Saturday, May 31, 2014

KUDA BERANAK LEMBU

Pada zaman dahulu, tersebar satu kisah di kalangan Bani Israel, kononnya dua orang dari kalangan mereka berebut anak lembu.  Salah seorang daripada mereka adalah putera raja yang zalim dan seorang lagi petani miskin.

Putera raja mempunyai seekur kuda. Dia mendakwa anak lembu itu miliknya kerana ia dilahirkan oleh kudanya.
Petani miskin memiliki seekur lembu. Dia mendakwa anak lembu itu dilahirkan oleh lembunya. Oleh itu dialah pemilik anak lembu itu.

Pada masa itu, terdapat tiga orang hakim yang dilantik untuk membicarakan pertelingkahan di kalangan manusia.

Putera raja dan petani membawa kes mereka kepada hakim pertama. Hakim itu memutuskan bahawa anak lembu milik putera raja. Ia benar-benar dilahirkan oleh kudanya.

Petani tidak puas hati. Dia membawa kes itu kepada hakim kedua. Hakim itu juga menyokong keputusan hakim pertama.

Petani tetap tidak boleh terima. Dia mengemukakan rayuan dan minta diulang bicara oleh hakim ke tiga. Hakim ke tiga enggan membicarakan kes tersebut. Putera raja meradang dan bertanya, mengapa dia enggan membicarakan kes itu seperti dua orang hakim sebelumnya? Hakim menjawab bahawa hari itu dia sedang haid. Dia tidak boleh mengendalikan apa-apa kes kecuali dalam keadaan suci. Putera raja membentak, mana mungkin lelaki datang haid? Hakim melemparkan soalan balas kepada putera raja, apakah mungkin kuda melahirkan anak lembu wahai tuanku?


Fikir-fikirkan. Kadang-kadang dalam dunia hari ini banyak berlaku perkara-perkara luar biasa dan tak masuk akal didoktrinkan akhirnya diterima sebagai betul dan benar.

Friday, May 30, 2014

Hudud Oh Hudud!!!

Kanak-kanak dirogol 38 lelaki, kanak-kanak dikelar hingga terputus kepala, kanak-kanak didera sehingga mati, dan... dan... dan....
Pelbagai jenayah keji, kejam, jijik dan menyakitkan dilaporkan oleh akhbar perdana, laman-laman sosial dan sebagainya sehingga kita tertanya-tanya di zaman manakah kita berada sekarang?

Manusia hidup seolah-olah tiada Tuhan, tiada undang-undang, tiada keimanan kepada hari pembalasan. Ironinya, perlakuan-perlakuan keji yang jijik itu dilakukan oleh mereka yang berbangsa Melayu dan beragama Islam!

Apakah ini satu petunjuk daripada Allah apabila terdapat dari kalangan umat yang mengaku Islam yang secara terang-terangan mempertikaikan hukuman yang telah ditetapkan di dalam kitab suciNya? Seolah-olah Allah mahu menempelak manusia yang biadab itu, rasakan! Ambil engkau! Aku suruh engkau hukum penjenayah dengan hukuman berat engkau tak mahu, engkau tolak, engkau ragu! Sekarang hukumlah dengan hukuman kamu sendiri yang kamu rasa kamu tahu, kamu pandai, kamu lebih faham suasana dan sebagainya! Apakah hukuman yang kamu reka-reka itu mampu membendung jenayah?

Ada juga orang berkata, kita tidak boleh laksanakan undang-undang jenaya Islam dalam keadaan masyarakat seperti sekarang. Masyarakat majmuk, rakyat tak faham, banyak penyelewengan dan macam-macam. Tunggu suasana yang kondusif, pembahagian ekonomi yang adil, sosial yang stabil, orang ramai faham dan lain-lain.

Allahu Akbar! Pada fahaman saya yang cetek ilmu ini, Allah mensyari'atkan hukuman itu untuk menakutkan dan menggerunkan hamba-hambaNya. Apabila mereka mengetahui jika berzina mereka akan disebat 100 kali atau direjam sampai mati, mereka akan rasa takut dan gerun untuk melakukannya dan sedaya upaya cuba menjauhinya. Satu ungkapan yang masyhur daripada Khalifah ke tiga, Uthman bin Affan r.a. bermaksud: "Sesungguhnya Allah mencegah dengan sultan (kuasa) apa yang tidak tercegah dengan al-Quran!"

