Monday, April 23, 2012

Warak dan Zuhud


Warak dan zuhud adalah dua sifat terpuji yang sering menjadi sebutan. Apakah hakikat sebenarnya sifat tersebut.

Ulamak cuba mengemukakan pelbagai takrif untuk menjelaskan maksud keduanya.

Antaranya ialah takrif yang diberikan oleh Ibn Rusyd (wafat pada tahun 420 hijriah). Katanya:

“Warak ialah menjauhi perkara-perkara yang haram dan yang syubhah”

Menjauhi perkara yang haram adalah wajib. Manakala menjauhi perkara syubhah adalah sunat.

Berdasarkan takrif warak yang diberikan oleh Ibn Rusyd di atas, seseorang itu tidak boleh dikatakan warak kalau tidak meninggalkan perkara yang syubhah di samping meninggalkan perkara yang haram.

Beliau juga mentakrifkan zuhud dengan katanya:

“Zuhud ialah sifat yang menggerakkan seseorang meninggalkan perkara yang haram dan yang syubhah, mengelakkan diri dari bersedap-sedap dengan syahwah yang harus (contoh: makanan, perhiasan, seks dll secara berlebihan). Maka setiap orang yang zuhud itu warak, dan bukan setiap orang yang warak itu zuhud. Warak lebih umum daripada zuhud.”

Zuhud adalah sunat dan sangat digalakkan. Ia dinilai berdasarkan niat seseorang. Tiada siapapun yang mengetahui kadar zuhud yang berada di dalam hati seseorang melainkan Allah Yang Mengetahui segala-galanya. Boleh jadi orang yang memiliki harta yang banyak lebih zuhud daripada orang yang memiliki harta yang sedikit atau yang tidak memiliki harta langsung.

Di kalangan salaf as-soleh, antara yang terkenal dengan sifat warak dan zuhud ialah Basyar al-Hafi (wafat pada tahun 227 hijriah bersamaan 841 masihi).

Pada suatu hari, seorang perempuan datang meminta fatwa daripada Imam Ahmad bin Hanbal. Perempuan itu berkata: “Wahai Imam, jiran saya terdiri daripada orang-orang yang rosak akhlak mereka. Kelakuan mereka, makanan mereka, kehidupan mereka penuh dengan kerosakan. Waktu malam, mereka memasang lampu yang terang sehingga cahayanya melimpah ke halaman rumah kami. Saya selalu duduk di halaman rumah, menenun baju daripada bulu diterangi cahaya lampu dari rumah mereka. Adakah itu halal bagi saya atau haram?”

Imam Ahmad begitu kagum dengan soalan perempuan itu. Beliau bertanya: “Dari rumah manakah kamu wahai perempuan?”

Perempuan itu menjawab: “Saya adalah adik kepada Basyar al-Hafi”

“Benarkah kamu adik kepada Basyar al-Hafi?” Soal Imam Ahmad untuk mendapatkan kepastian.

“Benar. Saya adalah adik kepada Basyar al-Hafi” Tegas perempuan itu.

Lantas Imam Ahmad berkata: “Daripada rumahmu keluarnya warak. Janganlah kamu menjahit di situ supaya cahaya terus kekal keluar daripada rumahmu, keluarga Basyar”.

Itu kisah adik Basyar. Bagaimana pula kisah Basyar?

Pada suatu hari Basyar membeli sepasang kasut baru. Dia memakainya ke masjid. Tiba di masjid, dia membuka kasutnya dan diletakkan di pintu masuk masjid. Dia masuk ke dalam masjid dan bersolat sebagai imam.

Ketika keluar dari masjid, didapati kasutnya telah hilang. Lalu dia menangis. Para makmumnya berkata: “Wahai Imam. Tak sepatutnya orang seperti tuan menangis kerana kehilangan sepasang kasut. Kami akan belikan untuk tuan sepasang kasut lain sebagai ganti”.

Basyar menjawab: “Demi Allah! Aku menangis bukan kerana kasutku hilang. Tetapi aku menangis kerana aku menjadi sebab seorang umat Islam melakukan maksiat. Kalaulah tidak kerana kasut baruku itu, tentulah dia tidak mencuri, tentulah dia tidak melakukan maksiat dan dosa!”

Mulai saat itu dia bersumpah tidak akan memakai kasut selama-lamanya. Dan benar-benar dia tidak lagi memakai kasut sepanjang hayatnya selepas itu sehingga dia mendapat gelaran Basyar al-Hafi. Al-Hafi bermakna orang yang tidak berkasut atau orang yang berkaki ayam.

No comments: