Monday, February 16, 2015

Mengingati syahidnya al-Banna

Hasan al-Banaa, nama penuh beliau ialah Hasan Ahmad Abdul Rahman Muhammad al-Banna as-Sa'ati
(14/10/1906 – 12/2/1949)

Beliau telah mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin dan merupakan mursyidnya yang pertama. Ditembak semasa keluar dari bangunan Jam'iyyah Syubban Muslimin di jalan Ramsis, Kahirah dan meninggal pada 12/2/1949

Ayah baliau Ustaz Ahmad as-Sa'ati menceritakan:

Aku mendapat khabar kewafatannya pada jam satu pagi dan diberitahu bahawa mereka tidak akan menyerahkan jenazahnya kepadaku kecuali selepas aku berjanji untuk menguburkannya pada jam 9 pagi tanpa sebarang upacara. Jika aku tidak sanggup berbuat demikian, mereka terpaksa membawa jenazahnya dari hospital Qasru Aini terus ke kubur.

Berdepan dengan keadaan demikian aku terpaksa berjanji untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh kerajaan kerana aku mahu jenazah anakku dibawa ke rumahnya supaya aku dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Seketika sebelum fajar, mereka membawa jenazah ke rumah dalam keadaan bersembunyi. Tidak ada seorang jiranpun yang menyaksikannya dan tidak ada seorangpun yang mengetahui ketibaannya kecuali aku.

Kepungan di sekeliling rumah

Polis terus membuat kepungan, bukan saja di sekeliling rumah malah di sekeliling jenazah itu sendiri. Mereka tidak membenarkan seorangpun mendekatinya walaupun dari kalangan ahli keluarganya yang terdekat. Aku lakukan sendirian urusan memandi dan mengkafankan jenazah anakku. Tidak ada seoangpun insan yang bertugas secara khusus dalam urusan ini dibenarkan masuk. Kemudian jenazah diangkat dan diletakkan kembali di atas keranda yang mereka bawa tadi.

Kemudian timbul persoalan, siapakah yang akan mengusung jenazah ini ke tempat persemadiannya? Aku meminta kepada pihak polis agar membenarkan beberapa orang lelaki datang untuk mengungung keranda, namun mereka menolak permintaanku. Aku berkata kepada mereka bahawa di rumah ini tiada seorang lelakipun. Mereka menjawab, biarkan ia dibawa oleh wanita. Maka jenazah dibawa ke kubur dengan diletakkan di atas bahu kaum wanita.

Puluhan mata mengiringi jenazah

Jenazah diusung tanpa pengiring ke tanah perkuburan. Sepanjang jalan di kanan kiri polis berkawal dengan kawalan yang sangat ketat. Puluhan mata mengiringi jenazah dari celah-celah tingkap rumah-rumah yang berderet di sepanjang jalan. Mereka memandang dengan perasaan kasihan dan kemarahan yang membuak-buak kepada kezaliman yang dilakukan.

Masjid yang kosong

Ketika kami sampai di masjid Qaisun untuk solat jenazah, tidak ada seorangpun yang berada di dalam masjid, sehingga petugas-petugas masjid telah diarahkan keluar daripadanya sebelum kami sampai supaya mereka tidak ikut solat ke atas jenazah anakku.

Solat dan airmata

Aku berdiri di hadapan jenazah untuk solat. Maka air mata mengalir deras dari mataku. Sebenarnya ia bukan air mata, tapi rintihanku ke langit agar menurunkan rahmatNya kepada manusia. Kemudian jenazah dibawa ke tanah perkuburan, lalu kami tanam jasad yang padanya terletak harapan yang amat tinggi. Dan kami pulang ke rumah yang sedang menangis kesedihan.

Siang berlalu, malampun tiba. Tiada seorangpun datang mengucap takziah kerana bala tentera bak singa menghalang mereka datang. Kalau ada yang berjaya menyusup masuk, mereka tidak akan sampai ke rumah mereka kembali kerana ditangkap dan disumbat ke dalam penjara."

Itulah dunia

Dalam masa 12 jam as-Syahid Hasan al-Banna dibunuh, dibedah, dimandi, dikafan dan ditanam. Dengan cara itu berakhir sebuah kehidupan. Tiga orang wanita yang mengusung jenazah di bahu mereka pulang ke rumah, serta seorang ayah yang meratap kesedihan.

Selepas disemadikan di tanah perkuburan imam asy-Syafi'i, sekupumpulan tentera berkawal di sepanjang jalan menuju ke kubur dan sekumpulan lain berkawal di sepanjang jalan menuju ke rumah asy-Syahid. Tiada seorangpun dibenarkan masuk walaupun untuk berzikir dan baca al-Quran. Kalau ada yang masuk, mereka akan dtangkap dan dipenjarakan walaupun mereka hanyalah seorang jiran (bukan anggota Ikhwan).





Friday, February 13, 2015

Bahaya menangguh niat yang baik

Maimun bin Qais (570M - 629M) merupakan penyair kelas pertama pada zaman jahiliah. Dia mengembara ke bebarapa negeri di tanah arab dan parsi mendendangkan syair-syairnya. Dikatakan bahawa tiada seorangpun yang lebih banyak menghasilkan syair sebelum daripadanya. Seringkali syairnya dijadikan lagu dan dia menyanyikannya sehingga dia mendapat gelaran pemuzik arab. Dia dikenali dengan panggilan A'sya Qais kerana mempunyai kecacatan pada penglihatannya.
Lahir di sebuah kampung bernama Manfuhah yang terletak di Wadi Najd. Kini merupakan sebahagian daripada bandar Riyadh. (wikipedia.org)

Setelah mengetahui tentang Nabi Muhammad s.a.w. dan agama yang dibawanya, dia tertarik untuk menganutinya.
A'sya berangkat menuju ke Madinah untuk bertemu Rasulullah s.a.w. dan memeluk Islam.
Di pertengahan jalan dia terserempak dengan sekumpulan musyrikin.
Mereka bertanya : hendak ke mana kamu wahai A'sya?
A'sya menjawab : aku hendak bertemu dengan Muhammad dan memeluk Islam
Musyrikin : jangan kamu pergi menemuinya. Sesungguhnya dia menyuruh kamu solat
A'sya : sesungguhnya berkhidmat kepada Tuhan itu wajib
Musyrikin : dan dia juga menyuruh kamu memberikan hartamu kepada orang-orang faqir
A'sya : membuat kebaikan itu wajib
Musyrikin : sesungguhnya dia melarang kamu  berzina
A'sya : zina satu perbuatan jahat dan keji di segi akal. Dan akupun telah menjangkau usia tua dan tidak berhajat lagi kepada zina
Musyirikan : sesungguhnya dia melarang kamu meminum arak
A'sya : adapun yang ini, maka sesungguhnya aku tidak boleh sabar!
Maka dia berpatah balik sambil berkata : aku akan minum arak selama satu tahun kemudian aku akan kembali menemuinya!

Sebelum sempat sampai ke rumahnya dia terjatuh dari untanya mengakibatkan tengkuknya patah dan dia menemui ajalnya. (Al-Jami' Li-Ahkam al-Quran, al-Qurtubi, wafat 671H)

