Ahmad Said meletak jawatan sebagai MB Terengganu
dan mengisytiharkan keluar daripada UMNO, menjadi wakil rakyat bebas.
Langkahnya keluar parti itu diikuti pula dua orang wakil rakyat lain daripada
UMNO
Itulah antara tajuk berita yang hangat
diperkatakan dalam sehari dua ini. Saya tidak pernah terlibat dalam sepak
terajang gelanggang politik kepartian dan bukan juga pengulas politik semasa
yang tajam pandangannya.
Hanya secara tiba-tiba peristiwa itu
mengingatkan saya kepada kisah Umar bin al-Khattab r.a. memecat Khalid bin
al-Walid r.a. yang terkenal sebagai panglima perang yang hebat dan berani itu.
Abu Ubaidah r.a. yang dilantik sebagai pengganti Khalid menyifatkan Khalid
sebagai "sebaik-baik amir (ketua), dan orang yang paling tegas terhadap
musuh dari kalangan kuffar (orang-orang kafir)"
Selepas kewafatan Abu Bakar as-Siddiq r.a.,
Umar mengutus surat kepada Abu Ubaidah menyampaikan khabar kewafatan Abu Bakar
dan melantiknya sebagai amir. Abu Ubaidah r.a. tidak menyampaikan isi kandungan
surat itu kerana bimbang akan menjadikan tentera-tenera yang sedang berjuang
lemah semangat, prestasi mereka akan terjejas.
Setelah mengetahui Abu Ubaidah belum
membacakan surat itu kepada kaum muslimin yang berada di medan perang itu, Umar
mengutus surat ke dua pada 26 Rejab tahu ke 13 hijrah. Surat itu antara lain,
berbunyi: "Daripada hamba Allah, Umar. Kepada Abu Ubaidah bin al-Jarrah.
Salam kepadamu. Sesungguhnya aku memuji Allah yang tiada tuhan melainkan Dia.
Aku berselawat ke atas Nabi-Nya Muhammad s.a.w., waba'du. Sesungguhnya aku
melantik engkau sebagai amir umat Islam (di medan perang). Maka janganlah
engkau malu kerana sesungguhnya Allah tidak malu dalam perkara yang benar. Aku
berpesan kepadamu supaya bertaqwa kepada Allah yang telah mengeluarkan engkau
dari kufur kepada iman, dari sesat kepada hidayah. Sesungguhnya aku melantik
engkau memimpin angkatan tentera yang dipimpin oleh Khalid. Maka pimpinlah
tentera itu, dan lucutkan Khalid dari kepemimpinannya."
Surat itu terjatuh dari tangan Abu Ubaidah.
Dia tidak bersetuju menurunkan Khalid dari mengetuai angkatan tentera kerana
dia melihat keupayaan Khalid menggerunkan musuh, mengasihi sesama Islam,
kemampuannya dalam memimpin serta pengalamannya dalam urusan peperangan. Abu
Ubaidah meminta Muaz bin Jabal menyampaikan dan bermesyuarat dengan beberapa
orang Sahabat. Akhirnya perkara itu sampai ke pengetahuan Khalid.
Khalid datang menemui Abu Ubaidah dan
berkata: "Semoga Allah mengampunimu wahai Abu Ubaidah. Engkau terima surat
daripada Amirul-Mukminin melantik engkau sebagai ketua (panglima), tetapi
engkau tidak memaklumkan aku. Engkau solat di belakangku (sebagai makmum)
sedangkan yang berkuasa adalah engkau!" (Dalam Islam, menjadi imam solat
adalah hak ketua).
Perhatikan kata-kata Khalid. Dia tidak
langsung mempersoalkan sebab dia dipecat? Yang dia rasa terkilan ialah, dia
menjadi imam solat kepada ketuanya, padahal sepatutnya dia makmum!
Abu Ubaidah menjawab: "Dan semoga
Allah mengampunimu wahai Khalid. Demi Allah aku tidak akan memberitahumu sehingga
engkau mengetahuinya daripada orang lain. Aku tidak mahu memecahkan langkah
perangmu sehingga ianya selesai semuanya. Kemudian aku akan beritahumu selepas
itu. Aku tidak mahukan kekuasan dunia dan bukan kerana dunia aku bekerja.
Sesungguhnya engkaupun tahu bahawa apa yang ada ini akan hilang dan lenyap.
Kita adalah bersaudara dan kita penegak perintah Allah Ta'ala. Tidak ada
mudarat bagi kita diperintah oleh saudaranya sama ada dalam urusan agama atau
urusan dunia. Bahkan kita mengetahui bahawa yang memerintah itulah yang lebih
dekat kepada fitnah dan lebih cepat terjatuh dalam kesilapan kecuali mereka
yang diperihara oleh Allah. Dan mereka adalah sedikit.
Terdapat pelbagai tafsiran dikemukakan
tentang sebab Umar memecat Khalid. Saya tidak berhajat untuk membentangkan
pandangan-pandangan itu. Cuma ingin
mengajak kita semua menghayati keikhlasan generasi sahabat r.a. dalam
perjuangan menegakkan agama suci ini. Sesungguhnya tindakan Umar memecat Khalid
bukan atas kepentingan peribadi atau sebab permusuhan antara mereka. Itu adalah
ijtihad Umar demi kemaslahan umat dan agama yang diamanahkan ke atas bahunya.
Dan pemecatan itu tidak pernah mendatangkan kesan dalam hubungan persaudaraan
mereka berdua.
Di penghujung pemerintahannya Umar ditanya,
"tidakkah Amirul-Mukminin ingin mencadangkan seseorang sebagai
pengganti?" Umar menjawab: "Kalau Abu Ubaidah masih hidup, aku mahu
melantiknya. Bila aku berjumpa Tuhanku dan Dia bertanya kenapa aku lantik dia?
Aku akan jawab, "Kerana aku mendengar hamba-Mu dan kekasih-Mu berkata,
"Setiap umat ada "amin"nya. Dan "amin" umat ini ialah
Abu Ubaidah". Kalau Khalid bin al-Walid masih ada, aku akan lantiknya.
Kemudian aku akan menjawab kepada Tuhan-ku: "Aku pernah mendengar hamba-Mu
dan kekasih-Mu berkata, Khalid adalah Saifullah (pedang Allah) yang terhunus ke
arah musyrikin." (Siar A'lam an-Nubala')
Apa pula perakuan Khalid tentang Umar di
hadapan Abu Darda' r.a.? "Dami Allah wahai Abu Darda' sekiranya Umar mati,
engkau akan melihat perkara-perkara munkar akan berlaku." (Siar A'lam
an-Nubala')
Dalam riwayat lain, seorang lelaki berkata
kepada Khalid r.a.: "Wahai Abu Sulaiman, takutlah kepada Allah,
sesungguhnya banyak fitnah telah muncul." Khalid menjawab: "Apakah
berlaku fitnah sedangkan Ibn al-Khattab masih hidup? Sesungguhnya fitnah hanya akan
berlaku selepas ketiadaannya." (Riwayat Ahmad)
p.s.
belum habis menulis, tiba-tiba terpandang
berita Ahmad Said menyesal keluar UMNO dan akan kembali semula .....
No comments:
Post a Comment