And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Wednesday, February 22, 2012
Melayan kehendak nafsu yang tidak bersiling
Sejak dahulu kita dididik agar bersikap sederhana dan jangan melampaui batas dalam semua perkara. Ungkapan seperti: “orang tamak selalu rugi, macam anjing dengan bayang-bayang” begitu popular dan difahami oleh pelbagai peringkat usia.
Beberapa hari yang lalu ana terbaca sebuah dongeng China yang mengandungi mesej yang sama, iaitu ketamakan mendatangkan kerugian.
Begini kisahnya:
Seorang maharaja ingin membalas kebaikan salah seorang rakyatnya yang setia dan berjasa. Dia berkata kepada rakyatnya itu: “Beta menganugerahkan kamu tanah seluas mana kamu boleh sampai dengan berjalan kaki!”
Gembiranya rakyat yang miskin itu tidak terkata. Dia meletakkan batu tanda di tempat dia bermula dan berjalanlah dia merentasi kawasan muka bumi negerinya yang subur dan indah. Akhirnya dia kepenatan dan berhenti di suatu tempat.
Terlintas di hatinya untuk kembali menemui maharaja supaya memberikannya tanah yang telah direntasinya sebagaimana yang dijanjikan. Namun dia mengubah fikiran dan bertekad untuk meneruskan perjalanan supaya dia mendapat tanah yang lebih luas.
Lantas dia berjalan dan berjalan. Setiap kali dia sampai di suatu tempat, dia berfikir untuk kembali menemui maharaja untuk menerima habuan yang dijanjikannya, tetapi dia mengubah fikiran dan terus berjalan untuk mendapat lebih dan lebih.
Akhirnya dia tidak tahu ke mana lagi hendak di tuju, di mana dia berada dan dari arah mana dia datang! Dia telah tersesat. Akhirnya dia mati kepenatan. Penat berjalan. Penat mengejar nafsu tamak yang tiada sempadan.
“Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. () Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.” (Al-Kahf:45-46)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment