And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Sunday, March 31, 2013
Tips minda sihat menurut al-Quran
Tidak siapa dapat nafikan kepentingan akal atau minda kepada manusia. Justeru, menurut Islam, memelihara kesejahteraan dan kesihatan minda merupakan satu daripada maqasid asy-Syari'ah.
Di antara ayat-ayat yang berkaitan dengan kepentingan akal dan penjagaannya ialah:
1. Menggalakan supaya banyak berfikir dan menjadikan amalan berfikir itu sebagai satu ibadah.
"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.” (Aali ‘Imran:190-191)
2. Belajar dan bertanya kepada mereka yang pakar dalam sesuatu bidang. Jangan hanya berpada dengan maklumat yang dikutip di sana sini yang belum pasti kesahihannya.
“Maka bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (An-Nahl:43)
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.” (Al-Isra’:36)
3. Jangan ikut membuta tuli tanpa mengetahui dalil serta bukti yang kukuh.
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah", mereka menjawab: "(Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya". Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama) dan tidak pula mendapat petunjuk hidayat (dari Allah)? Dan bandingan (orang-orang yang menyeru) orang-orang kafir (yang tidak mahu beriman itu), samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta. Oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.” (Al-Baqarah:170-171)
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran) dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)", mereka menjawab: "Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya". Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayat petunjuk?” (Al-Maidah:104)
4. Hidupkan budaya tabayyun dan tidak tergesa-gesa dalam membuat kesimpulan atau ketetapan.
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Al-Hujurat:6)
5. Bersikap tawadhu' dan tidak berhenti daripada menuntut ilmu walaupun dari mereka yang lebih rendah kedudukannya sebagaimana Nabi Musa 'alaihis-salam, seorang rasul ulil'azmi sanggup berguru dengan Khidhir yang bukan seorang rasul.
"Nabi Musa berkata kepadanya: Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku?” (Al-Kahf:66)
6. Sentiasa berdoa supaya ditambah ilmu.
"Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya) dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu dan berdoalah dengan berkata: Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.” (To Ha:114)
7. Yakin bahawa setinggi manapun ilmu yang dicapai, tetap sedikit kerana yang sebenar-benarnya berilmu, Maha Mengetahui hanyalah Dia Yang Maha Esa.
"… dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.” (Al-Isra’:85)
“Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui.” (Yusuf:76)
Monday, March 18, 2013
Khansaa' Palestin : Kembara Jihad dan Pengorbanan
Selepas perjalanan yang penuh dengan jihad, dakwah, penglibatan di dalam arena politik, berangkatlah seorang pemimpin HAMAS dan ahli parleman, Maryam Farhat "Ummu Nidhal" yang mendapat jolokan gelaran Khansaa' Palestin, apabila beliau menyerahkan tiga orang puteranya syahid di jalan Allah di samping pelbagai bentuk pengorbanan yang tidak ternilai harganya.
Ummu Nidah dilahirkan pada 24 Disember 1949 di dalam sebuah keluarga yang sederhana di Gaza. Beliau mempunyai 10 orang saudara lelaki dan 5 orang saudara perempuan.
Beliau seorang wanita yang cemerlang di dalam bidang pengajian dan masih meneruskan pengajiannya selepas berkahwin dengan Fathi Farhat "Abu Nidhal". Ketika itu beliau berada di peringkat sekolah menengah. Beliau menduduki peperiksaan menengahnya ketika hamil anak pertama di sekolah az-Zahra' dan mencapai keputusan 80%.
Khansaa' Palestin merupakan seorang balu, ibu kepada 6 orang putera dan 4 orang puteri. Semua puteranya merupakan mujahidin di dalam Kata'ib Izzuddin al-Qassam. Tiga orang daripada puteranya telah syahid, iaitu Nidhal, Muhammad dan Rawwad.
Ummu Nidhal telah menawan hati rakyat Palestin apabila beliau muncul di dalam video pada permulaan tahun 2002 ketika beliau mengucapkan selamat jalan kepada puteranya, Muhammad, seorang mujahid al-Qassam untuk melaksanakan operasi menyerang musuh. Di dalam operasi itu Muhammad telah berjaya membunuh dan mencederakan beberapa orang tentera Zionis. Dengan itu Ummu Nidahl merupakan ibu pertama yang mengucapkan selamat jalan secara rasmi kepada puteranya yang pergi ke medan juang melaksanakan misi istisyhad.
Perjalanan Ummu Nidhal tidak bermula di nuktah itu. Ia telah bermula beberapa tahun sebelumnya. Pada tahun 1992, beliau telah melindungi pemimpin al-Qassam, 'Imad 'Aqal yang disifatkan oleh zionis sebagai "orang yang mempunyai tujuh nyawa" di dalam rumahnya. Akhirnya 'Imad syahid di rumah Ummu Nidhal di dalam bulan November 1993 ketika tentera Zionis yang berjumlah lebih daripada 200 orang merempuh masuk ke dalam rumah dan berlaku pertempuran antara mereka dengan 'Imad.
Perjalanan jihad dan pengorbanan Ummu Nidhal berterusan. Putera sulungnya Nidhal telah dibunuh oleh Zionis pada tahun 2003. Nidhal merupakan salah seorang pimpinan al-Qassam di medan, juga merupakan seorang jurutera angkatan pertama dalam mencipta roket-roket pejuang.
Tahun 2005 puteranya yang ketiga, Rawwad pula dibunuh oleh tentera Zionis dengan mengebom kereta yang dinaikinya di Gaza. Pada tahun yang sama puteranya Wassam dibebaskan dari penjara setelah merengkuk di dalamnya selama 11 tahun.
Ummu Nidhal dicalonkan untuk menjadi salah seorang ahli parleman Palestin dan telah memenanginya. Selepas kemenangan itu beliau terus mengharungi perjuangan di medan politik, bagi melengkapkan lagi pengorbanannya demi kebebasan rakyat Palestin. Itulah yang ditegaskan oleh beliau menerusi media-media massa.
Rumah kediamannya telah diserang dengan tujuan menghancurkannya sebanyak empat kali. Namun semua itu tidak menyekat kemaraannya di medan juang. Beliau terus melangkah di dalam dan luar negara, menyebarkan kefahaman mengenai isu Palestin serta kewajipan ummah dalam membebaskannya.
Berangkatlah wahai jiwa yang tenang
Ke taman-taman syurga yang dijanjikan ar-Rahman
Buatmu dan putera-puteramu
Serta seluruh mujahidin yang tidak mengenal erti tewas
Sumber:
http://www.palinfo.com/site/pic/newsdetails.aspx?itemid=131722
Saksikan videonya di sini:
http://www.youtube.com/watch?v=yfj6Pf6aNqg
Saturday, March 02, 2013
Mimpi Hasan
Al-Hasan al-Basri merupakan seorang tokoh paling terkemuka dari kalangan generasi at-tabi'ein.
Nama penuh beliau ialah al-Hasan bin Yasar. Yasar adalah maula Zaid bin Thabit r.a. Ibu al-Hasan bernama Khairah, maulat Ummu al-Mukminin, Ummu Salamah r.a.
Al-Hasan dilahirkan pada tahun 21 hijriah dan wafat pada tahun 110 hijriah.
Suatu ketika berlaku salah faham antara beliau dengan Muhammad bin Sirin (lahir pada zaman pemerintahan Uthman bin Affan r.a. dan wafat pada tahun 110 hijriah, 100 hari selepas kewafatan al-Hasan, juga seorang tokoh ilmuan dalam pelbagai bidang. Dan mempunyai kemahiran dalam mentafsir mimpi) sehingga mereka tidak bertegur sapa.
Pada suatu malam, al-Hasan didatangi mimpi yang pelik. Di dalam mimpi itu beliau melihat dirinya bertelanjang bulat, berdiri di hadapan longgokan sampah sarap sambil memukul sampah sarap itu dengan tongkat. Mimpi itu benar-benar membuatkan dia sedih dan kebingungan memikirkan apakah maksudnya. Beliau meminta sahabatnya berjumpa dengan Muhammad bin Sirin dan bertanya apakah maksud mimpi itu. Walaubagaimana beliau berpesan kepada sahabatnya supaya tidak memberitahu kepada Muhammad bahawa beliau yang bermimpi, sebaliknya beliau meminta sabahatnya mengaku bahawa dirinyalah yang didatangi mimpi itu.
Setelah sahabat al-Hasan menceritakan mimpi itu kepada Muhammad bin Sirin, dia berkata: "Mimpi siapakah ini? Jangan engkau tanya al-Hakkah tentang mimpi seperti ini!" (Al-Hakkah bermaksud orang yang berpenyakit gatal. Al-Hasan pernah menggelarkan Muhammad dengan gelaran itu kerana terdapat di kalangan keluarga Muhammad yang mengalami penyakit tersebut).
Sahabat al-Hasan kembali menemuinya dan menceritakan apa yang dikatakan oleh Muhammad kepadanya.
Al-Hasan rasa sangat bersalah, lalu beliau bergegas pergi menemui Muhammad. Apabila Muhammad menyedari kedatangan al-Hasan, beliau segera menyambutnya. Mereka bersalaman dan berpelukan sambil masing-masing memohon maaf dan saling menyalahkan diri sendiri.
Al-Hasanpun mula meluahkan perasaannya dengan berkata: "Biarlah kita lupakan apa yang telah berlalu di antara kita. Sekarang aku benar-benar berada dalam keadaan susah hati mengenangkan mimpiku itu."
Muhammad berkata: "Jangan engkau susahkan hatimu dengannya. Sesungguhnya engkau bertelanjang itu maksudnya engkau bertelanjang dari dunia, iaitu dirimu tidak sedikitpun dipengaruhi dunia. Dunia tidak langsung tersangkut pada dirimu. Sampah yang engkau lihat itu adalah dunia, di mana engkau telah lihat wajah dunia itu dengan sebenarnya. Dan perbuatanmu memukul sampah itu ialah kata-kata hikmah yang sering engkau tuturkan, mengingatkan manusia tentang kebenaran dan mereka mendapat manfaat daripada kata-katamu itu."
Dengan penuh rasa kagum al-Hasan bertanya: "Bagaimana engkau tahu bahawa aku yang didatangi mimpi itu?"
Muhammad menjawab: "Apabila sahabatmu menceritakan tentang mimpi itu, aku berfikir, lalu aku tidak nampak seorangpun yang layak mendapat mimpi seperti itu kecuali engkau!"
Sumber:
Islamstory.com/ar/

Subscribe to:
Posts (Atom)