Thursday, February 11, 2010

Beberapa butir pertama tinggalan Ibn al-Qayyim



Permata yang sungguh berharga untuk dikutip dan digubah menjadi perhiasan dan penyeri kehidupan. Inilah sebahagian daripadanya:

1. Hati yang bergantung dengan syahawat terhijab daripada Allah sekadar pergantungan itu.
2. Hati adalah bejana Allah di buminya. Yang paling disukainya ialah hati yang paling lembut, paling kental dan paling bersih.
3. Runtuhnya hati kerana berasa aman daripada azab Allah serta leka dari mengingati-Nya. Dan membangunnya hati kerana takut kepada-Nya serta selalu mengingati-Nya.
4. Sesiapa yang meneguhkan kedudukan hatinya di sisi Tuhannya, akan rasa tenang dan aman. Sesiapa yang membiarkan hatinya merayau di tengah-tengah manusia, tidak akan tenteram dan selalu dihambat perasaan resah dan gelisah.
5. Hati diserang penyakit seperti tubuh badan. Penawarnya adalah taubat dan memelihara diri daripada dosa dan maksiat.
6. Hati akan berkarat seperti berkaratnya cermin. Membersihkannya adalah dengan zikir.
7. Hati pada asalnya tidak memakai apa-apa perhiasan seperti jasad. Perhiasannya adalah taqwa.
8. Hati berasa lapar dan dahaga seperti apa yang dialami oleh badan kita. Makanan dan minumannya ialah makrifah (mengenal) Allah, tawakkal kepada-Nya, cinta kepada-Nya dan kembali ke dalam dakapan-Nya.
9. Hati hanya berkunjung dan merayau-rayau pada enam tempat, tidak lebih daripada itu. Tiga tempat yang rendah dan tiga tempat yang tinggi.
Tempat rendah yang dikunjungi roh-roh yang hina ialah: dunia yang dia berhias untuknya, nafsu yang menjadi teman bicaranya dan musuh yang membisikan kejahatan kepadanya. Tempat tinggi yang digemari hati yang suci ialah: ilmu yang menunjukkan jalan yang benar, akal yang menerangi kegelapan dan Tuhan yang disembahnya.
10. Apabila manusia berasa cukup dengan dunia mereka, maka hendaklah engkau rasa cukup dengan Allah. Apabila mereka rasa gembira dengan dunia mereka, maka bergembiralah engkau dengan Allah. Apabila mereka rasa seronok ditemani kekasih mereka, maka cukuplah engkau rasa bahagia ditemani Allah.
11. Hamba berdiri di hadapan Allah pada dua tempat, dia berdiri di hadapan-Nya ketika solat dan berdiri mengadap-Nya pada hari pertemuan dengan-Nya kelak. Sesiapa yang membetulkan pendiriannya waktu dia berdiri yang pertama, mudahlah baginya waktu berdiri yang kedua, dan sesiapa yang meringan-ringankan pendiriannya waktu dia berdiri yang pertama dan tidak menyempurnakan haknya, dia akan menghadapi kesulitan ketika berdiri kali yang kedua.

No comments: