Friday, February 08, 2013

الحمدلله

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Ni'matnya melimpah ruah. Tidak terhitung banyaknya, tidak terjangkau luasnya, tidak mampu diselami dalamnya. Sungguh benarlah firman Allah yang bermaksud:
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (An-Nahl 16:18)

“Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya.” (Ibrahim 14:34)

“Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka adalah ia dari Allah;” (An-Nahl 16:53)

Menurut Allah Yarham Sa’eid Hawwa di dalam kitabnya al-Asas fi at-Tafsir, ni’mat yang tidak terhitung banyaknya itu secara puratanya boleh dikategorikan kepada empat jenis.

1. Iijad fi an-nasy’ah al-ula, iaitu mengadakan daripada tiada pada kali pertama.
2. Ibqa’ fi an-nasy’ah al-ula, iaitu mengekalkan kewujudan apa yang diadakan kali pertama itu.
3. Iijad fi an-nasy’ah al-akhirah, iaitu mengadakan pada kali yang kedua atau kali terakhir.
4. Ibqa’ fi an-nasy’ah al-akhirah, iaitu mengekalkan kewujudan pada kali terakhir itu.

Di dalam al-Quran, terdapat lima surah dimulakan dengan Alhamdulillah: al-Fatihah (1), al-An’am (6), al-Kahf (18), Saba’ (34) dan Fatir (35).

Alhamdulillah pada surah al-Fatihah adalah pujian untuk Allah di atas semua ni'mat, merangkumi keempat-empat jenis tersebut.

Surah al-An'am memfokuskan jenis pertama.

Surah al-Kahf fokus kepada jenis kedua.

Surah Saba' fokus kepada jenis ketiga.

Surah Fatir fokus kepada jenis keempat.

Demikian menurut penelitian Allah Yarham Sa’eid Hawwa.

No comments: