Allah Ta’ala telah mengabadikan kata-kata semut memberi nasihat dan peringatan kepada bangsanya di dalam kitab paling suci, paling agong dan paling mulia.
“Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.
(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke “Waadin-Naml”, berkatalah seekor semut: “Wahai sekalian semut, masuklah ke dalam sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari”. (An-Naml:17-18)
Perhatikan, semut berkata “sedang mereka tidak menyedarinya!” Dia mencari alasan, memberi keuzuran kepada manusia. Andai manusia memijak dan melenyek mereka, mungkin sebab manunia tidak nampak kerana saiznya yang kecil sedangkan manusia sibuk dengan pelbagai urusan yang lebih besar daripadanya!
Semut yang kecil, tidak berakal (?), tahu berfikir mencari alasan dan memberi keuzuran kepada manusia, bagaimana dengan kita sesama manusia, malah sesama suadara kadang-kadang tanpa usul periksa menghukum saudara berdasarkan dzan semata-mata. Walhal, dzan adalah satu dosa besar yang dilarang oleh Allah dan RasulNya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” Al-Hujurat:12
Sejak dahulu para ulamak berpesan, “Apabila sampai kepada kamu sesuatu yang kamu tidak suka mengenai saudara kamu, maka carilah keuzuran untuknya. Jika kamu tidak dapat memikirkannya, maka katakanlah kepada diri kamu, boleh jadi dia mempunyai alasan yang aku tidak mengetahuinya...”
No comments:
Post a Comment