Friday, October 28, 2011

Mencari keredhaan Allah

Keredhaan Allah adalah matlamat tertinggi bagi setiap mukmin. Ini tergambar menerusi bait-bait syair yang sering diungkapkan di dalam zikir munajat:

إلهى أنت مقصودى ورضاك مطلوبى

Bermaksud:

Tuhanku, Engkaulah yang aku tuju, keredhaanMu adalah pencarianku.

Keredhaan Allah hanya boleh dicapai dengan beriman kepadaNya yang Esa lagi Maha Kuasa, taat kepada segala titah perintahNya, tenang dan yakin terhadap janji-janjiNya. Inilah orang yang dinamakan mutmainnah. Para malaikat memanggil mereka agar kembali ke Pangkuan Tuhan mereka dengan mendapat limpahan kasih dan redhaNya.

!Wahai jiwa yang tenang"

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya"

"Maka masuklahlah ke dalam golongan hamba-hambaKu

"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "

Al-Fajr:27-30

Menurut Imam at-Tobari, nafs mutmainnah atau jiwa yang tenang bermaksud jiwa yang sentiasa tenang dan yakin kepada janji Allah. Dia berjanji kepada mereka yang beriman kepadaNya bahawa mereka akan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat. Lalu mereka yang beriman percaya kepada janji tersebut.

Beliau menyebut tafsiran lain terhadap maksud nafs mutmainnah ialah, jiwa yang percaya dan yakin bahawa Allah adalah Tuhannya, tunduk kepada perintahNya, menerima segala ketentuanNya.

Pendapat lain ialah, jiwa yang yakin bahawa Allah adalahTuhannya dan sentiasa bersiap sedia untuk mentaati dan melaksanakan perintahNya.

Justeru, orang yang benar-benar ingin mencari keredhaan Allah mestilah mengikhlaskan niat, hanya keredhaan Allah yang dicari, bukan sanjungan manusia, bukan pujian orang ramai dan bukan juga kepuasan diri sendiri.

Seorang lelaki menemui gurunya, Basyar bin al-Harith al-Hafi, imam yang alim, warak dan zuhud meminta izin untuk pergi menunaikan haji kali kedua selepas menunaikan haji fardhu pada tahun sebelumnya.

Maka Basyar bertanya lelaki tersebut: “Apa yang mendorong kamu untuk pergi? Adakah kerana kamu seorang yang zuhud, yang tidak memerlukan harta di dunia, atau kerana kamu rindukan Baitillah, atau kerana kamu ingin mencari keredhaan Allah?”

Lelaki itu menjawab: “Bahkan aku pergi kerana ingin mencari keredhaan Allah!”

Basyar bertanya lagi: “Berapakah perbelanjaan yang telah kamu sediakan untuk tujuan tersebut?”

Lelaki itu berkata: “Dua ribu (2,000) dirham.”

Basyar berkata kepadanya: “Mahukah aku tunjukkan kamu cara untuk kamu mendapat keredhaan Allah dalam keadaan engkau duduk di negeri kamu?”

Lelaki itu menjawab: “Sudah tentu saya mahu.”

Lalu Basyar menjelaskan: “Pergi cari 10 orang yang tidak mampu membayar hutang, maka kamu langsaikan hutang-hutang mereka. Pergi kepada seorang faqir agar dia dapat meluruskan kekusutan dirinya, orang yang mempunyai tanggungan supaya ahli keluarga yang ditanggungnya dapat mengecapi kehidupan yang selesa, penjaga anak yatim agar dia dapat membahagiakannya. Kalau hatimu sanggup memberi kepada seorang daripada mereka, lakukanlah. Sesungguhnya kamu memasukkan kegembiraan ke dalam hati seorang muslim, menolong orang yang susah, melapangkan kesempitan, membantu orang yang lemah adalah lebih afdhal daripada 100 kali haji selepas menunaikan haji Islam.”

Basyar berkata lagi: “Sekarang, katakan kepadaku wahai rajul (orang lelaki), yang mana satukah engkau pilih? Katakan kepadaku, apa yang ada di dalam hatimu?

Lelaki itu menjawab: “Wahai Abu Nasr, aku lebih berharap untuk musafir ke Baitillah!”

Basyar berkata kepadanya: “Sesungguhnya harta benda, jika dikumpul daripada kekotoran dagangan dan jalan-jalan yang syubuhat, dia akan menuntut dari jiwa kita supaya memenuhi kehendaknya, maka kita akan lakukan amal yang zahirnya nampak soleh, pada hal Allah enggan menerima kecuali daripada orang-orang yang bertaqwa.”

Justeru, mencari keredhaan Allah bukan sekadar beramal dengan amalan-amalan yang pada zahirnya nampak soleh. Sebaliknya, kita mesti memahami secara menyeluruh amalan-amalan yang disukai Allah serta memilih mana yang lebih utama dan lebih besar manfaatnya. Bukan memilih mana yang kita gemar dan yang kita suka semata-mata.

Makkah al-Mukarramah

18 Zul Kaedah 1432

16 Oktober 2011

Thursday, October 27, 2011

It’s Story Time

Suatu masa dahulu, ada seorang raja berasal dari salasilah raja-raja. Dia sangat kagum pada dirinya seolah-olah tiada makhluk ciptaan Allah yang lebih baik daripada dirinya. Dia sering berbicara tentang kebangsawanan darah yang mengalir di dalam tubuhnya. Di mana saja dia berada, dia dikelilingan oleh para penyair yang memuji-muji kehebatannya. Mereka mengarang syair, prosa serta puisi khusus untuk memuji dan memujanya.
Namanya terpahat di semua dinding-dinding istana, gambarnya tertera di mata wang emas dan perak kerjaannya.
Pada suatu hari, ketika angkatannya sedang berarak menuju ke satu destinasi, dia terpandang seorang lalaki sedang tekun menggali lubang-lubang kubur. Di sekelilingnya bertimbun-timbun tulang dan tengkorak manusia yang mana daging dan kulit yang membalutnya telah hancur di mamah bumi.
Dia berhenti lalu bertanya lelaki itu, apa yang sedang dilakukannya?
Lelaki itu berkata: “Patik berada di sini adalah semata-mata untuk berkhidmat kepada tuanku.”
Jawapan itu menimbulkan kehairanan yang tak terkira di hati raja. Dia berkata: “Bagaimana?”
Lelaki itu menghampirinya dan menjelaskan: “Tuanku, di tempat ini dulu telah berlaku satu pertempuran sengit yang menyebabkan ayahanda Tuanku terbunuh. Patik ingin mencari dan mengecami tulangnya untuk ditanam di tempat yang sesuai dengan kebesarannya. Namun, anehnya patik menemui sesuatu yang menakjubkan!”
Lelaki itu mengambil tulang-tulang dan membawanya ke hadapan raja sambil berkata: “Tuanku, ini semua tulang-tulang yang patik temui. Perhatikan betul-betul. Adakah tuanku dapat membezakan antara tulang raja dengan tulang rakyat jelata? Antara tulang orang kaya dengan tulang orang papa? Antara tulang panglima dengan tulang tentera biasa?
Sesungguhnya tulang-tulang semuanya sama di sisi tanah, wahai tuanku!”
Memang benar. Bumi sentiasa menanti. Perutnya sentiasa bersedia untuk menelan orang besar, yang sombong dan tertipu, yang berasa megah dengan apa yang dimilikinya di atas muka bumi. Namun tidak ada satupun daripada semua itu dapat dibawa bersama ke dalam perut bumi!
Kerana tanah tidak kenal siapa pemilik tulang. Semuanya sama. Semuanya akan dimamahnya.

Thursday, October 20, 2011

Belajar daripada semut

Allah Ta’ala telah mengabadikan kata-kata semut memberi nasihat dan peringatan kepada bangsanya di dalam kitab paling suci, paling agong dan paling mulia.

“Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.
(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke dalam sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”. (An-Naml:17-18)

Perhatikan, semut berkata “sedang mereka tidak menyedarinya!” Dia mencari alasan, memberi keuzuran kepada manusia. Andai manusia memijak dan melenyek mereka, mungkin sebab manunia tidak nampak kerana saiznya yang kecil sedangkan manusia sibuk dengan pelbagai urusan yang lebih besar daripadanya!

Semut yang kecil, tidak berakal (?), tahu berfikir mencari alasan dan memberi keuzuran kepada manusia, bagaimana dengan kita sesama manusia, malah sesama suadara kadang-kadang tanpa usul periksa menghukum saudara berdasarkan dzan semata-mata. Walhal, dzan adalah satu dosa besar yang dilarang oleh Allah dan RasulNya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujurat:12

Sejak dahulu para ulamak berpesan, “Apabila sampai kepada kamu sesuatu yang kamu tidak suka mengenai saudara kamu, maka carilah keuzuran untuknya. Jika kamu tidak dapat memikirkannya, maka katakanlah kepada diri kamu, boleh jadi dia mempunyai alasan yang aku tidak mengetahuinya...”

Sunday, October 16, 2011

Kapsul

Daripada Abi Sa’eid al-Khudriy r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Iblis berkata, “Wahai Tuhanku, aku akan terus-terusan memperdayakan anak Adam selagi roh-roh mereka berada di dalam jasad-jasad mereka!”

Allah berfirman (maksudnya): “Dan Aku akan sentiasa ampunkan mereka selagi mereka memohon ampun kepadaKu dengan beristighfar!”

Riwayat Ahmad dan lain-lain.

Daripada Abi Umamah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Sesungguhnya malaikat (pencatat amal) sebelah kiri mengangkat qalamnya selama enam jam tidak mencatat dosa seorang muslim yang melakukan kesalahan atau kejahatan. Sekiranya dalam tempoh itu dia menyesal dan beristighfar, dosa itu dicampakkannya (tidak dicatat). Jika tidak, maka dia akan catat satu dosa sahaja!”

Riwayat at-Tabrani dan al-Baihaqiy

Saturday, October 08, 2011

Al-Quran dan 99 Nama-nama Allah Yang Terindah (أسماء الله الحسنى)

بسم الله الرحمن الرحيم

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah memiliki 99 Nama. Sesiapa yang menghitungnya, dia masuk syurga.” Riwayat al-Bukhari.


NamaNya yang pertama kali disebut di dalam al-Quran tentulah yang terdapat pada ayat pertama surah yang pertama, iaitu surah al-Fatihah. Dalam ayat tersebut terdapat tiga (3) NamaNya, iaitu:


الله-الرحمن-الرحيم

Dia telah memilih tiga Nama daripada nama-namaNya untuk diletakkan di permulaan kitabNya. Nama-nama tersebut mengandungi erti Tuhan yang disembah, yang bersifat maha pengasih, maha penyayang dan maha pemurah.


Namun apa yang hendak didedahkan di sini adalah dari segi bilangan 99 yang disebut di dalam Hadis di atas, yang secara tidak langsung menunjukkan satu lagi mukjizat al-Quran yang mengkagumkan.


Tiga nama tersebut telah diulang di dalam al-Quran puluhan, ratusan dan ribuan kali.


Kalimah الله terdapat 2699 kali.


Kalimah الرحمن terdapat 57 kali.


Kalimah الرحيم terdapat 115 kali.


Perhatikan semua bilangan di atas adalah ganjil. Mungkin ini ada kaitan dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu ganjil (witir), suka kepada ganjil.” Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi.


Cuba jumlahkan bilangan-bilangan di atas, adakah ia mempunyai kaitan dengan bilangan 99? Perhatikan!


2699 + 57 + 115 = 2871


99 x 29 = 2871


Kita susun pula bilangan tadi ( 115 – 57 – 2699 )


115572699 = 99 x 1167401


Natijah ini menunjukkan bahawa Allah Ta’ala mengulang NamaNya yang indah yang disebut pada permulaan kitabNya supaya selari dengan bilangan NamaNya yang 99. Maha Suci Allah!


قل ادعوا الله أو ادعوا الرحمن أياً ما تدعوا فله الأسماء الحسنى


“Katakanlah (wahai Muhammad): Serulah nama "Allah" atau nama "Ar-Rahman", yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia…” Al-Isra’:110


Cuba kita ubah susunan di atas, iaitu kalimah ar-Rahman (57 kali) diletakkan dahulu daripada kalimah Allah (2699 kali). Maka kedudukan bilangan akan jadi begini:


115269957. Bilangan ini bersamaan dengan:


99 x 1164343 = 115269957


Tetapi kalau ditukar ar-Rahim (115 kali) di tempat Allah (2699 kali), susunannya adalah begini:


269957115. Bilangan ini tidak boleh dibahagi dengan 99 atau bukan natijah darab 99.


Kenapa? Mungkin ada kaitan dengan ayat 110 surah al-Isra’, di mana dalam ayat tersebut Dia berkata “serulah Allah atau ar-Rahman”. Seolah-olah menggambarkan bahawa nama Allah boleh diganti dengan nama ar-Rahman dan sebaliknya. Allahu A’lam.


Dipetik dari hasil kajian Ir. Abdul Daim Kaheel.

Thursday, October 06, 2011

4 Soalan

Seorang lelaki bertemu dengan Amirul Mu’minin Ali bin Talib r.a.
Lelaki itu berkata, “Wahai Amirul Mu’minin, saya ingin bertanya 4 soalan, harap tuan dapat menjawabnya:

1. Apakah perkara yang wajib dan yang lebih wajib?
2. Apakah perkara yang dekat dan yang lebih dekat?
3. Apakah perkara yang pelik dan yang lebih pelik?
4. Apakah perkara yang sukar dan yang lebih sukar?

Amirul Mu’minin menjawab,

1. Yang wajib taat kepada Allah dan yang lebih wajib tinggalkan dosa.
2. Yang dekat itu qiamat dan yang lebih dekat adalah mati.
3. Yang pelik ialah dunia dan yang lebih pelik ialah cintakan dunia.
4. Yang sukar itu kubur dan yang lebih sukar pergi ke sana (kubur) tanpa bekalan.

Tuesday, October 04, 2011

Al-Quran: Keajaibannya terus dibongkar dan memukau dengan izinNya

Al-Quran adalah kitab suci yang tidak diragukan lagi akan kebenaran, kehebatan, keunggulan serta keunikannya. Lantaran itu ia dipanggil mukjizat.

Mukjizat adalah perkara yang tidak mampu dibuat serupa dengannya, ditiru atau dicabar oleh sesiapapun.

Dari aspek apapun al-Quran tetap unik dan mengagumkan. Sebagai contoh, perhatikan sepotong ayat ini, iaitu ayat yang menegaskan bahawa al-Quran ini diturunkan Allah dan Dialah yang mengajar membacanya.

(إن علينا جمعه وقرآنه)

“Sesungguhnya Kamilah yang berkuasa mengumpulkan Al-Quran itu (dalam dadamu) dan menetapkan bacaannya (pada lidahmu)”

Ayat ini daripada surah al-Qiamah, surah ke 75

Ayat ke 17

Bilangan perkataannya atau kalimahnya 5

Bilangan hurufnya 17

Jumlah angka-angka yang berkaitan dengan ayat yang memperkatakan tentang siapa yang menurunkan dan mengumpulkan al-Quran adalah sama dengan bilangan surah di dalam al-Quran!

Perhatikan:

75 + 17 + 5 + 17 = 114

Adakah ini hanya satu kebetulan?

Pastinya TIDAK!

Itu hanyalah sekelumit cuma daripada bukti-bukti yang tidak terkira yang menunjukkan bahawa al-Quran adalah tulin dan benar.

Monday, October 03, 2011

10 MOTIVASI DIRI


1. Perbaharui hidupmu, pelbagaikan aktivitimu, tukar rutin harianmu.

2. Ulangi zikir:

لا حول ولا قوة إلا بالله

Kerana ia melapangkan hati dan membaiki keadaan. Dengannya juga engkau mampu memikul beban yang berat serta redha terhadap Yang Esa

3. Banyakkan beistighfar kerana dengannya datang rezeki, kelapangan, keturunan, ilmu yang berguna, kemudahan dalam segala urusan dan terhapus dos-dosa.

4. Bencana mendekatkanmu kepada Allah, mengajar engkau untuk berdoa, menghilangkan sifat sombong, ujub dan bangga.

5. Jauhi dosa-dosa kerana ia sumber derita dan dukacita. Ia penyebab mala petaka, pintu musibah dan bala bencana.

6. Ketahuilah bahawa orang yang mengumpatmu, maka sesungguhnya dia telah menghadiahkan pahala hasanahnya kepadamu, menghapuskan dosa-dosamu dan menjadikan kamu terkenal. Itu merupakan ni’mat buatmu.

7. Ceriakan wajahmu di hadapan manusia nescaya kamu akan meraih kasih mereka. Lunakkan bahasa pertuturanmu nescaya mereka akan menyayangimu. Rendahkan dirimu, nescaya mereka akan mengagumimu.

8. Jangan gembirakan musuhmu dengan kemarahan dan kesedihanmu kerana itulah sebenarnya yang mereka mahu. Maka jangan kamu realisasikan cita-cita mereka yang tinggi, iaitu untuk mengeruhkan hidupmu.

9. Engkaulah yang mewarnakan hidupmu dengan pandanganmu kepadanya. Sesungguhnya hidupmu adalah rekaan mindamu. Maka jangan kamu letakkan kacamata hitam di atas kedua-dua matamu.

10. Andai kamu terjerumus di dalam kesulitan, ingat, sudah berapa banyak kesulitan yang telah kamu lalui sepanjang hidupmu? Dan Allah telah selamatkan kamu dari semua kesulitan itu. Ketika itu kamu akan yakin bahawa Dia yang telah selamatkan kamu kali pertama pasti akan selamatkan kamu kali kedua.

DARI KATA-KATA:

عائض القرني