Friday, October 28, 2011

Mencari keredhaan Allah

Keredhaan Allah adalah matlamat tertinggi bagi setiap mukmin. Ini tergambar menerusi bait-bait syair yang sering diungkapkan di dalam zikir munajat:

إلهى أنت مقصودى ورضاك مطلوبى

Bermaksud:

Tuhanku, Engkaulah yang aku tuju, keredhaanMu adalah pencarianku.

Keredhaan Allah hanya boleh dicapai dengan beriman kepadaNya yang Esa lagi Maha Kuasa, taat kepada segala titah perintahNya, tenang dan yakin terhadap janji-janjiNya. Inilah orang yang dinamakan mutmainnah. Para malaikat memanggil mereka agar kembali ke Pangkuan Tuhan mereka dengan mendapat limpahan kasih dan redhaNya.

!Wahai jiwa yang tenang"

Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhai-Nya"

"Maka masuklahlah ke dalam golongan hamba-hambaKu

"Dan masuklah ke dalam SyurgaKu! "

Al-Fajr:27-30

Menurut Imam at-Tobari, nafs mutmainnah atau jiwa yang tenang bermaksud jiwa yang sentiasa tenang dan yakin kepada janji Allah. Dia berjanji kepada mereka yang beriman kepadaNya bahawa mereka akan mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat. Lalu mereka yang beriman percaya kepada janji tersebut.

Beliau menyebut tafsiran lain terhadap maksud nafs mutmainnah ialah, jiwa yang percaya dan yakin bahawa Allah adalah Tuhannya, tunduk kepada perintahNya, menerima segala ketentuanNya.

Pendapat lain ialah, jiwa yang yakin bahawa Allah adalahTuhannya dan sentiasa bersiap sedia untuk mentaati dan melaksanakan perintahNya.

Justeru, orang yang benar-benar ingin mencari keredhaan Allah mestilah mengikhlaskan niat, hanya keredhaan Allah yang dicari, bukan sanjungan manusia, bukan pujian orang ramai dan bukan juga kepuasan diri sendiri.

Seorang lelaki menemui gurunya, Basyar bin al-Harith al-Hafi, imam yang alim, warak dan zuhud meminta izin untuk pergi menunaikan haji kali kedua selepas menunaikan haji fardhu pada tahun sebelumnya.

Maka Basyar bertanya lelaki tersebut: “Apa yang mendorong kamu untuk pergi? Adakah kerana kamu seorang yang zuhud, yang tidak memerlukan harta di dunia, atau kerana kamu rindukan Baitillah, atau kerana kamu ingin mencari keredhaan Allah?”

Lelaki itu menjawab: “Bahkan aku pergi kerana ingin mencari keredhaan Allah!”

Basyar bertanya lagi: “Berapakah perbelanjaan yang telah kamu sediakan untuk tujuan tersebut?”

Lelaki itu berkata: “Dua ribu (2,000) dirham.”

Basyar berkata kepadanya: “Mahukah aku tunjukkan kamu cara untuk kamu mendapat keredhaan Allah dalam keadaan engkau duduk di negeri kamu?”

Lelaki itu menjawab: “Sudah tentu saya mahu.”

Lalu Basyar menjelaskan: “Pergi cari 10 orang yang tidak mampu membayar hutang, maka kamu langsaikan hutang-hutang mereka. Pergi kepada seorang faqir agar dia dapat meluruskan kekusutan dirinya, orang yang mempunyai tanggungan supaya ahli keluarga yang ditanggungnya dapat mengecapi kehidupan yang selesa, penjaga anak yatim agar dia dapat membahagiakannya. Kalau hatimu sanggup memberi kepada seorang daripada mereka, lakukanlah. Sesungguhnya kamu memasukkan kegembiraan ke dalam hati seorang muslim, menolong orang yang susah, melapangkan kesempitan, membantu orang yang lemah adalah lebih afdhal daripada 100 kali haji selepas menunaikan haji Islam.”

Basyar berkata lagi: “Sekarang, katakan kepadaku wahai rajul (orang lelaki), yang mana satukah engkau pilih? Katakan kepadaku, apa yang ada di dalam hatimu?

Lelaki itu menjawab: “Wahai Abu Nasr, aku lebih berharap untuk musafir ke Baitillah!”

Basyar berkata kepadanya: “Sesungguhnya harta benda, jika dikumpul daripada kekotoran dagangan dan jalan-jalan yang syubuhat, dia akan menuntut dari jiwa kita supaya memenuhi kehendaknya, maka kita akan lakukan amal yang zahirnya nampak soleh, pada hal Allah enggan menerima kecuali daripada orang-orang yang bertaqwa.”

Justeru, mencari keredhaan Allah bukan sekadar beramal dengan amalan-amalan yang pada zahirnya nampak soleh. Sebaliknya, kita mesti memahami secara menyeluruh amalan-amalan yang disukai Allah serta memilih mana yang lebih utama dan lebih besar manfaatnya. Bukan memilih mana yang kita gemar dan yang kita suka semata-mata.

Makkah al-Mukarramah

18 Zul Kaedah 1432

16 Oktober 2011

No comments: