And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Monday, April 23, 2012
Warak dan Zuhud
Warak dan zuhud adalah dua sifat terpuji yang sering menjadi sebutan. Apakah hakikat sebenarnya sifat tersebut.
Ulamak cuba mengemukakan pelbagai takrif untuk menjelaskan maksud keduanya.
Antaranya ialah takrif yang diberikan oleh Ibn Rusyd (wafat pada tahun 420 hijriah). Katanya:
“Warak ialah menjauhi perkara-perkara yang haram dan yang syubhah”
Menjauhi perkara yang haram adalah wajib. Manakala menjauhi perkara syubhah adalah sunat.
Berdasarkan takrif warak yang diberikan oleh Ibn Rusyd di atas, seseorang itu tidak boleh dikatakan warak kalau tidak meninggalkan perkara yang syubhah di samping meninggalkan perkara yang haram.
Beliau juga mentakrifkan zuhud dengan katanya:
“Zuhud ialah sifat yang menggerakkan seseorang meninggalkan perkara yang haram dan yang syubhah, mengelakkan diri dari bersedap-sedap dengan syahwah yang harus (contoh: makanan, perhiasan, seks dll secara berlebihan). Maka setiap orang yang zuhud itu warak, dan bukan setiap orang yang warak itu zuhud. Warak lebih umum daripada zuhud.”
Zuhud adalah sunat dan sangat digalakkan. Ia dinilai berdasarkan niat seseorang. Tiada siapapun yang mengetahui kadar zuhud yang berada di dalam hati seseorang melainkan Allah Yang Mengetahui segala-galanya. Boleh jadi orang yang memiliki harta yang banyak lebih zuhud daripada orang yang memiliki harta yang sedikit atau yang tidak memiliki harta langsung.
Di kalangan salaf as-soleh, antara yang terkenal dengan sifat warak dan zuhud ialah Basyar al-Hafi (wafat pada tahun 227 hijriah bersamaan 841 masihi).
Pada suatu hari, seorang perempuan datang meminta fatwa daripada Imam Ahmad bin Hanbal. Perempuan itu berkata: “Wahai Imam, jiran saya terdiri daripada orang-orang yang rosak akhlak mereka. Kelakuan mereka, makanan mereka, kehidupan mereka penuh dengan kerosakan. Waktu malam, mereka memasang lampu yang terang sehingga cahayanya melimpah ke halaman rumah kami. Saya selalu duduk di halaman rumah, menenun baju daripada bulu diterangi cahaya lampu dari rumah mereka. Adakah itu halal bagi saya atau haram?”
Imam Ahmad begitu kagum dengan soalan perempuan itu. Beliau bertanya: “Dari rumah manakah kamu wahai perempuan?”
Perempuan itu menjawab: “Saya adalah adik kepada Basyar al-Hafi”
“Benarkah kamu adik kepada Basyar al-Hafi?” Soal Imam Ahmad untuk mendapatkan kepastian.
“Benar. Saya adalah adik kepada Basyar al-Hafi” Tegas perempuan itu.
Lantas Imam Ahmad berkata: “Daripada rumahmu keluarnya warak. Janganlah kamu menjahit di situ supaya cahaya terus kekal keluar daripada rumahmu, keluarga Basyar”.
Itu kisah adik Basyar. Bagaimana pula kisah Basyar?
Pada suatu hari Basyar membeli sepasang kasut baru. Dia memakainya ke masjid. Tiba di masjid, dia membuka kasutnya dan diletakkan di pintu masuk masjid. Dia masuk ke dalam masjid dan bersolat sebagai imam.
Ketika keluar dari masjid, didapati kasutnya telah hilang. Lalu dia menangis. Para makmumnya berkata: “Wahai Imam. Tak sepatutnya orang seperti tuan menangis kerana kehilangan sepasang kasut. Kami akan belikan untuk tuan sepasang kasut lain sebagai ganti”.
Basyar menjawab: “Demi Allah! Aku menangis bukan kerana kasutku hilang. Tetapi aku menangis kerana aku menjadi sebab seorang umat Islam melakukan maksiat. Kalaulah tidak kerana kasut baruku itu, tentulah dia tidak mencuri, tentulah dia tidak melakukan maksiat dan dosa!”
Mulai saat itu dia bersumpah tidak akan memakai kasut selama-lamanya. Dan benar-benar dia tidak lagi memakai kasut sepanjang hayatnya selepas itu sehingga dia mendapat gelaran Basyar al-Hafi. Al-Hafi bermakna orang yang tidak berkasut atau orang yang berkaki ayam.
Thursday, April 19, 2012
Apa yang ada di dalam hatimu?
Apa yang berlaku di dalam hati kita sebelum dilaksanakan oleh anggota kita sama ada dalam bentuk perbuatan atau percakapan?
Yang berlaku dalam diri kita sebelum keluar sebagai perbuatan dan perkataan baik atau buruk adalah lima peringkat:
Pertama: Hajis (هاجس), iaitu lintasan yang menerpa ke dalam hati kemudian berlalu pergi.
Kedua: Khatir (خاطر), iaitu lintasan yang menerpa tadi tidak berlalu pergi, sebaliknya ia berligar-ligar di dalam hati. Yang berligar-ligar itu dipanggil khatir.
Ketiga: Hadithun-nafs(حديث النفس), iaitu perbicaraan di dalam diri atau diri berkata-kata, berbolak-balik antara hendak atau tidak hendak lakukan
Keempat: Hamm (هم), iaitu setelah hati membuat pertimbangan hendak atau tidak, akhirnya keputusan dibuat dengan kemahuan untuk lakukan
Kelima: Azam (عزم ), iaitu tekad yang bulat dan tegas yang mesti dilaksanakan
Pada peringkat pertama, kedua dan ketiga masih belum ditulis atau dikira pahala atau dosa.
Dosa dan pahala hanya dikira bermula daripada peringkat keempat, iaitu hamm.
Di dalam sepotong Hadis, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang yang berniat untuk melakukan kebaikan, kemudian dia tidak lakukan, ditulis untuknya satu pahala dengan sempurna. Dan sesiapa yang berniat untuk melakukan kebaikan, kemudian dia melakukannya ditulis untuknya pahala 10 kali ganda sehinnga 700 kali ganda dan berganda-ganda lebih daripada itu. Sesiapa yang berniat untuk melakukan kejahatan, kemudian dia tidak lakukan, ditulis untuknya satu pahala dengan sempurna. Dan sesiapa yang berniat untuk melakukan kejahatan, kemudian dia lakukan, ditulis untuknya satu dosa.” Muttafaq ‘alaih. (Kitab Riadhus-Solohin, bab ikhlas, Hadis ke 12)
Dalam Hadis tersebut Nabi s.a.w. menggunakan perkataan hamm, iaitu telah buat keputusan untuk buat. Jadi kalau baru terlintas, belum lagi ditulis pahala.
AllahuA’lam.
Sunday, April 08, 2012
Pemimpin yang kita cari
Ali bin Abi Nafi’, penjaga Baitul-Mal pada zaman pemerintahan Sayyidina Ali bin Talib r.a. menceritakan pengalamannya bersama Amirul-Mu’minin Ali bin Talib r.a. dan puterinya.
Beliau berkata:
Di Baitul-Mal, terdapat seutas rantai mutiara yang diperolehi daripada rampasan perang. Puteri Sayyidina Ali mengutus surat kepada saya. Di dalam surat itu beliau menulis: “Saya mendapat tahu bahawa di Baitul-Mal terdapat seutas rantai mutiara. Ia di bawah kawalan tuan. Saya ingin meminjam rantai tersebut untuk berhias pada Hari Raya Adha.”
Saya membalas suratnya: “Rantai ini saya beri pinjam dengan jaminan dan dipulangkan selepas tiga hari wahai Puteri Amirul-Mu’minin.”
Sayapun menyerahkan rantai itu kepadanya. Sayyidina Ali terpandang rantai itu dipakai oleh Puterinya. Beliau yang sangat kenal rantai tersebut, lantas bertanya kepada Puterinya: “Dari mana kamu perolehi rantai ini?”
Puterinya menjawab: “Saya pinjam dari Ibn Abi Rafi’, penjaga Baitul-Mal untuk berhias pada hari raya. Kemudian saya akan pulangkan kepadanya semula.”
Sayyidina Ali r.a. terus memanggil saya bertemu dengannya. Sayapun segera datang. Dia menyoal saya: “Adakah engkau mengkhianati orang-orang Islam wahai Ibn Abi Rafi’?”
Saya menjawab: “Mohon dilindungi Allah daripada saya mengkhianati orang-orang Islam.”
Beliau meningkah: “Bagaimana tergamak kamu memberi pinjam rantai mutiara kepada Puteri Amirul-Mu’minin tanpa keizinanku dan keredhaan kaum muslimin?”
Saya cuba mempertahankan tindakan saya dengan menjelaskan: “Wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya dia adalah puterimu. Dia meminta daripadaku untuk meminjamnya supaya dia dapat berhias pada hari raya. Dan saya beri dia pinjam dengan jaminan dan dipulangkan dalam keadaan selamat di tempatnya.”
Beliau tetap tidak boleh terima penjelasan saya. Dengan tegas beliau perintahkan agar saya mengambil kembali rantai itu pada saat itu juga serta memberi amaran keras supaya saya tidak mengulangi tindakan yang serupa pada masa akan datang. Beliau berkata: “Malang sungguh puteriku. Kalaulah tidak kerana dia mengambil rantai itu dengan cara pinjaman dengan jaminan dan dipulangkan, nescaya dia merupakan wanita Bani Hasyim pertama yang aku potong tangannya kerana melakukan kesalahan mencuri!”
