And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Wednesday, February 22, 2012
Empat panduan penting
1. Ketika anda diuji dengan kesusahan dan kesempitan hidup, jangan lupa membaca:
۞ لا إلهَ إلاّ أنتَ سُبحانكَ إني كنتُ من الظالمين
Allah menjamin dengan firmanNya yang bermaksud: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Zunnun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri. Maka Kami kabulkan permohonan doanya dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya dan sebagaimana Kami menyelamatkannya, Kami akan selamatkan orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami).” (Al-Anbiaa’:87-88)
2. Jika anda ditimpa sakit, jangan lupa membaca:
۞ ربي إني مسّنيَ الضرُ وأنتَ أرحمُ الراحمين
Perhatikan firmanNya yang bermaksud: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: Keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).” (Al-Anbiaa’:83-84)
3. Jika anda dihimpit perasaan takut, jangan lupa membaca:
۞ حسبي الله ونعم الوكيل
Lihat janji Allah di dalam firman ini (maksudnya): “Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: Cukuplah Allah untuk (menolong) kami dan Dia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami). Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah dan (ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.” (Aali-‘Imran:173-174)
4. Jika anda diancam tipudaya manusia, jangan lupa membaca
۞ وأفوضُ أمري إلى اللهِ واللهُ بصيرٌ بالعباد
Maka Allah akan pelihara kita dari tipudaya tersebut: “(Kiranya kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya. Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka dia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya,” (Ghafir:44-45)
اللهم إجعلنا من الذاكرين الشاكرين ولاتجعلنا من الغافلين
واجعل القرآن ربيع قلوبنا وجلاء غمومنا وهمومنا
Ya Allah, jadikanlah kami termasuk dalam golongan orang yang mengingatiMu dan mensyukuriMu.
Janganlah jadikan kami termasuk dalam golongan orang yang lalai.
Jadikanlah al-Quran sebagai penyeri hati-hati kami dan penghapus kerisauan serta resah gelisah kami.
Melayan kehendak nafsu yang tidak bersiling
Sejak dahulu kita dididik agar bersikap sederhana dan jangan melampaui batas dalam semua perkara. Ungkapan seperti: “orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang” begitu popular dan difahami oleh pelbagai peringkat usia.
Beberapa hari yang lalu ana terbaca sebuah dongeng China yang mengandungi mesej yang sama, iaitu ketamakan mendatangkan kerugian.
Begini kisahnya:
Seorang maharaja ingin membalas kebaikan salah seorang rakyatnya yang setia dan berjasa. Dia berkata kepada rakyatnya itu: “Beta menganugerahkan kamu tanah seluas mana kamu boleh sampai dengan berjalan kaki!”
Gembiranya rakyat yang miskin itu tidak terkata. Dia meletakkan batu tanda di tempat dia bermula dan berjalanlah dia merentasi kawasan muka bumi negerinya yang subur dan indah. Akhirnya dia kepenatan dan berhenti di suatu tempat.
Terlintas di hatinya untuk kembali menemui maharaja supaya memberikannya tanah yang telah direntasinya sebagaimana yang dijanjikan. Namun dia mengubah fikiran dan bertekad untuk meneruskan perjalanan supaya dia mendapat tanah yang lebih luas.
Lantas dia berjalan dan berjalan. Setiap kali dia sampai di suatu tempat, dia berfikir untuk kembali menemui maharaja untuk menerima habuan yang dijanjikannya, tetapi dia mengubah fikiran dan terus berjalan untuk mendapat lebih dan lebih.
Akhirnya dia tidak tahu ke mana lagi hendak di tuju, di mana dia berada dan dari arah mana dia datang! Dia telah tersesat. Akhirnya dia mati kepenatan. Penat berjalan. Penat mengejar nafsu tamak yang tiada sempadan.
“Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. () Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Al-Kahf:45-46)
Monday, February 13, 2012
Tawaf
Ya Allah
Di keliling rumahMu aku bertawaf
Dalam lautan tetamuMu
Dari bibir mereka terpantul ungkapan yang Satu
Engkaulah Tuhan tempat meminta dan mengadu
Mereka mengasak dan menolak
Menepis, menangkis dan menghimpit
Bagaikan ada sesuatu yang diburu
Aku jadi keliru
Ya Allah
Mereka dan aku sama-sama memburu redhaMu
Mereka dan aku sama-sama tetamuMu
Dan Engkau tidak pernah berpaling dari hambaMu
Selangkah kakiku menapak
Seribu langkah Engkau mendekat
Justeru, kenapa mereka bergegas
Kenapa mereka seperti mengganas
Tanpa peduli ada tetamuMu yang lemas
Ya Allah
Engkau melihat pada hati
Namun perbuatan, adakah ditolak tepi
Engkau mendengar luahan doa meminta-meminta
Engkau melihat tangan dan kaki merempuh saudara
Ya Allah
Kiranya Engkau boleh ampunkan dosa mereka
Kiranya Engkau boleh qabulkan doa mereka
Kiranya Engkau boleh syukuri usaha mereka
Kiranya Engkau boleh terima manasik mereka
Kiranya Engkau boleh anugerahi haji mabrur kepada mereka
Yang tiada simpati pada saudara
Yang tidak menghormati hak saudara
Yang mengganggu kekhusyukan saudara
Yang menjadikan Kaabah seperti mereka saja yang punya
Aku bagaimana
Aku yang menangis, perit, ditepis, terhimpit
Tidakkah Engkau akan ampunkan dosaku
Tidakkah Engkau akan meredhaiku
Tidakkah Engkau akan qabulkan doaku
Tidakkah Engkau akan terima manasikku
Tidakkah Engkau akan syukuri usahaku
Tidakkah Engkau akan kurniakan haji mabrur kepadaku
Ya Allah... Ya Allah... Ya Allah...
KENANGAN MUSIM HAJI 1432
TIGA PERKARA
Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. berkata: “Tiga perkara akan kembali kepada tuannya: al-makru (المكر ), al-baghyu (البغي ), an-nakthu (النكث )”.
Kata-kata ini senada dengan apa yang diungkapkan oleh Muhammad bin Kaab al-Quradzi: “Sesiapa yang melakukan tiga perkara, dia tidak akan terlepas sehingga perkara itu menimpa ke atas dirinya.
Al-makru bermaksud merancang sesuatu kejahatan ke atas orang lain. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “…sedang rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya….” Fatir:43
Ketika mentafsir ayat ini, ar-Razi menyebut bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Jangan kamu membuat rancangan jahat dan jangan bantu orang yang membuat rancangan jahat kerana sesungguhnya Allah telah berfirman (maksudnya) “rancangan yang jahat itu tidak menimpa melainkan orang yang menjalankannya”.
Al-Baghyu pula bermaksud derhaka, zalim dan melampau batas. Firman Allah bermaksud “….Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri….” Yunus:23
Kata Ibn Abbas r.a. al-baghyu bermaksud membuat kerosakan, mendustakan kebenaran dan biadab terhadap Allah. Az-Zujaj berkata: mendaki ke puncak kerosakan. Dikatakan juga al-baghyu ialah melakukan kezaliman dengan tujuan meninggikan kedudukan mengatasi pihak lain.
Dalam ayat di atas menegaskan bahawa orang yang derhaka, zalim dan menindas orang lain akhirnya akan ditimpa akibat yang sama dengan apa yang dilakukannya ke atas orang lain.
An-Nakth bermaksud mungkir janji atau tidak menepati apa yang telah dipersetujui. Firman Allah bermaksud: “… sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya;…” Al-Fath:10
Saturday, February 04, 2012
بليع الأرض
Bali’ul-ardh bermaksud orang yang ditelan bumi. Tahukah anda siapakah yang digelar Bali’ul-ardh?
Beliau adalah Khubaib bin ‘Adi r.a.
Khubaib berasal daripada qabilah Aus. Mendampingi Rasulullah s.a.w. sejak baginda berhijrah ke Madinah.
Ikut serta bersama baginda s.a.w. di dalam peperangan Badar di mana beliau telah menunjukkan keberanian, ketangkasan dan sifat-sifat keperwiraan yang luar biasa. Beliau telah Berjaya membunuh ramai tentera musyrikin termasuk seorang yang bernama al-Harith bin ‘Aamir bin Naufal.
Pada suatu ketika, Rasulullah s.a.w. ingin mengetahui perancangan Quraisy, sejauh mana mereka membuat persiapan untuk memerangi umat Islam. Baginda memilih 10 orang sahabat, termasuk Khubaib. ‘Aasim bin Thabit dilantik sebagai ketua.
Mereka segera berangkat menuju ke Makkah. Apabila mereka hampir tiba, pihak musyrikin Bani Lihyan dapat menghidu pergerakan mereka lalu mengekorinya. ‘Aasim menyedari bahawa musuh sedang mengejar mereka. Lalu beliau mengarahkan agar sahabat-sahabatnya mendaki ke puncak bukit yang tinggi. 100 orang musyrikin menghampiri dan mengepung mereka. Musyrikin menyeru mereka agar menyerah diri dan berjanji akan menjamin keselamatan mereka. ‘Aasim menegaskan bahawa dia tidak sekali-kali akan menyerah diri kepada musyrikin. Lalu dia berdoa supaya Allah sampaikan perkhabaran mereka kepada Rasulullah s.a.w.
Melihat para sahabat enggan menyerah, mulalah musyrikin memanah mereka. Tujuh orang syahid termasuk ‘Aasim. Yang tinggal adalah Khubaib, Zaid dan Mirthad. Mirthad cuba untuk lari. Namun dia dibunuh oleh musuh. Khubaib dab Zaid diikat dan diheret ke Makkah. Kedua-duanya dijual. Bani al-Harith mendapat tahu kewujudan Khubaib di Makkah. Mereka segera datang membelinya untuk membalas dendam ke atas Khubaib yang telah membunuh ayah mereka, al-Harith di dalam peperangan Badar.
Khubaib diletakkan di rumah ‘Uqbah bin al-Harith sebagai tawanan, diikat dengan rantai besi.
Suatu hari, seorang anak perempuan al-Harith masuk ke bilik kurungan Khubaib. Dia melihat sesuatu yang aneh. Dia berlari keluar memberitahu ahli keluarganya bahawa di tangan Khubaib terdapat setangkai anggur dan dia sedang memakannya, pada hal dia ditambat dan di Makkah ketika itu tidak terdapat anggur walau sebijipun. Katanya, aku yakin itu adalah rezeki yang diturunkan Allah kepada Khubaib.
Setelah musyrikin bertekad untuk membunuh Khubaib, beliau meminta daripada salah seorang anak perempuan al-Harith agar meminjamkannya pisau cukur untuk mencukur bulu di tempat sulitnya. Perempuan itu mempunyai seorang anak kecil. Ketika dia sibuk dengan urusannya, dia tidak menyedari anak kecilnya masuk ke bilik kurungan Khubaib. Setelah dia sedar ketiadaan anak kecil di sisinya, dia mencarinya dan di dapati anak itu sedang duduk di atas peha Khubaib yang sedang memegang pisau cukur. Perempuan itu sangat takut dan bimbang akan keselamatan anaknya. Khubaib berkata dengan tenang, “Adakah engkau takut aku akan membunuh anakmu? Tidak. Demi Allah aku tidak akan melakukannya!” Perempuan itu mengakui, “Sesungguhnya aku tidak pernah melihat tawanan yang lebih baik daripada Khubaib”.
Musyrikin cuba untuk memperdayakan Khubaib dan menakut-nakutkannya dengan menyampaikan berita bahawa sahabatnya Zaid telah dibunuh. Memujuk Khubaib supaya meninggalkan agama Muhammad dan memberi jaminan sekiranya Khubaib berbuat demikian mereka akan membebaskannya. Namun Khubaib selamanya tidak tunduk kepada pujukan mereka. Akhirnya mereka tidak berdaya lagi untuk memujuk Khubaib. Mereka membawa Khubaib ke Tan’im untuk membunuhnya dengan cara disalib. Sebelum dia disalib, dia meminta izin untuk solat dua rakaat. Dia solat dengan penuh khusyuk. Dan dialah merupakan orang pertama melakukan solat dua rakaat sebelum dibunuh. Usai solat, Khubaib menoleh ke arah mereka seraya berkata, “Demi Allah, sekiranya kamu tidak menganggap aku takut mati, nescaya aku panjangkan lagi solatku”. Kemudian dia mendongak ke langit dan berdoa:
(اللهم أحصهم عددًا، واقتلهم بددًا، ولا تبق منهم أحدًا)،
Selepas itu dia mengungkapkan beberapa bait syairnya:
Dan aku tidak peduli ketika aku dibunuh sebagai muslim
Dari arah manapun di jalan Allah aku berjuang
Aku berjuang demi redha Tuhan
Jika Dia kehendaki, Dia akan memberkati setiap urat yang terputus.
Ketika dia hampir disalib, salah seorang ketua musyrikin mendekatinya dan berkata, “Adakah kamu suka Muhammad berada di tempat kamu, dan kamu pula selamat di tengah-tengah keluargamu?” Khubaib melaungkan kata-katanya yang masyhur, “Demi Allah aku tidak suka bersenang-senang bersama keluarga dan anakku, pada hal Rasulullah s.a.w. dicucuk sebatang duri!”
Itulah juga kata-kata yang diucapkan oleh Zaid bin ad-Duthnah ketika mereka membunuhnya semalam. Mendengar kata-kata itu, Abu Sufyan menepuk tangannya sambil berkata, “Demi Allah aku tidak pernah melihat seseorang mengasihi seseorang lebih daripada sahabat Muhammad mengasihi Muhammad!”
Dan kata-kata Khubaib yang lantang itu disambut dengan tetakan pedang di badannya, maka syahidlah dia. Setiap kali mereka cuba mengalihkan wajahnya dari Qiblat, wajahnya akan berpusing ke arahnya sehingga akhirnya mereka berputus asa dan membiarkan wajahnya yang telah syahid itu mengadap ke arah Qiblat.
Jasad Khubaib dibiarkan tergantung di tiang salib sehinggalah Nabi s.a.w. mengarahkan az-Zubair bin al-‘Awwam dan al-Miqdad bin ‘Amru datang menurunkannya. Az-Zuabir meletakkan Khubaib di atas kudanya. Jasadnya masih segar, tidak mengalami apa-apa perubahan sedikitpun. Az-Zubair dan al-Miqdad dikejar kaum musyrikin. Apabila musyrikin telah hampir menangkap mereka, az-Zubair mencampakkan jasad Khubaib, lalu jasad yang mulia itu terus ditelan bumi. Lantaran itulah dia digelar

Subscribe to:
Posts (Atom)