Ikhlas adalah tajuk yang dipilih oleh Imam an-Nawawi untuk dijadikan tajuk pertama di dalam kitabnya Riadh as-Solihin dan Hadis Arba’ein an-Nawawiyyah. Tajuk yang diilhamkan dari sepotong Hadis yang disampaikan oleh sahabat besar yang sangat hebat, iaitu sayyidina Umar bin al-Khattab (رضي الله عنه )
Kepentingan Hadis ini serta isi kandungannya digambarkan oleh Abd ar-Rahman bin Mahdi (135-198H), seorang muhaddith yang thiqah dengan kata-katanya: sekiranya aku menulis kitab yang mengandungi beberapa bab, nescaya akan aku letakkan Hadis Umar ini pada setiap bab.
Seorang ulamak besar kurun ke 7 hijriah, Ibn Abi Jamrah berkata: aku bercita-cita kalaulah ada di kalangan fuqahak seorang yang tidak ada lain kerjanya kecuali mengajar manusia tentang tujuan setiap amalan yang mereka lakukan. Dia duduk mengajar peranan dan kepentingan niat, itu sahaja. Sesungguhnya kebanyakan manusia tidak ditimpa musibah selain daripada mensia-sia niat.
Kata-kata itu memang ada asasnya. Allah (عز و جل) tidak memerintahkan hamba-Nya kecuali mengikhlaskan niat di dalam beribadah kepada-Nya seperti firman-Nya:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ
(Al-Bayyinah:5)
Rasulullah ( صلى الله عليه وسلم ) bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menerima daripada amalan itu kecuali yang ikhlas dan mencari keredhaan-Nya”. (Menurut al-Albani, Hadis Hasan)
Apa maksud ikhlas?
Imam Ibn al-Qayyim (رحمه الله ) di dalam kitab Madarij as-Salikin, mengemukakan beberapa pandangan ulamak mengenai ikhlas.
Pertama: Ikhlas ialah mengesakan al-Haq (Allah) pada niat di dalam taat. Maksudnya, ketaatan yang dilakukan dengan niat semata-mata untuk mendapat keredhaan-Nya.
Kedua: Menyingkirkan perbuatan daripada pemerhatian makhluk. Maksudnya, elakkan perbuatan kita daripada tujuan mendapat perhatian manusia.
Ketiga: Amalan yang dilakukan oleh seseroang hamba itu sama pada zahir dan batin.
Keempat: Muslim meletakkan qasad (tujuan) segala perkataan dan perbuatannya hanyalah Wajah Allah Ta’ala. Dia mengharap pahala dan takut siksa, menghindarkan ria’ dan kemasyhuran di kalangan manusia.
Kelima: Lupa memandang makhluk kerana sentiasa melihat kepada al-Khaliq.
Semua makna yang dikemukakan, walaupun susunan ayatnya tampak berbeza, ia hanya menunjukkan satu pengertian bahawa ikhlas adalah satu tuntutan dan syarat diterima segala amalan.
Di dalam beberapa riwayat, Nabi (صلى الله عليه وسلم) memberi peingatan yang cukup jelas, amalan yang tidak ikhlas bukan sahaja tidak diterima, sebaliknya ia menjadi penyebab binasanya seseorang hamba. Abu Daud dan Ibn Majah meriwayatkan bahawa baginda telah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang seharusnya digunakan untuk mencari redha Allah, dia tidak mempelajarinya melainkan untuk mendapatkan habuan dunia, dia tidak akan dapat menghidu wanginya syurga pada hari qiamat kelak”.
Bagaimana mengikhlaskan niat?
Terdapat beberapa cara dan langkah yang boleh membantu dalam usaha membersihkan hati daripada anasir-anasir yang mencemarkan niat.
1. Mujahadah an-nafs, iaitu usaha gigih yang berterusan melawan nafsu yang terselit di dalam diri sendiri. Seorang ahli sufi yang terkenal waraknya, Sahal at-Tasatturiy (200-283H) pernah ditanya tentang sesuatu yang paling sukar diterima oleh nafsu. Beliau menjawab, ikhlas!
2. Sentiasa bertaqwa kepada Allah.
3. Memahami dan menghayati Kesempurnaan, Kekuasaan, Keagungan, Kekayaan, Pengawasan dan Keluasan kurniaan Allah di samping menginsafi kelemahan, kefaqiran, kehinaan dan ketidak upayaan hamba. Apakah patut kita berharap kepada hamba yang lemah dan membelakangkan Dia yang Maha Kuasa dan Maha Kaya?
4. Banyakkan doa, meminta dan merayu kepada-Nya agar dikurniakan hati yang ikhlas
(يا مقلب القلوب ثبت قلبي على دينك)
(يا حي يا قيوم أصلح لي شأني كله ولا تكلني إلى نفسي طرفة عين أبدا)
(اللهم إني أعوذ بك أن أشرك بك شيئا أعلمه وأستغفرك مما لا أعلمه)
5. Rahsiakan ibadah dan kebaikan yang dilakukan seboleh mungkin.
6. Mengkritik diri dan menghisabnya dari masa ke masa berkaitan dengan niat.
7. Memerhati akan pantasnya kehidupan dunia dan cepatnya menuju kehancuran, seraya berfikir tentang akhirat, kenikmatan serta kesengsaraan yang tidak berkesudahan.
8. Waspada sentiasa terhadap godaan perasaan kagum kepada diri sendiri, seronok dipuji, suka memimpin dan menonjolkan diri. Perhati dan rawati selalu agar tidak bertapak menjadi penyakit yang sukar diubati.
الله أعلم
No comments:
Post a Comment