Memang Allah Ta'ala Maha Mengetahui di kalangan manusia ini ada yang lemah imannya. Dengar al-Quran dibaca, dengar ceramah, pergi kuliah, kempen tutup aurat dan sebagainya tidak berbekas di hati yang lemah imannya. Maka dia perlu dicegah dari melakukan jenayah dengan menggunakan kuasa, laksanakan hukuman yang sepadan dan setimpal. Baru dia serik. Yang belum buatpun akan rasa gentar. Lebih-lebih lagi hukuman itu ditentukan Allah. Dia yang menguasai hati hamba-hambaNya. Dia yang akan mencampakkan rasa gerun dan insaf ke dalam hati mereka. Kita WAJIB yakin dan percaya. Kalau tidak, periksa iman kita.

Turut tersebar juga video seorang ibu memukul lelaki yang dikatakan merogol anaknya. Kita faham apa perasaan ibu itu apabila anaknya dicerobohi dan simpati dengannya. Namun itu bukan penyelesaiannya. Allah tidak menyerahkan kepada orang yang jadi mangsa menghukum kerana dia akan bertindak mengikut perasaan dan tentunya hukuman itu akan melampaui batas serta tidak adil kepada penjenayah. Begitu juga Allah tidak serahkan kepada pihak berkuasa menentukan hukuman ke atas semua jenis jenayah kerana pihak berkuasa, tidak dapat menyelami perit pedih orang yang jadi mangsa. Kerana itu, Allah telah tetapkan dengan jelas dan nyata supaya adil kepada semua. Contohnya mencuri. Bayangkan kalau anda dapat tangkap pencuri yang mencuri duit anda yang halal, yang anda simpan untuk tujuan tertentu, kalau ikut hati apa tindakan yang hendak anda lakukan? Ada orang jawab, potong kepala! Ya, ikut hati mahu dibunuh saja pencuri tu. Apakah setimpal dia dibunuh kerana mencuri? Allah kata tidak! Hukuman yang lebih ringan daripada bunuh. Hilangkan sebahagian kecil daripada tangannya. Bukan hilangkan nyawanya.
Apakah pula hukuman yang pemerintah tentukan, yang tidak merujuk kepada wahyu Ilahi? Penjara. Dia serik? Tidak! Siapa tanggung kos penjara; bangunan, pegawai petugas, makan minum, latihan-latihan dan sebagainya? Duit cukai yang rakyat bayar. Keluar penjara, dia curi lagi duit rakyat! Adilkah?

Lantaran itu kita kena faham. Sebagai individu kita ada tanggungjawab, kerajaan juga ada tanggungjawab. Allah Ta'ala berfirman maksudnya: "dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya (agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al-Hajj:40-41)

Di dalam ayat atas, Allah dengan jelas menyebut tiga tanggungjawab orang yang diberi kuasa: mendirikan solat, menunaikan zakat dan menyuruh yang makruf (amar makruf) serta mencegah yang mungkar (nahi mungkar).

Nahi mungkar mempunyai tiga tahap, iaitu dengan tangan, dengan lisan dan dengan hati.

Maka bagi mereka yang ada kuasa di tangannya tidak cukup mencegah dengan lisan, apa lagi dengan hati. Mereka mesti mencegah dengan tangan. Gunakan kuasa yang ada untuk mencegahnya. Salah satu cara ialah dengan menghukum dengan hukuman yang telah ditentukan Allah. Dan pada masa yang sama, mereka wajib mendirikan solat dan mengajak rakyat bersama-sama melaksanakannya sebagai bukti ketundukan dan kepatuhan kepadaNya. Pemerintah juga wajib menunaikan zakat, iaitu mengambil dari orang kaya dan diagihkan kepada asnaf dengan adil dan saksama. Dengan cara itu dapat dijamin keadilan sosial di kalangan rakyat.

Pemerintah hendaklah berusaha mendidik rakyat cintakan kebaikan dan menghayatinya serta bencikan kemungkaran dan menjahuinya. Maka hukuman bukan satu-satunya cara untuk mencegah jenayah. Ia termasuk pelaksanaan yang menyeluruh merangkum semua perintah yang terkandung di dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya s.a.w.

Marilah kita kembali kepada Pencipta Yang Maha Kuasa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terimalah apa yang telah diwahyukan. Berilah peluang supaya ia dilaksanakan. Lihat dulu kesannya, in syaa Allah Dia pasti menolong kita sebagaimana yang dijanjikan-Nya.



Wednesday, May 14, 2014

Perutusan Mursyid Am dari Kandang Tertuduh

Perutusan Mursyid Am kepada mereka yang berjiwa merdeka di dalam penjara

Mursyid Am telah mengutus surat kepada anak-anak yang berjiwa merdeka khususnya di Port Saeid melalui orang yang bertemu dengannya dari kalangan mereka yang dipenjarakan, iaitu pertemuan di "mahkamah main-main" di markaz pasukan keselamatan untuk membicarakan 191 orang penyokong legitimasi di Port Saeid. Selain Mursyid Am, pimpinan lain yang berada di situ ialah Dr Muhammad al-Baltaji dan Dr Sofwat Hijazi

Mursyid Am menyampaikan khabar gembira dekatnya kemenangan dan pertolongan Allah. Beliau berkata: "Sesungguhnya kita sekarang berada di peringkat pemilihan dan perbezaan (tamayuz). Tamayuz tidak boleh ada pilihan antara tiga atau empat. Tamayuz hanya boleh pilih antara dua sahaja: putih atau hitam. Sehingga apabila telah sempurna tamayuz antara keduanya, Allah akan mendatangkan kemenangan. Firman Allah bermaksud: "Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu dia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah ia dan (tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan (terhadap Kami).” (Al-Anbiaa’:18)
Adanya huruf  "fa" (fayadmaghuh) di sini menunjukkan janji Allah akan berlaku dengan segera, seperti firman-Nya tentang kebatilan  yang buruk lagi busuk: "Kerana Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari yang baik (golongan yang beriman) dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta dimasukkannya ke dalam Neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Anfal:37)
Dan tamayuz merupakan kelebihan dan kurnia Allah kepada kita dan orang-orang yang bersama pada hari ini, mereka tidak pernah ada kaitan dengan kita sebelum ini. Mereka datang dengan pilihan Allah, bukan pilihan salah seorang daripada kita. Lihatlah kepada orang yang telah Allah teguhkan bersama dengan kita di atas jalan yang sama. Kemudian hati mereka telah terseleweng. Sesungguhnya itu merupakan iradah Tuhan yang Maha Mengetahui kecurangan kerdipan mata dan apa yang tersembunyi di dalam dada. Allah yang membezakan

Sesungguhnya kami mentarbiah individu-individu dalam kumpulan lima orang, lima orang. Dan kami berkata, sesungguhnya rakyat semua  perlukan tarbiah. Tetapi bagaimana mungkin kami akan mentarbiah semua orang. Maka Allah 'Azza wa Jalla menghimpunkan kumpulan yang begini ramai di sini supaya kita dapat mentarbiah bersama-sama, hidup bersama-sama, bergaul bersama-sama. Bagaimana kita mampu mengatur urusan seperti ini? Siapa yang menyusun dan siapa yang menghendaki?

Sesungguhnya tidak ada seorangpun yang masuk ke dalam penjara ini secara tersilap. Allah yang menghendakinya dengan kehendak-Nya dan qudrah-Nya kerana hikmah yang Dia mengetahuinya. Dan tadbir-Nya itulah yang terbaik untuk kita semua.

Mursyid berkata bahawa rumahnya di Bani Suwaif dicuri dan dibakar. Beliau menerima berita itu dengan berkata: Alhamdulillah perkara itu berlaku selepas anakku Ammar syahid. Sekiranya rumahku dicuri dan dibakar sebelum Ammar syahid, tentu kami akan bersedih. Namun disebabkan telah berlaku musibah yang lebih besar (pemergian Ammar), apa yang berlaku selepasnya jadi kecil dan enteng, alhamdulillah. Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kesenangan. Kita mesti menggantungkan hati kita, harapan kita kepada Allah Yang Esa semata-mata. Dia berfirman maksudnya: "Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik itu);” (Al-Maidah:52)
Di dalam ayat itu, Allah dahulukan menyebut Nama-Nya daripada Perbuatan-Nya (mendatangkan kemenangan), supaya manusia bergantung kepada Allah, bukan kepada perbuatan-Nya. Walaupun bergantung kepada perbuatan-Nya itu harus, tetapi bergantung kepada Allah itu lebih kuat, jauh dari sebarang sebab.

Mengenai Presiden yang sah, Muhammad Mursi beliau berkata bahawa dia dalam keadaan baik, alhamdulillah. Sesungguhnya presiden sangat positif bahawa kemenangan amat dekat in syaa Allah. Dia ditemani di dalam penjara oleh  sebaik-baik lelaki, at-Tohtowi.

Presiden bermimpi tiga hari berturut bahawa dia membaca firman Allah Ta'ala: "Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Al-Hajj:39)

Di akhir risalahnya Mursyid Am mengucapkan salam dan tahiyyah kepada semua yang berjiwa merdeka di Port Saeid, Ismailiyyah, Sinai, Arisy dan Bi’r al-Eid serta semua yang terpenjara seorang demi seorang dan seluruh ahli keluarga mereka semuanya.

Sumber:

http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=185525&SecID=210

Ahmad Said Letak Jawatan

Ahmad Said meletak jawatan sebagai MB Terengganu dan mengisytiharkan keluar daripada UMNO, menjadi wakil rakyat bebas. Langkahnya keluar parti itu diikuti pula dua orang wakil rakyat lain daripada UMNO

Itulah antara tajuk berita yang hangat diperkatakan dalam sehari dua ini. Saya tidak pernah terlibat dalam sepak terajang gelanggang politik kepartian dan bukan juga pengulas politik semasa yang tajam pandangannya.

Hanya secara tiba-tiba peristiwa itu mengingatkan saya kepada kisah Umar bin al-Khattab r.a. memecat Khalid bin al-Walid r.a. yang terkenal sebagai panglima perang yang hebat dan berani itu. Abu Ubaidah r.a. yang dilantik sebagai pengganti Khalid menyifatkan Khalid sebagai "sebaik-baik amir (ketua), dan orang yang paling tegas terhadap musuh dari kalangan kuffar (orang-orang kafir)"

Selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq r.a., Umar mengutus surat kepada Abu Ubaidah menyampaikan khabar kewafatan Abu Bakar dan melantiknya sebagai amir. Abu Ubaidah r.a. tidak menyampaikan isi kandungan surat itu kerana bimbang akan menjadikan tentera-tenera yang sedang berjuang lemah semangat, prestasi mereka akan terjejas.

Setelah mengetahui Abu Ubaidah belum membacakan surat itu kepada kaum muslimin yang berada di medan perang itu, Umar mengutus surat ke dua pada 26 Rejab tahu ke 13 hijrah. Surat itu antara lain, berbunyi: "Daripada hamba Allah, Umar. Kepada Abu Ubaidah bin al-Jarrah. Salam kepadamu. Sesungguhnya aku memuji Allah yang tiada tuhan melainkan Dia. Aku berselawat ke atas Nabi-Nya Muhammad s.a.w., waba'du. Sesungguhnya aku melantik engkau sebagai amir umat Islam (di medan perang). Maka janganlah engkau malu kerana sesungguhnya Allah tidak malu dalam perkara yang benar. Aku berpesan kepadamu supaya bertaqwa kepada Allah yang telah mengeluarkan engkau dari kufur kepada iman, dari sesat kepada hidayah. Sesungguhnya aku melantik engkau memimpin angkatan tentera yang dipimpin oleh Khalid. Maka pimpinlah tentera itu, dan lucutkan Khalid dari kepemimpinannya."

Surat itu terjatuh dari tangan Abu Ubaidah. Dia tidak bersetuju menurunkan Khalid dari mengetuai angkatan tentera kerana dia melihat keupayaan Khalid menggerunkan musuh, mengasihi sesama Islam, kemampuannya dalam memimpin serta pengalamannya dalam urusan peperangan. Abu Ubaidah meminta Muaz bin Jabal menyampaikan dan bermesyuarat dengan beberapa orang Sahabat. Akhirnya perkara itu sampai ke pengetahuan Khalid.

Khalid datang menemui Abu Ubaidah dan berkata: "Semoga Allah mengampunimu wahai Abu Ubaidah. Engkau terima surat daripada Amirul-Mukminin melantik engkau sebagai ketua (panglima), tetapi engkau tidak memaklumkan aku. Engkau solat di belakangku (sebagai makmum) sedangkan yang berkuasa adalah engkau!" (Dalam Islam, menjadi imam solat adalah hak ketua).

