Kisah ini berlaku di Andalusia di zaman pemerintahan Dinasti Umawiyyah.
Tiga orang pemuda bekerja sebagai Hammar iaitu pengangkut barang dengan menggunakan himar (keldai). Mereka mengambil upah membawa barang-barang yang dibeli di pasar dan menghantarnya ke rumah pembelinya dengan himar milik mereka.
Pada suatu malam, mereka pulang ke rumah selepas penat bekerja keras sehari suntuk. Mereka duduk bersama menikmati makan malam sambil berbual-bual berkongsi pelbagai cerita.
Salah seorang daripada mereka yang bernama Muhammad bin Abi ‘Aamir berkata:
- Sekiranya aku ditakdirkan menjadi khalifah, apa yang kalian berdua mahu?
Kedua-dua temannya menjawab dengan serentak:
- Ini tidak mungkin!
Muhammad berkata:
- Andaikan saja aku menjadi khalifah.
Salah seorang temannya berkata:
- Muhammad, itu mustahil!
Manakala seorang lagi berkata:
- Wahai Muhammad, kamu hanya layak jadi hammar. Khalifah berbeza sama sekali dengan kamu.
Muhammad mengulang kata-katanya lagi:
- Aku telah katakan kepada kamu berdua, andaikan saja konon-kononnya aku ni khalifah! (Sambil dalam fikirannya tergambar dirinya berada di atas takhta khalifah. Dengan gaya seorang khalifah dia berkata kepada salah seorang temannya):
- Apa yang kamu harapkan wahai rajul (orang lelaki)?
Temannya itu tidak kuasa lagi membantah kemahuan Muhammad, lalu menjawab acuh tak acuh:
- Saya mahu taman-taman yang dipenuhi nyanyian-nyanyian,
- Lagi?
- Satu bangsal yang dipenuhi kuda,
- Lagi?
- 100 orang hamba perempuan,
- Lagi?
- 100,000 dinar emas.
- Lagi?
- Cukup sekadar itu wahai khalifah.
Muhammad bin Abi ‘Aamir terus melayani khayalannya yang indah. Dia berada di atas takhta memberi sumbangan yang tidak ternilai jumlahnya. Terasa begitu bahagia memenuhi seluruh jiwa raganya. Dia menjadi penyumbang sedangkan sebelumnya dia seorang penerima sumbangan. Dia menginfaqkan harta pada hal sebelumnya dia memohon pemberian orang lain. Dia mengeluarkan arahan sedangkan sebelumnya dia melaksanakan apa yang diarahkan. Dalam keadaan masih berkhayal sebagai khalifah, dia mengajukan pertanyaan kepada temannya yang kedua:
- Kamu pula, apa yang kamu mahu?
- Muhammad, sedarlah kamu itu hammar! Dan hammar tidak layak menjadi khalifah.
- Ya akhi, aku Cuma mahu kamu andaikan saja konon-konon aku khalifah, apa yang kamu mahu?
- Bagi aku, langit terhempas ke bumi lebih mudah daripada kamu akan sampai ke kerusi khalifah!
- Biarkan itu berlaku. Kamu cakap saja apa yang kamu mahu?
- Dengar wahai Muhammad! Kalau kamu jadi khalifah, letakkan aku di atas seekor himar, palingkan mukaku ke belakang, perintahkan seseorang berjalan bersama denganku sekeliling kota sambil berteriak, ‘Wahai manusia! Wahai manusia! Ini dajjal penipu! Sesiapa yang berjalan bersamanya atau bercakap dengannya, akan dimasukkan ke dalam penjara!’.
Perbualan itu berakhir dan masing-masing merebahkan badan beristirahat.
Menjelang waktu fajar, Muhammad segera bangun dari tidur dan menunaikan solat subuh. Selepas solat, dia duduk termenung sambil berfikir, betul seorang hammar tidak akan sampai ke kerusi khalifah. Namun fikirannya tidak mati di situ. Dia terus berfikir mencari jalan apakah langkah pertama untuk sampai ke takhta idamannya itu?
Akhirnya dia mendapat idea yang cukup mantap. Dia mesti tentukan langkah pertama terlebih dahulu. Langkah pertama baginya ialah dia mesti menjual himarnya!
Setelah menjual himarnya, Muhammad terus menapak mencari jalan seterusnya untuk sampai ke takhta. Dia membuat keputusan untuk mendapatkan pekerjaan sebagai anggota polis.
Dia mencurahkan bakti dan tenaganya dengan bersungguh-sungguh sebagai polis sehingga dia dikagumi dan disenangi semua lapisan masyarakat. Akhirnya dia mencapai kedudukan paling tinggi, menjadi ketua polis dalam Negara yang diperintah oleh dinasti umawiyyah di Andalus.
Pada tahun 366 hijriah, Khalifah al-Mustansir Billah meninggal dunia. Puteranya Hisyam al-Muayyid Billah yang berusia lebih kurang 10 tahun diangkat sebagai pengganti. Anak yang begitu kecil tentunya tidak mungkin menjalankan urusan pentadbiran dan pemerintahan Negara. Untuk menyelamatkan keadaan, mereka membuat keputusan melantik beberapa orang wasi (pemegang wasiat) untuk mengendalikan urusan Negara sementara khalifah yang dilantik belum matang. Wasi yang dilantik terdiri daripada ketua angkatan tentera, Ibn Abi Ghalib, perdana menteri, al-Mushafiy dan ketua polis Muhammad bin Abi ‘Aamir.
Pertentangan berlaku antara ketiga-tiga orang wasi sehingga akhirnya yang berkuasa hanyalah Muhammad bin Abi ‘Aamir.
Dia membuat ketetapan bahawa khalifah tidak boleh keluar kecuali dengan izinnya, memindahkan urusan pemerintahan ke istana miliknya, mengatur urusan tentera , menakluki beberapa buah kota sehingga Negara Bani Umayyah bertambah luas pada zaman pemerintahannya. Kemenangan-kemenangan yang dicapainya di Andalus mengatasi apa yang pernah dicapai oleh khalifah Bani Umayyah menyebabkan sebahagian ahli sejarah menganggap tempoh penguasaan Muhammad merupakan tempoh terputusnya dinasti umawiyyah dan mereka menamakan tempoh ini sebagai Negara ‘Aamiriyyah.
Demikian seorang insan kerdil mencapai cita-citanya yang tinggi dengan usaha dan tawakkal serta yakin kepada janji Allah.
30 tahun berlalu selepas Muhammad mula-mula menganyam mimpi indahnya. Dia teringat kepada dua orang teman lamanya. Dia memerintahkan pengawalnya agar menjemput dua orang lelaki yang disifatkan rupa paras, pekerjaan dan tempat tinggalnya.
Perintah itu segera dilaksanakan. Kedua-dua lelaki yang masih menjalankan pekerjaan yang sama, di tempat yang sama, dalam keadaan yang sama, kehairanan mengapa khalifah memanggil mereka mengadap sedangkan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan?
Tiba di istana, Muhammad bertanya adakah mereka mengenalinya? Mereka menjawab:
- Ya. Tapi kami bimbang tuan tidak mengenali kami.
- Bahkan aku tetap mengenali kalian, jelas Muhammad.
Muhammad menceritakan kepada semua kakitangan dan hulubalangnya tentang persahabatan dan pekerjaan mereka bertiga serta apa yang berlaku di antara mereka pada suatu malam 30 tahun yang lalu.
Kemudian dia berkata kepada salah seorang temannya:
- Hari ini aku akan sempurnakan apa yang kamu inginkan dahulu. Dan lebih daripada itu kamu mendapat gaji tanpa pekerjaan dan boleh memasuki istanaku tanpa sekatan.
Kemudian dia berpaling kepada teman yang kedua sambil berkata:
- Apa yang kamu inginkan dahulu?
- Maafkan saya wahai Amirul-Mukminin!
- Aku tidak akan maafkan sehingga kamu ceritakan kepada mereka apa yang kamu mahu!
- Ingat persahabatan kita wahai Amirul-Mukminin!
- Tidak! Ceritakan kepada mereka apa yang kamu mahu!
Maka dengan berat hati temannya terpaksa menceritakan apa yang dipintanya dahulu. Maka Muhammad perintahkan kakitangannya agar melaksanakan apa yang diingini temannya itu seraya berkata: “sehingga dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa di atas segala sesuatu”.
No comments:
Post a Comment