Wednesday, June 29, 2011

Daripada warisan Imam al-Banna mengenai peristiwa Isra’ dan Mi’raj

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Maksud al-Isra’:1)

Ketika mengingati peristiwa Isra’ dan Mi’raj, beberapa lintasan berligar di dalam diriku:

Tidakkah terdapat suatu perbezaan yang sangat aneh, apabila umat Islam begitu mengambil berat mengadakan perayaan mengingati malam yang hebat, malam di mana Allah membawa Nabi-Nya berjalan dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, Allah perlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran-Nya, Allah serlahkan kepadanya ni’mat yang agong, sedang pada masa yang sama Masjid al-Aqsa ini, bumi yang diberkati di sekitarnya dan Palestin yang suci tanahnya diancam dengan serangan membabi buta oleh Yahudi yang tamak haloba, imprialis Barat dan Amerika. Kaum muslimin yang memperingati Isra’ dan Mi’raj hanya melihat dan tidak bergerak, bercakap tapi tak buat, walhal orang lain berusaha sungguh-sungguh, mara ke depan untuk mencapai apa yang mereka inginkan!

Tidakkah suatu perbezaan yang sangat aneh, umat Islam dapat mengupas bagaimana pada malam yang agong itu Allah Tabaraka wa Ta’ala mengangkat Nabi-Nya yang agong melapasi langit tertinggi, sehingga ke Sidratul-Muntaha, “Kemudian dia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu dia berjuntai sedikit demi sedikit, Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah atau lebih dekat lagi;” (Maksud an-Najm: 8-9), umat membaca firman Allah yang bermaksud: “…Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman;…” (Al-Munafiqun:8) di samping tidak ketinggalan membaca sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang memberikan kehinaan daripada dirinya dengan sukarela tanpa dipaksa, maka dia bukan daripada kalanganku.” Umat juga sentiasa mengulang-ulang ayat suci yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab:21) Kemudian setelah semua itu mereka rela berada di tahap paling rendah, berpuas hati dengan kedudukan yang hina dina, bertapak di tempat paling corot di belakang umat dan bangsa-bangsa lain, tunduk kepada kuasa perampas dan penindas yang zalim, pada hal Allah menjanjikan ganjaran yang sangat besar kepada mereka yang berjihad?!

Bukankah suatu perbezaan yang aneh, bahawa umat ini mengetahui ayat pertama yang diturunkan di dalam al-Qurannya ialah: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Maksud al-‘Alaq: 1-5), dan Allah Tabaraka wa Ta’ala, ketika Dia Membawa Nabi-Nya berjalan di waktu malam dan mengangkatnya ke langit, Dia mahu menunjukkan kepada Nabi-Nya itu tanda-tanda kekuasaan-Nya yang Maha Besar, dia mahu memperlihatkan kepada Nabi-Nya rahsia-rahsia alam dan khazanah kewujudan, Dia mahu mengisi hati dan minda Nabi-Nya dengan ilmu dan ma’rifah, sehingga Nabi-Nya mencapai puncak keimanan dan keilmuan secara serentak. Selain itu, Allah memerintahkan Nabi-Nya dengan tegas agar berjalan di muka bumi dan memerhati ciptaan alam ini di dalam firman-Nya yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya)…” (Yunus:101). Kemudian selepas semua itu umat ini hanya berpada dengan pengetahuan senipis kulit, baik mengenai ilmu keduniaan mahupun rahsia-rahsia keagamaan.
Umat ini terkebelakang dari rombongan umat-umat lain dalam memanfaatkan sumber kekuatan alam yang Allah ciptakan untuk kegunaan manusia sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: “Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.” (Al-Jathiah:13), sehinggakan mereka diperintah oleh umat lain dengan kekuatan kebendaan yang ada pada mereka dan keupayaan mereka menguasai ilmu sains dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan rahsia kejadian alam?!

Ada satu lagi keanehan, iaitu orang-orang yang terpedaya dengan ilmu mereka yang cetek berkata: bagaimana mungkin seseorang manusia itu beralih dari Mekah ke Baitul-Maqdis dalam jangka masa yang begitu singkat sebelum wujud motokar dan sebelum tercipta kapalterbang? Bagaimana dia boleh mendaki ke langit tinggi yang tidak dilengkapi dengan apa-apa yang diperlukan untuk manusia hidup seperti udara, air dan makanan?! Bagaimana dia boleh bertahan tanpa lebur bertembung dengan jutaan cakrawala ketika dia meluru ke langit dengan kepantasan yang sukar dipercayai? Dan lain-lain lagi persoalan yang ditimbulkan untuk mencari alasan menolaknya (peristiwa Isra’ dan Mi’raj).

Kita berkata kepada mereka ini: sesungguhnya perkara ini jauh lebih mudah daripada apa yang kamu sangkakan. Topic ini jauh lebih enteng daripada apa yang kamu gambarkan! Sesungguhnya kamu mengakui bahawa kamu tidak memahami semua kekuatan alam dan ilmu kamu tidak menyeluruh mengenai undang-undang alam. Maka letakkan dalam andaian kamu bahawa apa yang berlaku itu termasuk dalam ruang lingkup yang kamu tidak ketahui, tergolong dalam lingkungan perkara yang kamu tidak faham. Bukankah Allah berfirman maksudnya: “… dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Al-Isra’:85) Sekiranya kamu perhatikan kembali sejarah penemuan sains mengenai setiap perkara baru, kamu akan ingat bahawa setiap kali penemuan baru dikemukan pasti akan berdepan dengan penolakan dan keingkaran. Malah seringkali saintis yang berjaya menemui perkara baru itu dituduh berdusta dan mereka-reka. Kemudian secara beransur-ansur akal manusia akan tunduk ke bumi nyata. Mereka akan terima sepenuhnya setelah puas menafi dan mendustakan dengan pelbagai hujah dan alasan.

Kami ingin berkata kepada mereka: begitulah juga, sesungguhnya ilmu sains moden telah membuktikan secara saintifik kebenaran apa yang kamu ragukan. Mereka dapat membuktikan bahawa kekuatan jiwa dapat mengatasi kekutan fizikal dan benda, dengan kekuatan metafizik manusia boleh memindahkan sesuatu benda dari satu tempat ke tampat yang lain, malah boleh mengangkatnya dari permukaan bumi. Pakar-pakar ilmu kerohanian telah melakukan beberapa percubaan, di mana mereka boleh mengangkat orang-orang yang duduk di atas kerusi mereka terangkat dari lantai beberapa meter. Justeru, kalau manusia dapat melakukan perkara menakjubkan seperti itu dengan kekuatannya yang sekelumit cuma, maka apa yang anehnya kalau Allah menganugerahkan kepada Nabi-Nya, Muhammad s.a.w. kekuaran ruhi yang boleh membawanya mengatasi puncak langit tertinggi mengikut Kehendak-Nya? Sesungguhnya tidak susah untuk menolak dan mengingkari sesuatu bagi mereka yang mahu menolak, tetapi perbuatan itu sebenarnya bukanlah lahir daripada orang yang benar-benar mantap ilmunya. “… dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama, berkata: Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.” (Aali Imran:7)

Maka, wahai umat Nabi yang agong s.a.w. berbanggalah, rasailah kemuliaanmu, tuntutlah ilmu dan berjuanglah. Berimanlah kepada Allah dengan iman yang mendalam. Itulah kemenangan yang nyata. “ Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Maksud at-Taubah:105)

Surat khabar harian Ikhwan Muslimin, bil.48 tahun pertama, 28 Rejab 1365 bersamaan 28 Jun 1946

Monday, June 20, 2011

Dedikasi Untuk Bapa

Dua orang sabahat, Arif dan Alif (bukan nama sebenar) pergi memancing.

Pancing Arif mengena. Dia Berjaya memperolehi seekor ikan besar. Ikan itu diletakkan di dalam bakul yang telah disediakan, lalu dia bangkit untuk bergerak pulang.

Alif bertanya: “Hendak ke mana kamu?
Arif menjawab: “Hendak balik ke rumah. Aku dah dapat tangkap seekor ikan besar yang mencukupi untuk aku sekeluarga.”
Alif meningkah: “Tunggulah supaya kamu dapat tangkap beberapa ekor ikan besar lagi seperti aku ni.”
Arif bertanya: “Untuk apa?”
Alif menjawab: “Kalau kamu dapat ikan lebih, kamu boleh jual.”
Arif bertanya lagi: “Jual untuk apa?”
Alif menjawab: “Supaya kamu dapat duit lebih.”
Arif bertanya: “Untuk apa?”
Alif menjawab: “Kamu boleh simpan dan tambah dana kamu dalam bank.”
Arif bertanya: “Simpan untuk apa?”
Alif menjawab: “Kamu akan jadi orang kaya.”
Arif bertanya: “Apa yang aku boleh buat dengan kekayaan?”
Alif menjawab: “Bila kamu sudah tua nanti, kamu boleh hidup senang, menikmati waktu-waktumu dengan isteri dan anak-anakmu.”
Arif berkata: “Itulah sebenarnya yang aku nikmati sekarang. Aku tidak mahu menangguhkannya, tunggu sehingga usia tua baru nak nikmati hidup bersama keluarga dan menghabis waktu muda mengejar harta, sedang kita belum tentu sempat menikmati kedamaian bersama keluarga ketika tua!”

Harap tidak ada yang salah faham membaca cerita ini.
Teringat pada kebanyakan masyarakat yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga tidak ada masa untuk keluarga, apa lagi untuk dakwah, tarbiah, usrah, daurah dan lain-lain…

Belum selesai projek bernilai satu billion, kejar pula yang benilai 10 billion… dan lagi, dan lagi…

SELAMAT MENYAMBUT HARI BAPA

Saturday, June 11, 2011

Tinggallah di sini dan azanlah untuk kami wahai Bilal!

Bilal bin Rabah, muazzin Rasulullah s.a.w. Orang pertama yang diangkat oleh baginda menjadi muazzin di Masjid Nabawi di al-Madinah al-Munawwarah. Bilal r.a. tetap setia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan selama hampir 10 tahun.

Apa yang berlaku kepada Bilal selepas kewafatan kekaksihnya dan kekasih kita, Rasulullah s.a.w.? Mungkin tidak ramai yang tahu?

Bilal datang bertemu Abu Bakar r.a. dan berkata:
“Wahai Khalifah (pengganti) Rasulillah, sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Amalan seseorang mukmin yang paling afdhal ialah berjihad di jalan Allah.”
Abu Bakar bertanya:
“Lantas, apa yang engkau mahu wahai Bilal?”
Bilal menjawab:
“Aku hendak bermurabatoh (berada di medan jihad) di jalan Allah sehingga aku mati!”
Abu Bakar bertanya:
“Kalau begitu, siapa yang akan azan untuk kami?”
Bilal menjawab, sedang air mata bergenang di kelopak matanya:
“Sesungguhnya aku tidak akan menjadi muazzin kepada sesiapapun selepas Rasulullah s.a.w.!”
Abu Bakar memujuk dengan berkata:
“Tinggallah di sini dan azanlah untuk kami wahai Bilal!”
Bilal membalas:
“Sekiranya engkau telah merdekakan aku dahulu supaya aku tunduk kepadamu, maka letakkanlah aku sebagaimana yang engkau mahu. Tetapi sekiranya engkau merdekakan aku dulu kerana Allah, maka biarkanlah aku untuk apa yang engkau merdekakan aku.”
Abu Bakar menjawab:
“Bahkan aku merdekakan engkau untuk Allah wahai Bilal!”

Maka Abu Bakar r.a. tiada pilihan kecuali membenarkan Bilal memilih jalannya untuk berjihad dan sentiasa berada di medan juang. Bilal berhijrah ke Sham. Di situlah beliau mengabdikan diri di medan jihad…

Salami isi hati yang dicurahkannya sendiri:
“Aku tidak tertanggung tinggal di Madinah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. “

Setiap kali dia cuba mengalunkan azan, apabila tiba pada “asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah” kerongkongnya tercekik lalu dia akan menangis. Maka dia berangkat ke Sham bersama para mujahidin.

Selepas beberapa tahun berada di Sham, beliau melihat Rasulullah s.a.w. di dalam mimpinya. Baginda berkata kepada Bilal, “Kenapa begitu lama kamu menyepikan diri wahai Bilal? Belum tibakah masanya untuk kamu ziarahi kami?”

Bilal terjaga dari tidurnya. Hatinya sungguh sedih. Beliau segera berangkat ke Madinah dan terus menuju ke maqam Rasulullah s.a.w. Bilal menangis dan berguling-guling di situ sehingga Hasan dan Husain menghampirinya. Beliau memeluk dan mencium mereka berdua sepuas-puasnya. Kedua-duanya berkata kepada Bilal:
“Kami rindu untuk mendengar azanmu di waktu dinihari.”

Bilal naik ke atas sutuh (bahagian atas) masjid dan mula mengalunkan azannya yang amat dirindui oleh warga Madinah. Apabila Bilal mengalunkan “Allahu Akbar, Allah Akbar”, seluruh Madinah bergetar. Apabila tiba ungkapan “Asyhadu an la ilaha illa Allah”, getaran bertambah kuat. Dan apabila tiba ungkapan “asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah”, wanita-wanita keluar dari bilik-bilik mereka. Sehingga diriwayatkan bahawa tidak ada hari yang paling banyak kaum lelaki dan wanita menangis lebih daripada hari itu…

Ketika Amirul-Mukminin Umar bin al-Khattab melawat Sham, kaum muslimin memintanya agar memujuk Bilal supaya azan untuk mereka untuk satu solat sahajapun cukuplah. Umar memanggil Bilal dan menyampaikan hasrat penduduk Sham. Tiba waktu solat, Bilal menaiki tempat azan lalu mengalunkannya.

Maka menangislah para sahabat yang sempat bersama Rasulullah s.a.w. ketika Bilal menjadi muazzinnya. Mereka menangis seolah-olah mereka tidak pernah menangis sebelum ini dan selama-lamanya. Dan Umar r.a. adalah orang yang paling kuat menangis dalam kalangan mereka.

Ketika Bilal hampir menghembuskan nafas terakhir, belaiu berkata kepada isterinya, Halah binti ‘Auf, saudara kepada Abdul Rahman bin ‘Auf: “Usah menangis! Esok kami akan bertemu dengan para kekaksih, Muhammad dan sahabat-sahabat…”

Friday, June 10, 2011

MARI MENGARANG

Apa yang hendak dikarang? Kitab atau orang?

Kenapa Hasan al-Banna tidak mengarang kitab sedangkan beliau mempunyai kepakaran dari segi ilmu dan kesusasteraan yang jarang dimiliki oleh orang lain?

Persoalan ini telah dijawab oleh beliau sendiri:

“Biarkan aku tidak menyibukkan diri menulis buku-buku. Setinggi manapun idea dan buah fikiran yang terkandung di dalam sesebuah buku, semuanya terkurung di dalam kulit buku tersebut dan terhampar di atas lembaran-lembarannya sehinggalah buku itu terserempak dengan pembaca yang benar-benar mempunyai kemampuan untuk memahaminya dan mengambil manfaat daripadanya. Dan jarang sekali buku-buku itu akan menemui pembaca jenis ini. Di samping kebanyakan mereka yang mempunyai kemampuan untuk memahami fikrah yang terkandung di dalam buku itu tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaca dan menelitinya. Dan kebanyakan mereka yang memperoleh buku-buku itu mereka memperolehinya untuk menghiasi rak-rak di rumah mereka dan perpustakaan-perpustakaan yang padat dengan pelbagai jenis ilmu yang ditulis berjilid-jilid. Sungguhpun begitu umat Islam yang lemah tidak mendapat sebarang faedah daripadanya. Mereka tidak mempunyai cita-cita yang tinggi, malas, tidak bersemangat dan lebih mementingkan hidup senang dan mewah. Akibatnya mereka di lingkungi musuh dari segenap penjuru.