Perhatikan kata-kata Khalid. Dia tidak langsung mempersoalkan sebab dia dipecat? Yang dia rasa terkilan ialah, dia menjadi imam solat kepada ketuanya, padahal sepatutnya dia makmum!

Abu Ubaidah menjawab: "Dan semoga Allah mengampunimu wahai Khalid. Demi Allah aku tidak akan memberitahumu sehingga engkau mengetahuinya daripada orang lain. Aku tidak mahu memecahkan langkah perangmu sehingga ianya selesai semuanya. Kemudian aku akan beritahumu selepas itu. Aku tidak mahukan kekuasan dunia dan bukan kerana dunia aku bekerja. Sesungguhnya engkaupun tahu bahawa apa yang ada ini akan hilang dan lenyap. Kita adalah bersaudara dan kita penegak perintah Allah Ta'ala. Tidak ada mudarat bagi kita diperintah oleh saudaranya sama ada dalam urusan agama atau urusan dunia. Bahkan kita mengetahui bahawa yang memerintah itulah yang lebih dekat kepada fitnah dan lebih cepat terjatuh dalam kesilapan kecuali mereka yang diperihara oleh Allah. Dan mereka adalah sedikit.

Terdapat pelbagai tafsiran dikemukakan tentang sebab Umar memecat Khalid. Saya tidak berhajat untuk membentangkan pandangan-pandangan itu. Cuma ingin  mengajak kita semua menghayati keikhlasan generasi sahabat r.a. dalam perjuangan menegakkan agama suci ini. Sesungguhnya tindakan Umar memecat Khalid bukan atas kepentingan peribadi atau sebab permusuhan antara mereka. Itu adalah ijtihad Umar demi kemaslahan umat dan agama yang diamanahkan ke atas bahunya. Dan pemecatan itu tidak pernah mendatangkan kesan dalam hubungan persaudaraan mereka berdua.

Di penghujung pemerintahannya Umar ditanya, "tidakkah Amirul-Mukminin ingin mencadangkan seseorang sebagai pengganti?" Umar menjawab: "Kalau Abu Ubaidah masih hidup, aku mahu melantiknya. Bila aku berjumpa Tuhanku dan Dia bertanya kenapa aku lantik dia? Aku akan jawab, "Kerana aku mendengar hamba-Mu dan kekasih-Mu berkata, "Setiap umat ada "amin"nya. Dan "amin" umat ini ialah Abu Ubaidah". Kalau Khalid bin al-Walid masih ada, aku akan lantiknya. Kemudian aku akan menjawab kepada Tuhan-ku: "Aku pernah mendengar hamba-Mu dan kekasih-Mu berkata, Khalid adalah Saifullah (pedang Allah) yang terhunus ke arah musyrikin." (Siar A'lam an-Nubala')

Apa pula perakuan Khalid tentang Umar di hadapan Abu Darda' r.a.? "Dami Allah wahai Abu Darda' sekiranya Umar mati, engkau akan melihat perkara-perkara munkar akan berlaku." (Siar A'lam an-Nubala')

Dalam riwayat lain, seorang lelaki berkata kepada Khalid r.a.: "Wahai Abu Sulaiman, takutlah kepada Allah, sesungguhnya banyak fitnah telah muncul." Khalid menjawab: "Apakah berlaku fitnah sedangkan Ibn al-Khattab masih hidup? Sesungguhnya fitnah hanya akan berlaku selepas ketiadaannya." (Riwayat Ahmad)

p.s.
belum habis menulis, tiba-tiba terpandang berita Ahmad Said menyesal keluar UMNO dan akan kembali semula .....



Friday, May 09, 2014

Kisah yang membuatkan Umar menangis


Umayyah al-Kinany seorang yang terkemuka di kalangan kaumnya. Dia mempunyai seorang anak lelaki bernama Kilab.

Kilab berhijrah ke Madinah di zaman Umar bin al-Khattab r.a. menjadi khalifah. Selepas beberapa ketika berada di Madinah, beliau bertemu dengan Talhah bin Abdullah dan Zubair bin al-Awwam dan bertanya kepada keduanya, apakah amalan yang paling afdhal di dalam Islam? Keduanya menjawab, "Jihad".

Kilab mengadap Umar, memohon untuk menyertai Jihad.

Umar r.a. menghantarnya bergabung dengan angkatan tentera Islam di Parsi. Apabila keputusan itu dikatehui oleh ayahnya, Umayyah al-Kinany, ayahnya berkata kepada Kilab:
"Jangan tinggalkan ayah dan ibumu yang telah tua dan lemah. Ayah dan ibu memeliharamu semasa kamu kecil, tetapi apabila ayah dan ibumu berhajat kepadamu, engkau tinggalkan mereka berdua."
Kilab menjawab:
"Aku tinggalkan anda berdua untuk menyertai sesuatu yang lebih baik untukku."

Kilab berangkat ke medan juang selepas ayahnya menyetujui pemergiannya.

Setelah sekian lama berada di medan jihad, ayah dan ibu telah mula merindui anak kesayangan mereka.

Pada suatu hari, kedua-duanya duduk di bawah bayangan pohon kurma. Tiba-tiba mereka terpandang seekur burung merpati bermain-main dengan anaknya. Burung itu terbang pergi dan datang kembali. Melihat situasi itu, ayah yang tua itu menangis. Ibu yang melihat si ayah menangis turut menangis sama.

Masa berlalu, ayah semakin menginjak tua , penglihatannya kian lemah dan kabur.

Sekian lama menanti, anak kesayangan tidak kunjung pulang, Umayyah datang bertemu Umar r.a. di masjid. Dia berkata: "Demi Allah wahai Ibn al-Khattab, sekiranya engkau tidak mengembalikan anakku kepadaku, aku akan mendoakan kecelakaanmu di tanah-tanah tinggi."

Umar r.a. mengutus surat mengarahkan Kilab supaya pelang ke Madinah.

Kilab kembali ke Madinah. Beliau terus mengadap Umar.

Umar bertanya: "Sejauh mana baktimu kepada ayahmu?"

Kilab berkata: "Aku mengutamakannya dan mengendalikan urusannya. Apabila aku hendak memerah susu untuknya, aku pergi ke kandang unta, aku membelai unta yang aku hendak perah susunya, aku rehatkannya sehingga dia tenang. Aku basuh teteknya sehingga ia sejuk. Kemudian barulah aku perah susunya dan memberi ayahku minum."

Umar memanggil Umayyah datang mengadapnya.
Dia bertanya: "Bagaimana keadaanmu, wahai Abu Kilab?"
Umayyah menjawab: "Seperti yang anda lihat, wahai Amirul-Mu'minin."
Umar: "Apakah perkara yang paling kamu sukai sekarang ini?"
Umayyah: "Tidak ada sesuatu yang paling aku sukai sekarang ini. Tidak ada kebaikan yang menggembirakan aku, dan tidak ada kejahatan yang menyedihkan aku."
Umar: "Tidak ada lagi sesuatu yang lain?"
Umayyah: "Memang ada. Aku suka anakku Kilab berada di sisiku supaya aku dapat menciumnya satu ciuman dan memeluknya dengan satu pelukan sebelum aku mati."
Lantas Umar menangis sambil berkata: "Akan sampai apa yang engkau suka, in syaa Allah."

Kemudian Umar perintahkan supaya Kilab pergi memerah susu sebagaimana yang dia sering lakukan dan hantarkan susu itu kepadanya.

Setelah Kilab lakukan apa yang diperintahkan, Umar mengambil susu dan membawanya kepada Umayyah.

Umayyah mengambil bekas susu dari tangan Umar dan mendekatkannya ke mulutnya. Setelah bekas itu menyentuh bibirnya, terus dia berkata:
"Demi Allah, wahai Amirul-Mu'minin, sesungguhnya aku menghidu bau dua tangan Kilab."

Umar r.a. menangis dan berkata: "Ini Kilab di sisimu. Kami telah membawanya kepadamu."

Dia terus menerkam dan memeluk erat anaknya sambil menangis. Umar dan semua yang hadir turut menangis.

Kemudian Umar berkata kepada Kilab:
"Wahai anakku, tinggallah bersama ayah dan ibumu. Berjihadlah dengan menjaga keduanya selagi mana keduanya masih hidup. Kemudian berilah tumpuan kepada urusan peribadimu selepas kedua-duanya telah tiada."

Sumber: