Kanak-kanak dirogol 38 lelaki, kanak-kanak
dikelar hingga terputus kepala, kanak-kanak didera sehingga mati, dan... dan...
dan....
Pelbagai jenayah keji, kejam, jijik dan
menyakitkan dilaporkan oleh akhbar perdana, laman-laman sosial dan sebagainya
sehingga kita tertanya-tanya di zaman manakah kita berada sekarang?
Manusia hidup seolah-olah tiada Tuhan,
tiada undang-undang, tiada keimanan kepada hari pembalasan. Ironinya,
perlakuan-perlakuan keji yang jijik itu dilakukan oleh mereka yang berbangsa
Melayu dan beragama Islam!
Apakah ini satu petunjuk daripada Allah
apabila terdapat dari kalangan umat yang mengaku Islam yang secara
terang-terangan mempertikaikan hukuman yang telah ditetapkan di dalam kitab
suciNya? Seolah-olah Allah mahu menempelak manusia yang biadab itu, rasakan!
Ambil engkau! Aku suruh engkau hukum penjenayah dengan hukuman berat engkau tak
mahu, engkau tolak, engkau ragu! Sekarang hukumlah dengan hukuman kamu sendiri
yang kamu rasa kamu tahu, kamu pandai, kamu lebih faham suasana dan sebagainya!
Apakah hukuman yang kamu reka-reka itu mampu membendung jenayah?
Ada juga orang berkata, kita tidak boleh
laksanakan undang-undang jenaya Islam dalam keadaan masyarakat seperti
sekarang. Masyarakat majmuk, rakyat tak faham, banyak penyelewengan dan
macam-macam. Tunggu suasana yang kondusif, pembahagian ekonomi yang adil,
sosial yang stabil, orang ramai faham dan lain-lain.
Allahu Akbar! Pada fahaman saya yang cetek
ilmu ini, Allah mensyari'atkan hukuman itu untuk menakutkan dan menggerunkan
hamba-hambaNya. Apabila mereka mengetahui jika berzina mereka akan disebat 100
kali atau direjam sampai mati, mereka akan rasa takut dan gerun untuk
melakukannya dan sedaya upaya cuba menjauhinya. Satu ungkapan yang masyhur
daripada Khalifah ke tiga, Uthman bin Affan r.a. bermaksud: "Sesungguhnya
Allah mencegah dengan sultan (kuasa) apa yang tidak tercegah dengan
al-Quran!"
Memang Allah Ta'ala Maha Mengetahui di
kalangan manusia ini ada yang lemah imannya. Dengar al-Quran dibaca, dengar
ceramah, pergi kuliah, kempen tutup aurat dan sebagainya tidak berbekas di hati
yang lemah imannya. Maka dia perlu dicegah dari melakukan jenayah dengan
menggunakan kuasa, laksanakan hukuman yang sepadan dan setimpal. Baru dia
serik. Yang belum buatpun akan rasa gentar. Lebih-lebih lagi hukuman itu
ditentukan Allah. Dia yang menguasai hati hamba-hambaNya. Dia yang akan
mencampakkan rasa gerun dan insaf ke dalam hati mereka. Kita WAJIB yakin dan
percaya. Kalau tidak, periksa iman kita.
Turut tersebar juga video seorang ibu
memukul lelaki yang dikatakan merogol anaknya. Kita faham apa perasaan ibu itu
apabila anaknya dicerobohi dan simpati dengannya. Namun itu bukan
penyelesaiannya. Allah tidak menyerahkan kepada orang yang jadi mangsa
menghukum kerana dia akan bertindak mengikut perasaan dan tentunya hukuman itu
akan melampaui batas serta tidak adil kepada penjenayah. Begitu juga Allah
tidak serahkan kepada pihak berkuasa menentukan hukuman ke atas semua jenis
jenayah kerana pihak berkuasa, tidak dapat menyelami perit pedih orang yang
jadi mangsa. Kerana itu, Allah telah tetapkan dengan jelas dan nyata supaya
adil kepada semua. Contohnya mencuri. Bayangkan kalau anda dapat tangkap
pencuri yang mencuri duit anda yang halal, yang anda simpan untuk tujuan
tertentu, kalau ikut hati apa tindakan yang hendak anda lakukan? Ada orang
jawab, potong kepala! Ya, ikut hati mahu dibunuh saja pencuri tu. Apakah
setimpal dia dibunuh kerana mencuri? Allah kata tidak! Hukuman yang lebih
ringan daripada bunuh. Hilangkan sebahagian kecil daripada tangannya. Bukan
hilangkan nyawanya.
Apakah pula hukuman yang pemerintah
tentukan, yang tidak merujuk kepada wahyu Ilahi? Penjara. Dia serik? Tidak!
Siapa tanggung kos penjara; bangunan, pegawai petugas, makan minum,
latihan-latihan dan sebagainya? Duit cukai yang rakyat bayar. Keluar penjara,
dia curi lagi duit rakyat! Adilkah?
Lantaran itu kita kena faham. Sebagai
individu kita ada tanggungjawab, kerajaan juga ada tanggungjawab. Allah Ta'ala
berfirman maksudnya: "… dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya
(agama Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa. Iaitu mereka
(umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya
mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat
kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar dan
(ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Al-Hajj:40-41)
Di dalam ayat atas, Allah dengan jelas
menyebut tiga tanggungjawab orang yang diberi kuasa: mendirikan solat,
menunaikan zakat dan menyuruh yang makruf (amar makruf) serta mencegah yang
mungkar (nahi mungkar).
Nahi mungkar mempunyai tiga tahap, iaitu
dengan tangan, dengan lisan dan dengan hati.
Maka bagi mereka yang ada kuasa di
tangannya tidak cukup mencegah dengan lisan, apa lagi dengan hati. Mereka mesti
mencegah dengan tangan. Gunakan kuasa yang ada untuk mencegahnya. Salah satu
cara ialah dengan menghukum dengan hukuman yang telah ditentukan Allah. Dan
pada masa yang sama, mereka wajib mendirikan solat dan mengajak rakyat
bersama-sama melaksanakannya sebagai bukti ketundukan dan kepatuhan kepadaNya.
Pemerintah juga wajib menunaikan zakat, iaitu mengambil dari orang kaya dan
diagihkan kepada asnaf dengan adil dan saksama. Dengan cara itu dapat dijamin
keadilan sosial di kalangan rakyat.
Pemerintah hendaklah berusaha mendidik
rakyat cintakan kebaikan dan menghayatinya serta bencikan kemungkaran dan
menjahuinya. Maka hukuman bukan satu-satunya cara untuk mencegah jenayah. Ia
termasuk pelaksanaan yang menyeluruh merangkum semua perintah yang terkandung
di dalam kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya s.a.w.
Marilah kita kembali kepada Pencipta Yang
Maha Kuasa, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terimalah apa yang telah
diwahyukan. Berilah peluang supaya ia dilaksanakan. Lihat dulu kesannya, in
syaa Allah Dia pasti menolong kita sebagaimana yang dijanjikan-Nya.
No comments:
Post a Comment