Justeru, waktu yang aku perlu habiskan untuk menulis buku, aku gunakan untuk membentuk seratus pemuda Islam. Setiap orang daripada mereka menjadi sebuah buku yang hidup, bercakap, beramal dan meninggalkan kesan. Aku hantarkan setiap orang daripada mereka ke sebuah Negara daripada Negara-negara Islam, lalu mereka membentuk para pemuda di situ sebagaimana aku membentuk mereka.”

Maka, apapun yang hendak dikarang, biarlah yang boleh meninggalkan kesan yang bermanfaat kepada umat

Monday, June 06, 2011

Kisah lelaki yang bermalam di syurga

Lima orang buruh yang sangat miskin tinggal di sebuah kampong yang kecil. Mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menampung sara hidup diri sendiri dan keluarga.
Kelima-lima mereka berpakat untuk mencari pekerjaan di bandar bersebelahan dengan kampong mereka.

Mulalah mereka membanting tulang di Bandar setiap hari dari pagi hingga ke petang. Mereka hanya pulang ke kampong menemui keluarga pada cuti hujung minggu. Namun salah seorang daripada mereka tidak begitu. Setelah selesai pekerjaan yang dilakukan ketika menjelang waktu Maghrib, dia segera menunaikan solat, kemudian bergegas pulang ke rumahnya di kampong. Keesokannya dia datang semula ke Bandar untuk meneruskan kerjanya.

Keadaan itu membuatkan kawan-kawan berasa hairan. Mereka berkata kepadanya, “mengapa kamu memenatkan diri berulang alik tidur bersama keluarga di kampong yang jauh jaraknya, pada hal kamu tak ada isteri dan anak-anak?”

Dia menjawab, “sesungguhnya aku pulang setiap malam untuk tidur di syurga!”
Kata-kata itu disambut dengan gelak ketawa oleh teman-temannya. Mereka berkata, “selama ini kami anggap kamu seorang yang siuman. Mungkin disebabkan kamu terlalu penat berulang alik fikiran kamu jadi kacau. Lebih baik kamu jumpa doctor supaya dia periksa dan rawat kamu.”

Dia menjawab, “sebelum jumpa doctor, mari kita jumpa seseorang yang boleh jadi orang tengah yang dapat menentukan bahawa kata-kataku adalah benar dan kamu tidak akan mendustaiku lagi.”

Mereka bertemu dengan seorang imam di sebuah masjid, lalu menceritakan kisah kawan mereka itu.

Dengan tenang imam meminta lelaki itu menceritakan kisahnya.

Dia berkata, “saya adalah anak tunggal kepada dua ibu bapa yang telah tua. Sayalah yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk menyara mereka. Selepas selesai bekerja dan menunaikan solat Maghrib, saya terus pulang ke rumah saya di kampong. Setiba di rumah saya dapati ayah dan ibu saya telah makan malam dan tidur dengan nyenyak. Saya mengambil selimut dan tidur di hujung kaki mereka. Apabila fajar menjelang, saya membangungkan mereka untuk menunaikan solat Subuh. Saya sediakan air untuk mereka berwuduk, menyediakan sarapan dan keperluan-keperluan mereka. Selepas itu barulah saya ke Bandar untuk menyambung kerja dengan hati yang tenang. Saya benar-benar rasa bahagia kerana dapat menghabiskan malam saya di syurga.”

Imam berkata kepada empat orang sahabatnya, “demi Allah, sahabat kamu ini benar! Sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Syurga itu di bawah telapak kaki ibu”