Apabila kata-kata itu sampai ke pengetahuan Puterinya, beliau berkata kepada ayahandanya: “Wahai amirul-Mu’minin, saya adalah Puterimu, darah dagingmu. Kalau bukan saya, siapakah yang lebih layak memakai rantai ini?”
Sayyidina Ali mengingatkan Puterinya: “Wahai Puteri Ibn Abi Talib, jangan pisahkan dirimu dari kebenaran. Adakah semua wanita muhajirin dan ansar berhias dengan rantai seperti ini pada hari raya ini?”
Dan sayapun menjalankan tugas yang diamanahkan, mengambil rantai itu daripadanya dan terus memulangkannya di tempat simpanannya.
Monday, April 02, 2012
Doa Yang Power
Di sebuah kampung yang kecil, terdapat seorang tukang besi dikenali sebagai Abu al-Yusr. Ketika dia menempa besi untuk menjadikan sesuatu, dia memanaskan besi dengan api kemudian membentuk besi tersebut dengan tangannya tanpa berlapik. Orang ramai yang melihatnya sangat kaget dan hairan, bagaimana dia boleh memegang besi yang sangat panas dan tangannya tidak terbakar atau melecur sedikitpun?
Mereka bertanya, bagaimana dia boleh memegang besi yang panas itu? Dia menjawab, bahawa itu terjadi berkat doa seorang wanita solihah. Lalu dia menceritakan kisahnya dengan panjang lebar. Katanya:
Sewaktu muda dahulu saya menghabiskan usia dengan berniaga. Saya mempunyai sebuah kedai di suatu kampung kecil seperti ini. Kebanyakan penduduknya adalah faqir. Saya pula memiliki harta yang banyak dan perniagaan saya sangat laris.
Jiran saya adalah seorang wanita cantik, ibu kepada beberapa orang anak yatim. Dia sangat miskin dan hidupnya susah. Suatu hari, dia datang ke kedai saya untuk meminjam wang buat membeli makanan dan pakaian untuk anak-anaknya. Saya bersetuju untuk memberikan apa yang dia minta dengan syarat dia membenarkan saya menidurinya. Lantas diapun mengamuk, memukul dan mencerca saya. Serta merta dia keluar dari kedai saya sambil mulutnya mengomel dengan ayat-ayat yang saya tidak memahaminya.
Pergilah dia mencari seseorang yang boleh menolongnya. Beberapa hari berlalu, tidak ada juga insan yang mampu menolongnya. Dia kembali semula kepada saya dalam keadaan yang amat menyedihkan, namun saya tetap meletakkan syarat yang sama. Dia tetap menolak syarat saya dan pulang dalam keadaan hampa.
Apabila keadaan bertambah mendesak, dia datang lagi merayu-rayu meminta tolong dan sayapun tetap dengan syarat yang telah saya letakkan. Dia menangis sepuas-puasnya. Namun dalam keadaan yang tidak mampu ditolak mengenangkan nasib anak-anak yang kelaparan, dia menerima syarat saya.
Saya menyuruh dia masuk ke dalam store supaya perbuatan kami tidak dilihat oleh seseorang. Saya masuk bersama dengannya dan kunci rapat-rapat semua pintu. Saya pun bersedia untuk memenuhi nafsu yang sekian lama terpendam. Dia berkata, “Kamu sudah kunci semua pintu wahai Abu al-Yusr?”
Saya menjawab penuh yakin, “Ya! Semua pintu telah saya kunci.”
Dia berkata, “Ada satu pintu lagi yang kamu belum kunci.”
Saya bertanya, “Pintu yang mana satu?”
Dia berkata, “Pintu Allah! Sesungguhnya kamu tidak akan dapat menutupnya. Sesungguhnya Allah melihat kamu ketika kamu mencerobohi apa yang diharamkannya. Dia lebih dekat dengan kamu daripada urat lehermu. Dan Dia akan menyoalmu tentang diriku pada hari Qiamat kelak.”
Mendengar kata-katanya itu, gelora syahwah di dalam diriku menjadi kaku. Saya beristighfar dan menyesal di atas ketelanjuranku. Lantas saya berkata kepadanya, “Wahai saudara perempuanku, ambillah apa saja daripada hartaku, doakan untukku dan simpankan rahsiaku.”
Tak terkira gembiranya dia. Dengan segera dia mengangkat tangan ke langit dan berdoa, “Ya Allah, ya Tuhanku! Haramkan ke atasnya api di dunia dan akhirat!”
Kemudian dia mengambil sekadar memenuhi keperluannya dan terus keluar.
Inilah kesan doanya di dunia, di mana besi yang panas tidak membekas di tanganku. Dan saya berharap di akhirat nanti doanya juga akan menyelamatkanku.
Subscribe to:
Posts (Atom)