Hasan al-Banaa, nama penuh beliau ialah
Hasan Ahmad Abdul Rahman Muhammad al-Banna as-Sa'ati
(14/10/1906 – 12/2/1949)
Beliau telah mengasaskan gerakan Ikhwan
Muslimin dan merupakan mursyidnya yang pertama. Ditembak semasa keluar dari
bangunan Jam'iyyah Syubban Muslimin di jalan Ramsis, Kahirah dan meninggal pada
12/2/1949
Ayah baliau Ustaz Ahmad as-Sa'ati
menceritakan:
Aku mendapat khabar kewafatannya pada jam
satu pagi dan diberitahu bahawa mereka tidak akan menyerahkan jenazahnya
kepadaku kecuali selepas aku berjanji untuk menguburkannya pada jam 9 pagi
tanpa sebarang upacara. Jika aku tidak sanggup berbuat demikian, mereka
terpaksa membawa jenazahnya dari hospital Qasru Aini terus ke kubur.
Berdepan dengan keadaan demikian aku
terpaksa berjanji untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh kerajaan
kerana aku mahu jenazah anakku dibawa ke rumahnya supaya aku dapat menatap
wajahnya buat kali terakhir. Seketika sebelum fajar, mereka membawa jenazah ke
rumah dalam keadaan bersembunyi. Tidak ada seorang jiranpun yang menyaksikannya
dan tidak ada seorangpun yang mengetahui ketibaannya kecuali aku.
Kepungan di sekeliling rumah
Polis terus membuat kepungan, bukan saja di
sekeliling rumah malah di sekeliling jenazah itu sendiri. Mereka tidak membenarkan
seorangpun mendekatinya walaupun dari kalangan ahli keluarganya yang terdekat.
Aku lakukan sendirian urusan memandi dan mengkafankan jenazah anakku. Tidak ada
seoangpun insan yang bertugas secara khusus dalam urusan ini dibenarkan masuk.
Kemudian jenazah diangkat dan diletakkan kembali di atas keranda yang mereka
bawa tadi.
Kemudian timbul persoalan, siapakah yang
akan mengusung jenazah ini ke tempat persemadiannya? Aku meminta kepada pihak
polis agar membenarkan beberapa orang lelaki datang untuk mengungung keranda, namun
mereka menolak permintaanku. Aku berkata kepada mereka bahawa di rumah ini
tiada seorang lelakipun. Mereka menjawab, biarkan ia dibawa oleh wanita. Maka
jenazah dibawa ke kubur dengan diletakkan di atas bahu kaum wanita.
Puluhan mata mengiringi jenazah
Jenazah diusung tanpa pengiring ke tanah
perkuburan. Sepanjang jalan di kanan kiri polis berkawal dengan kawalan yang
sangat ketat. Puluhan mata mengiringi jenazah dari celah-celah tingkap
rumah-rumah yang berderet di sepanjang jalan. Mereka memandang dengan perasaan
kasihan dan kemarahan yang membuak-buak kepada kezaliman yang dilakukan.
Masjid yang kosong
Ketika kami sampai di masjid Qaisun untuk
solat jenazah, tidak ada seorangpun yang berada di dalam masjid, sehingga
petugas-petugas masjid telah diarahkan keluar daripadanya sebelum kami sampai
supaya mereka tidak ikut solat ke atas jenazah anakku.
Solat dan airmata
Aku berdiri di hadapan jenazah untuk solat.
Maka air mata mengalir deras dari mataku. Sebenarnya ia bukan air mata, tapi
rintihanku ke langit agar menurunkan rahmatNya kepada manusia. Kemudian jenazah
dibawa ke tanah perkuburan, lalu kami tanam jasad yang padanya terletak harapan
yang amat tinggi. Dan kami pulang ke rumah yang sedang menangis kesedihan.
Siang berlalu, malampun tiba. Tiada seorangpun
datang mengucap takziah kerana bala tentera bak singa menghalang mereka datang.
Kalau ada yang berjaya menyusup masuk, mereka tidak akan sampai ke rumah mereka
kembali kerana ditangkap dan disumbat ke dalam penjara."
Itulah dunia
Dalam masa 12 jam as-Syahid Hasan al-Banna
dibunuh, dibedah, dimandi, dikafan dan ditanam. Dengan cara itu berakhir sebuah
kehidupan. Tiga orang wanita yang mengusung jenazah di bahu mereka pulang ke
rumah, serta seorang ayah yang meratap kesedihan.
Selepas disemadikan di tanah perkuburan
imam asy-Syafi'i, sekupumpulan tentera berkawal di sepanjang jalan menuju ke
kubur dan sekumpulan lain berkawal di sepanjang jalan menuju ke rumah
asy-Syahid. Tiada seorangpun dibenarkan masuk walaupun untuk berzikir dan baca
al-Quran. Kalau ada yang masuk, mereka akan dtangkap dan dipenjarakan walaupun
mereka hanyalah seorang jiran (bukan anggota Ikhwan).
No comments:
Post a Comment