Saturday, March 02, 2013

Mimpi Hasan

Al-Hasan al-Basri merupakan seorang tokoh paling terkemuka dari kalangan generasi at-tabi'ein.

Nama penuh beliau ialah al-Hasan bin Yasar. Yasar adalah maula Zaid bin Thabit r.a. Ibu al-Hasan bernama Khairah, maulat Ummu al-Mukminin, Ummu Salamah r.a.

Al-Hasan dilahirkan pada tahun 21 hijriah dan wafat pada tahun 110 hijriah.

Suatu ketika berlaku salah faham antara beliau dengan Muhammad bin Sirin (lahir pada zaman pemerintahan Uthman bin Affan r.a. dan wafat pada tahun 110 hijriah, 100 hari selepas kewafatan al-Hasan, juga seorang tokoh ilmuan dalam pelbagai bidang. Dan mempunyai kemahiran dalam mentafsir mimpi) sehingga mereka tidak bertegur sapa.

Pada suatu malam, al-Hasan didatangi mimpi yang pelik. Di dalam mimpi itu beliau melihat dirinya bertelanjang bulat, berdiri di hadapan longgokan sampah sarap sambil memukul sampah sarap itu dengan tongkat. Mimpi itu benar-benar membuatkan dia sedih dan kebingungan memikirkan apakah maksudnya. Beliau meminta sahabatnya berjumpa dengan Muhammad bin Sirin dan bertanya apakah maksud mimpi itu. Walaubagaimana beliau berpesan kepada sahabatnya supaya tidak memberitahu kepada Muhammad bahawa beliau yang bermimpi, sebaliknya beliau meminta sabahatnya mengaku bahawa dirinyalah yang didatangi mimpi itu.

Setelah sahabat al-Hasan menceritakan mimpi itu kepada Muhammad bin Sirin, dia berkata: "Mimpi siapakah ini? Jangan engkau tanya al-Hakkah tentang mimpi seperti ini!" (Al-Hakkah bermaksud orang yang berpenyakit gatal. Al-Hasan pernah menggelarkan Muhammad dengan gelaran itu kerana terdapat di kalangan keluarga Muhammad yang mengalami penyakit tersebut).

Sahabat al-Hasan kembali menemuinya dan menceritakan apa yang dikatakan oleh Muhammad kepadanya.

Al-Hasan rasa sangat bersalah, lalu beliau bergegas pergi menemui Muhammad. Apabila Muhammad menyedari kedatangan al-Hasan, beliau segera menyambutnya. Mereka bersalaman dan berpelukan sambil masing-masing memohon maaf dan saling menyalahkan diri sendiri.

Al-Hasanpun mula meluahkan perasaannya dengan berkata: "Biarlah kita lupakan apa yang telah berlalu di antara kita. Sekarang aku benar-benar berada dalam keadaan susah hati mengenangkan mimpiku itu."

Muhammad berkata: "Jangan engkau susahkan hatimu dengannya. Sesungguhnya engkau bertelanjang itu maksudnya engkau bertelanjang dari dunia, iaitu dirimu tidak sedikitpun dipengaruhi dunia. Dunia tidak langsung tersangkut pada dirimu. Sampah yang engkau lihat itu adalah dunia, di mana engkau telah lihat wajah dunia itu dengan sebenarnya. Dan perbuatanmu memukul sampah itu ialah kata-kata hikmah yang sering engkau tuturkan, mengingatkan manusia tentang kebenaran dan mereka mendapat manfaat daripada kata-katamu itu."

Dengan penuh rasa kagum al-Hasan bertanya: "Bagaimana engkau tahu bahawa aku yang didatangi mimpi itu?"

Muhammad menjawab: "Apabila sahabatmu menceritakan tentang mimpi itu, aku berfikir, lalu aku tidak nampak seorangpun yang layak mendapat mimpi seperti itu kecuali engkau!"

Sumber:
Islamstory.com/ar/

No comments: