Perutusan Mursyid Am kepada mereka yang
berjiwa merdeka di dalam penjara
Mursyid Am telah mengutus surat kepada
anak-anak yang berjiwa merdeka khususnya di Port Saeid melalui orang yang
bertemu dengannya dari kalangan mereka yang dipenjarakan, iaitu pertemuan di "mahkamah
main-main" di markaz pasukan keselamatan untuk membicarakan 191 orang
penyokong legitimasi di Port Saeid. Selain Mursyid Am, pimpinan lain yang
berada di situ ialah Dr Muhammad al-Baltaji dan Dr Sofwat Hijazi
Mursyid Am menyampaikan khabar gembira
dekatnya kemenangan dan pertolongan Allah. Beliau berkata: "Sesungguhnya
kita sekarang berada di peringkat pemilihan dan perbezaan (tamayuz). Tamayuz
tidak boleh ada pilihan antara tiga atau empat. Tamayuz hanya boleh pilih
antara dua sahaja: putih atau hitam. Sehingga apabila telah sempurna tamayuz
antara keduanya, Allah akan mendatangkan kemenangan. Firman Allah bermaksud:
"Bahkan Kami sentiasa mengarahkan yang benar menentang yang salah, lalu
dia menghancurkannya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah ia dan
(tetaplah) kecelakaan akan menimpa kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan
(terhadap Kami).” (Al-Anbiaa’:18)
Adanya huruf "fa" (fayadmaghuh) di sini
menunjukkan janji Allah akan berlaku dengan segera, seperti firman-Nya tentang
kebatilan yang buruk lagi busuk: "Kerana
Allah hendak membezakan yang jahat (golongan yang ingkar) dari yang baik
(golongan yang beriman) dan menjadikan (golongan) yang jahat itu setengahnya
bersatu dengan setengahnya yang lain, lalu ditimbunkannya kesemuanya, serta
dimasukkannya ke dalam Neraka Jahanam. Mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Anfal:37)
Dan tamayuz merupakan kelebihan dan kurnia
Allah kepada kita dan orang-orang yang bersama pada hari ini, mereka tidak
pernah ada kaitan dengan kita sebelum ini. Mereka datang dengan pilihan Allah,
bukan pilihan salah seorang daripada kita. Lihatlah kepada orang yang telah Allah
teguhkan bersama dengan kita di atas jalan yang sama. Kemudian hati mereka
telah terseleweng. Sesungguhnya itu merupakan iradah Tuhan yang Maha Mengetahui
kecurangan kerdipan mata dan apa yang tersembunyi di dalam dada. Allah yang
membezakan
Sesungguhnya kami mentarbiah
individu-individu dalam kumpulan lima orang, lima orang. Dan kami berkata,
sesungguhnya rakyat semua perlukan
tarbiah. Tetapi bagaimana mungkin kami akan mentarbiah semua orang. Maka Allah
'Azza wa Jalla menghimpunkan kumpulan yang begini ramai di sini supaya kita
dapat mentarbiah bersama-sama, hidup bersama-sama, bergaul bersama-sama.
Bagaimana kita mampu mengatur urusan seperti ini? Siapa yang menyusun dan siapa
yang menghendaki?
Sesungguhnya tidak ada seorangpun yang
masuk ke dalam penjara ini secara tersilap. Allah yang menghendakinya dengan
kehendak-Nya dan qudrah-Nya kerana hikmah yang Dia mengetahuinya. Dan
tadbir-Nya itulah yang terbaik untuk kita semua.
Mursyid berkata bahawa rumahnya di Bani
Suwaif dicuri dan dibakar. Beliau menerima berita itu dengan berkata:
Alhamdulillah perkara itu berlaku selepas anakku Ammar syahid. Sekiranya
rumahku dicuri dan dibakar sebelum Ammar syahid, tentu kami akan bersedih.
Namun disebabkan telah berlaku musibah yang lebih besar (pemergian Ammar), apa
yang berlaku selepasnya jadi kecil dan enteng, alhamdulillah. Sesungguhnya
bersama kesusahan itu ada kesenangan. Kita mesti menggantungkan hati kita,
harapan kita kepada Allah Yang Esa semata-mata. Dia berfirman maksudnya: "Mudah-mudahan
Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada RasulNya dan umat Islam) atau
mendatangkan sesuatu hukuman dari sisiNya (terhadap golongan yang munafik
itu);” (Al-Maidah:52)
Di dalam ayat itu, Allah dahulukan menyebut
Nama-Nya daripada Perbuatan-Nya (mendatangkan kemenangan), supaya manusia
bergantung kepada Allah, bukan kepada perbuatan-Nya. Walaupun bergantung kepada
perbuatan-Nya itu harus, tetapi bergantung kepada Allah itu lebih kuat, jauh
dari sebarang sebab.
Mengenai Presiden yang sah, Muhammad Mursi
beliau berkata bahawa dia dalam keadaan baik, alhamdulillah. Sesungguhnya
presiden sangat positif bahawa kemenangan amat dekat in syaa Allah. Dia
ditemani di dalam penjara oleh
sebaik-baik lelaki, at-Tohtowi.
Presiden bermimpi tiga hari berturut bahawa
dia membaca firman Allah Ta'ala: "Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam)
yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya
dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai
kemenangan).” (Al-Hajj:39)
Di akhir risalahnya Mursyid Am mengucapkan
salam dan tahiyyah kepada semua yang berjiwa merdeka di Port Saeid,
Ismailiyyah, Sinai, Arisy dan Bi’r al-Eid serta semua yang terpenjara seorang
demi seorang dan seluruh ahli keluarga mereka semuanya.
Sumber:
http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=185525&SecID=210
No comments:
Post a Comment