Wednesday, February 11, 2015

Kisah teladan – bahaya sombong

Jabalah bin al-Aiham seorang raja daripada raja-raja Ghassan. Iman telah menyusup ke dalam hatinya, lalu dia memeluk Islam.
Kemudian dia menulis surat kepada Khalifah Umar bin al-Khattab menyatakan hasratnya untuk datang ke Madinah.
Surat itu diterima Umar dengan penuh kegembiraan. Kaum muslimin juga turut bergembira dengan perkhabaran itu.
Umar menjawab suratnya dengan mempersilakan dia datang serta menyatakan bahawa hak kamu sama dengan hak kami. Tanggungjawab kamu sama dengan tanggungjawab kami.
Maka Jabalahpun datang bersama 500 orang tentera berkuda. Dia memasuki Madinah dengan memakai pakaian yang ditenun dengan emas, di atas kepalanya terletak mahkota bertatah permata yang berharga. Tenteranya juga memakai pakaian yang mewah-mewah.
Semua penduduk Madinah termasuk wanita dan kanak-kanak keluar untuk melihat Jabalah serta ahli rombongannya.
Umar mengalu-alukan ketibaannya dan membawa Jabalah duduk di sisinya di dalam majlis.
Apabila tiba musim haji, Umar berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji. Jabalah ikut serta menunaikan haji.
Ketika Jabalah sedang tawaf, tiba-tiba kainnya dipijak oleh seorang lelaki miskin dari qabilah Bani Fizarah. Jabalah berpaling ke arah lelaki itu dengan marah lantas menampar mukanya sehingga patah hidungnya.
Lelaki itu mengadu kepada Umar.
Umar memerintahkan agar Jabalah datang mengadapnya.
Umar bertanya: apakah yang mendorong kamu menampar saudaramu sehingga patah hidungnya?
Jabalah menjawab: sesungguhnya dia telah memijak kainku. Kalaulah tidak kerana kemuliaan Baitillah, nescaya aku tetak lehernya!
Umar: maknanya kamu telah mengaku menamparnya. Maka kamu ada dua pilihan, sama ada memohon maaf daripadanya atau jika tidak, kamu dikenakan qisas. Dia menampar muka kamu sebagaimana kamu menampar mukanya.
Jabalah: dia akan membalas dengan menampar mukaku, sedangkan aku seorang raja dan dia pengembala?
Umar: wahai Jabalah, sesungguhnya Islam telah menyamakan antara kamu dengan dia. Tidak ada kelebihan seseorang ke atas yang lain kecuali dengan taqwa.
Jabalah: kalau begitu, biarlah aku memeluk kristian.
Umar: sesiapa yang menukar agamanya (murtad), maka hendaklah dibunuh! Justeru, jika kamu meniggalkan Islam dan memeluk kristian, aku pancung lehermu!
Jabalah: beri aku tempoh sehingga esok, wahai Amirul-Mukminin ....
Umar: baiklah. Aku beri kamu tempoh itu.

Pada malamnya Jabalah serta pengikutnya keluar dari Makkah menuju ke Qastantin lalu memeluk kristian.
Hari-hari berlalu berganti tahun. Keseronokan dunia semakin padam. Jabalah mula didatangi penyesalan. Dia teringat hari-hari berada di dalam dakapan Islam, teringat lazatnya solat dan siam (puasa). Dia menyesal kerana meninggalkan agama yang benar dan mempersekutukan Tahan semesta alam. Dia menangis sambil mengungkap syair:
Orang mulia memeluk kristian kerana malu untuk satu tamparan
Apalah kemudaratannya kalau dia bersabar?
Hatiku dibalut perasaan sombong dan bongkak
Aku telah menjual mata yang sihat dengan mata yang cacat.
Maka alangkah baiknya kalau aku tidak pernah dilahirkan oleh ibuku
Alangkah baiknya kalau aku kembali kepada apa yang telah diputuskan Umar untukku.....

Namun penyesalan hanya tinggal penyesalan. Akhirnya dia mati dalam kekufuran hanya kerana sombong dan enggan tunduk kepada Syari'at Tuhan semesta alam.

Dipetik daripada buku karangan Dr Muhammad bin Abdul-Rahman al-'Arifi, "Fi Batnil-Hut".





Monday, February 09, 2015

Adakah ini perang ke atas ISIS atau usaha menghapuskan kewujudan Sunni di Iraq?

Pada tahun 1500 Masehi, Ismail as-Sofawi memimpin angkatan tentera untuk menguasai Iran dan menukarnya kepada sebuah negara bermazhab syi'ah. Langkahnya itu dibantu oleh raja-raja Eropah, terutamanya Portugal. Dutanya di negara China ketika itu,  sewaktu melawan Iran telah berkata bahawa Ismail as-Sofawi membangunkan gereja-gereja dan meruntuhkan masjid-masjid sunnah. Portugal telah memberikan bantuan dengan menghantar 100,000 tentera dari Armenia. Ia merupakan satu bilangan yang cukup besar pada waktu itu. Begitu juga Portugal telah menghulurkan bantuan yang besar untuk menikam kerajaan uthmani dari belakang selepas uthmani berjaya menguasai sebahagian besar daripada benua Eropah.

Kekuatan Ismail as-Sofawi ketika itu bergantung kepada:
-       Syi'ah Iran
-       Syi'ah luar Iran. Sesungguhnya mereka telah dikurniakan rumah dan tanah secara percuma selepas ia dirampas daripada Sunnah Iran.
-       Kekuatan tentera kristian Armenia yang mendapat bekalan kewangan dari Eropah
-       Sesetengah tariqat sufi yang diikuti oleh datuk kepada Ismail as-Sofawi. Datuk kepada Ismail as-Sofawi, Sofiud-Din al-Ardubaily antara ahli sufi sunnah yang berpengaruh banyak menyampaikan nasihat dan peringatan-peringatan.

Cara-cara Ismail as-Sofawi memalingkan ahli sunnah yang merupakan penduduk majoriti di Iran kepada Syi'ah adalah seperti berikut:
-       Membunuh ulamak dan imam-imam masjid.  Dikatakan bahawa dalam satu hari dia telah membunuh seramai 13, 000 imam masjid
-       Mengepung bandar-banadar yang diduduki ahli sunnah dan mengahncurkannya sebagaimana dilakukan ke atas bandar Hirat tahun 1510M
-       Mengadakan persepakatan dengan guru-guru sufi dan lain-lain dengan memahamkan bahawa Syi'ah adalah mazhab ke lima daripada mazhab-mazhab Islam
-       Menghalau ahli sunnah Iran dan membawa masuk pengikut Syi'ah dari luar Iran
-       Memaksa orang awam melakukan syi'ar-syi'ar Syi'ah, memasang bendera syi'ah di rumah-rumah mereka dan di jalan-jalan raya
-       Menuduh sesiapa yang mengkritik upacara Syi'ah sebagai pengganas. Atau orang yang menentang operasi syi'ah sebagai tentera bagi negara uthmaniah

Kalau kita perhatikan apa yang berlaku di Iraq selepas kejatuhan Sadam Husain dan kemasukan tentera bersekutu sehingga ke hari ini kita dapati kisah yang sama berulang. Ia seolah-olah filem lama yang diulang penggambarannya. Kalau dulu filem hitam putih, sekarang filem berwarna warni.
-       Kekuatan tentera bersekutu yang dipimpin oleh Amerika datang kepada puak Syi'ah menerusi ketua pemerintah. Dia telah membenarkan Iran yang dikatakan sebagai musuhnya membantu kerajaan Syi'ah, bahkan menguasainya seperti yang dilakukan oleh tentera bersekutu yang dipimpin oleh Portugal dahulu
-       Membantu kerajaan Syi'ah dengan puluhan ribu tentera bersekutu  kristian Eropah, sama seperti mereka membantu Ismail as-Sofawi dengan 100,000 tentera masehi.
-       Membunuh ulamak ahli sunnah dan imam-imam masjid, sama sepenuhnya dengan apa yang dilakukan oleh Ismail as-Sofawi
-       Mengepung bandar-bandar yang diduduki oleh ahli sunnah dan menghancurkannya. Dan sesungguhnya Ismail as-Sofawi telah melakukan perkara tersebut selepas 10 tahun daripada permulaan thaurahnya. Dia telah memusnahkan bandar Hirat, Tabriz dan lain-lain pada tahun 1510 sama sepenuhnya dengan apa yang berlaku di Iraq selepas 10 tahun kejatuhan rejim Sadam Husain
-       Mengadakan persepakatan dengan sesetengah pimpinan keagamaan sunnah seperti yang dilakukan oleh Ismail as-Sofawi ketika dia mengadakan persepakatan dengan golongan  ahli sufi demi untuk melumpuhkan pemikiran dan kesatuan ahli sunnah
-       Menghalau ahli sunnah dari daerah yang mereka duduki dan menempatkan Syi'ah yang datang dari luar, iaitu dari Iran, India dan Pakistan. Ini juga sama dengan apa yang dilakukan oleh Ismail as-Sofawi sepenuhnya
-       Memaksa ahli sunnah melakukan syi'ar-syi'ar puak Syi'ah, memasang bendera Syi'ah di jalan-jalan raya, di bumbung-bumbung rumah. Ia adalah salinan lengkap daripada perbuatan Ismail as-Sofawi dahulu
-       Menuduh mereka yang menentang proses pensyi'ahan sebagai agen Saudi, Qatar atau Turki. Itulah juga yang dilakukan oleh Ismail as-Sofawi dahulu

Sesungguhnya bandar-bandar ahli sunnah telah bangkit menentang Ismail as-Sofawi selepas 10 tahun daripada thaurannya. Lalu dia mengahancurkan bandar-bandar itu dan menguasainya dalam operasi yang dinamakan sebagai Khurasan al-Kubra dan lain-lain dan menjadikannya sebagai bandar Syi'ah sepenuhnya selepas penduduk asalnya dibunuh atau diusir. Dan inilah yang sedang berlaku di Iraq sekarang. Selepas 10 tahun permulaan proses mensyi'ahkan Iraq di tangan Ismail as-Sofawi versi baru dengan bantuan missionary yang baru, bandar-bandar ahli sunnah bangkit menentang operasi itu.
Dan lihatlah apa yang berlaku di Dayali, ahli sunnah yang dihalau dari rumah-rumah mereka tidak dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Orang yang enggan keluar dibunuh dan diugut. Keluarga yang datang entah dari mana asalnya dibawa masuk supaya menetap di kawasan itu.
Sesungguhnya membesarkan isu ISIS dan menonjolkannya seolah-olah ia merupakan kekuatan paling besar yang sukar dikalahkan merupakan satu tektik untuk menghalalkan penumpahan darah yang bakal dilaksanakan di kawasan yang diduduki ahli sunnah, dan menutup operasi pembunuhan dan pengusiran secara besar-besaran yang bakal dilakukan. Sebenarnya ISIS tidak mampu mengusai pusat Bandar ar-Ramadi sekalipun ia bermati-matian mencubanya. Begitu juga ia tidak mampu menguasai Samuraa’ walaupun telah menanggung kerugian yang cukup banyak. ISIS bukanlah satu kekuatan luar biasa sebagaimana yang digembar-gemburkan supaya kita mempercayainya. Sebaliknya segala yang digembar-gemburkan secara berlebih-lebihan tentang ISIS itu sengaja dibuat tidak lain tujuannya melainkan menutup apa yang bakal mereka lakukan untuk menghancurkan Bandar-bandar ahli sunnah dan membunuh seramai mungkin pengikut sunnah. Maka di ketika itu tidak akan ada seorangpun di dunia ini yang akan membantah walau sebesar manapun kehancuran yang dilakukan atau sebanyak manapun kerugian yang ditanggung kerana mereka melihat semua itu merupakan kekalahan ISIS.
Justeru, sedar dan bangkitlah sebelum kamu dilenyapkan. Bersatulah sebelum datang suatu hari nanti orang akan berkata tentang Iraq: dulu tempat ini pernah diduduki ahli sunnah!


Terjemahan tulisan Miqdad al-Hamdani, 7/2/2015

http://www.mrsa4.com/2015/02/07/20927/