And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Sunday, June 06, 2010
Armada kebebasan telah menang. Apa peranan kita?
Semua penganalisis di seluruh dunia mengakui bahawa armada kebebasan LL4G telah mencapai kemenangan gemilang. Kemanangan bagi suara keadilan, kemuliaan dan kemerdekaan umat sejagat, di samping kerugian besar bagi rejim Zionis Yahudi yang ganas, dayus, penceroboh dan lanun yang telah hilang ciri-ciri kemanusiaannya.
Sesungguhnya tiada seorangpun yang dapat membayangkan tindakan begitu kejam dan bodoh akan dilakukan oleh mereka terhadap sekumpulan manusia yang tidak bersenjata yang sedang belajar di tengah lautan antarabangsa yang membawa satu misi yang mulia. Tetapi itulah yang dikatakan sebagai ketentuan Allah ‘Azza wa Jalla supaya kebejatan serta kejahatan mereka terserlah di mata dunia tanpa sembunyi dan selindung lagi.
Armada kebebasan telah mengemukakan satu pelajaran secara praktikal kepada mereka yang pengecut. Dan sesungguhnya kemenangan hanya boleh dicapai melalui pengorbanan dan darah. Adapun kata-kata, setiap orang mampu ucapkan dengan ungkapan paling indah, paling lantang penuh semangat. Tetapi tindakan, tidak ada siapa yang sanggup kecuali pahlawan sejati yang ikhlas.
Armada kebebasan telah memberitahu kita bahawa kebenaran itulah yang tinggi dan tiada suatupun yang dapat mengatasinya. Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyediakan sesiapa yang Dia Kehendaki dari kalangan makhluk-Nya untuk menjadi pendokongnya. Itulah wira yang datang dari pelbagai Negara, melebihi 40 buah Negara di dunia yang tidak sanggup lagi melihat kezaliman terus-terusan dilakukan ke atas suadara kita di Gaza, lalu mengambil inisiatif untuk membantu mereka walau terpaksa berkorban nyawa dan darah.
Kini tiba giliran kita untuk bertanya kepada diri masing-masing, apa peranan kita seterusnya?
Jangan kata kita tidak mampu berbuat apa-apa dan kita tidak punya apa-apa. Kalau semua orang berkata begitu, tentulah isu ini tidak akan berakhir buat selama-lamanya. Justeru, kita harus bangkit dengan apa saja yang ada pada kita.
Armada kebebasan telah memulakan langkahnya, telah mara ke hadapan dengan izin Allah, menggabungkan pelbagai golongan manusia; muslim dan non-muslim, berkulit putih, hitam dan sawo matang, bertutur dengan bahasa yang berlainan.
Rasulullah s.a.w. telah memuji Halaf al-Fudhul yang telah dimetrai oleh kaum musyrikin di zaman jahiliah. Baginda pernah bersabda (maksudnya) “sekiranya aku diajak bersama mereka (untuk sama-sama menanda tangani perjanjian itu) ketika aku sudah berada dalam Islam, aku akan menyertainya”.
Syabas dan tahniah kepada semua wira-wira dalam Armada kebebasan dan semua yang mendokong dan menyokong mereka walau dengan apa cara sekalipun. Tahniah kepada yang telah terpilih menerima anugerah syahid mendahului kita semua. Setiap titisan darah mereka yang tumpah ke bumi akan menghidupkan ribuan hati manusia di seluruh maya pada ini, insya Allah. Sesungguhnya fajar kemenangan telah menyingsing, ayuh bangun!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment