidak dapat dielakkan lagi. Saat itu mereka bercita-cita untuk kembali ke dunia. Bukan untuk melepaskan rindu kepada isteri atau suami, bukan untuk menyiapkan pembinaan istana yang terbengkalai, bukan untuk menyambung percintaan yang terburai. Tetapi hanya untuk satu tujuan sahaja, iaitu untuk melakukan amal yang soleh!

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan….” (Al-Mu’minun: 99 – 100)

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (As-Sajadah:12)

Sekiranya anda berkata bahawa anda memilih yang kedua, maka mengapa anda menunggu saat itu baru terkejar-kejar? Bukankah kematian itu suatu kemestian yang tidak siapa yang tahu bila tibanya? Kenapa masih berlengah dan bertangguh?

Sesungguhnya setiap kali menjelangnya hari yang baru, dia akan berkata kepada manusia: “Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku ini hari baru dan aku menjadi saksi ke atas amalan kamu. Dan pabila tenggelamnya matahari berakhirlah riwayatku dan aku tidak akan kembali lagi kepadamu sehingga hari qiamat!”

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Tidak ada seorangpun yang mati kecuali dia akan menyesal. Sekiranya dia telah melakukan kebaikan, dia menyesal tidak menambah kebaikannya. Dan sekiranya dia telah melakukan kejahatan, dia menyesal kerana tidak berhenti dari kejahatannya”.

Sayyidina Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya dunia telah beransur pergi meninggalkan kita dan akhirat mengensot datang mendapatkan kita. Kedua-duanya mempunyai anak masing-masing. Maka jadilah kamu anak-anak akhirat. Jangan jadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini masa beramal, tiada hisab. Esok masa hisab, tiada amal”.

Mengapa kita buat-buat buta tentang kesudahan diri kita
Kita buat-buat lupa kepada Yang tak pernah lupakan kita
Wahai orang yang berkelana di medan nafsu bersuka ria
Lepas bebas di pentas kesesatan tiada sempadan
Masa berlalu usia bertimbun dalam bermain
Cukuplah sudah, sungguh telah rugi hari lalu yang tiada berganti

No comments: