Tuesday, August 23, 2011

Lailatul-Qadr



Nukilan Imam Hasan al-Banna

“…. pada malam itu, dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).” Ad-Dukhan:4

Ia adalah malam keberkatan, kesejahteraan dan ketentuan. Padanya diputuskan setiap perkara yang mengandungi hikmah. Dengan itu ia adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Sesungguhnya Allah memberkati malam ini dengan mengemukakan satu hadiah dari langit, hadiah yang berupa satu system kemasyarakatan yang sempurna dan lengkap yang terkandung di dalam kitab suciNya, diberikan kepada ahli bumi, yang sedang terpinga-pinga keliru di hadapan pelbagai jalan yang bersimpang siur.

Dan selepas 1370 tahun daripada malam yang berkat ini, para pemimpin dunia mula melaungkan seruan wajib diisytiharkan satu gagasan persaudaraan di kalangan manusia, wajib diperkukuhkan persaudaraan ini dengan cara perisytiharan seperti itu supaya kesejahteraan bertapak di atas muka bumi. Pada hal sebelum mereka melaungkan gagasan itu, al-Quran al-Karim telah mengisytiharkannya terlebih dahulu menerusi firman Allah yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” An-Nisaa’:1

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Al-Hujurat:13

Selepas beberapa kurun berlalu, para pemimpin dunia mula mengangkat seruan memperjuangkan keadilan social, persamaan peluang untuk semua supaya manusia boleh hidup aman dan tenang dalam suasana kasih saying, seimbang dan saling bantu membantu. Pada hal telah sekian lama dahulu al-Quran menyeru kepada keadilan ini dengan cara paling unggul. Allah berfirman maksudnya:

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” An-Nahl:90

Selain daripada itu, Islam turut menerangkan konsep keadilan social ini dengan cara yang jelas dan terperinci, merangkumi semua bahagian serta cabang-cabangnya di dalam beberapa ayat yang terdapat di dalam al-Quran.

Roosevelt dan Churchill mengisytiharkan Perjanjian Atlantik yang memperakui hak kebebasan empat perkara. Mereka yang mengisytiharkan perjanjian itu tidak mengetahui bahawa al-Quran telah mendahului mereka dalam memperakui hak-hak tersebut dengan cara yang paling kemas, cantik lagi sempurna.

Al-Quran mengisytiharkan kebebasan akidah menerusi ayat: “Tidak ada paksaan dalam agama” Al-Baqarah:256

Kebebasan fikiran menerusi ayat: “…dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;…” Asy-Syura:38

Kebebasan bekerja dan mengelakkan diri dari bergantung kepada pihak lain menerusi ayat:
“Dia lah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah;…” Al-Mulk:15
“Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan;…” At-Taubah:105

Kebebasan dari rasa takut dan mengisytiharkan kedamaian dan keamanan menerusi ayat:

“Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” Al-Qadr:5

“Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukkan iman mereka dengan kezaliman (syirik), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan dan merekalah orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.” Al-An’am:82

Ke atas itu semua, al-Quran menambahkan dua aspek yang tidak pernah dikemukakan oleh manusia sebelum atau selepasnya. Iaitu Islam menggariskan jalan yang praktikal untuk mencapai gagasan murni yang selari dengan fitrah insani. Jalan atau kaedah itu dimasukkan di dalam manual kehidupan seharian mereka seperti solat, puasa dan adab-adab Islamiah. Semua ibadah dan syiar-syiar yang terkandung di dalam al-Quran adalah bertujuan untuk memantapkan prinsip tersebut di dalam jiwa mukminin.

Islam juga menjadikan hati kecil atau dhamir mukmin yang hidup, yang mempunyai hubungan yang kuat dengan Allah, sebagai pengawas yang tidak pernah leka. Hati yang hidup dan sentiasa berhubung dengan Allah itu akan menebarkan kebahagian dan ketenangan di dalam jiwa, iltizam serta taat kepada prinsip dan berjalan di atas landasannya sepanjang masa. Pada masa yang sama, hati itu akan berasa sedih dan menderita melihat manusia yang melanggar prinsip tersebut dan tidak mematuhi batasan-batasannya.

Itulah sebahagian daripada ajaran yang diturunkan di malam yang berkat ini, yang memutuskan semua perkara yang mengandungi hikmah. Sesiapa yang mahukan keterangan yang lebih jelas, maka di hadapannya ada mushaf (kitab al-Quran yang telah dibukukan).
“Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.” Hud:1

ALLAH MAHA BESAR dan UNTUK ALLAH SEGALA PUJIAN

2 comments:

fieqa said...

salam ustazah :)

saya mohon share artikel ni di muharikah.com boleh?

jzkk ustazah.
moga kita dikurniakan lailatul qadr iAllah.

doakan sama2 ye? :)

Maznah Daud said...

boleh... amin