Sunday, April 08, 2012

Pemimpin yang kita cari



Ali bin Abi Nafi’, penjaga Baitul-Mal pada zaman pemerintahan Sayyidina Ali bin Talib r.a. menceritakan pengalamannya bersama Amirul-Mu’minin Ali bin Talib r.a. dan puterinya.

Beliau berkata:

Di Baitul-Mal, terdapat seutas rantai mutiara yang diperolehi daripada rampasan perang. Puteri Sayyidina Ali mengutus surat kepada saya. Di dalam surat itu beliau menulis: “Saya mendapat tahu bahawa di Baitul-Mal terdapat seutas rantai mutiara. Ia di bawah kawalan tuan. Saya ingin meminjam rantai tersebut untuk berhias pada Hari Raya Adha.”

Saya membalas suratnya: “Rantai ini saya beri pinjam dengan jaminan dan dipulangkan selepas tiga hari wahai Puteri Amirul-Mu’minin.”

Sayapun menyerahkan rantai itu kepadanya. Sayyidina Ali terpandang rantai itu dipakai oleh Puterinya. Beliau yang sangat kenal rantai tersebut, lantas bertanya kepada Puterinya: “Dari mana kamu perolehi rantai ini?”

Puterinya menjawab: “Saya pinjam dari Ibn Abi Rafi’, penjaga Baitul-Mal untuk berhias pada hari raya. Kemudian saya akan pulangkan kepadanya semula.”

Sayyidina Ali r.a. terus memanggil saya bertemu dengannya. Sayapun segera datang. Dia menyoal saya: “Adakah engkau mengkhianati orang-orang Islam wahai Ibn Abi Rafi’?”

Saya menjawab: “Mohon dilindungi Allah daripada saya mengkhianati orang-orang Islam.”

Beliau meningkah: “Bagaimana tergamak kamu memberi pinjam rantai mutiara kepada Puteri Amirul-Mu’minin tanpa keizinanku dan keredhaan kaum muslimin?”

Saya cuba mempertahankan tindakan saya dengan menjelaskan: “Wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya dia adalah puterimu. Dia meminta daripadaku untuk meminjamnya supaya dia dapat berhias pada hari raya. Dan saya beri dia pinjam dengan jaminan dan dipulangkan dalam keadaan selamat di tempatnya.”

Beliau tetap tidak boleh terima penjelasan saya. Dengan tegas beliau perintahkan agar saya mengambil kembali rantai itu pada saat itu juga serta memberi amaran keras supaya saya tidak mengulangi tindakan yang serupa pada masa akan datang. Beliau berkata: “Malang sungguh puteriku. Kalaulah tidak kerana dia mengambil rantai itu dengan cara pinjaman dengan jaminan dan dipulangkan, nescaya dia merupakan wanita Bani Hasyim pertama yang aku potong tangannya kerana melakukan kesalahan mencuri!”

Apabila kata-kata itu sampai ke pengetahuan Puterinya, beliau berkata kepada ayahandanya: “Wahai amirul-Mu’minin, saya adalah Puterimu, darah dagingmu. Kalau bukan saya, siapakah yang lebih layak memakai rantai ini?”

Sayyidina Ali mengingatkan Puterinya: “Wahai Puteri Ibn Abi Talib, jangan pisahkan dirimu dari kebenaran. Adakah semua wanita muhajirin dan ansar berhias dengan rantai seperti ini pada hari raya ini?”

Dan sayapun menjalankan tugas yang diamanahkan, mengambil rantai itu daripadanya dan terus memulangkannya di tempat simpanannya.

No comments: